Halaman

28 July 2010

Teruskan perjuangan arwah –YB Rozi

Oleh: Aida Abd Rahman

Atlet Terengganu diharap dapat meneruskan bakat dan kemahiran masing-masing bagi mengharumkan nama negeri ini sebagaimana semangat dan sumbangan yang pernah diberikan Allahyarham Mohd Fadli Muhammad, 19, sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 6 petang, Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat mewakili Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata demikian di majlis menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa, di rumahnya di Jeram Hulu, Tepoh, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

“Saya berharap rakan-rakan beliau yang lain dapat meneruskan lagi perjuangan arwah kerana arwah seorang pemain yang sangat berbakat dan berkaliber. Yang mana kita difahamkan sejak berumur 14 tahun lagi arwah sudah mewakili Terengganu dalam semua kejohanan peringkat sekolah, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT)dan juga terbaru, Sukan Malaysia (Sukma). Selain itu, beliau juga ketua pasukan bola tampar bagi pasukan Terengganu,” katanya .

Walau bagaimanapun, YB Rozi berkata, dengan kembalinya arwah ke rahmatullah tidak menghalang perjuangan rakan-rakan beliau, terutama rakan seperjuangan daripada Kampung Jeram (Tepoh) yang berjaya melahirkan ramai bakat baru dalam sukan bola tampar.

Sementara itu, pihak Kerajaan Terengganu sangat berterima kasih dengan keprihatinan Kerajaan Melaka sepanjang SUKMA baru-baru ini dan perkara berkaitan.

“Pihak kita masih belum menubuhkan jawatankuasa penyiasat. Bagaimanapun setakat ini kita hanya menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang menunjukkan mangsa mengalami jangkitan kuman daripada paru-paru ke bahagian otak.

“Pihak MSNT boleh menghubungi Kementerian Kesihatan jika masih ada keraguan daripada mana-mana pihak untuk penyiasatan lebih lanjut,”katanya.

YB Rozi berkata, laporan perubatan mengesahkan Mohd Fadli meninggal dunia selepas beberapa hari dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat serangan kuman daripada paru-paru ke otak.

Malah, laporan itu sekaligus menolak spekulasi mengatakan arwah dijangkiti H1N1.

TEGANUKITA