Halaman

02 April 2011

Terengganu mampu anjur TWIJC buat kali kedua

Oleh: Suriati Ali

Terengganu membuktikan kebolehan menjadi tuan rumah bagi acara berprestij Terengganu World Invitational Jetrace Challenge (TWIJC) 2011, buat kali kedua, di Pulau Duyung, Kuala Terengganu.

Hadiah keseluruhan yang ditawar dalam kejohanan yang turut disertai juara dunia, pelumba professional dan amatur ini hampir RM120,000.

TWIJC berlangsung selama tiga hari dan berakhir esok (3 April) bakal mempamerkan aksi lasak 25 pasukan dari sembilan negara. Malaysia pula menghantar 12 pasukan termasuk satu dari Terengganu.

Aktiviti sampingan yang dianjurkan adalah, pameran Maritim, pertandingan layang-layang, pertandingan sepak raga bulat, pertandingan sepak bulu ayam, pertandingan bola sepak pantai dan pertandingan menangkap itik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Rahin Mohd Said berkata, pelbagai acara sukan rakyat diadakan semata-mata ingin menarik minat rakyat tempatan dan luar Terengganu datang menonton sukan berprestij ini.

“Pada masa sama, ia mampu memperkenalkan budaya dan adat resam Terengganu kepada pelancong asing,” katanya. Peserta Malaysia, Encik Zulfaizal yang bakal bertanding dalam kategori expert runabout open, pro-am runabout open dan endurance, berkata dia akan melakukan yang terbaik dalam kejohanan kali kedua disertainya di negara sendiri.

“Pengalaman yang dicungkil sebelum ini akan digunakan sepenuhnya supaya memperoleh kejayaan membanggakan secara tidak langsung dapat mengharumkan nama Malaysia khususnya Terengganu,” katanya.

Juara dunia, Amy Green dari Amerika Syarikat, berkata, dia cukup bertuah kerana terpilih dan berpeluang mengikuti TWIJC di Terengganu.

Katanya, kejohanan sama sewajarnya diteruskan, kerana Terengganu memiliki keindahan pantai dan sungai yang cukup unik dan amat sesuai menganjurkan sukan seperti ini.

“Pengalaman selama empat hari berada di Terengganu tidak akan dilupakan dan akan kembali jika mempunyai masa dan kelapangan,” katanya.



Kanak-kanak TPK mula hafaz surah lazim

Oleh: Suriati Ali


Menjadi rutin bagi kanak-kanak di TPK menghafaz surah-surah lazim bersama ustaz dan ustazah sebelum memulakan pembelajaran dan aktiviti harian. - Foto: Zulkipli Putra.

Kanak-kanak berumur tiga dan empat tahun di 65 Taska Permata Keluarga (TPK) milik Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di seluruh negeri ini mula menghafaz 23 surah lazim yang dijangka diperdengarkan kepada umum September nanti.

Pengurus Taska TPK Batas Baru, Kuala Terengganu, Puan Norhayati Omar, berkata menjadi rutin pagi bagi kanak-kanak di TPK menghafaz surah-surah lazim bersama ustaz dan ustazah sebelum memulakan pembelajaran dan aktiviti harian.

“Kanak-kanak berkenaan dipastikan peka dengan amalan itu supaya tidak ketinggalan. Mereka yang menunjukkan minat saja akan dipilih menyertai Program Menghafaz 23 Surah Lazim. “Ibu bapa disarankan membantu anak-anak menghafaz setiap surah dikehendaki di rumah supaya lebih cepat ingat dan lancar,” katanya.

Pengarah YPK Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, berkata pihaknya mengharapkan jumlah lebih besar boleh dicapai kanak-kanak TPK dalam menghafaz 23 surah lazim pada tahun ini. “Untuk capai sasaran berkenaan, setiap pagi mereka perlu menghafaz beberapa surah sebelum memulakan aktiviti dan pembelajaran.

Ketika aktiviti pun dimulakan dengan sebutan ayat-ayat suci al-Quran agar setiap patah perkataan itu mudah melekat di hati mereka,” katanya Tahun lalu katanya, 735 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun boleh menghafaz 23 surah lazim dan tahun ini jumlah itu akan lebih meningkat lagi.



PPAT bawa peserta jejak sejarah

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan menganjurkan Program Jejak Warisan ke beberapa lokasi bersejarah sekitar Dungun yang dijadualkan bermula esok (3 April) hingga 5 April ini.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta program dan berkongsi kawasan bersejarah untuk didokumentasikan.

Katanya, pelaksanaan program ilmu ini mampu memperkukuhkan kesedaran dan penghayatan masyarakat terhadap pentingnya menghargai sejarah dan mencintai ilmu.

“Pelbagai tempat bersejarah akan dijejaki sepanjang program tiga hari, antaranya Bukit Che Hawa dan Rantau Abang bagi menjejaki lagenda `batu penyu', manakala tugasan kedua pula akan menjejaki Bukit Tebuk.

“Kita juga berusaha menjejaki sejarah Panglima Hitam Tambun di Kampung Tengah, Kuala Dungun selain menjejaki sejarah Sultan Yahya Siak di Kampung Che Lijah dan sejarah Pak Soh Kumpal dan pelbagai tempat sejarah lain,” katanya.

Menurutnya, melalui program ini, peserta dapat mengenali adat resam dan budaya masyarakat setempat dengan lebih dekat serta tempat-tempat menarik di negeri ini.



Pelajar Terengganu di Moscow Sertai Karnival Sukan 1 Malaysia

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan



Dalam kesibukan harian memberikan tumpuan menimba ilmu dengan kuliah, latihan, praktikal dan tugasan. Pelajar Yayasan Terengganu yang berada di Moscow berkesempatan menyertai Sukan 1 Malaysia yang dianjurkan oleh KUMOSC dan mendapat tajaan utama daripada Rakan Muda dengan kerjasama SAB Medic pada 27 Mac 2011 lalu.

Karnival yang berlangsung di Dewan Russian State Medical University(RSMU), Moscow dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam itu telah dirasmikan oleh Dekan Pelajar Luar Negara, RSMU, Beespalyuk Georgiy Nikolaevich.

Aktiviti ini telah menyaksikan perlawanan sengit antara pasukan-pasukan pelajar lelaki dan perempuan dari First Moscow State Medical University (FMSMU), Russian State Medical University (RSMU), Moscow Aviation Institute (MAI) dan Saint Petersburg State Marine Technical University (SMTU) dalam acara futsal, bola keranjang, bola jaring serta 'dodgeball'.

“Permainan Dodgeball ini diadakan di saiz gelanggang bola tampar dengan tujuan mengeluarkan semua pemain pihak lawan dengan membuat mereka "OUT". Ini dapat dilakukan dengan cara melempar bola ke arah pemain lawan tidak kira di mana-mana bahagian badan pihak lawan termasuk bahagian kepala,badan atau kaki atau menangkap bola yang dilemparkan oleh pihak lawan dengan kemas sebelum menyentuh gelanggang.”

Di samping itu, karnival yang diadakan ini telah menjalinkan hubungan silaturahim sesama komuniti pelajar Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa, aktiviti ini dapat memberikan kecergasan fizikal dan minda pelajar.



Jawatankuasa penganjur telah menyediakan sarapan pagi untuk setiap peserta dan peserta yang hadir telah diberikan t-shirt karnival.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Volodin Nikolai Nikolaevich, Rektor RSMU dan turut dihadiri Igor Kurinnoi, Master Sportzal, Encik Abdul Razak bin Abdul Wahab, Menteri Penasihat/ Timbalan Ketua Perwakilan Mejar Suhaimi Mohamad, Assistant Defence Attachee dan Encik Suhaimi Zainudin, Pegawai MARA.

Dalam ucapan penutup, Rektor RSMU memuji semua yang terlibat dalam menjayakan Karnival Sukan 1 Malaysia yang dianjurkan menunjukkan semangat kesukanan dan kerjasama yang begitu tinggi oleh peserta, penonton yang datang dan memberikan sokongan.



Selain itu pengunjung juga dapat menikmati hidangan istimewa yang diadakan gerai jualan variasi makanan Malaysia.



01 April 2011

Imam dan bilal sentiasa `on call’

Oleh: Aida Abd Rahman

Imam dan bilal di negeri ini bukan hanya terhad kepada peranan hakiki melaungkan azan dan mengetuai solat berjemaah di masjid yang ditugaskan kepada mereka, malah golongan itu juga sering `on call ’ dengan tugas sampingan yang berkaitan dengan komuniti setempat.

Naib Yang Dipertua Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, Haji Mohamad Ibrahim, berkata kumpulan imam khususnya, sering diminta mengetuai tahlil, talkin serta solat hajat tanpa mengira masa dan ketika.

Bagaimanapun, tanggungjawab yang menjadi fardu kifayah itu dilaksanakan tanpa halangan dan masalah kerana mereka ikhlas bertugas demi mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Oleh yang demikian, katanya, peranan mereka yang tiada batasan itu memerlukan perhatian dan pembelaan yang setimpal termasuk dilindungi dalam insurans berkelompok bagi memastikan mereka mendapat perlindungan khusus.

“Kalau boleh kami mahu supaya insurans berkelompok itu diteruskan semula selepas Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) menaja insurans itu setahun pada 2008. Ia penting kerana imam bilal sentiasa turun awal pagi dalam keadaan masih gelap yang boleh menyumbang pelbagai kejadian tidak diingini sperti kemalangan dengan haiwan ternakan, mahupun dilanggar kenderaan,” katanya ketika berucap di majlis Mesyuarat Agung Perwakilan Kali Ke-10 2011 Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, malam semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohamad Rozali Salleh.

Haji Mohamad juga meminta kerajaan negeri meneruskan bantuan serta penajaan menunaikan Haji serta umrah kepada imam dan bilal yang cemerlang. Insentif itu pernah diberikan ketika zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu dan dihentikan sebagai Terengganu dikuasai Pas.

Beliau juga meminta supaya kerajaan negeri meluluskan permohonan persatuan itu untuk melantik ketua imam di setiap masjid mukin bagi penyelarasan tugas serta mengelakkan sebarang masalah berkaitan pengurusan masjid dan surau.

“Kita juga memohon kerajaan menyediakan bantuan pengurusan persatuan sebagaimana yang kita perolehi pada 2010 sebanyak RM60,000. Kalau boleh ditambah lagi menjadi RM80,000 kerana peruntukan itu kita gunakan untuk faedah dan kebajikan ahli terutamanya bantuan anak-anak ke universiti, kematian, uzur dandimasukkan ke hospital,” katanya.



Usaha elak penyu kepupusan

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha memulihara penyu terus diperkasakan bagi memastikan haiwan dua alam yang berdepan dengan risiko kepupusan itu dapat meneruskan kelangsungan hidup dan mencapai jangka hayat lebih panjang.

World Wide Fund of Nature (WWF) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Terengganu mempertingkatkan usaha untuk memastikan pemuliharan penyu di Kampung Penarik, Setiu terus dipertingkatkan.

Pegawai Komuniti dan Kesedaran WWF, Mr River Foo, berkata usaha bersepadu digembleng pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perikanan bagi memastikan tempat perlindungan penyu di Setiu itu tidak terancam.

“Pada masa yang sama, renjer juga dilantik bagi memantau sepanjang pesisir pantai jika terdapat pendaratan penyu yang tidak dijangka. Kita juga mempunyai kakitangan sukarela bagi menjaga pusat pentasan telur penyu yang terdiri daripada penduduk kampung,” katanya.

MR River juga melahirkan rasa gembira apabila kesedaran orang ramai mengenai ancaman penyu semakin bertambah menerusi sokongan yang diberikan dalam penganjuran setiap program dan kempenmengenai kepupusan penyu.

Katanya, jika sebelum ini kebanyakan penduduk tempatan gemar makan telur penyu yang turut menyumbang kepada kepupusan haiwan itu, kini mereka berubah positif hasil kempen kesedaran yang dilaksanakan kerajaan dengan badan berkaitan.

Menurutnya, WWF dan Jabatan Perikanan juga akan terus bergerak seiring supaya penyu dapat terus hidup dan bertelur dengan selamat, selain tidak mati akibat terperangkap dalam pukat nelayan serta sampah sarap yang mencemari perairan.

Selain itu, jangka hayat seekor penyu lazimnya mencecah 60 tahun. Bagaimanapun, haiwan amfibia itu berdepan dengan risiko kepupusan akibat pelbagai faktor persekitaran termasuk menjadi pemangsa ikan jerung, hidupan akuatik ynag lain serta kegiatan manusia.




Kerja ubahsuai DUN Terengganu siap

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Dewan Undangan Negeri Terengganu sebelum diubahsuai (gambar kiri) dan Dewan Undangan Negeri yang sedang diubahsuai (kanan) yang dijangka siap dalam masa terdekat ini bagi kegunaan persidangan pada 9 Mei depan. - Foto: Zulkipli Putra.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bakal berwajah baru apabila sidang DUN akan memulakan sidangnya pada 9 Mei depan.

Kini kerja-kerja pengubahsuaian dewan tersebut hampir siap dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bersidang dalam keadaan yang lebih selesa pada sidang dewan akan datang.

Speaker DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata, pengubahsuaian itu dikira perlu bagi memberi keselesaan kepada anggota dewan terutama di tempat duduk pegawai-pegawai kerajaan di bahagian belakang.

"Dewan itu sudah berusia 30 tahun dan sampai masanya ia perlu beri sedikit keselesaan kepada ahli yang semakin bertambah," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pengubahsuaian dewan itu dimulakan Januari lalu, melibatkan peruntukan lebih RM2 juta.



66,000 PENGUNDI BARU BERJAYA DIDAFTARKAN UMNO TERENGGANU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Umno Terengganu berjaya mendaftar kira-kira 66,000 pengundi baru dari kalangan pendokong parti berkenaan di seluruh negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato' Seri Haji Ahmad Said memberitahu Teganukita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri di Pejabat Umno Terengganu, Jalan Sultan Mahmud di sini sekejap tadi (31 Mac 2011).


Difahamkan pendaftaran itu berjaya dibuat dalam tempoh Januari dan Februari baru-baru ini, merupakan suatu angka tertinggi yang pernah dilakukan oleh Umno Terengganu bagi menjamin kemenangan selesa dalam pilihan raya umum akan datang.

Dato' Seri Ahmad juga berkata, mesyuarat perhubungan pada malam ini membincangkan lawatan kerja YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ke Terengganu pada 30 April ini.

Katanya, Perdana Menteri selaku Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan hadir ke dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Tunggal (Kuala Nerus) dan Manir (Hulu Terengganu).

Perdana Menteri akan merasmikan perumahan rakyat dan melawat pasar di Kuala Nerus dan akan hadir di perhimpunan bersama rakyat di Pulau Bahagia, DUN Manir.

Hadir dalam mesyuarat yang berakhir jam 12.45 malam ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan, YB Haji Yahya Khatib Mohamad, Setiausaha,Dato' Tengku Putera Awang,Ketua Penerangan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, Bendahari, Datuk Zaabar Mohd.Adib dan Ketua-Ketua Bahagian.


31 March 2011

Textra tawar pakej istimewa kepada kaki pancing

Oleh: Suriati Ali

Syarikat milik Bumiputera, Textra Enterprise (Textra) menawarkan pelbagai kelebihan kepada ahli kelab Kolam Pancing Textra (KPT) setiap kali memenuhi hobi masing-masing di kolam ikan air tawar Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang.

Setiap enam kali memancing dengan pakej RM20 untuk tiga jam diberi percuma satu kali memancing, jemputan memenuhi pelbagai aktiviti KPT termasuk bermain futsal, badminton, boling dan barbeku (BBQ).

Kelebihan lain, menyertai trip KPT memancing di Tasik Kenyir, pelbagai pantai dan mencandat sotong di laut.

KPT dibuka setiap hari kepada orang ramai bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam, manakala Khamis, Jumaat dan Sabtu dibuka selama 24 jam itu sememangnya mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada kaki pancing tempatan dan luar Terengganu.

Pengurus Textra, Encik Muhammad Irewan Abd Jalil, berkata KPT yang diusahakan bersama rakan kongsi Muhd Rumzi Abdullah awal tahun lalu bukan saja dibuka di kalangan ahli sahaja malah kepada pelbagai kaum dan peringkat umur boleh memancing di lokasi ikan air tawar itu.

Katanya, kebiasaannya seramai 70 hingga 100 pemancing akan mengunjungi KPT pada setiap hari dan bilangan tersebut akan bertambah apabila tiba cuti sekolah dan hujung minggu.

“Kami cukup gembira dan berpuas hati sekiranya dapat melihat reaksi gembira dan sorakan pemancing ketika merasai sentapan dan henjutan pelbagai spesis ikan air tawar yang mengena joran.

“Perniagaan yang ditawarkan syarikat kami cukup berbeza, kerana setiap ikan yang berjaya dipancing boleh dibawa pulang tanpa mengenakan sebarang syarat walaupun berjaya memperoleh berat ikan melebihi puluhan kg setiap hari,” katanya.



Firefly setuju beroperasi pada musim tengkujuh

Oleh: Esah Abdullah

Syarikat penerbangan tambang murah, Firefly bersetuju meneruskan semula penerbangan pergi balik dari Kuala Terengganu ke Pulau Pinang dan Subang yang dihentikan akibat musim tengkujuh.

Sebelum ini, penerbangan ke destinasi itu pernah dikendalikan Syarikat Pelangi Air.

“Syarikat berkenaan juga bersetuju meneruskan operasi seperti biasa dari Singapura ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dan Subang walaupun pada musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) di Wisma Darul Ima, Kuala Terengganu, hari ini (31 Mac).


Katanya, hasil perbincangan kerajaan negeri dengan syarikat berkenaan kata sepakat dicapai dan penerbangan akan berjalan seperti biasa walaupun pada cuaca yang tidak menentu sekarang.

Dalam perkara lain, Datuk Abdul Rahin akan menghimpunkan semua pemandu pelancong yang terdapat di negeri ini untuk berdailog dan bertukar pendapat bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan masalah kekurangan kerja di kalangan mereka.

“ Kerajaan akan cuba selaraskan dengan syarikat pengurus acara yang berlangsung dalam negeri seperti Kejohanan Perayu Layar serta aktiviti lain yang memerlukan petugas pemandu pelancong,” katanya.

Datuk Abdul Rahin kemudiannya menyarankan pemandu pelancong sentiasa berusaha meningkatkan penyampaian dan penampilan diri agar disenangi ramai di samping dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lancar.

“Kalau sekadar ada sijil kursus tetapi tidak dapat menguasai bahasa dengan baik serta kurang pengetahuan mengenai sejarah dan warisan negeri tidak dapat membantu membangunkan karier seseorang itu,” katanya.