Halaman

14 September 2011

Penyerahan kapal RV Discovery ditunda lagi

Oleh; Esah Abdullah

Penyerahan kapal penyelidik milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), RV Discovery yang dijadual esok terpaksa ditunda pada 30 Sept depan berikutan masih ada beberapa kerja teknikal yang perlu disiapkan.

Naib Canselor UMT Dato'Prof Dr. Aziz Deraman berkata, kapal tersebut telah melalui pelbagai ujian daripada segi ketahanan berlayar dan hanya menunggu penyerahan kapal tersebut daripada kontraktor yang membina kapal itu.

Katanya, terdapat beberapa perkara di bawah seliaan kontraktor perlu dilakukan menyebabkan kapal ini masih tidak dapat diserahkan kepada pihak UMT.

Menurutnya, kapal RV Discovery yang dibina oleh UMT ini merupakan kapal penyelidikan dan latihan sendiri yang pertama di Malaysia yang mampu memberi kemudahan kepada UMT mengkaji dan menjelajah ke seluruh perairan tanpa sempadan.

“Kapal seberat 300 tan itu dibina dengan kos RM15 juta bermula September 2008, mampu menampung penginapan sehingga 23 anak kapal pada satu-satu masa,” katanya.

Selain itu katanya,ia juga dapat memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar-pelajar jurusan Sains Samudera, Biologi Marin, Sains Nautika, Pengangkutan Maritim serta Teknologi Maritim.

"Salah satu keistimewaan kapal ini ialah dilengkapi peralatan untuk belayar dalam keadaan yang baik selama 15 hari tanpa henti selain daripada kelajuannya antara 12.6 knot dan 13.6 knot," katanya.





13 September 2011

Rakyat perlu tolak pemimpin Pas cuba ubah fakta sejarah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Tentu ada yang tidak kena bila Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Naib Tun Abdul Razak membuat teguran keras agar jangan ada pihak yang cuba mengubah fakta sejarah dengan mengagung-agungkan kezaliman pengganas komunis di zaman darurat.

Mungkin setelah meneliti polemik yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab itu, Perdana Menteri turut terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan itu bagi meredakan kemarahan rakyat Malaysia, khususnya ahli keluarga yang terlibat secara langsung dengan kekejaman yang pernah dilakukan komunis.

“Komunis zaman darurat zalim dan membunuh orang dengan kejam. Sebab itulah jangan sesiapa yang hendak mengubah sejarah negara kita, jangan ada sesiapa yang mengagungkan orang yang sebenarnya kejam dan mengkhianati bumi bertuah ini,” begitu tegas Perdana Menteri memberi amaran .

Kenyataan beliau itu pastinya merujuk kepada kata-kata Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengeluarkan ucapan menyinggung perasaan seluruh rakyat negara ini termasuk bekas pejuang kemerdekaan negara.

Bagi keluarga salah seorang mangsa Tragedi Bukit Kepong yang juga merupakan rakyat Terengganu, Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan, penghinaan yang dilakukanMat Sabu terhadap mangsa serangan pengganas itu, merupakan satu penghinaan yang tidak mampu mereka tanggung.

Anak mangsa, Azlas Jaafar, 62, tidak dapat mengungkapkan dengan kata-kata kesedihan dan betapa tergurisnya hati beliau dan seluruh ahli keluarga terhadap penghinaan pemimpin Pas itu.

“Anak mana yang tidak terguris apabila ayahnya dihina sebegitu rupa. Kakak tidak sedih jika orang tidak mahu panggil ayah kakak sebagai hero. Tapi, kakak cukup terluka, jika ada orang tergamak berkata komunis adalah hero.

“Sejak kecil, kakak diberitahu oleh arwah ibu, ayah mati ditembak komunis dan dia adalah seorang pejuang yang mempertahankan negara daripada kekejaman komunis,” kata anak tunggal Allahyarham Kontabel Jaafar.

Seperti Perdana Menteri, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, turut marah dengan penghinaan yang telah dilakukan oleh Mat Sabu.

Lantas beliau dengan diringi istrei, To’ Puan Norliza Mahmud meluangkan masa baru-baru ini untuk melawat anak mangsa tragedi Bukit Kepong di rumahnya di Kampung Perpindahan, Cendering .

Turut hadir menjenguk Azlas yang tinggal bersama ibu saudaranya, Minah Mohamad, 85, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Timbalan Ketua Polis negeri, SAC Dato’ Hamzah Md. Jamil.

Justeru tidak hairanlah jika bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dr. Mohammad Fairus Khairuddin menyifatkan perbuatan Mat Sabu yang menganggap anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa di Bukit Kepong bukan hero sebenar, sebagai mencari pulisiti murahan.

Dalam nada yang keras, beliau menyarakan pemimpin Pas itu dilucutkan kerakyatan sebagai warganegara Malaysia.

Fairus yang kini dilantik Penasihat Politik kepada Menteri Besar Terengganu berkata, rakyat negara ini tidak dapat menerima kenyataan yang mengatakan komunis sebagai pejuang negara dan menuduh pejuang kemerdekaan sebagai pengkhianat negara.

“Kita perlu mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan termasuk melucutkan taraf kerakyatan Mat Sabu dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Kita sebagai warganegara yang masih waras pula, perlu menolak pemimpin Pas dan parti itu secara total sebagai hukuman kepada kenyataan tidak bertanggungjawab itu.


Tuanku Mizan berkenan berangkat ke program Khatam Quran YIT

Oleh; Esah Abdullah

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berangkat ke program khatam al-Quran anjuran Yayasan Islam Terengganu (YIT) yang akan diadakan di Stadium Negeri pada 22 Okt depan.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al-Amin Ismail berkata jumlah murid tadika yang berjaya khatam al-Quran pada tahun ini meningkat kepada 7,900 berbanding 6,246 orang pada tahun lalu.

"Pertambahan pelajar khatam al-Quran tahun ini adalah di atas kesedaran ibu bapa terhadap pentingnya pembelajaran al-Quran dalam membentuk minda generasi muda," katanya.

Menurutnya, seramai 19,000 orang murid Kelas Fardu Ain (Kafa) pula akan mengikuti program khatam al-Quran tahun ini yang akan diadakan seminggu selepas itu.

Beliau berkata jumlah pelajar Kafa khatam al-Quran tahun ini meningkat berbanding 16,269 orang tahun lepas.

"Secara keseluruhannya seramai kira-kira 27,000 orang anak-anak Terengganu akan khatam al-Quran pada tahun ini berbanding 22,515 orang tahun lepas," katanya.

Selain itu katanya, YIT akan mengambil pelajar-pelajar lepasan UPSR untuk ditempatkan di Pondok Darul Iman iaitu pondok moden pengajian Islam di Hulu Terengganu tahun ini.

Katanya YIT juga telah memperuntukkan RM5 juta untuk membesarkan lagi pondok itu tahun ini dan jumlah pelajar di pondok berkenaan akan ditingkatkan kepada 500 berbanding 200 orang pada masa ini.




243 Kadet Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sertai perkhemahan

Oleh: Mohammad Ishak


Kamal menyampaikan sijil tauliah pangkat sarjan kepada seorang anggota kadet sukarelawan wanita sempena penutup Perkhemahan Pertahanan Awam Daerah Besut di La Hot Spring.

Perkhemahan Kadet Pertahanan Awam Malaysia peringkat daerah Besut yang berlangsung di pusat rekreasi Kolam Air Panas La, Hulu Besut, memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah daerah ini dalam pelbagai aspek kehidupan dan kemahiran hidup.

Seramai 243 pelajar yang menjadi anggota Pertahanan Awam mewakili lapan sekolah menengah seluruh daerah ini menamatkan perkehaman selama tiga hari berakhir semalam dengan penuh semangat dan pengalaman baru.

Sepanjang mengikuti perkhemahan itu, peserta diberi pelbagai latihan dan bimbingan mengenai kemahiran hidup termasuk cara melawan kebakaran, menyelamat mangsa kemalangan, pertolongan cemas dan berkawad

Pengarah JPAM Terenganu, Lt Kol (PA) Kamal Mokhtar, melakukan upacara penutup perkhemahan bertujuan melatih peserta dalam kemahiran pertolongan cemas.

Katanya, program tahunan itu diharaap dapat melahirkan angota kadet yang mempunyai kebolehan,kemahiran dan ketrampilan diri yang tinggi.

Menurutnya, pelajar yang memilih pasukan Pertahanan Awam sebagai kokurikulum amat bertuah kerana pelbagai ilmu dan kemahiran hidup dapat digunakan ketika berada di sekolah atau pun ditempat masing-masing.

Pada majlis itu juga 30 pelajar yang lulus ujian khas diberi pengiktirafan dan pentauliahan pelbagai pangkat sebagai penilian pelajar yang komited kepada pasukan sukarelawan berkenaan.

Sementara itu,pasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putera, muncul johan pertandingan ujian pertolongan cemas bagi menguji kebolehan peserta dalam bidang berkenaan.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering pula muncul johan kategori Kawat Kaki lelaki dan perempuan.

SMK Kuala Besut pula muncul johan ujian melawan kebakaran kategori lelaki dan perempuan. Manakala MRSM Kota Putera johan katagori kawad pili bomba lelaki dan SMA Itifakiah johan kategori perempuan.

Hadiah kepada pemenang pelbagai pertandingan disampaikan oleh L Kol Kamal. Manakala johan semua pertandingan yang diadakan di perkhemahan itu akan dipilih untuk mewakili Terengganu ke pertandingan pada perkhemahan peringkat kebangsaan.

KSL pupuk gaya hidup sihat

Oleh; Esah Abdullah

Untuk kesejahteraan rakyat semua golongan, Kelab Sihat Langkap (KSL) yang berpusat di Wisma Seri Langkap akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, YB Haji Asha’ari Idris berkata, dengan kewujudan KSL akan menjadi medium terbaik kepada masyarakat setempat membudayakan diri dengan aktiviti bersukan.

Katanya, untuk merialisasikan hasrat berkenaan beberapa pihak melahirkan persetujuan untuk bersama menjayakan program itu termasuk khidmat jurulatih.

Menurutnya, antarakemudahan yang disediakan termasuklah gimnasium dan kelas senamrobik serta beberapa peralatan bagi aktiviti senaman ringan.

"Sekurang-kurangnya orang ramai dapat mengisi masa lapang mereka setiap hujung minggu dengan aktiviti yang berfaedah," katanya.

Beliau kemudiannya mengesa orang ramai agar menggunakan sepenuhnya segala kemudahan yang disediakan dan berilah keutamaan terhadap penjagaan diri dan keluarga.




Pengertian pesta tanglung bagi masyarakat Cina

Oleh: Suriati Ali

Dalam masyarakat Cina, tanglung bukan hanya perhiasan. Ia digunakan dalam majlis tertentu untuk mengalu-alukan tetamu, untuk menghebahkan kelahiran, kematian, atau amaran bahaya.

Warna serta tempat di mana tanglung digantung membawa makna tertentu. Contohnya, mereka yang baru menyambut kelahiran bayi atau perkahwinan akan menggantung tanglung berwarna merah di pintu rumah. Ini sebagai tanda kemeriahan dan kegembiraan kerana warna merah membawa maksud tenaga dan kecergasan.

Peniaga beras, Khar Kwang Chai, berkata Tanglung merah digunakan semasa perayaan atau keraian, seperti perayaan Tahun Baru Cina.

“Bentuk asal tanglung tidak banyak berubah dari dahulu. Kebiasaannya tanglung diperbuat daripada kertas dan rangkanya daripada buluh. Tetapi ada juga tanglung diperbuat dari sutera dan kain.

“Semasa pemerintahan Dinasti Song, tanglung-tanglung diperbuat dari kaca dan permata digunakan sewaktu menyambut pesta dan perayaan,” katanya ketika ditemui di Karnival Tanglung, Kampung Cina, Kuala Terengganu malam tadi (12 September).

Di negara China, tanglung yang mudah dan ringkas bentuknya digunakan untuk menerangi jalan masuk ke rumah, digantung di tiang sampan, di luar rumah, dan kedai. Kanak-kanak sekolah juga diajar membuat tanglung.

Semasa musim luruh, mereka mengadakan pesta tanglung sebagai tanda berakhirnya musim Tahun Baru Cina dan meraikan kedatangan cahaya dan musim bunga.

Tanglung yang berbagai-bagai bentuk dan warna digantung di merata-rata tempat.
Sudah menjadi tradisi masyarakat Cina menggantung tanglung semasa malam bulan penuh. Kadang-kadang mereka menulis puisi dan teka-teki pada tanglung-tanglung dan cuba menyelesaikannya.

Makanan paling popular untuk festival Tanglung adalah Yuanxiao. Sesetengah tempat memanggil makanan ini dengan nama Yuen Siu atau Tong Yuen. Dipercayai nama Yuanxiao adalah bersempena dengan nama gundik istana Maharaja Wu pada zaman Dinasti Han.

Yuanxio adalah sejenis adunan bebola yang direbus dan dikukus berisikan inti manis, daging ataupun buah-buahan. Ia diperbuat daripada tepung beras, dimasak dalam sup dan sayuran dan daging. Bentuk bulat menandakan simbol kesatuan keluarga, kesempurnaan dan kebahagian.

Pengunjung karnival, Teo Beng Hong, berkata pada malam perayaan, orang ramai akan keluar ke jalanan untuk bermain Tanglung di bawah sinaran bulan bagi menyaksikan tarian singa dan naga, membakar mercun dan bunga api, meneka tulisan yang tertulis di tanglung serta permainan-permainan lain.

Permainan meneka tulisan di tanglung amat popular sekali. Mereka akan meneka teka-teki yang tertulis di kertas tanglung. Permainan ini akan berlanjutan sehingga lewat malam perayaan Tanglung.


MB minta contohi kaum Cina berniaga

Oleh: Suriati Ali

Rakyat di negeri ini terutama mereka yang berbangsa Melayu dan India sewajarnya mencontohi kaedah masyarakat Cina berniaga dan berdagang sehingga mampu membuka pelbagai empayar perniagaan di serata tempat.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, golongan itu mempunyai displin dan komitmen tinggi dalam bidang itu dan tidak mudah lemah dengan halangan dan cabaran antara persaing.


“Sikap seperti ini sewajarnya dicontohi bangsa lain terutama kaum Melayu dan India supaya turut berjaya dan bukannya memiliki sifat hasad dengki dan `busuk hati’,” katanya ketika berucap di Majlis Persamian Karnival Tanglong 2011, di Kampung Cina (Jalan Bandar), Kuala Terengganu malam tadi (13 September).

Lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum hadir memeriahkan karnival itu yang turut diadakan pelbagai aktiviti sampingan lain seperti pameran kesenian Cina, perkhidmatan mengambil gambar dan upara melepaskan Tanglung Kong Ming.



Dato’ Haji Ahmad Said berkata dia cukup bangga kerana negara kita khususnya Terengganu mampu mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan antara pelbagai kaum walaupun kadang-kala kita diserang dengan pelbagai anasir kurang sihat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.









Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Pemuda UMNO Kemaman

Oleh NURUL AZIELA SABERI

Seperti tahun-tahun sebelumnya, sekali lagi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd. Hisham Zubir membuat rumah terbuka di kediamannya di Taman Baiduri, Geliga anjuran Pemuda UMNO Bahagian Kemaman bersama JKKK Geliga Baru.

Sekitar 3,000 orang telah berkunjung ke rumahnya dengan dijamu pelbagai hidangan seperti nasi dagang, lemang, rendang, ketupat, sate dan banyak lagi.



Pengunjung juga diperdengarkan dengan lagu-lagu raya bagi menghidupkan lagi suasana Aidilfitri.

Majlis seperti ini dibuat setiap tahun bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kepimpinan pemuda di Kemaman disamping dapat beramah mesra sesama sendiri.



"Tahun ini konsep rumah terbuka saya lain daripada yang tahun-tahun lepas. Hal ini kerana, setiap juadah atau hidangan disediakan mengikut 'booth' dan pengujung bebas bergerak kemana sahaja untuk memilih hindangan mereka", katanya disini kelmarin.



Tambahnya lagi, beliau berhasrat untuk meraikan pemuda-pemuda UMNO Bahagian Kemaman dengan lebih meriah lagi memandangkan kerjasama dan komitmen yang diberikan selama ini tidak pernah kurang.

Lebih mengembirakannya, keahlian Pemuda UMNO Bahagian Kemaman adalah paling ramai di Malaysia begitu juga dengan keahlian Puteri UMNO bahagian.

12 September 2011

Lucut kerakyatan Mat Sabu - Fairus

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas termasuk melucutkan taraf kerakyatan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan seluruh rakyat negara ini termasuk bekas pejuang kemerdekaan negara.

Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dr. Mohammad Fairus Khairuddin berkata, kenyataan Mat Sabu yang menganggap anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa di Bukit Kepong bukan hero sebenar sebagai mencari pulisiti murahan.

Menurutnya, beliau amat terkejut dengan kenyataan itu dan merasakan pemilihan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas sebagai sangat memalukan serta satu penghinaan kepada sebuah parti yang melaung-laungkan memperjuangkan Islam.

“Kenyataan bodoh dan biadap Mat Sabu dilihat telah lari daripada prinsip perjuangan asal Pas dan paling menyedihkan semua pemimpin tertinggi dalam Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim, Nik Aziz dan Haji Hadi terus berdiam diri.

“Mereka ini seolah-olah mengiakan dan bersetuju dengan kata-kata Mat Sabu dan mereka ini semua seolah-olah buta tentang sejarah kemerdekaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mat Sabu ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Terengganu di Teluk Kalong, Kemaman, Sabtu lalu.

Fairus yang kini dilantik Penasihat Politik kepada Menteri Besar Terengganu berkata, rakyat negara ini tidak dapat menerima kenyataan yang mengatakan komunis sebagai pejuang negara dan menuduh pejuang kemerdekaan sebagai pengkhianat negara.

“Kita perlu mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan termasuk melucutkan taraf kerakyatan Mat Sabu dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, rakyat kecewa dengan kenyataan Mat Sabu yang mengatakan pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa tersebut sebagai tali barut British sebaliknya mereka menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan negara serta menuntut kemerdekaan.

“Kenyataan tersebut sememangnya melampaui batas dan dianggap biadap kepada kerajaan dan seluruh rakyat negara ini dan pihak polis seharusnya menyiasat Mat Sabu serta pemimpin-pemimpin tertinggi PKR lain kerana tidak menegur kenyataan menyeleweng Mat Sabu itu,” katanya.

Anggota Rela tidak boleh tahan PATI secara sendirian

Oleh: Mohammad Ishak

Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) tidak akan lagi melaksanakan Ops Tegas bagi menahan atau memberkas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) secara sendirian mulai tahun ini.

Ketua Pengarah RELA yang baru, Datuk Mustafa Ibrahim berkata Operasi Tegas yang telah diadakan sejak beberapa tahun lalu ituterpaksa dihentikan kerana ia menimbulkan banyak kontroversi dan tuduhan negatif oleh pelbagai pihak yang boleh menjejaskan imej Rela.

Katanya, RELA tidak akan lagi melaksanakan Ops Tegas bagi mengatasi masalah PATI kecuali jika ia diminta melaksanakannya bersama-sama pihak berkuasa seperti polis atau imigresen.

“ Sehubungan dengan itu saya minta setiap anggota Rela membatalkan semua operasi membenteras PATI dan segera memulangkan alatan yang digunakan dalam operasi seperti gari kepada pejabat dengan serta merta”, katanya.

Menurutnya, dengan itu mulai sekarang setiap anggota Rela hanya dibenarkan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kegiatan PATI ditempat mereka kepada pihak yang berkuasa dan tidak lagi terbabit dalam operasi memberkas atau menahan.

Mustafa berkata, Rela kini dalam proses meningkatkan imej dikalangan 2.7 juta anggotanya yang terdapat diseluruh negara.

Katanya, untuk itu juga pihaknya sedang menjalankan operasi pemutihan dikalangan anggotanya diseluruh negara dengan membersihkan nama-nama anggotanya yang telah meninggal dunia, berusia melebihi 80 tahun dan tidak aktif lagi untuk digantikan dengan kemasukkan anggota-anggota baru.

Sehubungan dengan itu juga, jelasnya, pihaknya merancang untuk memperkenalkan konsep 1 Rumah 1 Rela dalam memastikan pertambahan anggota dikalangan penduduk di negara ini.

Untuk itu,katanya, Rela mempelawa setiap bangsa menyertainya disamping dari kalangan para professional bagi mengimbangi keanggotaan Rela yang kini dimonopoli oleh penduduk kampung yang terdiri daripada petani.

Beliau juga menyeru pegawai-pegawai Rela supaya turun padang untuk bertemu rakyat dan mengelakkan diri daripada menjalankan pentadbiran dari pejabat semata-mata.