Halaman

28 July 2010

Wariskan Ilmu Persilatan Kepada Generasi Akan Datang

oleh: Wan Haironniza Wan Naim

Guru-guru dan pesilat disarankan supaya berusaha untuk mewariskan ilmu persilatan kepada generasi akan datang suapaya ia tidak pupus ditelan zaman.

Saranan ini dibuat oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika berucap di majlis
Himpunan Pendekar, di bandar Chukai Kemaman baru-baru ini.

Di majlis itu seramai 62 orang guru-guru silat negeri Terengganu diberi pentauliahan yang pertama kali oleh Dato’ Ahmad disaksikan 2,000 pesilat lima perguruan negeri terdiri dari negeri Pahang, Perak, Kelantan, Johor dan Terengganu.

Majlis yang penuh bermakna itu membabitkan 4,000 pesilat diadakan di Taman Bandar Chukai, Kemaman itu diselaraskan oleh Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

Dato’ Ahmad dalam ucapannya di majllis itu menyarankan agar satu dokumentasi
ilmu persilatan dilakukan untuk rujukan generasi akan datang.

Oleh itu, pihak yang diberikan tanggungjawab dalam usaha ini perlu
menggerakkan misi dokumentasi persilatan ini untuk dijadikan panduan kepada
generasi seterusnya dan sebagai produk pelancongan.

Difahamkan pesilat yang terbabit itu datangnya dari kira-kira 52 perguruan
seluruh negara.

“Guru seni silat perlu mewariskan ilmu persilatan mereka kepada generasi muda
agar seni warisan budaya ini tidak hilang begitu sahaja pada masa hadapan”
katanya.

Selain itu, Dato’ Ahmad menyarankan pengumpulan dan kerjasama guru-guru silat diadakan bagi sama-sama berkongsi ilmu persilatan serta berganding bahu
memartabatkan seni pertahanan diri ini.

“Penggabungan para guru silat ini juga akan menjadi kekuatan kepada seni silat tanah air,” katanya.

Beliau turut menyatakan kemungkinan merancang pemberian elaun kepada guru-guru
silat dalam meningkatkan lagi komitmen mencurahkan bakti dan menurunkan ilmu
persilatan kepada anak bangsa.

Beliau turut mengingatkan para pesilat agar tidak menyalahgunakan ilmu persilatan untuk kepentingan diri semata-mata, tetapi untuk agama, bangsa dan di negara.

Pelbagai pertunjukkan diadakan pada majlis tersebut termasuklah persembahan
pantomin, berkisar tentang perjuangan dan sokongan padu rakyat pada pucuk kepemimpinan, khususnya kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’
Ahmad Said.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Silat Daerah Kemaman, Mustaffa Salleh memberitahu salah satu produk silat dari Terengganu yang satu-satunya terdapat
di negara ini ialah silat kura-kura.

“Silat ini berasal dari Kuala Berang dan hampir pupus, ia perlu diberi perhatian sewajarnya agar generasi akan datang terus dapat mewarisinya, “ kata beliau
kepada Teganukita selepas majlis tersebut.


TEGANUKITA