Halaman

19 June 2012

Tele Conference langsung PM dan MB di himpunan usahawan

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) akan menganjurkan Himpunan Usahawan Terengganu 2012 pada 21 Jun ini bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.



Program ini diadakan sempena Pelancaran Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Peringkat Nasional yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada tarikh yang sama.



Ketua Pegawai Eksekutif YPUT, Haji Azmi Razik berkata, perhimpunan yang julung kali diadakan ini disertai seramai 1,000 usahawan dari seluruh negeri.

“Pada program ini Dato’ Sri Mohd Najib akan mengadakan ‘Tele Conference’ secara langsung dengan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mulai jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, antara tujuan utama program ini adalah untuk menzahirkan sokongan padu dan terima kasih usahawan kepada kerajaan dan NGO keusahawanan yang memperjuang dan memartabatkan usahawan di samping komitmen komuniti usahawan sebagai nadi pembangunan ekonomi dan sosio ekonomi negeri.

Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena program itu termasuk ceramah motivasi keusahawanan, pameran usahawan dan beberapa agensi keusahawanan seperti MARA, TEKUN Nasional dan GABEM turut serta.

Sehubungan itu katanya, semua usahawan diminta tidak melepaskan peluang untuk menyertai program ini di samping dapat bertukar maklumat berkait perniagaan, mampu mewujudkan jaringan yang lebih erat antara rakan niaga.




Taman Panorama dalam proses tentukan tender

Oleh: Suriati Ali



Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini dalam proses menentukan tender kepada operator yang bakal operasi di Taman Panorama,Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Dagang, berkat taman berkenaan yang siap sepenuhnya akhir tahun lalu dan bakal beroperasi pertengahan Julai depan selepas selesai proses berkaitan.

Katanya, pengunjung tidak akan dikenakan sebarang bayaran jika ingin merasai keindahan alam ketika berada di taman itu kecuali apabila perkhidmatan `buggy’ disediakan kelak mungkin dikenakan sedikit bayaran.

“Taman yang bakal menaikkan imej Terengganu itu dilengkapi pelbagai kemudahan dan prasarana moden, termasuk kawasan rekreasi, laluan pejalan kaki, pondok rehat dan menara tinjau.

“Sebuah restoran yang mampu memuatkan 200 pengunjung pada satu masa dikenali sebagai panorama kafe turut dibina semata-mata mahu menarik minat pelancong tempatan dan luar negara bertandang ke taman itu,” katanya.

Menurutnya, setiap pengunjung pasti teruja kerana hampir keseluruhan kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu dapat di lihat melalui menara tinjau di taman itu.

“Pihak kami berharap, pelbagai pihak terutama mana-mana agensi perlancongan dapat membawa rombongan pelancong ke destinasi menarik ini sekaligus dapat memprosmosi keindahan Kuala Terengganu secara keseluruhan.

“Kawasa itu bakal menjadi kawasan tumpuan baru bagi penduduk negeri ini dan pelancong selain daripada lokasi menarik lain seperti Taman Tamadun Islam, Pasar Besar Kedai Payang dan Pantai Batu Burok,” katanya,




Anak Terengganu, rakyat Malaysia pertama felo Universiti Cambridge

Anak muda kelahiran Terengganu, Azree Shahrel Ahmad Nazri menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai felo penyelidik bidang matematik gunaan di Universiti Cambridge, United Kingdom.

Pelantikan tutor Universiti Putra Malaysia (UPM) di Trinity College itu adalah hasil pencapaian beliau yang menakjubkan sepanjang sesi pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang matematik di universiti terkemuka dunia berkenaan sejak 2008.

Penyelidik berusia 32 tahun itu adalah tutor Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM.

Pensyarah kanan Universiti Cambridge, Dr Pietro Lio’ dalam surat sokongannya kepada UPM menyifatkan Azree sebagai pelajar berbakat.

Beliau menyifatkan kebolehan Azree yang menjalani latihan berkembar di makmal biologi dan molekular serta sistem biologi statistik sebagai jarang berlaku di Universiti Cambridge.

“Seingat saya tiada pelajar Cambridge berbuat demikian. Saya amat terkejut dengan kebolehannya yang boleh menggabungkan ilmu statistik dengan bioinformatik untuk menyelesaikan persoalan biologikal yang rumit,” katanya.

Beliau juga berkata, jawatan itu hanya ditawarkan kepada penyelidik yang berkebolehan serta bijak dan sebagai penyelidik, Azree boleh menumpukan penyelidikan dalam bidang matematik gunaan tanpa beban mengajar, seterusnya memulakan kariernya ke peringkat lebih tinggi.

Azree ketika dihubungi di London bersyukur dengan pelantikan selama tiga tahun yang akan bermula Ogos depan.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada ibu, Junaidah Embong dan ayah, Nazri Ahmad serta isteri Azwanis Abdosamad kerana sanggup berkorban. Saya akan membuat penyelidikan sepenuh masa di sini,” katanya menerusi SMS.

Menyifatkannya sebagai tugasan berat, Azree berkata tawaran itu adalah titik permulaan baginya untuk menyokong hasrat negara mencapai Wawasan 2020.

“Cabaran ini amat berat kerana saya terpaksa bersaing dengan penyelidik antarabangsa lain. Saya juga yakin di luar sana ramai lagi penyelidik yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa, cuma mereka mungkin tiada peluang seperti saya,” katanya yang baru menamatkan PhD dalam bidang matematik.




Mohd Hariff terkilan tidak tersenarai ke Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman
Biarpun senarai pelumba untuk ke Olimpik London bulan depan sudah dimuktamadkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), pelumba lebuh raya Mohd Harrif Salleh terkilan dengankeputusan yang tidak memihak kepadanya untuk bersaing di temasya dunia itu.

Pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) berasal dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu yang mana sebelum ini, namanya diuar-uarkan bersama Adeq Husainie Othman berpotensi ke Olimpik, mempertikaikan keputusan badan induk itu yang memilih Amir Mustafa Rusli untuk menggalas tugas berkenaan.

Mohd Hariff berkata, PKBM tidak menepati janji apabila pernah menjanjikan satu slot untuk diisi selepas kejayaan menunjukkan aksi cemerlang pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), kejohanan lumba basikal Grand Prix Kebangsaan dan Jelajah Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.

Pelumba itu juga hairan berikutan PKBM memilih Amir Mustafa meskipun pelumba itu kurang menyerlah pada ketiga-tiga kejohanan itu sebelum ini.

Ketika beraksi pada LTdL baru-baru ini, Mohd Hariff berjaya menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya menjejakkan kaki ke podium dua dan tiga sepanjang kejohanan.

Selain itu, Mohd Hariff turut mempersoalkan tindakan PKBM yang seolah-olah menganaktirikan pelumba pasukan tempatan apabila memilih Amir Mustafa (Drapac Professional Cycling) yang berpangkalan di Australia.

"PKBM sepatutnya memberi keutamaan kepada pelumba daripada pasukan tempatan seperti TSG yang tidak kurang hebatnya," katanya.

Pada Jumaat lepas, Jawatankuasa Pemilihan PKBM membuat keputusan memilih Amir Mustafa bagi menemani Adiq Hussainie untuk menggalas cabaran negara ke Sukan Olimpik London berdasarkan prestasi dan kelebihan yang terdapat pada kedua- dua pelumba itu.

Menurut PKBM, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman kedua-dua pelumba tersebut beraksi di Eropah sebelum ini kerana corak perlumbaan sejauh 250 kilometer di London nanti memerlukan pelumba yang mempunyai kelebihan dari segi teknikal dan berupaya menghadapi pendakian yang sukar.




Teganukita 61




JHEAT tubuh Skuad Nasihat Ibu Hamil dan Khidmat Nasihat Awam

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu memperkenalkan kaunter Skuad Nasihat Ibu Hamil dan Khidmat Nasihat Awam yang disediakan secara percuma di klinik-klinik di setiap daerah di negeri ini bermula 1 Julai ini.

Ia diusahakan oleh Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri bagi membantu meningkatkan kesejahteraan ibu, bayi dan keluarga.

Setiap kaunter akan ditempatkan dua orang pegawai JHEAT yang bertindak sebagai fasilitator dalam membantu ibu-ibu hamil mendapatkan segala maklumat mengenai kehamilan serta penjagaan bayi dalam kandungan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, dua fasilitator tersebut kemudian akan bergerak dari satu klinik ke klinik lain di setiap daerah dengan waktu operasi bermula dari pagi hingga petang.


18 June 2012

Tabung Warisan Mara perlu sumbangan ikhlas

Oleh: Aida Abd Rahman
Tabung Warisan Mara memerlukan sumbangan ikhlas daripada ahli korporat, usahawan dan mereka yang pernah memperoleh kemudahan daripada Mara.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Dato’ Seri Idris Jusoh, berkata tabung itu diwujudkan untuk mengumpul dan mentadbir dana yang akan diwaqafkan khusus bagi keperluan pendidikan anak bangsa.

Katanya sebanyak 50 peratus daripada kutipan tabung itu akan diwakafkan manakala 50 peratus lagi akan digunakan untuk keperluan pendidikan anak-anak Melayu.

Beliau berkata penubuhan Tabung Warisan Mara selaras dengan objektif untuk membudaya semangat menabung secara kolektif dalam kalangan orang Melayu, memberi kesedaran kepada orang Melayu dalam mengangkat martabat bangsa dan menyediakan dana yang berterusan dan berkekalan dalam membantu generasi akan datang.

Mereka yang ingin membuat sumbangan boleh berbuat demikian secara online http://tabungwarisanmara.ypm.org.my atau Facebook http://facebook.com/tbgwarisanmara.



Bomba sukarela bantu JBPT

Oleh; Esah Abdullah

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (JBPT), Encik Mohd Salleh Sarbini memuji tindakan pro aktif yang diambil rakan-rakan radio amatur di negeri ini kerana berjaya menubuhkan pasukan bomba sukarela.

“Pasukan ini bertindak sebagai pasukan bantuan awal bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat menangani kes-kes kebakaran yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, pasukan sukarela yang berpusat di Seri Nerus ini boleh dijadikan contoh kepada kawasan lain mengenai pentingnya aspek penjagaan keselamatan kebakaran yang perlu ditanam dalam diri masing-masing.

Beliau berkata demikian di majlis Program Bomba Bersama Komuniti 1 Malaysia Taman Perumahan Wakaf Tembesu dan Gong Badak di tapak letak kereta Pasaraya Hock Kee Seng Gong Badak semalam. Perasmian majlis dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Sehubungan itu Encik Mohd Salleh memaklumkan taksiran kerugian sepanjang tahun lalu kira-kira RM25.7 juta dan nilai harta yang berjaya diselamatkan RM136 juta.

Dalam pada itu pihaknya mendapat 2,404 panggilan kecemasan dengan 815 merupakan kes kebakaran, 1548 kes menyelamat dan 41 kes panggilan khas.

"Panggilan kebakaran rumah dalam daerah Kuala Terengganu mencatat bilangan tertingi iaitu 30 daripada 78 kes yang melibatkan dua orang kanak-kanak terkorban,” katanya.

Beliau yakin tahap kesedaran orang ramai terhadap bahaya kebakaran disusuli langkah pencegahan, mampu menguragkan jumlah kebakaran kerana kebanyakan kes yang berlaku berpunca dari kelalaian serta sikap tidak mengambil berat terhadap aspek keselamatan.




Ibu tunggal cekal terima anugerah keusahawanan

Oleh: Aida Abd Rahman
Kecekalan seorang ahli perniagaan berstatus ibu tunggal membesarkan sepuluh anak dengan kudrat sendiri sehingga tiada waktu rehat walaupun pada hujung minggu mendapat pengiktirafan kerajaan negeri apabila menerima anugerah Tokoh Ibu Tunggal kategori

Keusahawanan sempena program `Karisma Selendang Biru, Semarak Kasih’ peringkat negeri Terengganu, Di Taman tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Wanita berkenaan, Puan Hayati Mat Zin, 44, dari Taman Desa Jaya, Batu Enam, Kuala Terengganu menerima anugerah itu yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

“Saya tidak menduga menerima anugerah itu selepas dicalonkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia dan meminta saya ke majlis berkenaan beberapa hari sebelum itu,” katanya yang menerima sijil serta wang tunai RM2,000.

Menurut Puan Hayati, dia mula melibatkan diri dengan perniagaan makanan warisan nenek dan diteruskan oleh kedua ibu bapa di Pasar Kedai Payang sejak kecil lagi sebelum menjalankan sendiri sebaik tamat alam persekolahan.

“Sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, saya sudah biasa berdikari dan lasak melakukan semua kerja demi mendapatkan duit belanja sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

“Sifat itu berterusan sehingga kini, malah tanpa suami di sisi saya tidak merasakan sebarang masalah dan penamat kepada kehidupan. Sebaliknya, semakin menguatkan saya untuk bekerja lebih gigih dan memastikan perniagaan yang diusahakan bersama anak-anak bertambah maju,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Selain mengusahakan jualan keropok dan buah-buahan di Pasar Kedai Payang, wanita tabah yang bergelar ibu tunggal sejak dua tahun lalu itu turut menjalankan perkhidmatan membasuh kereta sejak tiga tahun lalu, di Hiliran, Kuala Terengganu.

Malah, berhampiran tapak membasuh kereta itu, Puan Hayati turut mengusahakan kedai makan sejak empat bulan lalu selepas mendapat pinjaman menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia berjumlah RM50,000.

“Empat anak berusia 18 hingga 23 tahun selain tiga pekerja membantu saya di kedai makan yang hanya ditutup pada Jumaat. Alhamdulillah, perniagaan itu bertambah baik.
Hasil juga agak lumayan dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada kami sekeluarga.

“Saya bekerja setiap hari. Hari Jumaat berniaga di Pasar Borong sehingga tengah hari kemudian menyambung pula berniaga di Pasar Kedai Payang. Saya tidak mempunyai waktu rehat yang khusus kerana tiada istilah letih dalam kamus hidup saya demi membesarkan keluarga walaupun tanpa ketua keluarga dan lelaki bergelar suami,” katanya.

Puan Hayati berkata, rangkaian perniagaan yang dijalankan kini mampu memberi pulangan bersih yang mencecah sehingga RM600 sehari.





Pas hilang matlamat perjuangan

Oleh: Suriati Ali

Parti pembangkang terutama Pas kini dilihat sudah hilang matlamat dan hala tujunya berikutan bersiri-siri masalah yang menimpa di mana terbaru berkaitan isu minta tangguh haji demi pilihan raya dan dinar emas.

Ketua Penerangan Perhubungan Umno Terengganu, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata jika selama ini, sesetengah pihak terpengaruh dengan kenyataan pemimpin Pas kononnya mereka memperjuangkan Islam, tetapi keadaan itu sudah tidak berlaku lagi.

“Pemimpin Pas bukan saja tidak bercakap pasal agama sekarang ini, tetapi mereka sudah sanggup bersengkokol dengan DAP yang secara terang-terang menentang Islam.

“Lebih memalukan, pemimpin Pas sanggup dipergunakan oleh sekutu-sekutu mereka dalam pakatan pembangkang apabila melanggar arahan pihak berkuasa dan menyertai perhimpunan haram.,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.


Katanya, semua pihak, termasuk mufti telah mengeluarkan pandangan agar umat Islam tidak menentang arahan pemerintah dan melakukan tindakan yang boleh mendatangkan musibah kepada umat Islam dan masyarakat negara ini.

“Tetapi, pada masa yang sama ramai pemimpin Pas sanggup mengetepikan pandangan tokoh-tokoh agama dan mufti, sebaliknya menyertai perhimpunan haram yang merugikan banyak pihak,” katanya.

Beliau meminta pengikut dan penyokong Pas meninggalkan perjuangan parti itu yang sudah terpesong jauh dari perjuangan asal mereka dan menyokong kerajaan semasa.

“Kerajaan Terengganu hari ini sedang bertungkus lumus memartabatkan syiar Islam dan memberi keutamaan kepada soal pendidikan anak-anak,’ katanya.

“Oleh itu, katanya, tidak ada sebab mengapa segelintir rakyat negeri ini masih menentang kerajaan dan menganggap apa yang dilakukan pemimpin sekarang ini tidak Islamik,” katanya.





PMINT tawar rumah dengan harga berpatutan

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) terus berusaha membangunkan kemudahan perumahan dengan harga berpatutan di Pulau Duyung, Kuala Terengganu yang lebih selesa dan kondusif.

Harga yang ditawarkan bagi setiap unit bergantung kepada jenis rumah iaitu rumah kos rendah ditawarkan pada harga RM42,000 dan rumah mampu milik pula RM62,000.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda berkata, permohanan terhadap projek perumahan yang dibina secara berperingkat-peringkat di Pulau Duyong itu sangat menggalakkan tetapi terpaksa ditapis dengan mengutamakan penduduk setempat.

“Apa yang membanggakan projek pertama mengandungi 120 unit rumah mampu sudah pun didiami sepenuhnya sejak lima tahun lalu.

“Projek kedua melibatkan 176 unit dengan keluasan 844.75 kaki persegi pula sudah siap sepenuhnya, akhir tahun lalu, mereka yang terpilih dijangka mendiaminya selepas mendapat kelulusan Sijil Layak Menduduki (CF),” katanya.

Katanya, pihaknya tidak jemu berusaha dengan memberi pelbagai kemudahan kepada masyarakat, termasuk berkaitan rumah perkedaian, tempat letak kereta dan sebagainya.
“Kita membina rumah dengan harga berpatutan bagi memastikan penduduk di Terengganu memiliki kediaman yang lebih selesa dengan suasana kondusif,” katanya.





YPK perkasa pendidikan awal kanak-kanak

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu mampu menjadi negeri contoh kerana kejayaannya menggerakkan program perkembangan awal kanak-kanak yang meliputi perkhidmatan pengasuhan, pendidikan serta penjagaan bayi dan kanak-kanak melalui 43 buah Taska di seluruh negeri.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti, aktiviti Taska dirancang bagi memenuhi perkembangan secara menyeluruh merangkumi fizikal, bahasa, kognitif serta sosio emosi.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Mohd. Safaruddin Mustaffa berkata, konsep bermain sambil belajar yang diterapkan dalam aktiviti Taska membolehkan kanak-kanak meneroka pengalaman baru mengikut kebolehan, minat dan kesediaan mereka.

Pada masa ini katanya, pengoperasian Taska di seluruh negeri itu merangkumi lapan buah di Parlimen Besut, Setiu (5), Hulu Terengganu (3), Kuala Nerus (4), Kuala Terengganu (6), Marang (3), Dungun (10) dan Kemaman (5).

“Taska YPKT menggunakan kurikulum dan garis panduan bersepadu yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta perananya dimantapkan dengan penerapan Program Permata Negara,” katanya ketika dihubungi Teganukita semalam.

Tambah Mohd. Safaruddin, tempoh pengasuhan lima hari seminggu antara pukul 8 pagi hingga 5 petang itu turut membantu golongan ibu bapa yang bekerja dan berpendapatan rendah menguruskan penjagaan bayi serta anak-anak mereka.

Katanya, yuran bulanan sebanyak RM200 dikenakan untuk penjagaan kanak-kanak bawah satu tahun, berumur satu hingga empat tahun (RM180) dan berumur lima hingga sembilan tahun (RM150).

Bagi meningkatkan kemahiran dan kualiti para pengasuh dan guru di Taska YPKT ujarnya, pelbagai kursus dan bengkel dianjurkan bagi meningkatkan keberkesanan program di pusat asuhan itu.

Antara program yang disertai termasuklah Kursus Pendidik Permata, Bengkel Bermain Bersama Kanak-Kanak, Bengkel Ciptaan Kreatif Kanak-Kanak, Bengkel Pemakanan dan Hidangan Kanak-Kanak dan Bengkel Seni Persembahan Kanak-Kanak.

“Turut dianjurkan bengkel penguasaan Bahasa Inggeris dan literasi awal kanak-kanak selain lawatan kerja guru-guru taska,” jelas beliau.

Selain itu katanya, program Hafazan Muqaddam yang menjadi permulaan kepada pembelajaran al-Quran turut diberi penekanan di Taska YPKT.

Tahun lalu kata Mohd. Safaruddin, seramai 1,012 kanak-kanak di Taska YPKT berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.

"Ia langkah awal untuk kefahaman mengenai aplikasi al-Quran sebagai sumber ilmu dalam pelbagai bidang seperti sains, biologi, biotani, fizik, matematik atau sains kemanusiaan," ujarnya.



17 June 2012

Ibu cacat pendengaran teruja terima bantuan 1Azam

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra


Di sebalik kegembiraan 81 penerima bantuan Akhiri Zaman Miskin (1Azam) kelibat seorang ibu yang asyik menggunakan bahasa isyarat ketika berkomunikasi dengan tiga anak di sisi mencuri tumpuan.
Penerima orang kurang upaya (OKU) berkenaan, Wan Hasmadiwati Wan Deraman, 35, dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu yang cacat pendengaran merupakan penerima pakej lily berupa peralatan menjahit disalurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sempena program Karisma Selendang Biru, Semarak Kasih, di Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam (16 Jun).

Wan Hasmadiwati yang ditemani anak kedua, Wan Noranisulaikha Wan Aizi, 14, selaku jurucakap bagi ibunya itu, begitu teruja apabila mendapat perkakas menjahit selepas hampir setahun memohonnya daripada kerajaan.

“Emak sangat gembira dapat bantuan ini. Mesin jahit ini akan digunakan untuk menambah pendapatan keluarga dan membantu bapa saya, sementara emak menjalankan kerja di rumah.,” kata Wan Noranizulaikha.

Selain Wan Hasmadiwati, turut ceria dengan bantuan kerajaan itu, Fatimah Awang, 50, dari Kampung Gong Kijang, Kuala Terengganu penerima pakej anggerik yang bakal mengusahakan kedai makan.

Fatimah bersyukur dengan bantuan yang dipohon sejak setahun lalu akhirnya membuahkan hasil dan berharap kemudahan itu dapat digunakan secepat mungkin bagi membantu
meningkatkan pendapatan keluarga, selain membawa keluarga keluar dari paras kemiskinan.

“Saya gembira dan bersyukur. Alhamdulillah dengan bantuan perkakas untuk membuka kedai makan ini, saya harap selepas ini rezeki keluarga akan lebih bertambah dan kehidupan lebih baik serta selesa lagi,” katanya.

Bantuan 1Azam yang juga dikenali sebagai Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karis1sma) terbahagi kepada sepuluh pakej bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap pakej.

Antara pakej berkenaan adalah pakej Melur bagi mengusahakan perniagaan makanan sejuk beku, pakej Kemboja bagi menjalankan gerai buah, pakej cempaka bagi menjalankan perniagaan pembuatan kuih-muih, pakej kenanga bagi mengusahakan kedai gunting rambut, pakej kekwa bagi menjalankan perkhidmatan spa secara mobil dan pakej teratai bagi membuka kedai andaman pengantin.

Selain itu, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM707.6 juta untuk melaksanakan program bantuan 1Azam sejak ia diperkenalkan tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata bagi tempoh tersebut, kerajaan telah membantu sebanyak 80,957 peserta yang menyertai program itu di seluruh negara.

Katanya, kerajaan komited dan prihatin untuk memberi bantuan kepada golongan tidak berkemampuan supaya mereka dapat berdikari dan keluar daripada garis kemiskinan dengan memperoleh pendapatan sendiri.

"Jumlah RM707.6 juta adalah besar dan ini menunjukkan bahawa kerajaan prihatin untuk membantu rakyat keluar daripada garis kemiskinan di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Matlamat kita ialah mahu setiap peserta dapat meningkatkan pendapatan dan menghapuskan kemiskinan,” katanya.





‘Saudara Kita’ ikuti kelas bahasa asing

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra.



Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan mewujudkan lebih banyak kelas bimbingan Saudara Kita (SK) khusus dalam bahasa asing seperti Thailand dan Kemboja berikutan bilangan saudara muslim dari negara berkenaan agak ramai di negeri ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Wan Sulaiman berkata, setakat ini terdapat sebuah kelas bahasa Thailand di Kompleks Darul Hidayah di bawah bimbingan seorang muslim warga Thailand.

“Kita yakin dengan menggunakan bahasa ibunda mereka, penyampaian dakwah dapat difahami dengan lebih berkesan,” katanya.

Katanya, Maidam telah menaja beberapa tenaga pengajar dari negara Thailand termasuklah yang berkelulusan Institusi Dakwah Islamiyyah Perkim, Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Kita berhasrat membuat tajaan penuh kepada SK atau keluarganya yang cemerlang dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaram Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajar keperingkat lebih tinggi dalam bidang agama,” katanya.

Tambahnya, usaha ini bagi melahirkan pendakwah kalangan saudara baru yang boleh jadi pembimbing pada masa akan datang.

Selain itu katanya, tajaan dalam bidang kritikal juga akan diutamakan dengan harapan mereka yang berjaya dapat menjadi idola dan perangsang kepada masyarakat.

“Kita juga bersedia menaja dalam bidang lain selain pengajian Islam termasuk bidang kemahiran seperti kulinari, teknikal dan sebagainya,” katanya.







Bomba giat pasang pili baru

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu memperuntukkan kira-kira RM250,000 bagi pemasangan pili bomba baru di seluruh negeri pada tahun ini.

Pengarahnya, Encik Mohd Salleh Sarbini berkata, peruntukan tersebut melibatkan pemasangan unit pili bomba di beberapa kawasan yang tidak mempunyai kemudahan tersebut dan dikenal pasti terdedah kepada risiko kebakaran.

Katanya, setiap satu unit pili bomba berharga antara RM5,000 dan RM7,000 dan usaha ini bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dijalankan sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.

Menurut beliau, penambahan pili bomba baru ini akan memudahkan tugas bomba sekiranya berlaku kebakaran. Sehingga kini, jabatan mempunyai 16,000 unit pili bomba di seluruh negeri yang melibatkan di kawasan awam dan swasta.

"Pili bomba awam merujuk kepada pili yang dibina dikawasan terbuka seperti perumahan, kawasan kampung, bandar dan sebagainya manakala swasta pula melibatkan kawasan premis persendirian yang mana perbelanjaan untuk membinanya disediakan oleh pemilik tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Program Bomba Bersama Komuniti 1 Malaysia Taman Perumahan Wakaf Tembesu dan Gong Badak di tapak letak kereta Pasaraya Hock Kee Seng Gong Badak semalam. Perasmian majlis dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Mengulas mengenai program tersebut, Mohd Salleh berkata, pihaknya akan menggiatkan kempen untuk menarik minat ramai orang menyertai program Teman Pili Bomba.

“Langkah itu penting kerana ia dapat membantu memastikan pili bomba sentiasa berada dalam sempurna dan berfungsi dengan baik khususnya ketika berlaku kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, dari jumlah 16,000 unit pili bomba yang ada, hanya 2,000 pili mempunyai rakan masing-masing. Jumlah ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah pili bomba yang ada di seluruh negeri.

"Justeru itu, kita memerlukan kerjasama masyarakat untuk menjadi rakan kepada pili-pili bomba yang terletak berhampiran dengan kawasan mereka, supaya pili-pili ini sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan," ujarnya.

Mengenai penggilan kecemasan beliau berkata, sebanyak 907 panggilan diterima untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah itu 388 panggilan adalah melibatkan kes kebakaran, manakala bakinya 519 panggilan membabitkan kes menyelamat.

Manakala taksiran kerugian pula melibatkan RM7.52 juta dan harta yang berjaya diselamatkan bernilai RM118 juta.

Sempena dengan program tersebut Bomba turut menyampaikan sijil Teman Pili Bomba kepada penduduk taman perumahan berkenaan.

Program separuh hari itu turut diadakan pelbagai aktiviti dalam usaha mendekatkan masyarakat setempat antaranya pertandingan mewarna, bercerita (kebombaan), membentang hos, pemakaian pakaian operasi bomba dan sukaneka.






148 bakal sertai PGM Terengganu Master 2012

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Golf Terengganu akan menganjurkan Kejohanan Golf `PGM Terengganu Master 2012 bertempat di lapangan Awana Kijal Golf Beach & Spa Resort, Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata kejohanan yang berlangsung selama enam hari dan bermula 23 Jun itu bakal disertai 148 peserta dari 23 negara.

Antara negara yang bakal menyertainya, termasuk Afrika, Australia, Thailand, Filipina, Indonesia, Taiwan, Brunei, Vietnam, Singapura, Jepun, Korea, India dan Burma.

Katanya, semua peserta yang sudah mendaftarkan diri itu adalah dikalangan pemain-pemain terbaik dan professional.

“Kejohanan tersebut merupakan antara usaha kerajaan Terengganu untuk menarik minat pengunjung tempatan dan luar negara.

“Pihak kami percaya melalui pendekatan seumpama ini, konsep sukan melalui pelancongan mampu dijayakan, seterusnya mencapai hasrat Tahun Melawat Terengganu 2013,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri yang menyumbangkan RM300,000 berusaha menjadikan PGM Terengganu Master sebagai acara tahunan yang berprestij dan terkenal di kalangan peminat golf tempatan dan luar negara.

“Pendekatan ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelbagai pihak menganjurkan lebih banyak acara seupama ini,” katanya.

“Setiap peserta yang mengunjungi Terengganu bukan sahaja mampu memperkenalkan pelbagai destinasi menarik seperti pantai dan pulau malah mampu membantu peniaga mempromosi produk masing-masing,” katanya



Kadar kemiskinan turun 29 peratus

Oleh: Suriati Ali

Pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan Terengganu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan sehingga 29 peratus daripada lebih 42,000 rakyat yang dikategorikan miskin.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata seramai 12,000 rakyat negeri Terengganu berjaya keluar daripada garis kemiskinan hasil bantuan pelbagai program kerajaan, khasnya program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA).

“Berdasarkan rekod Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YKPT) pada 2008, lebih 42,000 rakyat dikategori sebagai miskin dan mudah miskin.

"Namun, kini selepas pelbagai usaha dan insistif dilaksanakan, hanya terdapat 30,000 rakyat yang dikategorikan dalam kumpulan itu dengan pendapatan bulanan isi rumah bawah RM1,500 bagi kawasan bandar dan RM1,000 bagi kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Karisma Selendang Biru Semarak Kasih di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Tan Sri Napsiah Omar; Pengarah YPKT, Encik Mohd Sharuddin Mustaffa dan Pengarah Jabatan kebajikan Masyarakat, Encik Zuhaimi Omar.



Kira-kira 5,000 wanita khususnya ibu tunggal seluruh Terengganu membanjiri program itu.

Program itu bertujuan untuk memperkukuhkan peranan persatuan ibu tunggal di setiap daerah selain memperluaskan jaringan keusahawanan sedia ada.

Pelbagai aktiviti dianjurkan gerai pameran, gerai jualan, pertandingan memasak, gubahan sirih dan pertandingan mewarna.


Dato’ Yahya turut memberitahu, penurunan statistik sebanyak 29 peratus itu adalah hasil pelbagai program KAR1SMA terutama Azam Tani, Azam Niaga, Azam Kerja dan Azam Khidmat.

“Program yang berteraskan konsep keusahawanan sosial itu menawarkan bantuan barangan perniagaan dengan kadar maksimum RM5,000 seorang,” katanya.






Negeri Berkebajikan : PAS perlu belajar dari Kerajaan BN

Oleh FAUZI MOHD


Dato’ Seri Ahmad Said mencabar pemimpin Pas supaya membuktikan bahawa UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri ini tiada usaha melaksanakan program kebajikan kepada rakyat selama ini.

Menteri Besar mengingatkan pemimpin pembangkang supaya tidak meremehkan usaha kerajaan yang terbukti telah banyak berjasa kepada rakyat.

Sebaliknya sindir beliau, slogan ‘Negeri Berkebajikan’ yang hangat dijaja pemimpin Pas ketika ini bukan idea baru berikutan usaha itu sudah lama dilaksanakan kerajaan BN kepada rakyat.

“Tidakan pemimpin Pas yang mahu ‘ajar’ kerajaan BN mengenai kebajikan saya anggap sesuatu yang melucukan, sebaliknya parti itu perlu belajar daripada kita (Kerajaan BN) bagaimana mahu menjaga kebajikan rakyat.

“Mereka (pemimpin Pas) perlu jujur kepada rakyat dan penyokong mereka sendiri. Mereka sudah terkebelakang kerana baru sekarang mahu fikir soal kebajkan rakyat sudah lama BN perjuangkan, “ katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perjumpaan Menteri Besar bersama ibu bapa, guru dan murid UPSR 2012 Daerah Kuala Terengganu zon selatan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagaimanapun berkata, hakikatnya Pas adalah parti yang tiada pendirian kukuh dan hipokrit kerana selalu mencari salah UMNO serta BN demi meraih sokongan rakyat.

Dato’ Seri Ahmad yakin dasar parti itu yang berubah daripada negara memperjuangkan Islam kepada negara berkebajikan ternyata tidak mampu memperdayakan rakyat kerana kerajaan BN telah lama melaksanakan perkara itu.

Sebagai bukti jelas beliau, kerajaan sentiasa memberi tumpuan terhadap pelbagai bidang terutama pendidikan untuk dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik.

"Kita sentiasa menjaga kebajikan rakyat dalam bidang pendidikan seperti memberi mereka biasiswa serta pinjaman pelajaran,” katanya.

Beliau mengulas reaksi pihak pembangkang terutama pemimpin Pas yang mempertikaikan ketelusan BN dalam menjaga kebajikan rakyat, malah ada yang mendakwa projek kebajikan dilaksanakan BN tidak menepati kehendak Islam.



Tiga atlet skuasy sahut cabaran di Sukma 2012

Terengganu mempertaruhkan tiga atlet terbaik mereka dalam acara skuasy bagi mengharungi temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang, bulan depan.

Pengurus pasukan skuasy negeri, Encik Mohd Najib Mohd Napis, berkata mereka ialah Ahmad Khairul Azlan Othman, Muhammad Faiqhwan Che Zakaria dan Nurina Mohd Najib.

Walaupun tidak menyasarkan sebarang pingat, beliau yakin skuad skuasy mampu memberi kejutan terutamanya bagi kategori individu wanita berdasarkan prestasi yang ditunjukkan Nurina.

Beliau berkata ,Nurina yang berusia 14 tahun, kini berada dalam senarai 10 pemain terbaik pada kejohanan skuasy Terbuka Pulau Pinang minggu lalu.
Katanya beliau yakin pemain yang mendapat bimbingan jurulatih dari Pakistan sejak tiga bulan lalu itu berkemampuan meraih pingat pada kejohanan Sukma.

"Dua atlet lelaki itu pula mampu bersaing berdasarkan kemenangan yang pernah mereka capai iaitu Azlan merangkul pingat emas pada Sukma 2008 manakala Faiqhwan mempunyai pengalaman dalam kejohanan peringkat antarabangsa," katanya.

Skuad skuasy Terengganu pernah meraih pingat emas ketika menjadi tuan rumah kejohanan Sukma 2008 dan memenangi pingat perak serta gangsa di Melaka Sukma 2010.



Tiga lagi pelumba Terengganu layak ke Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiga lagi kelibat anak Terengganu bakal menyertai pelumba negara ini menyarung jersi Malaysia di Olimpik London, bulan depan.

Kejayaan pelumba berkenaan, Adeq Husainie Othman dari Champion System dan Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional Cycling Team) serta pelumba simpanan, Mohd Zamri Salleh (Terengganu Pro-Asia Cycling Team) menimbulkan reaksi gembira pemimpin utama negeri, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Saya mengucapakan tahniah dan tambahan pelumba ini merupakan kejayaan anak Terengganu di pentas dunia.

“Anuar Manan walaupun dia hebat, tetapi dia pelumba di tanah rata, manakala bukit dia tidak boleh kuasai, begitu juga dengan Harrif (Mohd Harrif Salleh), tetapi Adeq Husainie dia boleh pergi bukit dan juga tanah rata, sebab di Olimpik London melibatkan bukit dan tanah rata. Sebab itulah, Adeq Husaini terpilih..Dia daripada Kemaman, saya tahu,” katanya di sidang media selepas melancarkan Kar1sma Seledang Biru, Semarak Kasih, di Taman Tamdun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam (16 Jun).

Sehingga kini, lima pelumba kelahiran Terengganu termasuk Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa berjaya mengesahkan penyertaan ke Olimpik.

“Alhamdulillah, sudah lima anak Terengganu berjaya mengesahkan penyertaan sebagai pelumba basikal lain di Olimpik. Sebagaimana atlet lain yang berjaya ke Olimpik kita akan berikan mereka RM10,000 seorang sebagai duit poket dan mereka boleh memilih sama ada ibu atau bapa mereka untuk mengiringi dan kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya perjalanan ke London.

“Kerajaan negeri sudah membuat tempahan awal bagi menguruskan aspek penginapan dan juga tiket pergi balik ke sana bagi mengelak tiket habis,” katanya.



Lagun Kuala Ibai akan berubah wajah

Oleh FAUZI MOHD


Kerja-kerja membaik pulih dan menyiapkan Taman Awam Lagun Kuala Ibai yang terbengkalai sejak 2008 dijangka dapat dilaksanakan tidak lama lagi.

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Samiun Salleh berkata, tender baru bagi menggerakkan projek tersebut telah dikeluarkan dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin setelah mendapat kelulusan.

Menurut beliau, taman seluas 48 hektar itu mendapat peruntukan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Landskap Negara sebanyak RM10 juta.

Katanya, fasa pertama projek tersebut mendapat peruntukan sebanyak RM8 juta menakala fasa kedua sebanyak RM2 juta yang bermula tahun 2006 dan terpaksa dihentikan pada tahun 2008 kerana masalah kontraktor.

"Projek yang sepatutnya siap pada 2008 itu tergendala kerana masalah kontraktor menyebabkan beberapa kemudahan yang sedia ada seperti peralatan permainan dan bangku untuk berehat banyak yang rosak," katanya baru-baru ini.




MBKT sedia 2,500 petak bazar Ramadan

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan lebih 2,500 tapak niaga di Bazar Ramadan bagi membolehkan peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa.

Permit mula ditawarkan kepada orang ramai sejak Khamis lalu bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan di 20 lokasi tumpuan yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBKT, Ghani Idris berkata, bayaran bagi setiap petak niaga antara RM70 hingga RM140 bergantung kepada lokasi dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan syarat am permohonan permit itu, tambahan bayaran RM30 perlu dibuat bagi peniaga air tebu, air kelapa, ayam bakar, ayam pusing dan ikan bakar yang menggunakan arang.

"Setiap tapak bazar diselia oleh penganjur dan persatuan-persatuan bagi memastikan sebarang proses dan urusan perniagaan berjalan lancar di bawah satu bumbung," katanya dalam satu kenyataan Khamis lalu.

Tambah Ghani, borang permohonan mula diedarkan secara percuma bagi lokasi-lokasi perniagaan yang ditetapkan itu.

“Ini termasuklah pasar Chabang Tiga, pasar Manir, pasar Kedai Payang, tapak pasar Wakaf Tengah, pasar malam Gong Badak, Batu Buruk dan Taman Shah Bandar di mana borang-borang disalurkan melalui persatuan-persatuan peniaga kecil dan penjaja.

“Sementara itu, pasar Bukit Besar dan pasar Teluk Ketapang mereka boleh mendapatkan borang di pejabat MBKT di situ,” ujarnya.

Katanya, pasar Kedai Buluh, Taman Permint Jaya, Pengadang Baru, Jalan Budiman, Dataran Taman Purnama, Kampung Baru Seberang Takir dan tempat letak kereta Batas Baru melalui JKKK kawasan itu.

“Pemohon di tempat letak kereta Masjid Tengku Intan Zaharah boleh dibuat melalui jawatankuasa masjid berkenaan.

“Pihak persatuan atau penganjur bazaar Ramadan hendaklah menyerahkan semua borang bersama bayaran selewat-lewatnya 28 Jun ini,” ujarnya.


16 June 2012

Tebu Mountain Challenge dinaik taraf sempena Tahun Melawat Terengganu 2013

Oleh: Mohammad Ishak

Kerajaan negeri bercadang menaik taraf program Tebu Mountain Challenge menjadikannya sebagai acara peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Terengganu pada 2013.



Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,Kebudayaan,Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Haji Abdul Rahim Mohd Said, berkata program itu perlu ditingkatkan ke peringkat antara bangsa supaya lebih berprestij dan disertai peserta luar negara.

Katanya, acara berkenaan yang masuk tahun ke dua anjuran bersama Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri memberi impak besar kepada industri pelancongan negeri ini.

Menurutnya, Terengganu yang kaya dengan alam semula jadi dan banyak tempat menarik perlu dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara Tebu Mountain Challenge di Air Terjun Lata Belatan Jabi, dekat Jertih petang tadi. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali.

Abdul Rahim berkata, kerajaan negeri sudah membuat persiapan awal untuk kempen melawat Terngganu tahun depan dengan meningkatkan lagi kemudahan asas di pusat pelancongan seluruh negeri.

Pada pertandingan itu, Muhaizar Mohamad, dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), muncul johan kategori terbuka lelaki dengan mencatat masa 1 jam 49 saat dan menerima wang tunai RM30,000.Manakala Nor Amiela Musa dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) muncul johan kategori terbuka wanita dengan mencatat kepatasan 2 jam 30 saat.





Peruntukan RM20 juta dalam Bajet 2013 untuk ibu tunggal

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra


Kerajaan negeri berhasrat memperuntukkan RM20 juta menerusi Bajet 2013 khusus bagi merangka pelbagai program kemahiran perniagaan untuk ibu tunggal seluruh Terengganu supaya golongan itu mampu mengubah taraf kehidupan dan keluar dari paras kemiskinan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan di bawah portfolio Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri itu bertujuan melatih lebih 21,000 ibu tunggal di negeri ini supaya dapat berdikari sendiri tanpa mengharapkan bantuan kebajikan bulanan daripada kerajaan semata-mata.

“Ada ibu tunggal sudah menjalankan perniagaan seperti menjahit dan membuat kuih, tetapi masih ada yang tidak membuat apa-apa pun, hanya tinggal di rumah mengharapkan belas ehsan dan bantuan kebajikan masyarakat sahaja.


“Kita perlu melatih mereka yang berminat berniaga supaya melibatkan diri dalam apa jua perniagaan secara kecil-kecilan.Berminat buat pakaian, kita latih mereka untuk menjahit, memotong pakaian di rumah masing-masing. Sebab itu kita sediakan peruntukan ini yang agak mencukupi untuk membantu mereka memulakan penghidupan dan perniagaan baru pada masa akan datang,” katanya di sidang akhbar selepas melancarkan Program Kar1sma Selendang Biru Semarak Kasih, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Kira-kira 5,000 wanita khususnya ibu tunggal seluruh Terengganu membanjiri program itu.

Menteri Besar berkata, kekangan peruntukan sebelum ini menyebabkan program latihan kemahiran kepada ibu tunggal yang berminat menceburi perniagaan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.



“Tahun ini kita tiada peruntukan khusus kepada ibu tunggal, bagaimanapun di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat ramai yang kita bantu. Sebagaimana tadi, kita bagi peralatan ..kementerian bagi, kita pun bagi, kita ada `Program Touch Point’ kita untuk berniaga tetapi (bantuan) ini bukan khusus kepada ibu tunggal. Kita masukkan di bawah dana bantuan kebajikan masyarakat untuk mengubah cara hidup dan pendapatan hidup mereka.

“Tetapi peruntukan (RM20 juta) ini khusus untuk ibu tunggal dan buat pertama kali kita sediakan bagi melatih dan memberi bantuan kepada golongan itu. Mungkin menerusi program sedia ada seperti menjahit, peruntukan baru ini akan disalurkan bagi membeli mesin jahit dan menyediakan modal bagi memulakan perniagaan itu,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri turut menambah peruntukan sedia ada RM1,000 bagi perbelanjaan pengurusan kepada semua persatuan ibu tunggal di setiap Dewan Undangan Negeri yang menjadikan jumlah keseluruhan RM3,000 bagi memastikan kumpulan itu lebih aktif menjayakan program yang dapat memberi manfaat kepada ahli persatuan masing-masing.










46 petani dan nelayan daerah Besut dapat peralatan

Oleh: Mohammad Ishak

Petani dan nelayan negeri ini terus mendapat nikmat apabila mereka diberi pelbagai bentuk bantuan dan peralatan dalam usaha meningkatkan lagi sumber pendapatan golongan berkenaan.



Program Azam Tani yang diperkenalkan Kerajaan Pusat satu lagi saluran golongan petani dan nelayan mendapat kemudahan terutama peralatan bagi menjalankan aktiviti dalam bidang masing-masing.

Menerusi program yang bertujuan membantu isi rumah berpendapatan rendah dari golongan miskin tegar dan miskin dalam eKasih ia mem beri fokus kepada sektor penternakan,perikanan,perniagaan hasil pertanian dan penghasilan produk asas tani.

Bagi tujuan itu seramai 46 petani dan nelayan di daerah Besut, hari ini turut menerima pelbagai peralatan termasuk bot, motosikal roda tiga dan jentolak yang disampaikan Pengerusi MARA,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih.

Majlis anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang bgerlangsung di Kampung Seberang Kastam itu turut dihadiri ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof dan Pengarah LKIM Terengganu, Mohd Saffe Mohd.

Penerima bantuan termasuk ahli parti pembangkang diingatkan menggunakan sepenuhnya peralatan yang diberikan kerajaan dan tidak digunakan untuk tujuan lain.

Peringatan yang diberikan Yang Berhormat Datuk Seri Idris itu bertujuan mempastikan peralatan terbabit tidak disalah guna atau ada juga yang bertindak menjualnya selepas menerima peralatan berkenaan.

Idris berkata, penerima sewajarnya berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatian dan menyalujrkan pelbagai bantuan untuk membantu meningkatkan sumber pendapatan petani dan nelayan negeri ini.

UMNO Bahagian Besut tingkatkan penerangan

Oleh: Mohammad Ishak

UMNO Bahagian Besut mempertingkatkan aktiviti penerangan dalam usaha menyampaikan maklumat dan isu semasa kepada penduduk di daerah itu bagi mengimbangi kegiatan ceramah yang dijalankan oleh pembangkang di bahagian berkenaan.

Menerusi Biro Penerangan, UMNO bahagian merangka strategi lebih berkesan dengan menyediakan bahan ceramah yang mengandungi fakta dan gambar sebagai sokongan kepada setiap ceramah yang disampaikan oleh penceramah terutama penceramah tempatan.

Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Bahagian itu, Ghazali Che Noh, berkata pihaknya sudah menyiapkan pelbagai bentu ceramah menggunakan multimedia kepada penceramah parti bagi membolehkan mereka menyampaikan maklumat tepat dan berfakta.

Katanya, UMNO bahagian itu sudah menyediakan kira-kira 300 penceramah khas daripada pemimpinb peringkat bahagian,DUN dan cawangan yang mempunyai pengalaman dan kemahiran berceramah menggunakan kaedah tradisional dan multimedia.

Menururnya, sebagai langkah permulaan pihaknya sudah mengadakan sesi penerangan isu semasa mengenai parti kepada 500 peserta yang berlangsung di Dewan Ehsan UMNO Bahagian Besut malam tadi.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih bertindak sebagai penceramah yang menerangkan dasar parti dan pembohongan pemimpin pembangkang terhadap kerajaan dan UMNO.

Ghazali berkata, selain dibekalkan dengan komputer riba, urusetia penerangan juga turut menyediakan peralatan lain termasuk CD, pendrive dan bahan bercetak kepada semua penceramah terbabit.

Selain itu, katanya, beberapa siri ceramah umum juga akan diadakan di beberapa kawasan “panas” dengan mengundang penceramah profesional dari luar Terengganu.

Pantai Kijal menjadi pilihan pelancong asing

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Bandar Warisan Persisir Pantai adalah terjemahan tepat yang boleh diberi kepada ibu negeri Terengganu, Kuala Terengganu yang memiliki warisan sejarah, hasil kraf dan khazanah alam semula jadi.

Negeri yang tersohor dengan keropok lekor, songket, sutera, tembaga dan penyu itu mampu menjadi tempat pelancongan terkenal dunia jika produk dan alam semula jadi dipromosi sebaik mungkin

Tema `Negeri Cantik Budaya Menarik’ yang pernah menjadi sebutan beberapa tahun lalu memang bersesuaian dan bertepatan dengan masyarakat serta keindahan alamnya.


Pantai-pantainya yang cantik, seperti Pantai Batu Burok, Pantai Marang dan Pantai Teluk Ketapang sudah terkenal di serata negeri dan luar negara kerana inisiatif kerajaan Terengganu menganjurkan pelbagai kejohanan sukan air.

Pantai Kijal, Kemaman juga tidak asing bagi pengunjung tempatan dan pelancong asing dari pelbagai negara, termasuk Singapura, Thailand dan Vietnam.

Kebayakan pelancog asing yang singgah di pantai itu ingin menghirup udara segar, merasai pasir pantai yang memutih dan mendengar deruman ombak.

Masyarakat tempatan pasti pelik melihat sekumpulan warga asing sanggup berjemur walupun ketika itu panas terik, tetapi tidak bagi golongan itu yang sememangnya gemarkan suasana itu.

Pelancong asing pasti tidak melepaskan peluang merasai kenikmatan suasana pantai jika singgah di mana-mana pantai di Terengganu.

Mereka akan memanfaat sepenuhnya masa yang ada jika berpeluang menjejak kaki di pantai, kerana mungkin sukar berbuat demikian di negara sendiri.

Pantai Kijal yang terletak bersebelah dengan Awana Kijal, Golf, Beach dan Spa Resort memudahkan lagi pelancong luar Terenggganu dan pelancong asing bertandang ke pantai itu sama ada bersama keluarga atau bersendirian.

Bagi mereka yang minat dengan aktiviti memancing, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) ada menyediakan jeti khas dan benteng semata-mata mahu memenuhi kepuasan pengunjung.

Kemudahan lain seperti pondok rehat, laluan berjalan kaki, surau, tandas dan gerai makan turut disediakan.

Yang Dipertua MPK, Haji Mustafar Khalid berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan kehendak pengunjung yang pastinya mahukan yang terbaik setiap kali singgah di kawasan pelancongan.

“Pihak kami bukan saja bertanggungjawab menyediakan kemudahan malah memastikan kebersihan di pantai kijal sentiasa dalam keadaan baik dan bersih.

“Orang ramai dingatkan supaya jangan mencuba aktiviti yang dilarang dan merbabaya, termasuk mandi, menyelam mencari hidupan laut dan sebagainya,” katanya.