Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, selaras dengan pelantikan pemimpin yang terdiri daripada kelompok masyarakat itu sendiri adalah bagi memudahkan lagi penyampaian maklumat dan menyalurkan permasalahan yang timbul dalam kalangan mereka.
“Pemimpin yang dilantik dalam kalangan masyarakat orang asli memainkan peranan yang cukup penting dan bertanggungjawab bagi menjaga penduduk di kawasan masing-masing agar sentiasa berada dalam keadaan baik dan terbela.
“Seiring dengan matlamat pelantikan pemimpin yang terdiri daripada kelompok mereka itu sendiri diharap mampu melahirkan masyarakat orang asli yang lebih berjaya, sama seperti mana masyarakat di kampung-kampung lain,” katanya.
Teks ucapan Majlis Perasmian Kursus Kepimpinan Penghulu dan Jawatankuasa kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud yang berlangsung di Akademi Pengakap negeri, Kuala Terengganu, malam tadi.
Menurutnya lagi, semua pemimpin juga perlu sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan bagi membolehkan mereka mengurus tadbir dan menjawab persoalan yang diutarakan oleh pendudu k di bawah kepimpinan mereka.
“Sejajar dengan perkembangan pesat hari ini, barisan kepimpinan perlu sentiasa berusaha untuk menambah pengetahuan masing-masing agar mampu mengawal keadaan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini terutamanya dengan zaman kecanggihan teknologi hari ini.
“Cabaran yang dilalui pada zaman kini tidak lagi sama dengan apa yang dilalui pada masa lalu, di mana maklumat mudah diperoleh melalui capaian internet, justeru pemimpin perlu mempunyai kemahiran untuk mengendalikan komputer kerana mungkin ada sebahagian maklumat yang disebarkan itu tidak tepat
“Pengiktirafan yang diberikan kerajaan yang turut mewujudkan barisan kepimpinan dalam kalangan masyarakat orang asli jelas membuktikan bahawa pembangunan dan kehendak golongan berkenaan diberikan sama rata dengan masyarakat lain. ,” katanya.