Halaman

28 July 2010

Guru mencorak generasi

Oleh: Wan Haironniza Wan Naim

Guru-guru diminta menunjukkan contoh teladan yang baik kepada pelajar bagi melahirkan modal insan yang berdaya saing di samping berintegriti.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyifatkan guru-guru sebagai orang yang mempunyai kuasa dalam mencorak generasi akan datang dan negara memerlukan generasi yang berilmu, berkemahiran dan bermoral.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di majlis sambutan Perayaan Hari Guru 2010, peringkat Daerah Kemaman yang dihadiri kira-kira 3000 orang guru di daerah berkenaan.

Dalam hal lain, Dato’ Ahmad memberitahu kerajaan negeri sedia membantu guru-guru yang menghadapi penyakit kronik dan tidak mampu membiayai rawatannya.

Katanya, kerajaan negeri juga dalam proses membina institut jantung, kanser dan strok (angin ahmar) bagi memudahkan rakyat negeri ini mendapatkan rawatan.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah selaras dengan pendekatan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan yang menjadi fokus kita masa kini,” katanya.

Beliau juga mengumumkan bagi memperingkatkan kemudahan belajar kepada semua lapisan rakyat di kawasan bandar dan luar bandar, tambahan 20 buah sekolah menengah dan 40 buah sekolah rendah akan dibina tahun hadapan di negeri ini.

Sebuah Sekolah Menengah Imtiaz di bawah Yayasan Terengganu juga dalam proses pembinaan di Kemaman yang akan memberi peluang kepada 1,000 orang pelajar terbaik memasuki sekolah berasrama penuh itu, katanya.

Sempena majlis itu Dato’ Ahmad juga turut menyampaikan cenderamata yang disumbangkan oleh kerajaan negeri kepada 3182 guru daerah Kemaman, anugerah-anugerah kecemerlangan guru dan sekolah serta tokoh guru 2010.

Pada majlis itu Haji Mohamad Yong Hitam telah diumumkan sebagai tokoh guru daerah Kemaman.

TEGANUKITA