Halaman

30 June 2012

Ijazah berkembar Inspi-Universiti Islam Medan

Oleh FAUZI MOHD

Institusi Pengajian Islam (Inspi) di Binjai, Kemaman yang kos pengajiannya ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT) kini merancang mengadakan program ijazah berkembar dengan Universiti Islam Medan (UIM), Indonesia.

Pengetuanya, Firdaus Khairi Abdul Kadir berkata, bagi tujuan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) dengan universiti berkenaan akan dimeterai bagi membolehkan pelajar lepasan Inspi menyambung pengajian peringkat ijazah di sana.

Menurutnya, beliau sendiri akan menyertai satu rombongan ke universiti tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri nanti untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung hasrat itu.

"Kita merancang untuk menjalin MoU dengan Universiti Islam Medan, mungkin selepas Aidilfitri nanti kita akan ke sana untuk mengadakan perbincangan mengenainya.

"Kerjasama itu juga membolehkan pelajar lepasan Inspi meneruskan pengajian peringkat ijazah dalam bidang dakwah, usuluddin dan syariah yang diiktiraf oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), " katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis Idul Ilmi (konvokesyen) Graduan Inspi 2012 di Dewan Utama Menara Yayasan Islam Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah YIT, Alias Jaffar dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Insan) YIT, Ahmad Fadluldin Mohamad.

Pada majlis itu, seramai 56 pelajar menerima sijil serta wang tunai dengan 26 daripadanya merupakan pelajar yang mengikuti program pra Al-Azhar manakala 30 lagi bagi program Pra Universiti Islam Negeri (UIN) Itmamudirasah.

Firdaus menarik perhatian, Inspi pernah mengadakan MoU dengan Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kassim (UIN-Suska) di Riau, Indonesia dan ketika ini terdapat 40 pelajar lepasan Inspi sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah di sana.

"Seramai 20 lagi pelajar kita (Inspi) yang tamat pengajian akan menyambung pengajian masing-masing ke UIN-Suska tahun ini," ujarnya.

Menurutnya, sejak penubuhannya pada 1984, kampus Inspi kini sedang berkembang pesat dengan fasa kedua sedang dalam pembinaan, dijangka siap penghujung tahun depan.

Jelasnya, fasa pertama merangkumi bangunan asrama, pentadbiran, blok kuliah serta masjid menelan belanja RM7.3 juta manakala fasa kedua menempatkan asrama tambahan serta dewan serbaguna melibatkan kos RM5 juta.

Pada masa ini, tambahnya, lebih 200 pelajar sedang menuntut di Inspi, milik YIT sambil dibimbing lebih 20 orang pensyarah dan dua naib pengetua.