Halaman

28 July 2010

TUKAR GANTI PORTFOLIO PERKARA BIASA

Oleh: Putera Pesisir Air

Sama ada rombakan portfolio mahu pun rombakan keanggotaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ia bukanlah perkara baru dalam sistem dan kaedah pentadbiran kerajaan.

Begitulah juga kalau di peringkat negara, rombakan kabinet atau portfolio Menteri dan Timbalan Menteri juga perkara biasa yang sering dilakukan dengan berbagai sebab dan tujuan, tetapi tidak lari dari kepentingan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri mempunyai kuasa istimewa (prerogatif) untuk menentukan perkara tersebut, begitulah juga Menteri Besar di peringkat negeri.

Malah ada Menteri dan Timbalan Menteri yang gugur, ada kementerian yang ditiadakan, malah dalam sejarah kabinet Malaysia terdapat kejutan yang dibuat dengan membubarkan jawatan Setiausaha Parlimen di kementerian.

Begitulah juga di peringkat negeri, Menteri Besar selaku ketua kerajaan boleh memikir dan merancang untuk kebaikan rakyat dan negeri dan membuat keputusan dengan kuasa istimewa (prerogatif) yang diberikan kepadanya.

Justeru itu apabila Menteri Besar Dato’ Ahmad Said mengumumkan lima Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bertukar portfolio ialah bukanlah suatu perkara yang baru.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini disandang Yahya Khatib Mohamad akan digantikan oleh Datuk Za'abar Mohd Adib manakala Yahya akan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.

Portfolio baru Yahya itu sebelum ini dijawat Asha'ari Idris yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Negeri yang sebelum ini disandang Za'abar akan digantikan oleh Datuk Rahin Mohd Said.

Rahin sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, digantikan Rozi Mamat yang sebelum ini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri. Ia berkuatkuasa mulai 1 Julai 2010.

Di negeri-negeri yang bukan di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) sekalipun, perkara yang sama telah dilakukan sebelum ini seperti di Kedah dan Kelantan, malah menggantikan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dengan muka baru untuk keperluan rakyat dan negeri masing-masing.

Apa yang rakyat mahukan ialah program-program pembangunan terus berjalan dengan cemerlang untuk kepentingan rakyat selaras dengan pendekatan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” (MPPNT) yang diperkenalkan oleh kepimpinan negeri Terengganu.

Kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan menjauhi memikirkan sesuatu dari sudut negatif. Orang yang berfikiran negatif akan selalu tertekan atau ‘stress’.

Seringkali kita lupa bahawa sebenarnya sesuatu perkara berlaku di luar pengetahuan kita mengapa ia berlaku dan dilakukan dan hikmah di sebalik sesuatu kejadian.

Sesetengahnya juga sering kali bertindak berdasarkan sangkaan atau andaian dan ini jelas tidak positif kepada kehidupan.

Usaha memperkasakan pembangunan Terengganu yang memberi faedah dan impak terbaik kepada rakyat masih belum selesai.

Untuk berjaya ahli masyarakat perlu ‘berjiwa besar’ dan berani membuat perubahan setelah kita yakin apa yang dibuat itu adalah untuk kebaikan.

Selaras dengan ajaran agama masyarakat juga perlu berjiwa besar menerima keputusan yang dibuat oleh pemimpin kita yang sudah tentu mengetahui keperluan dan hasrat yang sebenar.

Rakyat amat yakin dengan pendekatan merakyat yang dibawa oleh Dato’ Ahmad turun ke gelanggang rakyat, merasai sendiri denyut nadi rakyat dan membantu rakyat tanpa ragu-ragu.

Semua anggota kerajaan perlu menghayati falsafah dan pendekatan yang dibawa oleh Dato’ Ahmad yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan lain.

Selamat menjalankan tugas buat semua.

TEGANUKITA