Halaman

04 August 2010

Wan Nor Habibah, Nurul Amira Graduan Cemerlang IQ Ke-3

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Graduan IQ Terengganu gembira selepas majlis Graduasi yang diadakan di Taman Tamadun Islam.- Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menjadikan al-Quran sebagai keutamaan berbanding tugasan lain menjadi tunggak kecemerlangan Wan Nor Habibah Wan Hussin, 20, sehingga berjaya menerima Anugerah Asim al-Kufi sempena Majlis Graduasi Institut al-Quran (IQ) Terengganu kali ke-3, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini (1 Ogos).

Pelajar program Syahadah Tahfiz al-Quran dari Kampung Gong Kepas, Besut itu mula menimba ilmu di IQ sejak berusia 16 tahun dan dalam tempoh dua tahun dia sudah mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran setahun lebih cepat berbanding rakan sebaya yang lain.


YB Khazan ketika merasmi dan menyampaikan sijil dan Diploma kepada pelajar IQ Terengganu.

Kelebihan itu juga menyebabkan anak kedua daripada tujuh beradik hasil perkongsian hidup pasangan Wan Hussin Wan Daud, 46 dan Sharifah Khatijah Syed Abu Bakar, 40, bakal meneruskan pengajian dalam bidang Ekonomi Islam di Jordan, September ini.

Sementara penerima Anugerah Nafie’ al-Madani daripada Program Diploma Tahfiz al-Quran, Nurul Amira Malek, 21, juga menjadikan al-Quran sebagai rujukan seharian.

“Pada awal memasuki IQ saya agak tertekan kerana terdapat subjek seperti Qiraat yang saya sukar fahami dan tiada asas mengenainya, namun berkat kesabaran serta dorongan keluarga saya kuatkan semangat selain sentiasa berdoa sehingga mampu menempa kejayaan dari semester kedua dan berikutnya sehingga semester akhir,” kata penuntut berasal dari Kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu itu.

Anak sulung dari empat beradik pasangan Malek Mustaffa, 42, dan Zaleha Omar, 40, akan melanjutkan pelajaran dalam pengajian Usuluddin di Jordan pada 15 September ini.



Selain Wan Nor Habibah dan Nurul Amira, seramai 37 lagi penuntut turut menerima sijil dan diploma masing-masing yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Kazan Che Mat yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda dan Pengarah IQ, Dr Ahmad Bazli Shafie.

Haji Kazan yang menyampaikan teks ucapan Menteri Besar berkata, penubuhan IQ adalah satu usaha terbaik kerajaan untuk menyediakan modal insane yang berteraskan al-Quran.



Kini, usaha mula giat dijalankan untuk menaik taraf IQ menjadi sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang berteraskan pengajian al-Quran.

“Sebagai sebuah IPT kelak, IQ harus lebih kompetitif dan mampu menarik lebih ramai tenaga akademik serta pengurusan yang berkaliber dengan tawaran dan insentif yang lebih menarik.



“Pucuk pimpinan kerajaan negeri sentiasa beriltizam menyokong usaha ini dengan menyediakan dana dan prasarana pendidikan yang moden,” kata beliau.

TEGANUKITA

02 August 2010

Jadikan ubi gadong makanan harian

Oleh: Esah Abdullah

Tidak mustahil suatu hari orang ramai memilih tepung ubi gadong untuk membuat kuih muih sebagai ganti tepung gandum jika apa yang dirancang hari ini menjadi kenyataan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said melahirkan keyakinannya bahawa ubi gadong berpotensi menjadi produk makanan utama seperti gandum jika dihasilkan mengikut permintaan pasaran seperti kek, kerepek dan kuih muih lainnya.

“Saya yakin jika ada usaha ke arah mengkomersialkan ubi gadong dan dengan bantuan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) yang menjalankan penyelidikan mereka,” katanya, di majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Program Penyelidikan Pertanian Ubi Gadong UnisZA dan kerajaan negeri di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Katanya, kerajaan bersedia memberi peruntukan RM2 juta kepada UnisZA secara berperingkat untuk meneruskan kajian terhadap potensi tanaman tersebut selama dua tahun sebelum ia dipasarkan.

“Setakat ini tiada perancangan penanaman secara besar-besaran, namun projek perintis ini akan ditanam secara pertanian ladang dengan kerjasama Jabatan Pertanian,” katanya.

Bagaimanapun katanya, untuk peringkat permulaan UnisZA perlu menghasilkan produk yang mampu dijual bagi membolehkan ia dikenali pengguna.

Dalam majlis itu, Menteri Besar menjadi saksi kepada pertukaran MoU antara kerajaan negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan UnisZA diwakili Naib Canselornya, Dato’ Prof Dr Alias Daud.

Dato’ Ahmad turut mengumumkan pemberian insentif RM30,000 kepada enam pelumba Formula Future Terengganu yang berjaya menjadi juara dalam kejohanan Formula Future Kebangsaan yang diadakan di Taman Botani, Putrajaya baru-baru.

“Setiap seorang akan menerima RM5,000 dan enam daripada 10 pelumba Negara adalah peserta kita yang terpilih mewakili Malaysia ke Kejuaraan Formula Future Dunia di Liverpool, England bermula 13 hingga 15 Ogos ini,” katanya.

Menteri Besar juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menubuhkan 10 kiosk yang akan dikenali dengan nama JR Best (Jagung Rakyat Best) bagi menjual hasil jagung tempatan seperti jagung rebus dalam bentuk bijian dan air jagung .

“Kerajaan peruntukan RM80,000 dimana setiap kiosk berharga RM8,000 dan akan memilih belia-belia yang berminat untuk bekerja di kiosk dan akan mula beroperasi selepas Hari Raya Aidilfitri depan,” katanya.


TEGANUKITA

30 July 2010

Ibu Tunggal Berjaya Didik Sembilan Anak

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Seorang ibu tunggal dari Kampung Batu 4, Binjai, Kemaman berjaya membesar dan mendidik sembilan cahaya mata sehingga enam daripadanya berjaya melanjut pelajaran ke menara gading serta memiliki kerjaya yang baik walaupun wanita itu hanya bersandarkan pendapatan hasil kedai runcit kecil-kecilan berhampiran rumah.

“Mak cik selalu pesan anak-anak jangan tinggal sembahyang dan mereka sejak kecil memang menghormati saya dan arwah suami serta orang tua. Dengan sikap sedemikian mereka membesar dengan baik dan beroleh keberkatan dalam hidup,” kata Kiah @ Saadiah Talib, 64, selepas menerima Anugerah keluarga Mithali Terbilang 2010 Parlimen Kemaman, di Awana Kijal, Kemaman, kelmarin 27 Julai .

Kiah berkata, walaupun kematian suami yang mengidap barah hati pada 30 September 2007, dia tidak menganggap kehilangan tunggak keluarga itu sebagai penghalang untuk terus mengecap kebahagian bersama anak-anak yang sudah dewasa dan enam daripadanya bekeluarga.

Nenek kepada 15 cucu itu berkata, kesemua anak-anaknya sering mengambil berat dan saling membantu antara satu sama lain sekaligus menguatkan lagi hubungan mereka sekeluarga dan setiap masalah yang melanda keluarga mereka dapat diatasi dengan baik.

Menurutnya, walaupun hidup mereka sejak dulu hanya bergantung kepada pendapatan yang tidak menentu melalui perniagaan kuih sebelum beralih menjual barangan runcit di kedai yang dibina berhampiran rumah, mereka tetap mampu menjalani kehidupan yang sederhana dan tidak berserah nasib kepada takdir semata-mata.

“Walaupun hidup ketika muda dan anak-anak masih kecil dulu tidak begitu senang, mak cik tetap bersyukur dikurniakan rezeki memiliki anak-anak yang mendengar kata dan rajin belajar untuk mengubah nasib keluarga dan hasilnya kami nikmati kini, “ kata Kiah yang turut berterima kasih kepada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) kerana memilih keluarganya sebagai penerima anugerah itu.

Sembilan anak Kiah adalah Noriah Abu Bakar, 48, surirumah; Noreha, 46, guru (bekas penuntut Universiti Putra Malaysia); Musalmah, 44, surirumah; Hanafi 42, berniaga (bekas penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Tarmizi, 39, juruteknik (bekas penuntut Politeknik); Suhaidi, 35, pegawai agensi pelancongan ; Nurbairi, 29, jurutera (bekas penuntut UTM); Zatul Itri, 25 (sedang mengikuti Master, di UPM) dan Nor Hasmira, 20, penuntut Universiti Teknologi Mara.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dengan diiringi isteri, To’ Puan Norliza Mahmud menyampaikan hadiah kepada semua penerima anugerah mengikut Dewan Undangan Negeri (Dun). Hadir sama, Adun Air Putih, YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Adun Kemasik, Ir Rosli Othman.

Turut hadir, Pengarah YPK Terengganu, Encik Shafaruddin Mustafa.


TEGANUKITA

Terengganu Jadi Medan Gamelan Dunia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Terengganu menjadi medan pertemuan ramai pakar, pencinta serta peminat gamelan dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia, Jepun dan Thailand bagi menyertai Festival Gamelan Sedunia 2010 di Taman Syahbandar, Kuala Terengganu, sejak 23 Julai lalu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata para penggiat serta pencinta gamelan tempatan seharusnya merebut peluang ini dengan sebaik mungkin untuk mencungkil dan menggali seribu rahsia dan infomasi daripada mereka ini untuk dimanfaatkan ke arah perkembangan dan pembangunan gamelan di Terengganu khasnya.

“Saya amat beharap menerusi portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri akan dapat merancang strategi terbaik bagi merealisasikan hasrat murni ini.

“Kita tidak mahu festival ini muncul dan kemudiannya berlalu begitu sahaja tanpa meninggalkan apa-apa kesan dan faedah yang positif. Jadikan ia sebagai pemangkin dalam usaha kita untuk mengangkat seni gamelan ke pentas antarabangsa dan sudah tentu kita juga inginkan agar seni gamelan ini menjadi ikon dan teras kepada kegiatan seni di Terengganu yang kita sayangi,” katanya di Majlis Perasmian Festival gamelan Sedunia 2010, malam kelmarin (23 Julai).

Beliau berkata, sudah sampai masa dan ketikanya untuk jadikan gamelan Melayu ini menjadi hebat dan bertaraf lima bintang, setanding dengan gamelan-gamelan lain yang sudah tersohor sebagaimana gamelan Jawa dan Bali.

Dato’ Ahmad juga berharap supaya pihak berwajib terutama Kementerian Pendidikan melalui Pejabat pendidikan Negeri dapat mengembangkan lagi program pendidikan seni gamelan ini.

Misalnya dengan memperuntukkan sejumlah wang kepada sekolah terpilih bagi membiayai pembelian set alat muzik gamelan, mengadakan program latihan kemahiran khas kepada guru muzik sekolah dan mengadakan satu pusat latihan khas bagi murid-murid yang berpotensi mempelajari seni gamelan.

Katanya, diharap dua tahun lagi setiap daerah di negeri ini terdapat sekurang-kurangnya lima sekolah yang memiliki kumpulan gamelan sendiri.

“Kita perlu mencontohi Johor dalam usaha memartabatkan seni tarian zapin, di mana setiap sekolah di Johor mempunyai kumpulan zapin mereka sendiri. Kita mahu agar suatu masa nanti Terengganu bakal menjadi peneraju serta negeri yang memayungi seni gamelan di negara ini. Sebut sahaja gamelan, maka tergambarlah negeri Terengganu,” katanya.

TEGANUKITA

28 July 2010

Terengganu Labur RM120 Juta Bina KMC

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan Terengganu menerusi anak syarikat, TDM Berhad melabur RM120 juta bagi membina pusat perubatan terbesar di Pantai Timur, Kuantan Medical Centre (KMC), di Bandar Indera Mahkota,Kuantan.

Hospital baru tujuh tingkat dibina atas tapak seluas 4.3 hektar bakal dilengkapi kemudahan teknologi perubatan tercanggih dan siap pada 2012 sebelum beroperasi pada awal 2013.

KMC yang akan dilengkapi 150 katil berdasarkan konsep bilik individu dengan 10 katil untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tujuh dewan bedah.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata Kerajaan Terengganu amat berterima kasih dengan sokongan Kerajaan Pahang yang memberi peluang kepada TDM meluaskan pelaburan ke negeri itu dalam usaha memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat.

Katanya, keperluan membina bangunan baru berikutan kedudukan bangunan KMC yang sedia ada terletak di pusat bandar Kuantan tidak begitu kondusif serta kelengkapan yang semakin terhad berbanding permintaan tinggi pesakit.

KMC yang mula beroperasi sejak 1997 memiliki 84 katil termasuk tiga unit rawatan rapi dan 18 pakar perunding.

“Kita berharap dengan bangunan baru ini pesakit berasa lebih selesa dengan peralatan yang lebih baik dan canggih selain tambahan pakar perubatan dalam pelbagai bidang yang akan diambil untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit, “ kata beliau pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek bangunan baru KMC di Kuantan, petang semalam ( 27 Julai).

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi TDM Bhd, Datuk Senator Roslan Awang Chik.

Dato’ Ahmad berkata, sejajar dengan hasrat Kerajaan Terengganu yang mengutamakan aspek perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dengan menyediakan peruntukan yang besar untuk tujuan itu, termasuk membiayai pengajian 150 pelajar anak Terengganu ke luar negara bagi mengikuti pengajian dalam jurusan perubatan.

“Sebahagian pelajar yang kita hantar belajar perubatan akan ditawarkan berkhidmat dengan KMC atau mana-mana pusat perubatan negeri selepas mereka menamatkan pengajian nanti.

“Apabila sudah ramai doktor yang dapat kita lahirkan nanti, pastinya keperluan untuk doktor wanita merawat pesakit wanita sahaja dan lelaki merawat pesakit lelaki dapat kita lakukan,” katanya.

TEGANUKITA

UniSZA Mampu Lahir Modal Insan

Oleh:Wan Haironniza Wan Naim


Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Kali ke-2 UniSZA Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah yakin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menjadi peneraju utama sumber modal insan yang berkualiti dan muncul sebagai pusat kepakaran dan kecemerlangan ilmu terbilang di rantau ini.

Sehubungan itu, baginda menitahkan seluruh warga UniSZA supaya berusaha lebih gigih, mengamalkan sifat yang dinamik dan sentiasa berfikir di luar lingkungan tradisi ke arah pencapaian yang lebih mantap dan matang.

Baginda bertitah, tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan selain daripada mengamalkan budaya penambahbaikan berterusan yang bersandarkan kepada tanda aras yang telah digariskan.



Selain itu, titah baginda, kerajaan meletakkan kualiti perkhidmatan sebagai salah satu daripada elemen Pelan Tindakan Transformasi Pengajian Tinggi dengan tadbir urus, budaya kerja, infrastruktur dan sumber sebagai faktor kritikal.

“Beta menyeru agar visi dan misi universiti mesti difahami dan dihayati oleh semua warga universiti dan juga berharap penetapan Key Performance Indicator (IKP) bagi universiti ini mahupun individu dipatuhi agar ianya dapat menilai serta memantau pelaksanaan aktiviti yang mampu menyumbang ke arah matlamat universiti dan negara”, titah baginda.

Tuanku Nur Zahirah bertitah demikian sempena Istiadat Pemasyhuran baginda sebagai Canselor pertama UniSZA dan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-2 pusat pengajian tersebut hari ini, di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu.


Sebahagian daripada graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat ke majlis berkenaan. Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Seramai 1003 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing daripada Tuanku Nur Zahirah sempena konvokesyen tersebut.

TEGANUKITA

Sumber Ekonomi Dari Laut Negara Masih Banyak

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Fadillah Yusof menyaksikan majlis menandatangani memorandum antara UMT dengan NOD di Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Program-program penyelidikan sains marin, oseanografi dan pelayaran sainifik akan ditingkatkan di negara ini melalui satu memorandum persefahaman di antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD) ditandatangani.

Timbalan Meneri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Fadillah Yusof menyaksikan majlis menandatangani memorandum itu di UMT kelmarin sempena Seminar Kedua Ekspidisi Pelayaran Saintifik Perdana (EPSP 2009) anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Seramai 60 saintis dari luar dan dalam negara termasuk Indonesia, Australia dan Kanada menyertai seminar selama dua hari itu.


Fadillah Yusof ketika gimik perasmian Seminar Kedua Ekspidisi Pelayaran Saintifik Perdana (EPSP 2009) anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Bercakap kepada media selepas merasmikan majlis itu Fadillah berkata, kerajaan akan menggabungkan kepakaran terutama dari universiti tempatan untuk meneroka peluang ekonomi dari laut sebagai sumber baru ekonomi negara pada masa datang.

Katanya, sektor berkenaan ketika ini kurang diterokai sedangkan sebagai negara maritim, peluang boleh diperolehi dari laut seperti makanan, perubatan,kecantikan dari rumai-rumpai laut dan sebagainya.

Turut hadir di majlis itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) kementerian berkenaan, Datin Paduka Prof Dr.Khatijah Yusof, Setiausaha Bahagian Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD), Prof Dr.Nor Aeini Mokhtar dan Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman.


Apa yang dibincangkan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Fadillah Yusof dengan Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman.

Kata Fadillah, kerajaan memberi penekanan terhadap pembangunan sains marin kerana ia dilihat mempunyai potensi besar dari segi ekonomi.

Beliau memuji langkah universiti dalam menyediakan kepakaran dalam bidang ini, malah UMT menyediakan peralatan dan teknologi bersesuaian misalnya kapal penyelidikan sendiri, RV Discovery untuk ekspedisi saintifik.

Katanya, ekspedisi saintifik akan datang dirancang untuk diadakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang dijangka disertai lebih ramai penyelidik dari pelbagai agensi.

Beliau kemudiannya melancarkan portal Pusat Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NODC) yang merupakan daya usaha baru dalam pengumpulan data serta maklumat berkaitan.

TEGANUKITA

Tokoh Dan Aktivis Gamelan Dunia Berhimpun Di Terengganu

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Dato' Ahmad mengetuk gong gimik perasmian Festival Gamelan Sedunia 2010 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Perhimpunan Gamelan Sedunia kali kedua yang diadakan di Terengganu bakal membei impak yang amat bermakna dalam menyemarakkan seni muzik itu bukan sahaja dalam konteks tempatan, malahan di peringkat antarabangsa, kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Katanya, festival itu memberikan nafas baru kepada kesinambungan dan perkembangan muzik itu agar terus subur.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pembukaan Festival Gamelan Sedunia (FGS) 2010, di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu.

Tokoh-tokoh dan pemuzik gamelan dari seluruh dunia berhimpun di negeri ini, termasuk jurulatih gamelan dunia Profesor Dr I Wayan Dibia dari Bali, Profesor Dr Rahayu Supanggah dari Jawa dan Bob Khalil dari Malaysia.

“Gamelan kini menjadi satu identiti serta lambang kebanggaan bangsa Malaysia kerana kesenian itu sudah terkenal ke seluruh pelusuk dunia seperti yang dapat dilihat melalui festival ini, “ kata Dato’ Ahmad.


Peserta Gamelan diperkenalkan kepada Menteri Besar Terengganu.

Katanya, gamelan boleh diangkat sama tinggi dengan kesenian bangsa-bangsa lain yang sudah maju di dunia dan Terengganu mengambil daya usaha itu.

Festival selama tiga hari itu bermula 23 Julai disertai 15 kumpulan gamelan dari dalam dan luar negara, membabitkan kumpulan gamelan profesional, kumpulan Institusi Pengajian Tinggi dan kumpulan pelajar sekolah.

Sempena festival, Bengkel Gemelan juga turut diadakan dikendalikan oleh pengajar gamelan dunia.


Persembahan gamelan Terengganu pada malam pertama.

Ketua Sekteriatnya, Mohd Yusof Abdullah yang juga Pengarah Muzium Terengganu memberitahu antara kumpulan yang menyertai ialah Sanggar Singamurthi dari Bali, Garasi Seni Benawa dari Jawa, Lambangsari dari Jepun, Japan Gamelan Club dan Gastarana dari Bukit Tinggi Sumatera.

Manakala kumpulan dari dalam negara pula adalah seperti Hand Percussion, Istana Budaya, Akademi Senibudaya dan Warisan Malaysia, Kumpulan Kesenian Kerajaan Terengganu dan Kumpulan Warisan Negeri Terengganu.

Kata Mohd.Yusof, IPT dan sekolah yang mengambil bahagian termasuk Sekolah Menengah kompleks Gong Badak, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Islam Antarabagsa dan Universsiti Malaysia Sarawak.

TEGANUKITA

Wariskan Ilmu Persilatan Kepada Generasi Akan Datang

oleh: Wan Haironniza Wan Naim

Guru-guru dan pesilat disarankan supaya berusaha untuk mewariskan ilmu persilatan kepada generasi akan datang suapaya ia tidak pupus ditelan zaman.

Saranan ini dibuat oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika berucap di majlis
Himpunan Pendekar, di bandar Chukai Kemaman baru-baru ini.

Di majlis itu seramai 62 orang guru-guru silat negeri Terengganu diberi pentauliahan yang pertama kali oleh Dato’ Ahmad disaksikan 2,000 pesilat lima perguruan negeri terdiri dari negeri Pahang, Perak, Kelantan, Johor dan Terengganu.

Majlis yang penuh bermakna itu membabitkan 4,000 pesilat diadakan di Taman Bandar Chukai, Kemaman itu diselaraskan oleh Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

Dato’ Ahmad dalam ucapannya di majllis itu menyarankan agar satu dokumentasi
ilmu persilatan dilakukan untuk rujukan generasi akan datang.

Oleh itu, pihak yang diberikan tanggungjawab dalam usaha ini perlu
menggerakkan misi dokumentasi persilatan ini untuk dijadikan panduan kepada
generasi seterusnya dan sebagai produk pelancongan.

Difahamkan pesilat yang terbabit itu datangnya dari kira-kira 52 perguruan
seluruh negara.

“Guru seni silat perlu mewariskan ilmu persilatan mereka kepada generasi muda
agar seni warisan budaya ini tidak hilang begitu sahaja pada masa hadapan”
katanya.

Selain itu, Dato’ Ahmad menyarankan pengumpulan dan kerjasama guru-guru silat diadakan bagi sama-sama berkongsi ilmu persilatan serta berganding bahu
memartabatkan seni pertahanan diri ini.

“Penggabungan para guru silat ini juga akan menjadi kekuatan kepada seni silat tanah air,” katanya.

Beliau turut menyatakan kemungkinan merancang pemberian elaun kepada guru-guru
silat dalam meningkatkan lagi komitmen mencurahkan bakti dan menurunkan ilmu
persilatan kepada anak bangsa.

Beliau turut mengingatkan para pesilat agar tidak menyalahgunakan ilmu persilatan untuk kepentingan diri semata-mata, tetapi untuk agama, bangsa dan di negara.

Pelbagai pertunjukkan diadakan pada majlis tersebut termasuklah persembahan
pantomin, berkisar tentang perjuangan dan sokongan padu rakyat pada pucuk kepemimpinan, khususnya kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’
Ahmad Said.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Silat Daerah Kemaman, Mustaffa Salleh memberitahu salah satu produk silat dari Terengganu yang satu-satunya terdapat
di negara ini ialah silat kura-kura.

“Silat ini berasal dari Kuala Berang dan hampir pupus, ia perlu diberi perhatian sewajarnya agar generasi akan datang terus dapat mewarisinya, “ kata beliau
kepada Teganukita selepas majlis tersebut.


TEGANUKITA

Generasi Ke-2 Orang Asli Bakal Miliki Rumah Baru

Oleh: Wan Haironniza Wan Naim

Generasi kedua masyarakat orang asli Sungai Pergam, Kemaman bakal memperolehi tanah tambahan sebanyak 400 ekar dan 40 buah rumah baru dan kerja-kerja pembinaan akan bermula pada tahun 2011.

Kesemua mereka berjumlah 469 orang dan merupakan penganut agama Islam. Menteri Besar Dato’ Ahmad Said menyampaikan berita baik ini kepada penduduk orang asli itu, sempena majlis ramah mesra beliau dengan orang-orang asli di kampung tersebut baru-baru ini.

Katanya, kerajaan mengeluarkan kos sebanyak RM33,000 bagi satu unit rumah baru tersebut dan ini merupakan salah satu manifestasi kerajaan negeri dalam merakyatkan pentadbiran dan pembangunan bagi masyarakat orang asli.

Dijangkakan pembinaan tersebut akan siap dalam setahun dan kerajaan menyediakan rumah diperbuat dari batu kepada mereka agar lebih kukuh dan selesa.

“Kita tidak mahu masyarakat orang asli terpinggir dalam menikmati transformasi pembangunan, dan mereka juga berhak untuk turut menikmati sama arus pembangunan dan permodenan yang berlaku di negara ini”, katanya dalam majlis tersebut.

Orang asli Sungai Pergam ini bertutur menggunakan ‘bahasa samakbri’ dalam pertuturan harian.

“Saya telah biasa dengan mereka dan boleh memahami apa yang disampaikan kepada saya walau pun menggunakan bahasa Malaysia yang bercampur dengan bahasa ibunda mereka itu,” kata Dato’ Ahmad.

Kedatangan Menteri Besar itu disambut dengan penuh adat tradisi masyarakat orang asli termasuk tarian sewang yang dikenali sebagai tarian selamat datang dipersembahkan bagi menyambut kedatangan pemimpin utama kerajaan negeri ke kampung mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Pergam, Roslan Ismail berkata, pemberian tanah tambahan dan rumah kepada mereka amatlah dihargai.

Katanya, ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengamalkan dasar diskriminasi, malah semua golongan diberi perhatian.

“Kesudian Menteri Besar datang ke Sungai Pergam ini akan kami kenang sampai bila-bila dan saya berharap selepas ini beliau akan datang lagi,” katanya.

Lawatan Dato’ Ahmad ke kampung itu adalah merupakan salah satu program mendampingi penduduk daerah Kemaman yang merupakan daerah asal beliau.

TEGANUKITA