Halaman

28 July 2010

Terengganu Labur RM120 Juta Bina KMC

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan Terengganu menerusi anak syarikat, TDM Berhad melabur RM120 juta bagi membina pusat perubatan terbesar di Pantai Timur, Kuantan Medical Centre (KMC), di Bandar Indera Mahkota,Kuantan.

Hospital baru tujuh tingkat dibina atas tapak seluas 4.3 hektar bakal dilengkapi kemudahan teknologi perubatan tercanggih dan siap pada 2012 sebelum beroperasi pada awal 2013.

KMC yang akan dilengkapi 150 katil berdasarkan konsep bilik individu dengan 10 katil untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tujuh dewan bedah.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata Kerajaan Terengganu amat berterima kasih dengan sokongan Kerajaan Pahang yang memberi peluang kepada TDM meluaskan pelaburan ke negeri itu dalam usaha memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat.

Katanya, keperluan membina bangunan baru berikutan kedudukan bangunan KMC yang sedia ada terletak di pusat bandar Kuantan tidak begitu kondusif serta kelengkapan yang semakin terhad berbanding permintaan tinggi pesakit.

KMC yang mula beroperasi sejak 1997 memiliki 84 katil termasuk tiga unit rawatan rapi dan 18 pakar perunding.

“Kita berharap dengan bangunan baru ini pesakit berasa lebih selesa dengan peralatan yang lebih baik dan canggih selain tambahan pakar perubatan dalam pelbagai bidang yang akan diambil untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit, “ kata beliau pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek bangunan baru KMC di Kuantan, petang semalam ( 27 Julai).

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi TDM Bhd, Datuk Senator Roslan Awang Chik.

Dato’ Ahmad berkata, sejajar dengan hasrat Kerajaan Terengganu yang mengutamakan aspek perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dengan menyediakan peruntukan yang besar untuk tujuan itu, termasuk membiayai pengajian 150 pelajar anak Terengganu ke luar negara bagi mengikuti pengajian dalam jurusan perubatan.

“Sebahagian pelajar yang kita hantar belajar perubatan akan ditawarkan berkhidmat dengan KMC atau mana-mana pusat perubatan negeri selepas mereka menamatkan pengajian nanti.

“Apabila sudah ramai doktor yang dapat kita lahirkan nanti, pastinya keperluan untuk doktor wanita merawat pesakit wanita sahaja dan lelaki merawat pesakit lelaki dapat kita lakukan,” katanya.

TEGANUKITA