Halaman

21 February 2012

Guru YIT wajib miliki diploma

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Islam Terengganu (YIT) mewajibkan semua guru tadika di negeri ini memiliki sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Prasekolah dalam tempoh tiga tahun lagi sebagai usaha memantapkan dan meningkatkan kualiti pendidikan kepada murid-muridnya.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al Amin Ismail berkata sehingga kini seramai 126 daripada 197 orang guru seluruh Terengganu sedang mengikuti kursus lanjutan pendidikan prasekolah ketika musim cuti yang bermula November tahun lalu dan dijangka tamat pada tahun 2014.

"Yayasan komited dalam usaha melahirkan murid yang cemerlang akademik serta sahsiah diri sekaligus menjadi peneraju utama dalam pendidikan awal kanak-kanak di negeri Terengganu.

"Ini memerlukan pengorbanan besar daripada guru-guru yang sanggup bertungkus-lumus menyambung pelajaran ke peringkat diploma bagi memastikan kualiti dan sistem pendidikan menepati piawaian yang ditetapkan yayasan," katanya..

Seramai 43 guru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini mengikuti Program Diploma Pendidikan Prasekolah di Institut Perguruan (IPG) Datuk Razali, Kuala Terengganu manakala 83 orang guru yang sudah mempunyai kelulusan ijazah dan diploma juga diwajibkan mengikuti kursus itu di IPG Sultan Mizan di Besut.

Beliau berkata walaupun sudah mempunyai ijazah dan diploma, namun guru-guru berkenaan tetap diwajibkan mengikuti kursus diploma anjuran YIT kerana ijazah yang dimiliki sebelum ini tidak menjurus kepada sistem pendidikan awal sekolah.

"Pelaksanaan ini adalah prosedur baru YIT dalam urusan pengambilan guru tadika yang mewajibkan guru memiliki Diploma Prasekolah kerana sebelum ini syarat pengambilan guru tidak begitu ketat," katanya.

Selain itu, katanya program menghafal surah Yaasin beserta terjemahan yang dimulakan di semua 18 cawangan tadika YIT pada tahun 2006 akan diteruskan hasil maklum balas ibu bapa yang kagum dengan kebolehan anak mereka menghafal surah berkenaan.

Program hafalan itu adalah sebagai langkah awal YIT membentuk generasi cemerlang dan celik al-Quran selaras dengan hasrat Terengganu yang dikenali sebagai negeri anjung ilmu.






50 buah dinaiktaraf sebagai masjid kerajaan

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah lagi masjid telah dinaiktaraf sebagai masjid kerajaan tahun ini iaitu Masjid Bukit Kuang, Kemaman menjadikan jumlah keseluruhan 50 buah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, jumlah itu adalah antara 492 masjid mukim seluruh negeri termasuk sebuah masjid negeri.

“Daripada jumlah berkenaan, 129 masjid terletak dalam daerah Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Wanita Perkim Bahagian Negeri Terengganu.

Menurut beliau pada masa ini, seramai enam petugas masing-masing tiga iman dan tiga bilal ditempatkan di setiap masjid kerajaan dan masjid mukim.

"Petugas di masjid kerajaan dilantik sebagai kakitangan tetap dan kontrak dan tangga gaji mengikut gred yang ditawarkan bermula S17 hingga S48, manakala di masjid mukim menerima imbuhan bulanan RM800 (imam) dan RM600 (bilal),’’ katanya.

Katanya, imam di masjid kerajaan dibayar seratus peratus oleh kerajaan negeri manakala masjid mukim oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) (RM750) dan kerajaan negeri (RM50)

Sehubungan itu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mengadakan temuduga terbuka bagi jawatan imam dan bilal untuk mengisi 41 kekosongan jawatan itu seluruh negeri.

Permohonan ini terbuka kepada semua rakyat tempatan yang mempunyai sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan jawatan ditawarkan di bawah gred S17.
Surat pemohonan hendaklah dihantar kepada Jabatan hal Ehwal Agama Terengganu bahagian Pengurusan masjid, Pusat Pentadbiran Islam, jalan Sultan Muhammad, Kuala Terengganu.

“Mereka yang layak akan dihubungi untuk proses temuduga dan tarikh temuduga belum ditetapkan dan akan mengambil kira jumlah permohonan yang diterima oleh jabatan,” katanya.




LMNT rangka program cuti sekolah

Oleh: Suriati Ali

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah merangka beberapa program untuk menarik minat orang ramai mengunjungi muzium itu sepanjang musim cuti sekolah penggal pertama nanti.

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata salah satu daripada program itu ialah Rampai Budaya 1 iaitu satu aktiviti khusus untuk menghidupkan suasana di muzium.

Katanya rampai budaya merupakan satu rangkuman aktiviti demontrasi, permainan, kuiz, persembahan kebudayaan yang diadakan serentak bertempat di perkarangan muzium.

Program yang akan diadakan selama sembilan hari iaitu bermula 10 Mac hingga 18 Mac itu mampu meningkatkan jumlah pengunjung sedia ada.

“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bertujuan sebagai penyaluran maklumat dan pengetahuan berhubung dengan aspek sejarah dan budaya tempatan.

"Selain itu ia mampu menjadikan muzium Terengganu sebagai satu destinasi 'wajib dikunjungi' pada musim cuti persekolahan," katanya.

Mohd Saberi berkata antara aktiviti teras kepada rampai budaya ini adalah persembahan kebudayaan, demostrasi awetan manuskrip, awetan mamalia dan permainan tradisional.

“Program rampai budaya yang dianjurkan itu mempunyai dua siri di mana satu lagi siri bakal diadakan pada cuti sekolah penggal kedua iaitu pada 25 Mei hingga 10 Jun akan datang,” katanya.

Mohd Saberi berkata, pihaknya bersetuju menganjurkan Rampai Budaya sebagai acara tahun kerana ia mampu menarik lebih 5,000 pengunjung setiap kali ia dianjurkan.
“Saya berharap orang ramai terutama ibu-bapa dan pelajar-pelajar sekolah tidak melepaskan peluang untuk datang sekaligus memeriahkan Program Rampai Budaya ini,” katanya.


Belia 4B Kuala Nerus, media erat ukhwah

Oleh: Aida Abd Rahman

Gerakan Belia 4B Kuala Nerus menganjurkan Program Mesra Belia 4B Kuala Nerus -Kawat sebagai antara aktiviti bagi mengeratkan hubungan pergerakan itu dengan kumpulan pengamal media yang sentiasa menyokong dan menyebar luaskan program mereka.

Program Mesra Belia-Kawat berjaya menghimpunkan lebih 40 pemimpin dan ahli persatuan itu serta 20 pengamal media massa seluruh Terengganu diadakan di Pusat Boling Terengganu Equestrian Resort (TER), malam kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pergerakan pemuda Umno Bahagian Kuala Nerus, Encik Apli Jusoh; pembantu Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Terengganu, Encik Jaafar Harun dan pengerusi Pergerakan Belia 4B Kuala Nerus, Encik Mohd Rosdi Mat Zain.

Menurut jurucakap program, penganjur berjaya merapatkan ukhwah di kalangan peserta program menerusi pertandingan boling yang melibatkan belia serta pengamal media dicampur dalam satu kumpulan.

“Menerusi program ini, kami dapat mengeratkan hubungan silaturahim, malah memudahkan kerjasama dan hubungan dua hala antara dua pihak yang sedia terjalin sejak dulu lagi.

“ Program ini juga sebagai satu cara kami menghargai peranan rakan media yang banyak membantu mempromosi dan menjayakan program kami selama ini dalam usaha membina generasi belia yang sihat dan cemerlang,” katanya.




Bloggers, Facebookers Mari Berjumpa MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Penulis blog serta facebook berpeluang meluangkan masa bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di majlis perjumpaan dan makan malam pada 5 Mac ini, jam 8 malam.

Program anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) bakal diadakan di bandar Kuala Terengganu yang akan dimaklumkan kepada penulis blog serta facebook yang terpilih ke majlis itu di dalam kad jemputan masing-masing kelak.

Menurut penganjur, `Majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu dengan Blogger dan Facebooker' julung kali dilaksanakan ini bagi memberi peluang menjalinkan hubungan silaturahim serta memenuhi ramai permintaan penulis blogger dan facebook untuk menemui pemimpin nombor satu Terengganu.

Katanya, majlis itu nanti akan menghimpunkan penulis daripada pelbagai latar dan konsep blog yang mampu menterjemahkan buah pemikiran mahupun pengalaman baru dalam dunia penulisan yang tiada sempadan.

“Perjumpaan ini adalah terhad dan tertutup kepada penulis blog dan facebooker yang terpilih sahaja. Sehubungan dengan itu saudara dan saudari yang terpilih akan dijemput untuk menghadiri majlisitu nanti,” katanya.

Bagi menjadi peserta majlis berkenaan, semua blogger dan facebooker diminta mengisi borang yang disediakan di laman ini serta klik butang SEND atau menghantar maklumat yang diminta melalui email: mariberhubung@yahoo.com

Oleh kerana tempat adalah terhad, sila jawab dengan kadar segera dengan mengisi maklumat yang lengkap, selewat-lewatnya pada: 23/2/2012 (Khamis).

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Unit Komunikasi Negeri Terengganu 09-6230582 (Anida/Rita)
Atau; Harun bin Hassan (019-9208820)





TM rakan kongsi komunikasi LTdL 2012

Oleh FAUZI MOHD

Dengan kehadiran barisan pelumba terbaik dunia, penganjuran kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 edisi ke-17 tahun ini terus mendapat perhatian daripada pihak penaja.

Terbaharu, Telekom Malaysia Berhad (TM) sekali lagi tampil sebagai penaja bagi perlumbaan berprestij di rantau Asia yang bakal bermula 24 Februari ini.

“Sejak 1996, TM telah memainkan peranan penting dalam menjadi pengendali jalur lebar rasmi perlumbaan tersebut.

“Untuk tahun ini, kami sekali lagi memainkan peranan sebagai rakan kongsi komunikasi bagi kejohanan bertaraf antarabangsa itu,” ujar Ketua Pegawai Pemasaran TM, Datuk Rozalila Abdul Rahman ketika menyerahkan tajaan kepada penganjur LTdL 2012 semalam.

Ujarnya, TM akan memastikan kelancaran perlumbaan tersebut dengan menyediakan fasiliti akses internet, faks, talian tetap serta komputer riba dan kemudahan telekomunikasi yang lain.

“Kemudahan tersebut adalah bagi kegunaan lebih dari- pada 100 petugas media tempatan dan antarabangsa serta pihak penganjur bagi memudahkan mereka menyampaikan laporan tepat pada masanya,” katanya.

TM juga akan memastikan pusat media bagi edisi kali ini yang berlangsung selama 10 hari, sekali lagi menjadi pusat terbaik.

“Amat membanggakan apabila pusat media yang diwujudkan sepanjang 17 tahun penganjuran LTdL diiktiraf sebagai pusat media terbaik.

“Bermula daripada penajaan di peringkat laluan, kemudian menjadi penaja rasmi, penaja pasukan sehingga penaja Jersi Kuning (juara keseluruhan), TM sentiasa bersedia menjadi rakan telekomunikasi rasmi dalam perlumbaan tersebut.”

“Kami berjanji akan menyediakan fasiliti yang lebih baik pada tahun ini daripada tahun sebelumnya. Seperti selalu, kami menitikberatkan kualiti dan servis yang bakal disediakan sepanjang perlumbaan,” jamin Rozalila.


TIM perkenal industri desa kristal kepada penduduk tempatan

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu Industrial Minerals Sdn Bhd (TIM) merancang membina kilang pemprosesan silika terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 800,000 tan metrik setahun dan dijangka memulakan pengeluaran pada pertengahan 2013.

Pengerusinya, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin berkata, loji terletak di Setiu akan menghasilkan pasir dan tepung silika bergred tinggi untuk industri panel TFT LED, solar dan sektor elektronik.

“Projek dibangunkan dalam empat peringkat iaitu pemprosesan pasir silika gred 1dan 2; pemprosesan silikan peringkat industri tinggi; pembangunan industri hiliran seperti pengeluaran sodium silikat, palet kaca mentah, blok dan rod serta penubuhan industri kaca apung di Kertih,” katanya.

Tengku Sri Temenggong Raja berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Projek Silika dan Pelancaran Terengganu Kristal (TK) di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man Kuala Terengganu semalam.

Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Projek Silika dan Pelancaran Terengganu Kristal.

Katanya, ketersediaan rod silika, blok dan palet dijangka dapat merangsang pembangunan industri desa kristal di negeri ini.

Tambahnya, TK akan perkenalkan aktiviti berkaitan kristal kepada penduduk tempatan seperti meniup kaca, pembuatan kraf kristal serta menyediakan latihan dan pendidikan,” katanya.

Selain itu TK mampu memberi tambah nilai kepada TTI dengan kemasukan pameran berkaitan kristal dan Muzium Kristal di destinasi pelancongan yang terunggul itu.

Tengku Seri Temenggong Raja berharap selain membangunkan industri kristal, TIM akan membina semula Jeti Merang bagi penggunaan TIM Konsortium dan nelayan di kawasan berkenaan juga dapat manfaat bersama.




Kajian kegagalan projek Lembah Sitrus di Durian Mentangau telah siap

Oleh FAUZI MOHD

Kajian menyeluruh berhubung kegagalan projek tanaman limau madu di Kampung Durian Mentangau, Dungun akibat diserang penyakit 'citrus greening' telah siap.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Asha’ari Idris berkata, kajian yang akan diserahkan kepada kerajaan negeri itu untuk pertimbangan sama ada projek ‘Lembah Sitrus’ itu patut diteruskan atau sebaliknya.

“Keputusan akan dibuat kerajaan negeri selepas meneliti laporan kajian berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Asha’ari, projek yang bermula sejak Ogos 1999 itu membabitkan kawasan seluas 1,650 hektar secara keseluruhannya dan sejumlah 450 hektar telah diusahakan dalam fasa pertama.

Menurutnya, projek berkenaan pada awal pembukaannya diusahakan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) serta tujuh pengusaha swasta atau koperasi yang diberi tanah secara pajakan selama 55 tahun berakhir tahun 2055.

Katanya, Ketengah melalui Ketengah Jaya Sdn. Bhd. memajukan seluas 100 hektar, Koperasi Jabatan Pertanian Terengganu Bhd. (50 hektar), Koperasi 3K Bhd. (50 hektar) dan Merpati Bakat Sdn. Bhd. (50 hektar).

Pengusaha lain yang turut terpilih mengusahakan projek itu jelasnya, Vibrant Realty Sdn. Bhd. (100 hektar), Imbasan Padu Sdn. Bhd. (50 hektar), KPT Peladang Sdn. Bhd. (50 hektar) dan Syarikat Haji Abd. Rahman Sdn. Bhd. (50 hektar).

“Projek limau madu berkenaan gagal berikutan tanaman itu dijangkiti penyakit menyebabkan pengusaha mengalami kerugian besar.

“Berikutan masalah itu, ramai pengusaha melanggar syarat dan peraturan ditetapkan dengan menanam kelapa sawit, sedangkan kawasan berkenaan diwartakan untuk tanaman limau madu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri ketika ini sedang berbincang dengan beberapa pihak mengenai langkah yang boleh diambil untuk memajukan kawasan terbabit dengan tanaman lain.


20 February 2012

Program Himpunan Sejuta Umat di Stadium Negeri, 25 Feb ini

Oleh: Aida Abd Rahman



Orang ramai dijemput ke `Program Himpunan Sejuta Umat, Selamatkan Akidah’ yang bakal berlangsung di Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud, pada 25 Februari (Sabtu) ini, jam 8.30 pagi.

Program anjuran Sekretariat Himpun Terengganu dan Majlis Perundingan NGO’sTerengganu itu bakal menampilkan penceramah terkenal yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dato’ Dr Hassan Ali.

Menurut jurucakap, program yang bertujuan menghimpunkan seluruh umat Islam daripada pelbagai latar dan sosio kehidupan, tanpa mengira fahaman politik bertujuan untuk menzahirkan suara serta sikap umat Islam terhadap siri percubaan memurtadkan umat serta mencemarkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Kami menyeru seluruh umat islam hadir ke perhimpunan ini, sekaligus melupakan segala perbezaan fahaman politik dan ideologi untuk bersama-sama bersatu mengambil tanggungjawab bagi mempertahankan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan,” katanya.




Silika tidak dibenar dibawa keluar

Oleh: Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri tidak membenarkan sumber asli silika yang terdapat daerah di Setiu dan Marang di bawa keluar, sebaliknya para pelabur luar dipelawa datang melabur di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, langkah itu bertujuan menjaga kepentingan rakyat tempatan kerana industri tersebut mampu menjana lebih 1,000 peluang pekerjaan jika ia dimajukan serta merangsang pembangunan industri hiliran berkaitan.

Beliau berkata, tapak projek silika seluas 1,800 hektar di Setiu dan Marang itu terletak dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan bakal menjadi kawasan perindustrian berpusat pertama di dunia untuk sektor berkaitan silika.

“Projek ini akan dibangunkan oleh Terengganu Industrial Minerals Sdn Bhd (TIM) dengan kerjasama syarikat-syarikat antarabangsa dari Jepun, India, Perancis dan Belgium,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Projek Silika dan Pelancaran Terengganu Kristal di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan majlis itu dan pelancaran projek berkenaan.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan TIM Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin; Setiusaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

Kenamaan lain yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Dato’ Jebasingam Issace John; Ketua Pegawai Eksekutif TIM, Encik N.Surendren: Ketua Pegawai Operasi Sumitomo Corporation Asia (Japan), Encik Manabu Yamane dan Ketua Pegawai Eksekutif Sibelco Asia (Belgium), Encik Bruno Wauters.

Tambahnya, konsortium berkenaan akan melabur antara RM350 juta hingga RM400 juta dalam tempoh lima tahun akan datang untuk membangunkan penceriaan dan industri hiliran di lembah silika.

Katanya, kerajaan memberi pajakan lombong kepada TIM untuk meneroka, melombong, memproses dan membangunkan industri silika daripada peringkat awal loji penceriaan sehingga ke pengeluaran komersial.

“Terengganu mempunyai kawasan rizab terbesar pasir silika di negara ini dan Asia Tenggara dengan lebih 80 juta tan metrik deposit silika gred tinggi,” katanya.














IKSNZ lahir pengusaha kraf

Oleh: Aida Abd Rahman

Institut Kemahiran Sultanah Nur Zahirah (IKSNZ) bakal diwujudkan di Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ), bermula pertengahan tahun ini bagi melahirkan lebih ramai golongan yang mahir dalam industri kraf di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata institut yang memberi tumpuan kepada teknik pembuatan batik, songket, ukiran kayu dan kraftangan menerusi kendalian Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

Katanya, kursus kemahiran yang mengambil masa setahun setengah itu disasarkan kepada golongan remaja dan penduduk setempat.

“Sasaran YPU seramai 30 hingga 40 pelajar dapat mengikuti kursus di situ pada setiap sesi. Pelatih bakal menerima elaun sebanyak RM450 sebulan daripada YPU,” katanya.

Dato’ Mohamed berkata, penubuhan institut yang setanding dengan Institut Kraftangan serta sijil yang diiktiraf Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan itu mampu membuka peluang pekerjaan kepada pelatihnya apabila tamat kursus di situ nanti.

Selain itu, pelatih IKSNZ juga bakal ditawarkan pekerjaan di KTNZ serta boleh menceburkan diri dalam mana-mana bidang berkaitan termasuk menjadi usahawan songket dan batik di seluruh negara.

KTNZ di Kampung Tanjung Bunut, Manir mula beroperasi 25 Mei tahun lalu dan kini menjadi ikon pelancongan terbaru di Terengganu.

Kompleks yang dibina dengan kos RM4.6 juta itu mampu meningkatkan ekonomi negeri dengan kedatangan peminat songket dan batik dari dalam dan luar negara.

KTNZ juga akan menjadi pusat informasi berkaitan perkembangan dan pembangunan tekstil tenun songket bersepadu selain pusat penyelidikan serta menyalurkan khidmat profesional berkaitan seni dan teknologi bertaraf antarabangsa.






BN Terengganu pergiat usaha untuk tingkat KPI

Oleh: Suriati Ali

Barisan Nasional (BN) Terengganu mempunyai perancangan strategik bagi memastikan Indek Penunjuk Prestasi (KPI) berada pada tahap lebih baik dan selesa berbanding sebelum ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, dia yakin KPI di kawasan tertentu termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) milik pembangkang bertambah baik selepas beberapa perubahan drastik berkaitan pemikiran, pembangunan, kebajikan dan bantuan pendidikan berlaku di kawasan masing-masing.

Katanya, sekarang jentera parti sudah mula bergerak dengan pelbagai strategi supaya mampu menawan hati rakyat untuk memilih kepimpinan BN yang sememangnya boleh menjanjikan pelbagai kebaikan.

“Kita masih tidak berpuas hati sepenuhnya dengan gerak kerja yang dilaksana tetapi pasti setiap kelemahan itu boleh diperbaiki secara berperingkat-peringkat sebelum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Permantapan Jentera Wanita JR, di Dewan Intan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu semalam (18 Februari).

Hadir sama, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat; Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu merangkap Yang Dipertua DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Ahli Dewan Undangan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan beberapa pemimpin setempat.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu semua pemimpin setempat di minta telus menjalankan tugas supaya setiap matlamat dan perancangan mampu di terima sehingga ke akar umbi.

“Selepas beberapa perancangan dilaksanakan , pemimpin BN kini berada di tahap `gear’ tiga dan empat. Usaha untuk berada di tahap yang diinginkan iaitu zon selesa kini diperhebatkan,” katanya.





Jawatankuasa JKKK dan UMNO perlu berganding bahu :MB


Menteri Besar bersalaman dengan jawatankuasa JKKK Cina Taman Jertih

Oleh: Mohammad Ishak

Pemimpin dua organisasi yang berkait rapat dengan kepemimpinan kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan UMNO perlu proaktif dan berganding tenaga dalam menjayakan misi kerajaan membantu rakyat.

“Jika kedua-dua organisasi tidak sepakat dan masing-masing mahu menunjukkan kuasa ia akan melemahkan jentera kerajaan ,” kata Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said.

Katanya, JKKK dan Umno yang menjadi jentera penting kerajaan juga perlu mendekati rakyat dan menyelesaikan segala masalah yang dibangkitkan orang ramai.

Menurutnya pengerusi dan ketua cawangan serta jawatankuasa juga diminta kerap turun padang untuk mengetahui masalah penduduk dan penyokong parti.

“Tanpa kerajaan JKKK tidak akan lahir, sebab itu jawatankuasa yang dilantik hendaklah sedia memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan,” katanya berucap sempena majlis makan malam bersama JKKK Daerah Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, di Jertih,malam tadi.

Dato' Seri Ahmad berkata, jawatankuasa JKKK dan Umno hendaklah menyelaraskan setiap permasalahan rakyat untuk dikemukakan kepada kerajaan melalui Wakil Rakyat masing-masing.

Perjumpaan dan majlis makan itu dihadiri 2,000 jawatankuasa mewakili 127 JKKK seluruh daerah Besut bertujuan menerangkan dasar kerajaan kepada pemimpin terbabit.

Hadir sama Ahi Exco Kerajaan negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut, ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Jabi, Ramlan Ali, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, Pegawai Daerah A Rahman Mokhtar dan Yang Dipertua MDB, Ibrahim Muhamad serta pegawai kanan pelbagai jabatan kerajaan daerah itu.





Sultan Terengganu rasmi Projek Silika dan Terengganu Kristal

Sultan Mizan Zainal Abidin (dua kiri) berkenan berangkat melawat balai pameran selepas melancarkan Projek Silika dan Terengganu Kristal di Taman Tamadun Islam di Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Projek Silika dan Pelancaran Terengganu Kristal di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu hari ini.

Menyambut keberangkatan Tuanku Sultan ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Kumpulan Terengganu Industrial Minerals Sdn Bhd. (TIM), Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin.

Hadir sama, Setiusaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Ketua Pegawai Eksekutif TIM, Encik N.Surendren: Ketua Pegawai Operasi Sumitomo Corporation Asia (Japan), Encik Manabu Yamane dan Ketua Pegawai Eksekutif Sibelco Asia (Belgium), Encik Bruno Wauters.

Sebaik selesai bertitah merasmikan pelancaran, Tuanku Sultan berkenan menandatangani plak Projek Silika dan Terengganu Kristal dengan menyentuh skrin sebagai gimik perasmian.

Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin kemudian berkenan berangkat melawat ke ruang pameran di bilik pameran TTI diiringi pembesar negeri.












http://webtv.terengganu.gov.my/?p=2140

LTdL 2012 – RTM penyiar rasmi, siaran langsung 10 kilometer setiap peringkat

Oleh FAUZI MOHD

Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi menjadi penyiar rasmi perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan berlangsung dari 24 Februari hingga 4 Mac ini.

Melalui persefahaman kerjasama antara penganjur LTdL dan stesen penyiaran itu, RTM bakal menghasilkan keseluruhan produksi televisyen LTdL edisi ke-17 dan akan membawa siaran secara langsung bagi setiap peringkat yang akan bermula dari Putrajaya dan berakhir di Kuala Terengganu.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamed, beliau berbangga kerana RTM terus menjadi penyiar rasmi kepada kejohanan berbasikal yang dianggap antara paling berprestij di Asia.

"Dari rekod LTdL semenjak 1996, hanya tiga tahun sahaja iaitu pada tahun 2007, 2008 dan 2010 RTM tidak menjadi penyiar, ini menunjukkan kredibiliti RTM sebagai penyiar sukan yang masih kekal disegani di negara ini.

"Bagi pihak KBS, kerjasama ini memberi manfaat kerana segala perbelanjaan produksi televisyen dan penyiarannya akan kembali kepada kerajaan iaitu kepada Kementerian Penerangan sendiri, " katanya pada majlis sidang pelantikan RTM sebagai hos penyiar LTdL 2012 baru-baru ini.

Bagi Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamarudin Siaraf, siaran langsung pada tahun ini akan memberikan lebih kepuasan kepada peminat sukan berbasikal.

"Perbezaan terbesar pada tahun ini kami akan membawa perlumbaan secara langsung pada 10 kilometer terakhir pada 10 peringkat perlumbaan berbanding lima kilometer pada perlumbaan-perlumbaan terdahulu.

"RTM juga akan menjemput bekas pelumba kebangsaan, Mohd. Musairi Musa sebagai tetamu jemputan pada setiap kali siaran langsung," katanya.


Terengganu, T-Team melangkah bergaya ke pusingan kedua Piala FA

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu dan T-Team memulakan langkah kanan untuk ke persaingan seterusnya selepas masing-masing membenam lawan dalam perlawanan kalah mati pada saingan pembuka tirai Piala FA, kelmarin.

Pasukan Penyu yang juga juara Piala FA 2011 membaham Polis Diraja Malaysia (PDRM), 4-0 pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pusingan kedua bakal menyaksikan Terengganu menentang Perak yang berjaya mengetepikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0.

Gol-gol Terengganu terhasil menerusi Abdul Hadi Yahaya yang membuka tirai jaringan pada minit ke-10 selepas menyempurnakan sepakan sudut Ismail Faruqi.

Manakala penyerang kebangsaan, Abdul Manaf Mamat menambah dua gol untuk meletak Terengganu selesa di depan pada minit ke-38 diikuti gol ketiga selang 20 minit kemudian.

Kehadiran penyerang import yang pernah beraksi bersama kelab Al-Ahly dan New York Red Bulls memberi impak buat skuad kendalian Mat zan Mat Aris apabila pemain berkenaan, Francis Forkey Doe menghadiahkan gol keempat Terengganu pada minit ke-90.

Sementara adik Terengganu, T-Team bakal berdepan dengan Pahang, selepas berjaya menumbangkan Johor, 2-0 di Stadium Pasir Gudang, Johor.

Dua jaringan skuad kendalian Yunus Aliff terhasil menerusi Zairo Anuar Zailani dan Khairul Izwan Khalid berhasil membawa pasukan itu ke pusingan kedua bertemu Pahang yang sebelum itu menang tipis ke atas Felda United (1-0).








MB sedia disaman

Oleh: Suriati Ali

Pengerusi Barisan Nasional Negeri yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said masih berpendirian sama iaitu tidak mahu manarik balik kenyataan beliau yang mengatakan Pas sebagai `parti ajaran sesat’.

PAS tersasar jauh dari perjuangan Islam yang sebenar, beliau sedia menunggu apa jua tindakan daripada parti itu termasuk menggunakan saluran mahkamah.

“Saya sedia disaman, saya ada bukti. Saya tunggu saman PAS. Saya nak tengok dia (PAS) nak bawa ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah,” katanya sebagai mengulas pendirian beliau mengenai desakan Pas supaya beliau menarik semula kenyataanya selepas melabelkan Pas sebagai `parti ajaran sesat’.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Permantapan Jentera Wanita Jalinan Rakyat (JR) Barisan Nasional, di Dewan Intan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat; Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu merangkap Yang Dipertua DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Ahli Dewan Undangan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan beberapa pemimpin setempat.

Lebih 4,000 jentera wanita JR yang hadir pada program itu berazam menunaikan amanat pengerusi BN supaya mengempur kawasan pembangkang dengan pelbagai strategi.

.Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu penyelewengan dan kesesatan yang dibawa PAS terhadap umat Islam bukanlah perkara baru, malah sudah lama diketahui rakyat.

Minggu lalu, Pas memberi tempoh tiga hari kepada Dato’ Seri Haji Ahmad agar menarik balik kenyataan mengenai perkara itu.

Menteri Besar juga bersedia dengan hujah serta bukti sekiranya isu itu di bawa ke mahkamah kelak.


Petani lega terima bantuan baja tanaman

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 69 orang petani dari beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menerima bantuan baja tanaman yang diagihkan oleh wakil rakyat DUN, YB Haji Khazan Che Mat semalam.

Peruntukan di bawah Tabung Darul Iman (TDI) berjumlah 11,000 itu memberi kelegaan kepada petani terbabit dalam kejadian banjir tahun lalu yang mengalami kerugian kira-kira RM400,000 apabila tamanan mereka musnah ditenggelami air.

Tanaman yang diusahakan oleh petani termasuklah tembikai, cili, sayuran seperti sawi musnah sama sekali namun kesedihan terubat dengan sikap cakna wakil rakyat dengan menghulurkan bantuan.

“Bencana alam yang melanda telah mengakibatkan kami kerugian wang dan tenaga tetapi tetap percaya ada hikmah disebalik musibah ini,” kata seorang petani Encik Mohammad Majid, 69.

Katanya, beliau dan rakan-rakan tidak serik untuk berbakti pada tanah dengan mempelbagaikan jenis tanaman mengikut musim kerana ini punca pendapatan utama menyara keluarga.

Sementara itu, Pegawai Pusat Pembangunan DUN Batu Rakit, Ustaz Kamaruddin Mohd berkata, semua petani yang mengalami kerugian bencana alam menerima bantuan mengikut kadar kerugian yang dialami.





Semua daerah di Terengganu mendapat peruntukkan.


Dato' Ahmad menemui peniaga di Jertih Souq


Oleh: Mohammad Ishak


Lawatan kerja Menteri Besar Terengganu, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ahmad Said, yang turun padang menjelajah ke seluruh pelusok negeri memberi kesan kepada rakyat apabila banyak peruntukkan dilaburkan untuk pembangunan setempat.

Peluang Menteri Besar menemui rakyat bersama pegawai kanan di setiap daerah yang dilawati juga dapat membantu jentera kerajaan melaksanakan segera pelbagai projek kecil dan besar yang sememangnya ditunggu rakyat.

Semalam Dato’ Ahmad menghabiskan waktu hampir sehari untuk meninjau pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan sekitar daerah Besut untuk mengetahui sendiri permasalahan pelaksanaan projek dan apa kehendak rakyat.

Menariknya, setiap kunjungan ke seluruh daerah ia turut disertai semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Daerah serta Yang Dipertua Majlis Daerah.

Masalah kelewatan pembinaan projek Jertih Souq turut mendapat perhatian Menteri Besar sambil melahirkan rasa kecewa dengan kelewatan projek berharga RM70 itu menyebabkan peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan di situ.

Berikutan itu, beliau mengarahkan kontraktor terbabit supaya menyiapkan segera projek berkenaan yan g kini masih dalam dua peratus belum disiapkan.

Dalam perkembangan lain Dato’ Seri Menteri Besar turut meluluskan peruntukkan RM6 juta untuk pembinaan jalan dan longkang di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Besut (MDB).

Lawatan kerja itu disertai sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut, ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, ADUN Jabi Ramlan Ali manakala ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh tidak dapat turut serta kerana mempunyai urusan di Kuala Lumpur. Pegawai Daerah A Rahman Mokhtar dan Yang Dipertua MDB.Ibrahim Mohamad.


19 February 2012

BN BOLEH!

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sewaktu berucap pada majlis penyerahan tugas Pengerusi Badan Perhubungan Umno
Terengganu di Putrajaya, tahun lalu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berikrar untuk mengukuhkan Umno di negeri ini dan menawan semula beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai Pas, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Pada PRU 12, Barisan Nasional (BN) kalah di lapan kerusi DUN iaitu Batu Buruk, Ladang dan Wakaf Mempelam (Parlimen Kuala Terengganu), Bukit Tunggal (Kuala Nerus), Bukit Payong dan Rhu Rendang (Marang), Manir (Hulu Terengganu) dan Sura (Dungun).

Berdasarkan keputusan PRU 12, BN kalah kepada Pas di lima DUN dengan majoriti 1,000 undi ke bawah iaitu Bukit Tunggal (336 undi), Bukit Payong (115), Manir (406), Ladang (31) dan Sura (1,000).

Pemerhati politik berpendapat BN tidak menghadapi masalah besar untuk menang di kerusi DUN Ladang, Bukit Tunggal dan Bukit Payong di mana calonnya kalah pada PRU 12 dengan majoriti di bawah 500 undi.

Begitu juga dengan DUN Sura yang calon BN kalah dengan majoriti 1,000 undi pada pilihan raya itu, BN mampu memenang semula DUN berkenaan yang dimenangi pada pilihan raya umum 2004.

Manakala bagi DUN Manir yang BN kalah dengan majoriti 406 undi pada PRU 12, tidak mustahil dapat dirampas semula pada PRU 13 berdasarkan sambutan rakyat dan penduduk tempatan di kawasan itu terhadap program-program semasa anjuran Umno dan BN.

Cuma BN menghadapi kesukaran untuk menang di kerusi Rhu Rendang (majoriti PRU 13 ialah 2,686 undi), Batu Buruk (1,161) dan Wakaf Mempelam (2,193 undi) yang dikuasai Pas sejak lebih 20 tahun lalu.

Pun begitu tidak mustahil jika pengundi kawasan berkenaan ‘meninggalkan’ calon pembangkang dan memilih calon BN pada pilihan raya umum akan datang, berdasarkan sokongan rakyat yang semakin memuncak terhadap Umno dan BN yang diketuai Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Menteri Besar yang diberi mandat untuk mengetuai Umno Terengganu dan mengambil alih jawatan itu daripada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sejak awal tahun lalu, telah bekerja keras bagi memastikan Umno dan BN merampas semula semua kerusi DUN yang dikuasai pembangkang, pada pilihan raya umum akan datang.

Selain Dato’ Seri Haji Ahmad sendiri dan pemimpin Umno negeri yang ‘turun padang’ di kawasan berkenaan, sebahagian besar daripada DUN berkenaan turut ‘dijenguk’ Perdana Menteri bagi meninjau sendiri masalah yang dihadapi penduduk tempatan.

Setakat ini, lima DUN – Bukit Tunggal, Manir, Batu Buruk, Rhu Rendang dan Ladang – sudah pun dilawati Perdana Menteri dalam dua lawatan kerja beliau sebelum ini, bagi menyelami masalah rakyat di kawasan berkenaan.

Berdasarkan sambutan luar biasa rakyat kepada Perdana Menteri pada setiap program yang beliau hadiri, petanda jelas menunjukkan mereka mahukan perubahan.

Apa yang diharapkan, mereka membuktikan kemahuan tersebut dalam bentuk undi, pada pilihan raya umum akan datang dan jika ini berlaku, BN akan merampas semula kerusi tersebut daripada Pas dan terus memerintah Negeri Terengganu pada PRU 13. BN Boleh!






JR perlu gempur DUN Manir

Oleh: Suriati Ali

JENTERA Wanita Jalinan Rakyat (JR) Barisan Nasional di gesa mengempur Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir secara besar-besar dalam usaha membantu DUN itu bangkit menyokong kepimpinan BN dan bukannya berterusan dijajah pembangkang.



Pengerusi Barisan Nasional Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata JR turun ke kawasan masing-masing dan memperhebatkan lagi kempen di DUN yang kalah bagi membantu pemimpin sedia ada berjuang berhabis-habisan mempertahankan parti ini.

Katanya, di setiap bahagian, BN mempunyai gerakan wanita atau `Tentera Semut Merah’ yang mampu dan bersemangat menyerang semua DUN terutama di kawasan kubu kuat pembangkang.



“Kalau ada saudara mara di DUN yang kalah, jangan malu dan segan untuk berkempan atau bersemuka dengan rakyat kerana sudah ternyata parti kita banyak kelebihan dan membantu penduduk.

“Pelbagai bantuan dan kebajikan kita sudah laksanakan, termasuk bantuan atap rumah, tabung kronik, rumah bersubsidi serta banyak lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Permantapan Jentera Wanita JR, di Dewan Intan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu semalam (18 Februari).



Hadir sama, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat; Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu merangkap Yang Dipertua DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Ahli Dewan Undangan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan beberapa pemimpin setempat.

Dato’ Haji Ahmad memberitahu, gelombang dan bahang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) sudah semakin dekat, JR di setiap kawasan perlu bersiap-sedia dengan menjalankan tanggungjawab masing-masing.



Penasihat Ekonomi MB terima pengiktirafan Kerajaan Kemboja

Oleh; Esah Abdullah

Penasihat Ekonomi kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Mustapha Ahmad Marican menjadi rakyat pertama di negara ini menerima anugerah Doktor Falsafah Kehormat (PhD) Undang-undang dari Universiti Politeknologi Chamroeun, Kemboja.

Anugerah berkenaan sebagai pengiktirafan daripada Perdana Menteri Kemboja Hun Sen kerana sumbangan berterusan beliau sejak 12 tahun lalu berhubung pembangunan sosial masyarakat termasuk misi kemanusiaan dan keamanan Kemboja sejak 1999 melalui pertubuhan bukan kerajaan dalam dan luar negara.

Dato’ Mustapha merupakan anak jati Terengganu itu sebelum ini pernah menerima anugerah pingat emas daripada Kerajaan Kemboja pada 2004 dan pernah diundang memberi ucapan bagi berkongsi kejayaan Malaysia berhubung pembangunan ekonomi, politik dan pendidikan.

Kerajaan Kemboja menjadikan negara ini sebagai negara contoh yang dapat membangun dalam kepelbagaian kaum tanpa sebarang permusuhan.

Dato’ Mustapha memiliki jurusan Sarjana Undang-undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2009, kini sedang menghabiskan pengajian peringkat Doktor Falsafah jurusan Undang-undang di universiti sama.

Sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Luar, Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Dalam Negeri.

Selain menjadi Penasihat Ekonomi kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Mustapha pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd.





Jentera Wanita bersemuka dengan MB

Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 20,000 jentera Wanita Jalinan Rakyat (JR) seluruh negeri mengadakan perjumpaan hati ke hati dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said secara berperingkat melalui bahagian masing-masing bermula bulan lalu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, perjumpaan bermula dengan Wanita Bahagian Besut (15 Januari) diikuti Dungun (23 Januari), Marang (24 Januari) dan Kemaman (4 Februari).

Manakala wanita di bahagian Hulu Terengganu akan menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negeri itu semalam (18 Februari) di Dewan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan Kuala Berang,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Menurutnya, Dato; Seri Haji Ahmad akan ke Kuala Nerus pada 10 Mac ini dan Setiu (17 Mac) serta Kuala Terengganu yang tarikhnya akan ditentukan kemudian.

“Saya harap semua wanita JR tidak melepaskan peluang bertemu MB pada tarikh ditetapkan serta mendengar amanat yang akan diberikan sebagai bekalan untuk berdepan dengan cabaran dan gelombang pilihan raya,” katanya.

Katanya, jentera Wanita di arahkan untuk bertemu setiap pengundi, bertanya khabar, menghulur bantuan, meringankan beban, menyampaikan maklumat serta membawa masalah berbangkit ke pihak atasan untuk jalan penyelesaian terakhir.

“JR tidak digalakkan memberi janji kepada penduduk yang ditemui sebaliknya berusaha membantu meringan beban serta bersabar menunggu bantuan sebenar dapat diuruskan,” katanya.





RM32juta baiki rumah rakyat

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM32 juta tahun ini bagi membantu rakyat miskin di Terengganu, termasuk membaik pulih kediaman dan masalah atap bocor.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, rumah kediaman rakyat miskin akan diperbaiki, termasuk menggantikan atap yang rosak agar kehidupan mereka lebih selesa.

Menurutnya, jumlah peruntukan itu diagihkan oleh kerajaan negeri kepada kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap DUN menerima RM1 juta.

"Tahun lalu kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk tujuan yang sama dan untuk tahun ini jumlah itu kita tambah lagi RM500,000 menjadikan RM1 juta bagi setiap DUN.

“Kami percaya menerusi bantuan yang diperkenalkan dua tahun lalu tiada lagi masalah rumah rosak dan atap bocor yang dihadapi oleh rakyat dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.


Beliau berucap pada majlis perjumpaan Menteri Besar bersama Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Daerah Setiu di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah Setiu baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd. Jidin Shafee; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Asha’ari Idris; ADUN Permaisuri, YB. Abdul Halim Jusoh; Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ishamudin Hashim.

Majlis perjumpaan pemimpin masyarakat itu diadakan sempena lawatan kerja Menteri Besar ke Setiu, termasuk meninjau tapak Pasar Pekan Seri Langkap dan Projek Besut/Setiu Agropolitan (BSA) di Kampung Panchur Berderu, Sungai Tong.

Dato’ Seri Ahmad berkata, kerajaan negeri juga menyediakan RM1.5 juta bagi dua DUN iaitu Langkap dan Permaisuri untuk membina jalan baru serta membaik pulih jalan raya yang rosak di kawasan itu.

Kata beliau, pihaknya akan membelanjakan kira-kira RM6 juta untuk membina sebuah pasar baharu dua tingkat di pekan Seri Langkap.

“Di samping itu kita juga peruntukkan RM2 juta untuk pembinaan sistem pengaliran di Beris Tok Ku dan RM200,000 bagi menaik taraf jalan di Kampung Rhu Sepuluh yang dilanda hakisan pantai baru-baru ini,” ujarnya.


18 February 2012

Kemaman lakar sejarah - 40,000 sertai perarakan Maulidur Rasul terbesar negara

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sambutan perarakan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kemaman 1433 Hijrah tahun ini adalah yang terbesar pernah diadakan dengan penyertaan kira-kira 40,000 peserta sekaligus mencipta sejarah antara perarakan terbesar pernah diadakan di negara ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata penyertaan tersebut adalah diluar jangkaan penganjur walaupun ianya sudah menjadi tradisi sejak beberapa tahun lalu dan tahun lalu penyertaannya hampir 30,000 orang peserta.

Menurutnya, melalui sambutan yang membanggakan daripada umat Islam, beliau begitu yakin program seumpama itu berjaya matlamat di samping dapat meningkatkan persefahaman dalam kalangan umat Islam di daerah tersebut.

“Program ini adalah usaha kita dalam menggembeling tenaga. Ia juga menjadi medan kepada setiap pasukan yang bertading menunjukkan kreativiti masing-masing dengan mereka sepanduk yang kreatif dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai perarakan bermula di Padang Astaka, Kemaman mengelilingi Bandar Chukai, hari ini.

Turut menyertai perarakan, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; ADUN Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera.; ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman; ADUN Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pegawai Daerah, Mohamad Kamil Othman.

Dato’ Seri Ahmad berkata, program itu menjadikan Kemaman unik seterusnya meningkatkan perpaduan dalam kalangan umat Islam di negara ini serta di mata pelancong asing yang turut melahirkan rasa kagum dengan program keagamaan itu.

Peserta mula berkumpul di Padang Astaka seawal pukul 7 pagi dan perarakan dibahagikan kepada tiga laluan iaitu kategori dewasa sejauh tujuh kilometer, institusi pendidikan sejauh lima kilometer dan tabika dua kilometer mengelilingi Bandar Chukai.


Sebanyak enam kategori dipertandingkan dan bagi kategori jabatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) tempat pertama dimenangi oleh Pesama Timber, Pejabat Agama Daerah (Kedua) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah (ketiga)

Bagi kategori Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), tempat pertama disandang oleh JKKK Batu Empat Binjai, JKKK Bukit Teruna (kedua) dan JKKK Mak Lagam (ketiga).

Untuk kategori wanita UMNO, tempat pertama dimenangi Batu Empat Binjai, Jawatankuasa Aktiviti Kemas (kedua) dan Sungai Ibok (ketiga).

Kategori sekolah rendah, diungguli Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang manakala kategori sekolah menengah diraih Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai.











JHEAT anjur Majlis hafaz al-Quran

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mempelawa orang ramai untuk menyertai Majlis Menghafaz al-Quran peringkat negeri 2012.

Penyertaan dibahagikan kepada tiga tahap iaitu tahap pertama (1 hingga 10 juzuk dan taranum); tahap dua (1 hingga 20 juzuk) dan tahap tiga (1 hingga 30 juzuk termasuk dua soalan tafsir dari juzuk ketujuh).

JHEAT dalam satu kenyataan memberitahu, pemohon sama ada lelaki dan wanita perlu mematuhi syarat-syarat umum termasuk berumur tidak kurang dari tujuh tahun dan tidak melebihi 25 tahun.

Borang permohonan boleh diperoleh daripada JHEAT (Bahagian Dakwah) dan semua Pejabat Agama Daerah atau dengan melayari laman sesawang http://jheatweb.terengganu.gov.my. Tarikh tutup permohonan pada 23 Februari ini.