Halaman

18 March 2011

Wanita Pertama lancarkan simposium tekstil Asean ke-3

Oleh: Aida Abd Rahman


Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kiri) akan berkenan menyempurnakan Malam Gala Simposium Tekstil Tradisional Asean Ke-3 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terenggganu pada 22 Mac ini, manakala (gambar kanan) Datin Seri Rosmah Mansor, bakal melancarkan Simposium Tekstil Tradisional Asean Ke-3 pada 21 Mac 2011.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, bakal melancarkan Simposium Tekstil Tradisional Asean Ke-3, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terenggganu pada 21 Mac ini.

Malam gala pada 22 Mac pula dijadualkan akan disempurnakan oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Simposium dua hari itu bakal menghimpunkan peserta negara Asean seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam, selain negara sokongan Asean seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea dan Australia.

Malaysia akan menjadi tuan rumah simposium kali ini selepas simposium pertama kali diadakan di Jakarta, Indonesia pada 2005 dan di Manila, Filipina pada 2009.

Terengganu dipilih lokasi simposium bagi Malaysia kerana terkenal sebagai negeri pengeluar batik dan songket selain berhasrat menjadi pusat pembangunan tradisi tekstil di rantau ini.



Simposium anjuran bersama Kerajaan Terengganu dengan ASEAN Foundation yang berpejabat di Jakarta bertujuan berkongsi teknologi dan elemen tekstil dari sudut seni berkaitan cara penghasilan serta pengekalan tekstil di rantau Asean.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata pertama kali Terengganu menjadi tuan rumah simposium seumpama ini bagi pihak Malaysia yang antara lain bertujuan mengenal pasti punca atau asal usul songket dan tekstil Asean.

Katanya, program itu juga bagi memastikan tekstil yang selama ini menjadi tradisi ASEAN akan terus hidup dan diminati generasi muda.

"Yang lebih penting lagi ialah untuk mengenal pasti bagaimana Asean hendak menghadapi cabaran supaya tekstil mereka tidak pupus pada masa akan datang.

"Seramai 330 peserta terdiri daripada para pengusaha, pemilik syarikat, pencinta seni songket dan tekstil akan hadir," kata Mohamed.

Dato’ Mohamed berkata Terengganu sendiri telah mempromosi songket dan batik ke negara-negara Eropah tahun lepas.






PENERBANGAN UMRAH TERUS TERENGGANU– JEDDAH, PERTAMA DI MALAYSIA

Laporan oleh: Ruslan Abdul Rahman, Esah Abdullah dan Rahim Daud.


Bukan sahaja sejarah bagi negeri Terengganu, bahkan sejarah bagi Malaysia penerbangan umrah, terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah.



Sebelum ini tidak pernah penerbangan umrah dari lapangan terbang di luar Lapangan Terbang antarabangsa Kuala Lumpur dan inilah pertama kali berlaku di Malaysia, akui pihak Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).



Dato’ Kapten Nawawi juga orang Terengganu adalah ketua pilot membawa kapal MH 8324 yang akan membawa 451 jemaah dari Terengganu itu bersama dua orang pilot lain dan 13 orang anak kapal, berlepas kira-kira jam 5.25 petang sekejap tadi.



Menurut Dato’ Kapten Nawawi, mereka dijangka sampai di Jeddah kira-kira jam 10.15 malam ini (waktu Jeddah).

“Insya Allah cuaca sederhana kami semua akan selamat sampai,” katanya ketika ditemui di LTSM sebentar tadi.



Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat yang mewakili YAB Dato’ Seri Ahmad Said Menteri Besar Terengganu berkata, adalah menjadi hasrat Menteri Besar selepas ini setiap tiga bulan sekali penerbangan umrah terus ini dapat dijalankan dari LTSM-Jeddah.



“Insya Allah, kalau mendapat sambutan program seumpama ini akan diteruskan lagi. Menteri Besar akan berbincang dengan pihak MAS untuk menjayakan rancangan baik ini,” kata YB Haji Khazan kepada media sebelum berlepas bersama-sama dengan jemaah umrah anjuran Kerajaaan Negeri Terengganu dengan kerjasama MAS dan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH).

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah hadir sama menghantar jemaah di LTSM.



Festival Kenyir hidang aktiviti menarik

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia, Tasik Kenyir, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan menganjurkan Festival Kenyir selama lima hari dengan menyediakan pelbagai acara menarik bermula 8 April depan.

Pengurus Besar Ketengah, Encik Hamzah Ngah berkata festival yang diadakan sempena ulang tahun ke-38 Ketengah itu sebagai langkah awal persiapan Tasik Kenyir untuk menjadi kawasan bebas cukai pada tahun depan.
Katanya, festival yang diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga bertujuan mempromosikan lagi Tasik Kenyir dengan pengenalan produk-produk baru.

"Produk yang terdapat di pusat pelancongan terkemuka itu seperti Kenyir Island Hopping melibatkan pulau-pulau yang dibangunkan dengan Taman Rama-rama, Taman Herba, Taman Orkid, Taman Burung dan Taman Buah-buahan Tropika," katanya.

Antara acara menarik yang akan diadakan sepanjang festival itu termasuk pertandingan perahu naga, pertandingan Muay Thai, kejohanan jet ski, International Kenyir Lake Triathlon, pertandingan bot kawalan jauh, pertandingan motosikal dan kereta klasik, dan pertandingan ayam serama.

Encik Hamzah berkata, krew produksi dan pelakon siri kartun terkenal Upin dan Ipin juga akan diundang untuk memeriahkan festival berkenaan sebagai tarikan pengunjung kanak-kanak selain pertandingan mewarna.

"Sebanyak 70 gerai pameran juga disediakan kepada pengunjung yang akan disertai oleh usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana, agensi kerajaan dan swasta," katanya.

Katanya, festival itu dijangka dihadiri oleh 20,000 pengunjung dan akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said.





KHALWAT: PENGAKUAN DARI SEPUPU YB SENDIRI

Oleh: Pencari Kebenaran

Seorang orang kuat sebuah parti pembangkang dari Kg. Tok Dir, Bukit Payong yang ditangkap khalwat adalah bapa saudara kepada YB (wakil rakyat) parti pembangkang itu, demikian pengakuan sepupu Adun berkenaan, Fazli Ali dari Binjai Rendah yang juga merupakan anak saudara.

Katanya, emak beliau adalah adik beradik kepada lelaki yang terbabit dalam kes khalwat itu dan emak saudara juga kepada YB itu.

“Ini isu keluarga, tetapi yang salah tetap salah. YB berkenaan sebagai orang berpendidikan agama dan berpegang kepada ajaran Islam, perlulah mengaku dan menerima hakikat,” kata Fazli dalam satu kenyataan berekod semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik kenyataan YB berkenaan bahawa beliau tidak mengenali lelaki yang ditangkap khalwat itu.

Laporan akhbar Sinar Harian Selasa lalu: pihak YB berkenaan akan memfailkan saman terhadap sebuah akhbar arus perdana dan laman blog yang didakwa mengaitkan beliau dengan seorang lelaki yang ditangkap khalwat bersama wanita warga Indonesia.

YB berkenaan menegaskan, dakwaan bahawa lelaki yang ditangkap khalwat dalam keadaan yang memalukan bersama pasangan wanita Indonesia itu adalah pegawai beliau dan mempunyai hubungan darah daging dengannya, adalah tidak benar sama sekali.
Laporan Sinar Harian menyebut, YB berkenaan ketika ditemui turut menyangkal dakwaan itu sekeras-kerasnya dengan menegaskan, beliau tidak pernah mengenali individu terbabit yang ditahan khalwat bersama pasangannya di Kampung Alor Tuman, Pulau Kerengga, Marang, Jumaat lalu.

“Saya akan menyerahkan perkara ini kepada peguam Pas untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Beliau yang hadir bersama pengikutnya di balai polis untuk membuat laporan berhubung perkara itu bagaimanapun diminta ke Balai Polis Chendering kerana difahamkan ‘server’ di IPD Kuala Terengganu mengalami masalah.

Akhbar perdana tersebut, semalam, melaporkan bahawa lelaki terbabit dari Kg. Tok Dir, ditahan dalam keadaan mencurigakan dengan seorang wanita warga Indonesia dihukum denda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Marang, semalam (kelmarin) selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan berkhalwat awal pagi Jumaat lalu.
Akhbar tersebut turut memetik bahawa tertuduh adalah bapa saudara kepada ADUN dari parti pembangkang.

Dalam kejadian Jumaat lalu, lelaki orang kuat parti pembangkang itu dan wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah ditahan di dalam sebuah kereta di Alor Tuman, di Marang.

Pasangan itu didakwa berada dalam keadaan menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan tidak bermoral kira-kira jam 1.30 pagi.

Kata Fazli: “Saya berharap sesiapa yang mengetahui isu ini hendaklah menerima secara rasional dan ambil pengiktibaran darinya”.

“Saya adalah sepupu YB berkenaan dan dia adalah sepupu benar saya sebelah emak dan yang terlibat dengan kes itu adalah bapa saudara kami “ katanya sambil meminta YB Adun berkenaan itu tidak sampai menafikan darah daging sendiri hanya kerana hendak menutup hakikat sebenar.

TSG semakin galak ukir nama

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pasukan lumba basikal Terengganu – Terengganu Cycling Team (TSG) semakin galak mengukir nama di arena lumba basikal.

Selepas menonjol dalam beberapa perlumbaan yang disertai sebelum ini, nama dua pelumba TSG, Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh semakin menjadi sebutan di kalangan peminat lumba basikal.

Walaupun TSG baru ditubuhkan beberapa bulan lalu, ia telah berjaya mengharumkan nama negeri dan tidak sia-sialah keputusan kerajaan negeri menubuhkan pasukan tersebut.

Sambil mendoakan agar pasukan TSG dan pelumba mengukir nama di pentas antarabangsa, tentunya seluruh rakyat Terengganu berbangga memiliki pasukan berkenaan yang kini sudah mampu berdiri sama tinggi dengan pasukan lain yang lebih senior.

Terbaru, pasukan TSG bakal menyertai Kejohanan Grand Prix (GP) Kebangsaan Pusingan 2 yang akan diadakan sekitar bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ahad ini (20 Mac).

Anuar Manan yang juga pelumba negera dan Mohd Hariff bersama-sama 43 pelumba lain dari Terengganu bakal mempamerkan kehebatan kayuhan mereka pada kejohanan tersebut.

Pastinya, kita semua mengharapkan mereka mencipta kejayaan dan ini akan diteruskan dalam kejohanan lain sama ada peringkat kebangsaan mahu pun luar Negara.



TFM Perkenal DJ Kampus

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah.

Radio Malaysia Terengganu FM (Tfm) mengambil inisiatif mengadakan program khas untuk pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bagi menarik golongan ini mendengar info melalui Tfm.

Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah berkata, konsep program adalah hiburan bermaklumat yang bersiaran secara langsung dengan pengisian 70 peratus hiburan dan 30 peratus berupa maklumat terkini.

Katanya, Tfm juga akan mewujudkan kelab pendengar dikalangan penuntut IPTS/IPTA supaya mereka dapat bertukar pandangan dan lebih bersikap proaktif serta berani melontarkan pandangan positif sebagai pelapis masa depan negara.

“Mereka diberi peluang mengendalikan Tfm melalui rancangan DJ Kampus yang akan bersiaran setiap Khamis (malam) selama sejam empat puluh minit yang membawa info aktiviti kampus, pendapat siswa, karya dan permintaan lagu,” katanya.

Melaluinya juga, akan diselit isu-siu semasa terutama perkembangan semasa yang berlaku di kampus serta bahan-bahan yang boleh mendekatkan masyarakat dengan institusi berkaitan.

Selain itu kata Dr. Nawiyah, meraka yang terpilih mengendalikan siaran akan diberi pendedahan mengenai penyelidikan bahan, penyediaan dan penulisan skrip serta latihan amali di studio melalui kursus serta perbengkelan.

“Rancangan berkonsepkan hiburan santai ini dilihat mampu mendekati golongan muda dengan pendekatan yang bijak dan kreatif,” katanya.



Pelajar IMTIAZ bakal jadi golongan ulul-Albab

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Haji Muhammad Ramli menyampaikan sijil kepada peserta Khatam al-Quran Program Tadarus al-Quran Sempena Cuti Sekolah yang diadakan di Masjid Kristal, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri yakin pelajar Sekolah Menengah IMTIAZ bakal menjadi generasi ulul-Albab berdasarkan kecemerlangan mereka di bidang hafazan dan akademik.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Noh, berkata sejak kebelakangan ini pencapaian sesetengah pelajar IMTIAZ amat luar biasa di mana ada antara mereka sudah mampu menghafaz al-Quran setelah dua tahun belajar di situ.

“Bayangkan betapa hebatnya mereka kerana kerajaan negeri meletakkan sasaran agar mereka mampu menghafaz al-Quran selepas tiga tahun belajar di IMTIAZ iaitu menghafaz 10 juzuk setahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penutup Tadarus al-Quran Sempena Musim Cuti Sekolah di Masjid Kristal petang semalam.



Beliau berkata, tahun lalu lima pelajar IMTIAZ sudah mampu menghafaz 30 juzuk sewaktu berada di tingkatan lima manakala tahun ini sudah ada seorang pelajar mampu berbuat demikian.

“Kita jangkakan lebih ramai pelajar tingkatan dua boleh menghafaz 30 juzuk al-Quran menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pelajar yang mampu menghafaz al-Quran lebih awal daripada matlamat yang ditetapkan itu turut melakarkan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang diadakan di sekolah.



“Manakala dalam peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula mereka mencatat keputusan 9 A. Boleh dikatakan hamper separuh daripada pelajar IMTIAZ mendapat keputusan sama ada 9 A atau 8 A dalam peperiksaan PMR baru-baru ini,” ujarnya.

Haji Muhammad Ramli berkata, pelajar berkenaan diharapkan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan mereka menjadi menjawat pelbagai jawatan profesional dan mampu menghafaz al-Quran.



Program tadarus al-Quran terbuka di Masjid Kristal

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Program tadarus al-Quran sempena musim cuti sekolah yang diadakan di Masjid Kristal akan diadakan secara terbuka berkonsepkan program realiti televisyen, bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat menyertai program tersebut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Noh, berkata langkah ini perlu bagi memastikan lebih ramai rakyat Terengganu menyertai program itu bagi menarik minat mereka membaca kitab suci berkenaan.

“Di Terengganu terdapat ramai orang yang mampu membaca al-Quran dengan baik dan sesetengahnya pula merupakan hafiz dan hafizah. Oleh itu, program tadarus ini merupakan medan terbaik bagi mereka untuk membaca al-Quran secara beramai-ramai dan menarik minat golongan lain mendekati al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup dan Khatam al-Quran Program Tadarus al-Quran Sempena Cuti Sekolah yang diadakan di Masjid Kristal, petang semalam.

Program tersebut dianjurkan Radio Malaysia Terengganu (Tfm) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Yayasan Terengganu dan Taman Tamadun Islam (TTI) Management.

Seramai 30 pelajar Sekolah Menengah IMTIAZ seluruh Terengganu menyertai program tersebut yang diadakan selama lima hari mulai 13 Mac lalu.

YB Haji Muhammad Ramli berkata, beliau yakin program tadarus yang bakal diadakan seperti konsep Imam Muda akan menarik lebih banyak penyertaan dan ini boleh membantu mengimarahkan lagi Masjid Kristal.

“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkenaan, terutamanya Tfm bagi merealisasikan cadangan tersebut,” ujar beliau.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya, Tfm yang menjayakan program tersebut dan berharap lebih banyak program yang bertujuan meningkatkan syiar Islam dijalankan pada masa depan.



PPDNKK didik pengguna

Oleh: Suriati Ali


PPDNKK Terengganu sentiasa menyalurkan maklumat kepada masyarakat terutama berkaitan hak sebagai pengguna. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Pengguna di Terengganu disarankan supaya membuat aduan terus ke kuanter Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (PPDNKK) sekiranya berasa tertipu dengan barangan yang dibeli.

Timbalan Pengarah PPDNKK Terengganu, Ab Ghani Harun berkata, pihaknya sentiasa menyalurkan maklumat kepada masyarakat terutama berkaitan hak sebagai pengguna.

“PPDNKK mengambil tindakan positif dalam menyalurkan maklumat kepenggunaan melalui pelbagai program yang diadakan melibatkan kerjasama agensi berkaitan dan pengusaha pasar raya di negeri ini.

“Pihak kami memberi pendedahan kepada pengguna berhubung barangan yang dikawal kerajaan agar mereka tidak keliru apabila berlakunya kenaikan harga barangan, malah kita juga berjaya menubuhkan 135 Kelab Pengguna Sekolah,” katanya.

Katanya, di Institut Pengajian Tinggi (IPT) pula kita sudah mencapai 70 peratus penyertaan dan kita sentiasa memberi sokongan terhadap kempen yang dijayakan pihak pasar raya sebagaimana dilakukan di Mydin Mall seperti kempen `Teliti Baru Beli’.

“PPDNKK berusaha menyalurkan setiap maklumat berhubung hak kepenggunaan kepada masyarakat di setiap kawasan melalui risalah, menganjurkan pelbagai program dan kempen,” katanya.



17 March 2011

Pelajar Terengganu hadir ceramah Dr M di Russia

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan


BUDI..."komuniti yang berikan kita peluang untuk belajar, kita patut balas balik budi komuniti"

Pelajar Terengganu yang sedang menuntut di Russia, turut menghadiri ceramah mengenai Wawasan 2020 yang disampaikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di Kedutaan Besar Malaysia di Moscow, pada 12 Mac lalu.

Kira-kira 300 pelajar Malaysia mendengar ceramah itu yang turut dihadiri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali serta delegasi yang mengiringi Dr Mahathir ke Moscow atas jemputan Presiden Dmitri Medvedev dan Perdana Menteri Vladimir Putin dari 9 Mac hingga 12 Mac.

Sepanjang berada di Russia, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Perdana Menteri Russia dan turut disertai Presiden Republik Tatarstan, Mr. Rustam Minnikhanov dan turut mengadakan syarahan di Moscow State University of International Relations (MGIMO) yang bertajuk "Street Demonstrations and Protests-Tools for Regime Changes".

Bagi perjumpaan dengan pelajar Malaysia itu, KUMOSC menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas bagi memudahkan para pelajar tiba ke Kedutaan Malaysia dan juga untuk melancarkan lagi perjalanan program pada hari tersebut.

Perkhidmatan pengangkutan bas diadakan di lima lokaliti iaitu Spartiv, Kahov, Pushkin untuk M1, M2 dan MAI. Ini adalah hasil kesepakatan KUMOSC dan Kedutaan Malaysia untuk memberikan perkhidmatan tersebut.


KENANGAN...antara pelajar yang hadir dan bergambar bersama tokoh negara.

Pada akhir ceramahnya, Dr Mahathir sempat menyampaikan amanat beliau bagi pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar negara agar balik ke Malaysia setelah menamatkan pembelajaran dan berbakti kepada masyarakat kerana tanpa masyarakat siapalah kita.