Halaman

06 October 2011

Dataran WiFi di Seberang Takir

Oleh FAUZI MOHD

Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir membelanjakan RM250,000 bagi menjadikan Dataran Belia Permata di Seberang Takir sebagai Dataran WiFi.



ADUN berkenaan, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, peruntukan itu bagi membina sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi dewan terbuka dan bilik khas untuk pembelajaran kelas komputer.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, projek yang dijangka siap dua bulan lagi itu turut melibatkan pembinaan sebuah kiosk perkhidmatan baik pulih e-Book pelajar sekolah secara percuma.

“Selain restoran dan pusat tertentu yang menyediakan perkhidmatan itu, kita mengambil inisiatif agar kemudahan WiFi ini memberi manfaat untuk perkhidmatan melayari internet tanpa wayar secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan e-Book Tahun 4 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di Kampung Baru Seberang Takir hari ini.



Pada majlis itu, seramai 608 murid dari lima buah sekolah di DUN berkenaan menerima agihan e-Book percuma yang melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Takir seramai 83 orang dan SK Bukit Tok Beng (108 orang).

Selain itu, SK Kompleks Seberang Takir (128 orang) dan SK Teluk Ketapang (171 orang) dan SK Tok Jembal (119 orang).



Tambah Ahmad Razif, kemudahan itu dibangunkan bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan desa.

“Walaupun kosnya agak tinggi, ia sedikit sebanyak melengkapkan kawasan luar bandar dengan jalur lebar bagi membolehkan rakyat di kawasan berkenaan mempunyai akses kepada teknologi maklumat sama seperti penduduk bandar,” katanya.

Belanja RM1 juta lagi untuk 20,000 remaja

Oleh: Suriati

Kerajaan negeri akan membelanjakan RM1 juta lagi untuk diagihkan kepada kira-kira 20,000 remaja atau belia di negeri ini yang dikesan tercicir daripada menerima dana khas Aidilfitri lalu.

Bayaran RM200 seorang itu akan diagihkan kepada golongan itu sebelum menjelang Hari Raya Aidiladha bulan depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, keputusan itu dicapai oleh semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri setelah semakan dibuat ke atas senarai penerima dan didapati masih ada yang belum tersenarai.

"Berdasarkan semakan yang dilaksanakan, didapati ada juga yang kehilangan MyKad dan sebagainya sehingga tak menerimanya," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, Kuala Terengganu, semalam (5 Oktober).

Katanya, kerajaan negeri mengharapkan remaja yang menerima dana itu supaya berbelanja secara berhemah dan bukannya menggunakan wang itu kepada perkara yang tidak berfaedah.

“Untuk tahun ini kira-kira 50,000 orang sepatutnya menerima bantuan dana khas raya membabitkan peruntukan RM4 juta,” katanya.

Program Bakti Remaja diperkenalkan sejak 2000 lagi di mana remaja yang berumur 21 tahun ke atas layak menerima RM200 seorang.



54 atlet Terengganu terpilih

Oleh: Suriati Ali

Seramai 54 atlet dari Terengganu akan menyertai Kejohanan Sukan Sea di Palembang dan Jakarta, Indonesia pada 11 dan 12 November depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selain atlet seramai tujuh pegawai dan jurulatih turut terpilih untuk mengetuai lima jenis sukan antaranya sukan basikal, sikat, kanu, sofbol dan badminton.

“Sebanyak 14 jenis sukan disertai atlet kita antaranya termasuklah lumba basikal (8 altlet), kanu (6), olahraga (4), silat (6), judo (5), sepak takraw (5), sofbol (8), angkat berat (2), bola sepak (3), ragbi (3), lawan pedang (2), memanah (3), perahu layar (4) dan bola tampar (1).

“Kesemua atlet yang terpilih menyertai kejohanan sukan Sea itu adalah mereka yang lahir daripada sukan Sukma dan sebahagian besar mereka masih boleh bertanding di Sukma 2012 dan 2013,” katanya.

Semantara itu Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di negeri ini diminta lebih proaktif ketika menjalankan tugas mengawal keselamatan pemain setiap kali perlawanan bola sepak diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Katanya, pasukan itu sewajarnya menempatkan lebih ramai anggota di setiap penjuru stadium supaya keadaan dan tingkah laku penonton lebih terkawal.

“Sekiranya terpandang aksi penonton yang kurang menyenangkan seperti membaling botol minuman dan mengeluarkan kata-kata kesat, mereka sepatutnya bertindak lebih awal dengan mendekati penonton itu untuk memberi amaran tegas.

“Langkah ini perlu dilaksanakan segera kerana sudah kerap kali perkara sama seperti membaling mercun dan bergaduh berlaku di stadium itu,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan penonton supaya bertindak lebih sopan dan menjaga tingkah laku ketika menyaksikan pertemuan pasukan Terengganu dan Kelantan pada pusingan suku akhir pertama Piala Malaysia, 10 Oktober ini.

“Saya mendapati memang wujud satu kumpulan kecil yang sering menimbulkan kekacauan di stadium dan saya ingatkan kepada kumpulan ini agar menghormati budaya kita serta jangan sesekali memalukan imej Terengganu,” katanya.



Hotel Permai pertaruh PHMRT dalam Kejohanan Malaysian Match Racing 2011

Oleh FAUZI MOHD

Hotel Permai mengorak selangkah lagi dalam usaha memajukan sukan kapal layar di negeri ini apabila menaja satu pasukan sempena Kejohanan Malaysian Match Racing (MMRC) 2011 di Pulau Duyong di sini mulai esok.

Pengurus Besarnya, Azman Ali berkata, pasukan Permai Hotel Match Racing Team (PHMRT) dianggotai lima anak muda yang mempunyai pengalaman dalam sukan kapal layar.

Beliau berkata, tujuan utama pihaknya turut serta dalam kejohanan itu ialah bagi menunaikan tanggungjawab terhadap komuniti setempat dalam memajukan sukan tersebut tanpa memikirkan soal menang atau kalah.

“Menang atau kalah adat pertandingan, tetapi kalau boleh memang kita nak menang.

“Apa pun, kita harap penajaan ini akan memberi perangsang dan dorongan kepada pasukan ini untuk terus maju dalam sukan pelayaran,” katanya.

PHMRT yang akan diketuai oleh bekas juara pada tahun 2009 iaitu Hazwan Hazim Dermawan itu turut disertai oleh Syed Ahmad Syahmi Syed Ahmad Helmi, Mohd. Hazarul, Mohd. Hafizi Rosli dan Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan.

Penajaan termasuk penginapan, makan minum, pengangkutan pergi-balik dan urusan penyewaan bot.

Dalam pada itu, Hazwan gembira dengan penajaan yang diterima daripada hotel berkenaan.

“Penajaan ini akan memberi semangat kepada saya dan rakan-rakan untuk berusaha memberikan yang terbaik dalam kejohanan itu nanti.

“Saya berazam untuk kembali merampas kejuaraan yang terlepas dalam kejohanan yang sama tahun lepas pada kali ini,” katanya.

Tambah Hazwan, dia menjangkakan saingan utama akan hadir daripada juara MRRC 2008, Nurul Ain Md. Isa yang mewakili Ri-Yaz Heritage Match Racing Team.

MMRC merupakan acara kelayakan bagi Piala Monsun iaitu acara penutup siri jelajah dunia, World Match Racing Tour.


Tuanku Mizan, 60 pelumba buru kejuaraan Sultan Mizan Cup

Oleh FAUZI MOHD



Kejohanan kuda lasak antarabangsa, Sultan Mizan Cup 2011 di Lembah Bidong mulai esok bakal disertai 60 pelumba yang akan bersaing merebut hadiah keseluruhan bernilai RM45,000.

Selain Malaysia, kejohanan selama dua hari itu akan disertai penunggang dari Argentina, Australia, Republik Chech, Chile, Indonesia, Singapura, Thailand, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Uruguay.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyertai kejohanan kelas dunia yang merupakan acara sukan utama dalam kalendar tahunan negeri.

Pengurus Acara dan Perhubungan Awam Asia Promote Ventures, Noor Nazatul Janah Mahmood dalam satu kenyataan semalam memberitahu, kejohanan kali ini diberi wajah baru yang bukan sekadar bagi mereka yang meminati sukan berkuda.

Menurut beliau, dalam usaha membudayakan sukan itu di negeri ini, elemen hiburan dan santai akan turut disediakan bagi penglibatan pelbagai peringkat usia sebagai satu tarikan.

"Selain perlumbaan kuda lasak, aktiviti lain turut disediakan seperti pertandingan mewarna model kuda untuk pelajar dan kanak-kanak," jelasnya.

Katanya, turut diadakan pada hari itu ialah Pony Club Mounted Games Challenge, pertandingan mengecat muka, pameran berkaitan kehidupan marin dan batu karang, gerai-gerai makanan serta pertandingan bola sepak jalanan.

"Saya harap orang ramai tidak melepaskan peluang memeriahkan karnival yang akan berlangsung pada 7 dan 8 Oktober di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TEIP) di Lembah Bidong," katanya.

Tambah beliau, perkara lain yang dijangka menjadi tarikan utama pada karnival itu nanti ialah model kuda yang diperbuat daripada gentian kaca yang menyamai saiz kuda sebenar.

"Model kuda ini merupakan sebahagian daripada kerja seni yang dihasilkan oleh para pelajar berdasarkan tema kejohanan iaitu menonjolkan keunikan dan kecantikan batu karang di Terengganu," ujarnya.

Pertandingan bola sepak jalanan juga akan diadakan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu bawah 18 tahun dan terbuka dengan hadiah wang tunai ditawarkan.

Beliau berkata, karnival itu akan turut dimeriahkan dengan persembahan Faizal Tahir, kumpulan Hujan, Bunkface, Shiha Mentor 5, Black Mentor 3 dan Faizal AF4 pada sebelah malamnya secara percuma.

"Karnival ini percuma dan terbuka kepada orang ramai mulai 7 Oktober dari pukul 3 petang hingga 10 malam dan 8 Oktober dari pukul 9 pagi hingga 10 malam," kata Noor Nazatul.

150 pelajar mula belajar di sekolah baru

Oleh: Mohammad Ishak


Pelajar baru sedang mendaftar masuk di SMS

Sekolah Menengah Sains (SMS) Setiu , Terengganu yang baru dibuka menerima 150 pelajar sulung yang ditawarkan untuk memulakan pembelajaran Tingkatan Satu di sekolah berkenaan.

Pengetuanya, Hajjah Saudah Mat Nor berkata, pelajar yang terpilih untuk memulakan persekolahan terdiri mereka yang lulus cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR) tahun lalu yang tidak berpeluang memasuki sekolah asrama penuh kerajaan seluruh negara.

Katanya, mereka yang terpilih akan ditempatkan di asrama sekolah baru dan pengurusan sekolah sudah bersedia untuk menempatkan pelajar yang akan memulakan sesi pesekolahan mereka.

" Untuk pengambilan pertama, kementerian menawarkan 150 pelajar Tingkatan Satu yang akan memulakan persekolahan mereka di sekolah yang serba baru ini dan Insyallah kemasukan pelajar selebihnya akan diambil tahun hadapan di mana sekolah ini mampu menempatkan 900 pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima , " katanya.

SMS Setiu yang menelan kos RM47 juta itu mempunyai 1 blok pentadbiran 30 buah kelas , 4 blok asrama , 8 blok rumah guru termasuk pelbagai kemudahan lain. ,








Tawan kembali lapan kerusi Pas

Oleh; Esah Abdullah

Tawan kembali lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada di tangan Pas, itu misi besar Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemantau UMNO Perhubungan Terengganu, Dato’ Muda Mamat berkata, selaku parti memerintah, penjelasan isu perlu sampai ke setiap lapisan masyarakat agar tidak dipesongkan oleh pihak pembangkang.

“Kita membuat gerakan bersepadu dengan kerjasama empat sayap parti, Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri bagi menangani pelbagai isu berbangkit.

“Melaluinya, banyak isu berbangkit dapat diselesaikan hasil susulan ke semua DUN yang dikuasai pembangkang,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, sehingga ini semua lapan Parlimen, 32 DUN dan peti undi sudah selesai membuat perlantikan Jawatankuasa Pilihanraya masing-masing.

Selain itu kunjungan ke setiap kawasan yang dikuasai BN turut dilakukan untuk mengeratkan perpaduan dan mengukuhkan ikatan silaturahim dengan masyarakat setempat.

“Jentera Barisan Nasional (BN) sudah bersedia menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa sahaja dan kita yakin mampu kekal majoriti dua pertiga kerusi DUN Terengganu,” katanya.




PRNT gilap bakat perenang

Oleh; Esah Abdullah

Usaha melahirkan atlet dalam sukan renang perlu dilaksana secara berterusan dan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan individu penting bagi menyemarakkan sukan tersebut.

Setiausaha Persatuan Renang Negeri Terengganu (PRNT), Encik Yan Kong Lee berkata, kebanyak atlet renang yang sedang mengikuti latihan kini belum sesuai untuk menyertai mana-mana pertandingan besar di negara ini.

Katanya, mereka ini memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk memantapkan diri sebelum layak bertanding seperti Sukan Malaysia (Sukma).

“Semua atlet di bawah pengurusan PRNT kini sedang giat menjalani latihan di Pusat Akuatik, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Batu Burok,” katanya.

Menurutnya, latihan ini lebih menjurus kepada pembangunan Sukma yang telah bermula pada Jun lalu dan sebahagian besar daripada mereka masih baru yang berusia antara 14 hingga 16 tahun.

Encik Yan Kong Lee yakin sukan renang berupaya menyumbang pingat kepada negeri dalam pelbagai kejohanan jika atlet terbabit sudah benar-benar bersedia.




Kembar Siam tidak boleh dipisahkan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Hasrat keluarga bayi kembar Siam dari Terengganu untuk melihat anak mereka dipisahkan melalui pembedahan, tidak tercapai apabila doktor-doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak mengizinkan pembedahan dilakukan kerana ia membahayakan nyawa mereka.

Sebelum ini,bapa kembar Siam itu, Zulkifli Ngah dan keluarga lega apabila kerajaan negeri sanggup membiayai kos pembedahan untuk memisahkan Nur Shazwanie dan Nur Shazrinie Zulkifli, yang bercantum di bahagian dada, jika doktor memutuskan ia selamat dilakukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya menunggu keputusan doktor berhubung pasangan kembar itu yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, pada 22 September lalu.

Bagaimanpun, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Mohd Zain mengesahkan memandangkan kembar Siam tersebut bersambung di bahagian abdomen dan tidak mempunyai punggung serta berkongsi satu jantung, pembedahan utnuk memisahkan mereka bakal membahayakan nyawa anak tersebut.

Sehubungan itu, pihak keluarga kembar Siam berkenaan memutuskan untuk menangguhkan hasrat untuk meminta pihak hospital melakukan pembedahan bagi memisahkan kembar.

Walaupun begitu, pihak HKL memberi jaminan akan terus memantau perkembangan bayi kembar Siam itu dan membuat penilaian semula selepas mereka berusia lima bulan bagi memastikan sama ada mereka mempunyai harapan untuk dipisahkan.

Menteri Besar yang bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Exco semalam berkata, jika keluarga kembar Siam itu kurang mampu, pihaknya sebagai kerajaan yang prihatin pada rakyat akan membantu mereka.

Katanya, kerajaan negeri ada dua tabung bantuan iaitu Tabung Pesakit Kronik dan Tabung Darul Iman dan kes pasangan kembar Siam itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum bantuan dihulur mengikut kesesuaian.

Sukarelawan bantu polis pantau jenayah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 5,550 anggota Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) akan mengintip penjenayah di negeri ini, apabila mereka mengadakan rondaan di kawasan tertentu bagi membantu pihak berkuasa untuk memerangi jenayah.

Sehingga akhir Ogos lalu, sebanyak 222 unit SRS telah ditubuhkan di Terengganu bagi tujuan mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A. Rahman Mokhtar, berkata penubuhan SRS bertujuan membantu pihak keselamatan mengurangkan kadar jenayah melalui tugas rondaan dan ditubuhkan di kawasan yang ada Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

SRS ditubuhkan Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) melalui kawasan RT di mana Nota Persefahaman Kerjasama Strategik dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditandatangani bagi membolehkan anggota SRS menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan.

Pada majlis menandatangani nota berkenaan kelmarin, JPNIN diwakili Pengarahnya, Encik Tukimin Sarlan manakala Ketua Polis Negeri, Dato’ Jamshah Mustafa mewakili PDRM.

Semua pegawai perpaduan daerah dan Ketua Polis Daerah turut menandatangani nota tersebut bagi peringkat daerah masing-masing.

Dr A. Rahman berkata, pada masa ini terdapat 8,300 anggota KRT di negeri ini dan masih banyak SRS akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan anggota KRT menyertai SRS.

Beliau berkata, kerjasama antara JPNIN dan PDRM membolehkan tugas dan tanggungjawab anggota SRS diselaraskan di samping mereka akan diberi latihan bagi memerangi jenayah di kawasan masing-masing.