Halaman

12 September 2011

KONSTABEL JAAFAR HASSAN ANAK TERENGGANU PERTAHANKAN BUKIT KEPONG.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Pengarang Teganukita.



Kita berasa terpanggil untuk mengetahui dan menghayati Peristiwa Bukit Kepong, yang merupakan suatu peristiwa kekejaman pengganas komunis semasa keadaan darurat, selepas Perang Dunia II, 61 tahun yang lalu.



Sebagai rakyat Terengganu pula kita dikejutkan dengan salah seorang anggota polis yang terbunuh dalam peristiwa itu, konstabel Jaafar Hassan kerana beliau adalah ‘anak Terengganu’!

Dalam kejadian tersebut balai polis Bukit Kepong di pinggir Sungai Muar, Johor diserang oleh segerombolan 180 orang pengganas komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi pada 23 Februari 1950.

Dalam kejadian tersebut, para anggota polis Melayu berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur.



Malah dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.

Dalam mempertahankan balai polis Bukit Kepong, 17 orang anggota telah terkorban.

Peristiwa pertempuran antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya semasa sebelum kemerdekaan Tanah Melayu berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong, sebuah balai polis lama yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor.

Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragis dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ.



Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis.

Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika serangan ke atas balai tersebut diketuai Sarjan Jamil Mohd Shah.

Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabel polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya dan juga isteri dan anak-anak anggota tinggal diberek kelamin di belakang balai.

Ini termasuklah konstabel Jaafar Hassan, seorang anggota polis yang berasal dari Jalan Tok Lam Terengganu.

Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ.

Komunis yang menyerang dipercayai diketuai oleh Muhammad Indera, Komunis Melayu yang diperdaya oleh pihak komunis Cina, di mana pada awal rancanganya Muhammad Indera dimaklumkan bahawa serangan itu sebagai amaran sahja, bagaimanapun ia bertukar menjadi tragedi buruk.

Pertempuran bermula sekitar 04.15 pagi. Apabila Konstabel Jaafar Hassan (anggota polis yang berasal di Tok Lam Terengganu itu) mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat duri balai tersebut.

Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan.



Pihak polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, demi agama, bangsa dan tanah air, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah.

Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran.

Sekitar pukul 5.00 pagi pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan di Kampong Jawa di bawah pimpinan penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk membantu.

Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran dikawasan itu.

Sekitar pukul 7 pagi, pihak komunis menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Konstebel Mohamad Jaafar.

Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri.

Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan.

Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Konstabel Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada.

Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis,akibatnya dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek pasangan kawin.

Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu.

Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.

Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api.

Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.
14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang.

Apabila pengawal kampung memasuki kampung Bukit Kepung, mereka dapat melihat kemusnahan akibat serangan kejam tersebut. Ketua kampung mengambil alih pentakbiran pos luar tersebut sehingga diganti oleh pasukan polis dari Muar.

Kadang-kadang kita tidak pernah fikir ada juga orang Melayu menyokong pengganas komunis, bahkan mengetuai serangan kepada polis dan orang Melayu itu sendiri, seperti Muhammad Indera.

Walaupun Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu menyifatkan Muhammad Indera dan kumpulan komunis yang dipimpin Muhammad Indera menyerang Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemardekaan, tetapi amatlah sukar diterima.

Lantaran itulah, ramai pihak bangkit menentang pihak yang meletakkan petualang sebagai pejuang dan pejuang sebagai petualang bangsa.

Sanggupkah kita orang Terengganu mengatakan konstabel Hassan anak Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu itu yang dibunuh komunis dalam peristiwa Bukit Kepong sebagai petualang dan komunis yang diketuai Muhamad Indera sebagai pejuang?



PMINT rancang bina 13,000 unit rumah untuk rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) merancang untuk membina 13,000 unit rumah pelbagai kategori bernilai RM800 juta, menjelang tahun 2013.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda, berkata sejak pihaknya dilantik menyelia projek perumahan kos rendah dan rumah mampu milik di negeri ini pada 2009, sebanyak 17 projek rumah sudah diselaras di seluruh negeri.



Beliau berkata, sehingga Disember tahun lalu, rumah yang dibina di seluruh negeri merangkumi rumah mampu milik dan perumahan rumah awam kos rendah (RAKR) melibatkan 5,473 unit dengan kos keseluruhan RM458,420,309.

"Kita cuma dapat menyiapkan 133 unit RAKR untuk daerah Setiu saja sehingga ini manakala bagi daerah lain akan disiapkan akhir tahun ini atau awal tahun hadapan," katanya pada sidang media pada majlis sambutan Hari Raya Aidifitri PMINT di Taman Tamadun Islam, hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut hadir pada majlis tersebut.

Dato’ Osman berkata, pada masa ini 1,846 unit rumah sedang dibina di daerah Kuala Terengganu, Kemaman (1,471 unit), Besut (144 unit), Setiu (133 unit ), Marang (383 unit), Dungun (890 unit) dan Hulu Terengganu (626 unit).

“Sebanyak 16 projek perumahan lagi melibatkan 1,800 unit rumah sedang dalam perancangan di seluruh negeri,” tambahnya.

Menurut beliau, rumah-rumah yang dibina itu mempunyai keluasan melebihi 800 kaki persegi bagi keselesaan penghuni mendiaminya.



Golongan tidak bernasib baik terima ‘duit raya’, hamper

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Walaupun 1 Syawal sudah dua minggu berlalu, sambutan Aidilfitri masih diteruskan, khususnya bagi meraikan golongan kurang bernasib baik.

Sempena sambutan Aidilfitri anjuran Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Permint) yang diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini, 83 orang kanak-kanak miskin dan warga emas amat bertuah kerana mereka bukan saja diraikan dengan pelbagai juadah, tetapi juga diberi habuan ‘duit raya’ dan hamper makanan.

Lebih menggembirakan golongan tersebut, apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, telah sudi menyampaikan sumbangan tersebut yang bertujuan menggembirakan mereka sempena sambutan Aidilfitri kali ini.



Menteri Besar menyampaikan ‘duit raya’ kepada murid-murid dari empat buah sekolah sekitar Kampung Losong dan ‘duit raya’ serta hamper makanan kepada warga emas sekitar kampung itu.

Hadir sama Pengurus Besar Permint, Dato’ Haji Osman Muda dan pegawai kanan perbadanan tersebut.

Sementara itu, ketua-ketua jabatan dan orang ramai turut memeriahkan sambutan Aidilfitri Permint di tempat yang sama yang bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Terengganu idam kemenangan ketiga

Oleh; Esah Abdullah

Biarpun berjaya mengutip enam mata penuh hasil dua perlawanan menentang PKNS dan Sime Darby namun pasukan Terengganu enggan mendabik dada sebaliknya terus idam kemenangan.



“Masih terlalu awal untuk membuat ramalan dan tumpuan sekarang adalah perlawanan menentang Negeri Sembilan malam esok di Stadium Paroi, Negeri Sembilan” katanya.

Juara Piala FA dan naib juara Liga Super ini diramal pasukan pilihan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia bersama Kelantan pada musim ini.

Katanya, walaupun berada di tangga kedua Kumpulan B, iaitu dibelakang Negeri Sembilan, pasukan hitam putih ini komited untuk mengutip mata penuh pada perlawanan malam esok.



“Kami hanya menumpukan pada latihan seperti biasa dan tertumpu kepada memperbaiki kesilapan yang dilakukan pada perlawanan terdahulu memandangkan jarak masa terlalu singkat,” katanya.

Setakat ini, beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang berjaya mencatat kemenangan dua perlawanan dalam kumpulan dan berharap malam esok juga akan mencipta kemenangan bergaya.




11 September 2011

KEHADIRAN RAMAI BUKTI AHMAD SAID POPULAR DI SISI RAKYAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Kehadiran begitu ramai pengunjung ke rumah terbuka yang diadakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di kediamannya di Kijal Kemaman dan sebelumnya di kediaman rasmi di Kuala Terengganu jelas menampakkan betapa ‘popularnya’ Dato’ Seri Ahmad d sisi rakyat.

Mungkin pendekatan Dato’ Seri Ahmad yang bersahaja dengan rakyat dan tidak terlalu ‘protokol’ menyebabkan rakyat begitu senang berdepan dengan beliau dan sebenarnya itulah yang pernah disarankan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak.

Perdana Menteri yang memperkenalkan konsep “Juara Rakyat’ pernah meminta supaya pemimpin sentiasa turun padang menemui rakyat tanpa terlalu protokol, sebaliknya menghayati dan merasai denyut nadi kehidupan rakyat.

Dato’ Seri Ahmad sebaik sahaja dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu ke 13, meletakkan dasar rakyat adalah keutamaan, lalu memperkenalkan pendekatan dan konsep ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”, MPPNT.

Itulah menunjukkan apa yang ada dalam diri beliau kerana beliau seorang yang berasal dari keluarga sebuah kampong iaitu Teluk Kalong, Kijal Kemaman dan amat memahami sanubari dan denyut nadi rakyat .

Melalui konsep 5M, beliau meminta supaya pegawai kerajaan menghayati, menjiwai dan menghalusi , selain melaksana dan memantau setiap projek pembangunan untuk memastikan rakyat dapat menikmat sebenar-benarnya pembangunan yang dijalankan.

Oleh kerana Dato’ Seri Ahmad begitu prihatin dan cakna rakyat, maka balasannya ialah rakyat juga amat prihatin dan cakna kepada kerajaan dan kepemimpinannya yang terbukti melalui kehadiran yang begitu rakyat ke majlis-majlis yang dianjurkan.

Angka melebihi 10,000 orang yang hadir ke rumah terbuka Dato’ Seri Ahmad di Kijal semalam dan pada hari raya pertama melebihi 30,000 orang di kediaman rasminya adalah suatu angka yang amat besar, apatah lagi ia berlangsung secara ‘bersahaja’ tanpa jemputan dibuat.

Rakyat berasa terbuka hati di hari mulia untuk menemui seorang pemimpin yang berjiwa mulia yang sentiasa memikirkan kebajikan dan kesenangan untuk rakyat.

Semoga pendekatan merakyat yang ditunjukkan oleh Dato’ Seri Ahmad dan isteri To’Puan Seri Norliza Mahmud juga dicontohi oleh para pimpinan kerajaan yang lain.

`Penyu’ menang lagi

Oleh: Suriati Ali

Pasukan Terengganu yang beraksi di gelanggang sendiri malam tadi (10 September) berjaya menudukkan pasukan pelawat PKNS dengan keputusan 3-2.



Ini bermakna pasukan `Penyu’ berjaya melepasi halangan kedua dalam kancah Piala Malaysia yang bermula minggu lalu.

Pada aksi pertama, juara Piala FA itu menunjukkan aksi menyakinkan apabila mengalahkan Sime Darby 3-0 pada perlawanan sulungnya di gelanggang lawan minggu lalu.
Ini bermakna Terengganu menjuarai kumpulan B yang turut mengandungi pasukan Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu mendahului seawal minit pertama menerusi Ashaari Samsudin.



Bagaimanapun pasukan tuan rumah dipaksa bekerja keras mempertahankan asakan juara Liga Perdana, PKNS yang dua kali menyamakan kedudukan sebelum Manaf Mamat mengesahkan kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-79.

PKNS yang dikejutkan dengan gol awal Ashaari dan hanya memerlukan lapan minit untuk mengikat kedudukan menerusi Fauzan Dzulkifli, sambil Zamri Hassan (m-62) memadam jaringan kedua Reeshafiq Alwi (m-54).




Tujuh peserta wakili Terengganu

Oleh: Suriati Ali



Komitmen tinggi dan kesungguhan tujuh peserta menzahirkan erti merdeka dalam Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 Terengganu membolehkan mereka terpilih untuk mewakili negeri pada peringkat kebangsaan.



Panel penilai mencalonkan Kampung Gong Guchil, Jerteh bagi kategori Kampung Tradisi dan Anjung Bestari); Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu (Sekolah), Kolej Islam Sains dan Teknologi, Hulu Terengganu (Bangunan Swasta); Pejabat Majlis Perbandaran Dungun (Bangunan Kerajaan) dan Perumahan Bukit Sawa, Marang (Taman Perumahan).



Manakala Mohd Ridzuan Mohamad pula berjaya melayakkan diri bagi kategori Individu Kediaman.

Pengerusi Panel Penilai Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 Terengganu, Encik Mohd Iskandar Jaafar, berkata 19 penyertaan daripada semua kategori diterima pihak penganjur dan setelah dinilai hanya tujuh yang layak untuk dinilai pada Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-54.



Katanya, penilaian dibuat berdasarkan kepada nilai patriotik, jumlah Jalur Gemilang, kreativiti dan kemampuan menterjemahkan semangat kemerdekaan melalui daya kreativiti serta kreatif.

Panel penilai terdiri daripada wakil Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu dan Ketua Biro Utusan Malaysia, Kuala Terengganu mengenal pasti tujuh kategori itu.


Penilaian peringkat kebangsaan akan dilakukan oleh wakil dari Ibu pejabat Jabatan Penerangan Malaysia pada 13 dan 14 September depan.

Pemenang yang berjaya pada peringkat kebangsaan akan menerima hadiah wang tunai antara RM2,000 dan RM10,000.


Pelumba TSG tunjuk belang di Brunei



Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin memahat nama sebagai juara di Brunei Darulssalam, semalam.

Dalam kejohanan Lumba Basikal Jelajah Brunei 2011 itu, Mohd Shahrul mengungguli saingan peringkat keempat kejohanan tersebut dari Tutong Town ke Bandar Seri Begawan sejauh 104.70 kilometer (km).

Pelumba berusia 22 tahun itu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 25 minit 34 saat meninggalkan Lloyd Lucien Reynante daripada pasukan 7 Eleven-RTS Racing dan rakan sepasukannya, Mohd. Harrif Salleh di tempat ketiga.

Ini adalah kemenangan ketiga pasukan TSG pada Jelajah Brunei 2011 selepas dua lagi pelumbanya, Anuar Manan dan Mohd. Harrif masing-masing turut memenangi peringkat kedua dan ketiga.

Anuar bagaimanapun menamatkan perlumbaan semalam di tempat kelima.

Selain menjuarai peringkat keempat, Mohd. Shahrul turut berjaya memenangi zon pecutan pertama dan menduduki tempat kedua di zon pecutan kedua selain menduduki tempat kedua dalam dua zon pendakian.

Apa pun, kejayaan Shahrul ini masih belum mampu menggugat kedudukan pelumba pasukan kebangsaan, Muhd. Adiq Hussainie Othman yang terus kekal menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 11’29:25s.

Adiq Hussainie, 20, yang memenangi peringkat pertama jelajah ini Rabu lalu, bagaimanapun bakal berdepan cabaran hebat dalam perebutan gelaran keseluruhan tersebut pada saingan terakhir hari ini apabila pelumba Tabriz Petrochemical Cycling, Jahanbanian Kamnabi Hossein hanya ketinggalan enam saat di belakangnya.

Saingan terakhir hari ini akan berlangsung di Bandar Seri Begawan sejauh 146.50km melibatkan lima pusingan.



2,000 rai Pesta Tanglung di Kemaman

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Perarakan dan pertunjukan tanglung pastinya menjadi acara tahunan yang paling ditunggu-tunggu setiap kali tiba perayaan kuih bulan yang disambut pada hari ke-15 bulan kelapan dalam kalendar Cina.



Ia diraikan menandakan berakhirnya musim menuai pada zaman dahulu kala dan masyarakat Cina akan menyambutnya dengan berkumpul bersama ahli keluarga.

Bagi kaum wanita, pada malam itu mereka akan sibuk membuat kuih bulan manakala kaum lelaki pula bersama-sama menghasilkan tanglung

Amalan memberi kuih bulan kepada rakan-rakan dan saudara-mara adalah bertujuan untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan kerana kuih bulan dianggap sebagai lambang penghormatan di dalam masyarakat tersebut.

Sesuai dengan semangat perpaduan dan menjana keharmonian kaum, malam tadi masyarakat Cina di daerah Kemaman telah merayakan Pesta Tanglung 2011 anjuran Dewan Perhimpunan Tiong Hua Daerah Kemaman.



Kira-kira 2,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis yang diadakan di Dewan Seri Amar Diraja, Chukai yang turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Apa yang menarik, kanak-kanak dan orang dewasa termasuk beberapa pelancong asing sama-sama berarak di sekitar Bandar Cukai, Kemaman dengan membawa tanglung.

Dalam masa sama, pelbagai acara menarik juga diadakan antaranya perarakan kereta berhias, pertunjukan fesyen kanak-kanak, tarian singa dan pertunjukkan pakaian dan tarian masyarakat Cina.



Menurut Dato’ Seri Ahmad, semangat 1Malaysia yang dilaungkan pemimpin negara dapat dilihat pada pesta tanglung tahun ini.

“Melihat masyarakat Cina turut sama membantu pengunjung kaum lain yang ingin tahu berkatan perayaan ini menjadikan suasana pada malam ini sungguh harmoni.

“Kita berharap pada tahun-tahun akan datang acara ini akan diadakan secara besar-besaran seperti ini agar dapat mengeratkan perpaduan antara kaum,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamaed Awang Tera yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai dan Pengerusi Dewan Perhimpunan Tiong Hua Daerah Kemaman, Dato’ Jimmy Tan Yunn Siong.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan ‘Ang Pau’ kepada lebih 30 warga emas kaum Tiong Hua.

Lebih 10,000 kunjungi rumah terbuka MB Teluk Kalong

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Tradisi rumah terbuka terus disambut dengan penuh meriah di seluruh negara bagi memberi peluang pemimpin dan rakyat bertemu dalam suasana muhibah sepanjang Syawal ini.

Sebentar tadi, kemeriahan itu terus terpancar apabila lebih 10,000 pengunjung berbilang bangsa hadir ke rumah terbuka Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di kediamannya di Teluk Kalong, Kemaman.



Biarpun acara rumah terbuka untuk orang ramai bermula pada pukul 10 pagi, tetapi pengunjung telah mula tiba sejak pukul 8 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan mengambil peluang untuk bersalaman dengan Menteri Besar dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Semangat kekeluargaan nyata terpancar di wajah setiap pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat yang sama-sama hadir untuk meraikan dan memeriahkan sambutan itu.


Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional seperti lemang, ketupat, rending, nasi dagang, sate dan pelbagai jenis kuih raya selain dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu Hari Raya.



Sementara itu, di perkarangan rumahnya lebih 20 khemah dipasang berserta kerusi dan meja untuk orang ramai menjamu selera sambil berbual mesra antara satu sama lain dan tidak melepaskan peluang bergambar di kawasan sekitar itu.



Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan beberapa pemimpin negeri yang lain.