Halaman

28 July 2010

UniSZA Mampu Lahir Modal Insan

Oleh:Wan Haironniza Wan Naim


Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Kali ke-2 UniSZA Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah yakin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menjadi peneraju utama sumber modal insan yang berkualiti dan muncul sebagai pusat kepakaran dan kecemerlangan ilmu terbilang di rantau ini.

Sehubungan itu, baginda menitahkan seluruh warga UniSZA supaya berusaha lebih gigih, mengamalkan sifat yang dinamik dan sentiasa berfikir di luar lingkungan tradisi ke arah pencapaian yang lebih mantap dan matang.

Baginda bertitah, tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan selain daripada mengamalkan budaya penambahbaikan berterusan yang bersandarkan kepada tanda aras yang telah digariskan.



Selain itu, titah baginda, kerajaan meletakkan kualiti perkhidmatan sebagai salah satu daripada elemen Pelan Tindakan Transformasi Pengajian Tinggi dengan tadbir urus, budaya kerja, infrastruktur dan sumber sebagai faktor kritikal.

“Beta menyeru agar visi dan misi universiti mesti difahami dan dihayati oleh semua warga universiti dan juga berharap penetapan Key Performance Indicator (IKP) bagi universiti ini mahupun individu dipatuhi agar ianya dapat menilai serta memantau pelaksanaan aktiviti yang mampu menyumbang ke arah matlamat universiti dan negara”, titah baginda.

Tuanku Nur Zahirah bertitah demikian sempena Istiadat Pemasyhuran baginda sebagai Canselor pertama UniSZA dan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-2 pusat pengajian tersebut hari ini, di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu.


Sebahagian daripada graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat ke majlis berkenaan. Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Seramai 1003 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing daripada Tuanku Nur Zahirah sempena konvokesyen tersebut.

TEGANUKITA