Halaman

28 July 2010

Tokoh Dan Aktivis Gamelan Dunia Berhimpun Di Terengganu

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Dato' Ahmad mengetuk gong gimik perasmian Festival Gamelan Sedunia 2010 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Perhimpunan Gamelan Sedunia kali kedua yang diadakan di Terengganu bakal membei impak yang amat bermakna dalam menyemarakkan seni muzik itu bukan sahaja dalam konteks tempatan, malahan di peringkat antarabangsa, kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Katanya, festival itu memberikan nafas baru kepada kesinambungan dan perkembangan muzik itu agar terus subur.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pembukaan Festival Gamelan Sedunia (FGS) 2010, di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu.

Tokoh-tokoh dan pemuzik gamelan dari seluruh dunia berhimpun di negeri ini, termasuk jurulatih gamelan dunia Profesor Dr I Wayan Dibia dari Bali, Profesor Dr Rahayu Supanggah dari Jawa dan Bob Khalil dari Malaysia.

“Gamelan kini menjadi satu identiti serta lambang kebanggaan bangsa Malaysia kerana kesenian itu sudah terkenal ke seluruh pelusuk dunia seperti yang dapat dilihat melalui festival ini, “ kata Dato’ Ahmad.


Peserta Gamelan diperkenalkan kepada Menteri Besar Terengganu.

Katanya, gamelan boleh diangkat sama tinggi dengan kesenian bangsa-bangsa lain yang sudah maju di dunia dan Terengganu mengambil daya usaha itu.

Festival selama tiga hari itu bermula 23 Julai disertai 15 kumpulan gamelan dari dalam dan luar negara, membabitkan kumpulan gamelan profesional, kumpulan Institusi Pengajian Tinggi dan kumpulan pelajar sekolah.

Sempena festival, Bengkel Gemelan juga turut diadakan dikendalikan oleh pengajar gamelan dunia.


Persembahan gamelan Terengganu pada malam pertama.

Ketua Sekteriatnya, Mohd Yusof Abdullah yang juga Pengarah Muzium Terengganu memberitahu antara kumpulan yang menyertai ialah Sanggar Singamurthi dari Bali, Garasi Seni Benawa dari Jawa, Lambangsari dari Jepun, Japan Gamelan Club dan Gastarana dari Bukit Tinggi Sumatera.

Manakala kumpulan dari dalam negara pula adalah seperti Hand Percussion, Istana Budaya, Akademi Senibudaya dan Warisan Malaysia, Kumpulan Kesenian Kerajaan Terengganu dan Kumpulan Warisan Negeri Terengganu.

Kata Mohd.Yusof, IPT dan sekolah yang mengambil bahagian termasuk Sekolah Menengah kompleks Gong Badak, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Islam Antarabagsa dan Universsiti Malaysia Sarawak.

TEGANUKITA