Halaman

28 February 2012

ISU AJARAN SESAT: BERDEBAT DAN BERPOLEMIK BUKANNYA LAPORAN POLIS

Oleh: Ruslan Abdul Rahman




Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan diketuai oleh timbalannya, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi berkaitan kenyataan yang berbau fitnah oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, lapor Harakah 20 Februari 2012.

Ini ekoran kenyataan Ahmad yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian pada hari Khamis, 9 Februari dalam ruangan Nasional pada halaman 10 yang menyatakan PAS "Parti Ajaran Sesat".

"Kenyataan tersebut jelas berbaur fitnah dan tidak benar," kata Nik Abduh ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahmad itu.

Berhujahlah dengan ilmu dan realiti sebenar kalau mempunyai sifat-sifat kejantanan yang tulen.

Orang-orang Umno menghadapi pelbagai tekanan apabila pemimpin Pas, khususnya Dato’ Seri Haji Abdul Awang sendiri membuat fatwa orang Umno kafir dan mati syahid menentang kafir Umno ini.

Lagi dahsyat, tetapi orang Umno lebih jantan dan professional menanganinya dengan menggunakan ilmu, penjelasan dan penerangan.

Berualang kali penulis catatkan bahawa Mursyidul Am Dato’ Nik Aziz Nik Mat sendiri dalam satu kenyataan akhbar 24 April 1994 membuat fatwa “menentang Pas adalah haram”.

Saudara Nik Mohamad Abdul (Timbalan Dewan Pemuda Pas Malaysia)- mungkin masih anak-anak lagi ketika itu, tidak berasa apa-apakah dengan fatwa seperti itu?

Atau kenyataan bekas Presiden Pas Allahyarham Ustaz Fadzil Nor, dalam Harakah 3 Oktober 1997 yang berbunyi “Umat Islam wajib sertai Pas” tidak ada kesalahan langsung?

Penulis berharap Pemuda Pas Malaysia bersikap rasional dan jangan ikut emosi atau sentiment kepartian dalam bertindak.

Biarlah pemuda Pas menjadi barisan pelapis yang hebat dan professional pemikirannya dan bukannya pengecut menggunakan polis untuk menyelesaikan polemik seperti ini.

Di Terengganu akibat tindakan pemimpin Pas membuat hukum kafir orang Umno, berlakulah sembahyang dua imam, tidak makan sembelihan sesama Islam hatta keluarga sendiri, memutuskan siltaruhrahim sesame keluarga termasuk anak dan ibubapa, suami dan isteri, nikah semula dan semula.

Tidakkah ini suatu ajaran sesat lagi menyesatkan dan benarlah apa yang diucapkan oleh Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu.

Selain ianya disifatkan berniat jahat, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga turut merasakan kenyataan tersebut mampu mengundang provokasi, hasutan, perpecahan di kalangan masyarakat, rusuhan rakyat serta kehilangan kepercayaan di kalangan ahli dan bukan ahli PAS kepada PAS kerana kenyataan tersebut menjurus kepada kerosakan aqidah dan sensitiviti umat Islam di negara ini.

"PAS sebagai sebuah parti politik yang berdaftar dengan sah di bawah undang-undang negara sejak lebih 50 tahun dan menjadi Kerajaan di beberapa buah negeri, kenyataan Datuk Seri Ahmad Said ini sangat tidak berasas dan langsung tidak bertanggungjawab," luah Ustaz Nasrudin Hassan selaku Ketua Pemuda PAS Malaysia dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa agar siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap Datuk Seri Ahmad Said, Berita Harian serta pihak-pihak lain yang terlibat dalam mengeluar, mencetak, menerbit dan mengedarkan kenyataan fitnah tersebut.

"Saya percaya kenyataan fitnah jahat seperti in merupakan satu kesalahan yang jelas dan nyata di sisi undang-undang negara dan tindakan perlu diambil dengan segera oleh pihak Polis," tambah beliau lagi.

TPM lawat Terengganu Khamis

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu, pada 1 Mac (Khamis) ini.

Beliau yang diring isteri, Puan Seri Noorainiee Haji Abdul Rahman, dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kira-kira jam 11.30 pagi dan disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta pegawai kanan kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Selepas itu, Timbalan Perdana Menteri akan hadir pada majlis Perjumpaan Khas YAB Timbalan Perdana Menteri dengan penjawat awam negeri dan Persekutuan di Stadium Negeri.

Pada sebelah petang beliau dijadualkan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik, Jalan Lapangan Terbang.

Pada majlis itu, Tan Sri Muhyiddin akan menyampaikan bantuan kepada nelayan serta elaun untuk imam, bilal dan guru-guru Kelas Fardu Ain (Kafa).

Sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur, beliau akan menghadiri perjumpaan tertutup dengan pemimpin Umno Terengganu di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu.


Usahawan IKS perkenal produk Terengganu di Sarawak

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 150 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri terpilih mengikuti program ` Terengganu Showcase’ yang akan diadakan di Miri, Sarawak .

Program anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan kerjasama Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu dan SKM Sarawak itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 27 April ini diharapkan dapat memberi pendedahan positif kepada peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, pihaknya terpaksa membuat pilihan kerana ramai usahawan IKS cemerlang berminat mengikuti program itu sedangkan ruang pameran yang disediakan adalah terhad.

Katanya, mereka yang terpilih sewajarnya merebut peluang keemasan ini dengan mempromosi secara bijak produk masing-masing kepada pelancong.

“Pihak kami sentiasa memberi ruang dan peluang kepada usahawan menyertai program seumpama ini supaya minda mereka lebih terbuka, dapat menimba pengalaman berguna dan mampu memberi pendedahan terbaik.

“Kita akan membawa sebanyak mungkin produk Terengganu untuk diperkenalkan kepada pelanggan melalui program yang dijangka turut mendapat sambutan negara jiran, termasuk Brunei,” katanya.

Menurutnya, pendedahan merupakan asas penting bagi usahawan dalam usaha mempertingkatkan mutu keluaran produk masing-masing, terutama melalui kaedah pameran produk yang dilakukan secara bergerak.

“Pendekatan ini perlu dilakukan secara berterusan supaya banyak lagi produk berindentiti Terengganu turut dikenali setanding batik, sutera, keropok lekor, minuman roselle dan tembaga,” katanya.



27 produk koperasi di 100 kedai runcit Program Tukar seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Penduduk di negeri ini bakal menikmati 27 jenis produk keluaran koperasi dengan kadar harga jauh lebih murah apabila kesemua barangan itu akan memasuki 100 kedai runcit terpilih menerusi Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) tidak lama lagi.

Produk di bawah program 1Malaysia itu berharga 30 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding harga produk yang sama di pasaran.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Encik Osman Ismail, berkata antara produk yang ditawarkan termasuk sos cili, kopi dan milo.
Sebagai contoh katanya, milo ditawarkan di pasaran sekarang berharga RM14 sekilogram berbanding produk 1Malaysia,` kokomal’ yang dijual antara RM9.70 hingga RM10 sahaja.

“Semua ini akan kita masukkan dalam kedai runcit, kedai koperasi dan juga T-Shoope dengan menawarkan harga jauh lebih rendah supaya pengguna dapat menikmati produk yang lebih murah, pada masa yang sama mengekalkan kualiti dan rasa yang sama, “ katanya di Majlis Mesra Media Bersama SKM, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, semalam (26 Februari).

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU, Haji Azmi Razik dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat.

Menurutnya, kedai runcit Tukar melibatkan kedai di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) (46), kedai koperasi (20) dan T’Shoope (YPU) sebanyak 22 buah.

“Bila kesemuanya berada di bawah usahawan (satu bumbung) kita boleh kawal dan selaraskan harga. Kedai yang di luar usahawan agak payah untuk dikawal.

"Pada masa yang sama perlu mendapatkan tindak balas pengguna. Jika tiada komen daripada pengguna kita tidak boleh melakukan penambahbaikan,” katanya.

Menurut Encik Osman, kesemua stok produk Tukar yang dibekalkan Felda Trading itu sudah bersedia untuk dipasarkan menerusi koperasi yang akan bertindak sebagai pusat pengedaran.

Setakat ini, antara koperasi yang akan dilantik bagi mengedarkan barangan mengikut kawasan di seluruh Terengganu termasuklah Koperasi YPU (kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus), Koperasi Perwaja (Dungun dan Kemaman) dan Koperasi Guru-guru Melayu Besut (Setiu dan Besut).





LTdL 2012 : Harrif Salleh naik podium

Pelumba Terengganu Pro Asia (TSG), Mohd. Harrif Salleh mula menunjukkan belang pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semalam.

Meskipun terpaksa berkayuh dalam kesakitan, namun pelumba kelahiran Terengganu itu masih mampu menghadiahkan kemenangan podium kepada peminat tempatan dengan menduduki tempat ketiga pada peringkat keempat dari Batu Pahat ke Muar sejauh 169.4 kilometer.

Lebih manis, kejayaan bermakna Harrif itu turut dikongsi bersama ibunya, Esah Abdullah yang setia memberi sokongan kepada anaknya itu sepanjang perlumbaan LTdL 2012.




"Gembira sekali kerana akhirnya berjaya juga menaiki podium. Meskipun hanya di tempat ketiga, tetapi saya tetap puas hati.

"Kejayaan saya hari ini (semalam) juga tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan abang saya (Mohd. Zamri). Dia banyak membantu saya dengan membawa saya ke peloton hadapan apabila saya mula ketinggalan.

"Walaupun berlumba dalam kesakitan selepas terjatuh semalam (kelmarin), saya telah menyimpan azam untuk menang peringkat hari ini (semalam).

"Berada di tempat ketiga pun sudah cukup bagus bagi saya," jelas Harrif yang menerima ciuman tahniah daripada ibunya, Esah semalam.




Dalam saingan semalam, Harrif berjaya mengekalkan kedudukannya dalam peloton hadapan meskipun terdapat beberapa percubaan breakaway daripada pelumba Garmin Barracuda, Tom Danielson dan Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini Sella Italia.

Begitupun, kira-kira satu kilometer terakhir, Guardini yang memenangi peringkat kedua dan ketiga sebelum ini, jelas sukar dihalang dan terlebih dahulu melintasi garisan penamat bagi merakamkan kemenangan ketiganya berturut-turut.

"Guardini sememangnya seorang pelumba yang hebat. Dia sungguh laju dan amat sukar untuk mengatasinya yang mendapat bantuan secukupnya daripada rakan sepasukan.

"Namun apa pun saya tetap akan cuba mengatasinya esok (peringkat keempat hari ini) dan membuktikan bahawa pelumba Malaysia juga mampu bersaing dengan mereka.

"Harapnya kejayaan podium ini juga mampu memberi suntikan semangat dalam misi saya untuk memenangi satu peringkat perlumbaan pada LTdL ini," ujarnya yang cedera di bahagian lutut dan tapak tangannya ekoran terjatuh pada perlumbaan peringkat ketiga kelmarin.

Peringkat kelima hari ini akan bermula dari Ayer Keroh ke Pandan Indah, Ampang sejauh 190km melibatkan tiga zon pecutan (Tampin - Km 31.3, Chembong - Km 54.8 dan Senawang - Km 75.7) serta tiga zon pendakian (Bukit Tangga - Km 101.9), Genting Perez - Km 148.8 dan Bukit Tinjau - Km 180.2).











http://webtv.terengganu.gov.my/?p=2145

LTdL 2012 : Guardini lakar hatrik kuasai peringkat keempat

Pelumba Itali, Andrea Guardini melakar kejayaan hatrik apabila memenangi peringkat keempat LTdL 2012 dari Batu Pahat ke Muar sejauh 169.4 kilometer semalam.

Pelumba pasukan Farnese Vini-Selle Italia itu ternyata sukar dihalang apabila dia melakukan henjutan bertenaga pada satu kilometer terakhir, sekali gus menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 57 minit dan 11 saat.

Tempat kedua dimenangi pelumba United Healthcare, Jacobe Keough, manakala pelumba Terengganu Pro Asia (TSG), Mohd. Harrif Salleh menaiki podium buat kali pertama pada edisi ini dengan menduduki tempat ketiga.

Nasib malang pula menimpa seorang lagi pelumba sensasi negara, Anuar Manan setelah tayar basikal pelumba Champion System itu pancit dua kali, sekali gus menjejaskan misinya untuk memenangi perlumbaan semalam dengan sekadar berada di tempat ketujuh.

"Hari ini (semalam) saya agak keletihan kerana terpaksa mengejar peloton hadapan sebanyak dua kali kerana tayar basikal pancit.

"Situasi ini memaksa saya menggunakan sepenuh tenaga yang ada untuk kembali ke peloton hadapan dan walaupun dapat juga mengejar mereka di saat-saat akhir, namun semuanya sudah terlambat.

"Guardini bukan calang-calang pelumba. Dia seorang pelumba yang memiliki kayuhan pantas dan juga seorang yang bijak. Amat sukar untuk mengalahkannya," jelas Anuar semalam.

Situasi itu menyaksikan Anuar turun ke tempat ketiga dalam persaingan Jersi Biru (Raja Pecut) dengan mengumpul 35 mata, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Guardini.

Sementara itu, David Zabriskie sekali lagi berjaya mempertahankan Jersi Kuning sebagai pendahulu keseluruhan, manakala Jersi Merah (Raja Bukit) pula masih kekal menjadi milik Floris Goesinnen daripada Drapac Cycling.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia turut kekal dalam genggaman Dmitriy Gruzdev, sementara pasukan Garmin Barracuda masih mendahului kategori berpasukan keseluruhan.



LTdL Stage4 BATU PAHAT-MUAR

OLEH: Mohd Yahya dan Harish Fadzillah



27 February 2012

LPP sasar bekal 10,000 kambing menjelang 2015

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri (LPPN) menyasarkan 10,000 ekor kambing membabitkan 250 orang penternak mampu dibekalkan bagi keperluan tempatan menjelang 2015.

Pengarah (LPP) negeri, Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, sehingga ini, terdapat 3,500 kambing dengan 144 penternak berjaya di bawah bimbingan LPP.

“Sasaran kita sekarang adalah untuk mengubah cara ternakan tradisional yang diamalkan sekarang kepada teknologi baru yang diperkenalkan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Latihan Terus Penternak Kambing Boer (Modul-1) di Wisma Peladang, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, sejumlah RM400,000 peruntukan disediakan di bawah Tabung Pembangunan Usahawan untuk membantu mereka meluaskan ladang ternakan dengan membuat pinjaman di bawah tabung yang disediakan.

Menurutnya penternak boleh mendapatkan pinjaman sehingga RM50,000 untuk membina bangsal (RM20,000), kambing baka antara 10 hingga 20 ekor serta pemakanan (RM30,000).

Katanya, setiap penerima bantuan atau penternak persendirian digalakkan mengikuti kursus yang dianjurkan jabatan bagi mendalami cara penjagaan kambing yang betul termasuk jenis makanan, ubat-ubatan di samping pengawasan rapi bagi mengenal penyakit.

“Penjagaan dan pengawasan yang sempurna akan meningkatkan pembiakan dan pada kebiasaan kambing betina mampu melahirkan tiga kali dalam tempoh dua tahun serta 30 peratus daripadanya kemungkinan kembar,” katanya.

Katanya, kambing biasa mampu menghasilkan daging sekitar 20 kilogram (kg) manakala baka Boer mampu mencecah 40 hingga 70 kg seekor.

“Kita ingin lihat penternak kambing di negeri ini mendapat pulangan yang lumayan dengan mengamalkan cara pemeliharaan dan penjagaan yang betul dan sentiasa berhubung dengan jabatan jika ternakan menghadapi masalah,” katanya.




Polis Besut lancar National Blue Ocean Strategy (NBOS)




Oleh: Mohammad Ishak


Pelaksanaan National Blue Ocean Strategy (NBOS) bertujuan meningkatkan rondaan di kawasan hotspot oleh pasukan keselamatan mula dilaksanakan di bandar Jertih oleh agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula hari ini.

Empat anggota masing-masing dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penguatkuasa Majlis Daerah Besut (MDB) menumpukan persekitaran Bandar Jertih.

Anggota terbabit akan bertugas selama empat jam bermula jam 11 pagi setiap hari akan membuat rondaan secara bersepadu dan membuat pemereksaan rambang terhadap orang awam .

Ketua Polis Daerah Besut, Supertentanden Kamaruddin Mohd Zakaria berkata,daerah itu melaksanakan program berkenaan bermula hari ini bertujuan mencegah jenayah setempat.

Katanya,seorang anggota daripada agensi terbabit akan ditugaskan membuat rondaan bersama dengan PDRM dan tumpuan kini diberikan kepada persekitaran Bandar Jertih.

Menurutnya, program yang sudah dilaksanakan di peringkat nasional ketika ini hanya membabitkan empat agensi di bawah KDN.Ia mungkin diperluaskan kepada agensi lain yang berkaitan termasuk anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Beliau berkata, dengan adanya kaedah rondaan secara bersepadu membabitkan pelbagai agensi keselamatan itu diharap masyarakat memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya jika anggota terbabit yang datang di kawasan penduduk.



‘Four Men Patrol’ jalan kaki cegah jenayah

Oleh FAUZI MOHD

Polis Terengganu bersama lebih 1,500 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) bergerak bersama bagi mengurangkan peratusan kegiatan jenayah di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, anggota terlibat telah pun diberikan latihan untuk memulakan tugas bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjaga melalui rondaan secara berjalan kaki.

Menurutnya, perlaksanaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan itu bagi meningkatkan pendekatan rondaan seperti ‘Four Men Patrol’ di mana empat anggota keselamatan dari agensi berlainan melakukan rondaan dengan lebih kerap.

“Rondaan lapan jam sehari pada waktu siang itu memberi fokus kepada kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar, premis perniagaan, bank dan pusat membeli-belah di semua daerah di Terengganu.

“Di samping mendapatkan maklumat berkaitan jenayah dengan orang ramai, kami mahu berkomunikasi secara mesra dan santai sambil mengedarkan risalah berkaitan pencegahan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Rondaan bersama PDRM, JPAM, Rela dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sekitar Bazar Warisan dan Pasar Payang hari ini.

Turut hadir,Timbalannya, Dato’ Hamzah Md. Jamil dan Ketua Polis Daerah, Zamri Samsuddin.

Tambah Dato’ Jamshah, keberkesanan jalinan antara cabang jabatan kerajaan yang lain dijangka member impak yang memberangsangkan khususnya dalam mengurangkan kadar indeks jenayah di negeri ini.

Selain itu katanya, kehadiran pihak polis di sesuatu tempat lebih menyerlah dengan menambah kekerapan nyalaan lampu ‘beacon’ kenderaan peronda polis, memakai vest keselamatan semasa bertugas pada waktu siang dan malam.

“Penggunaan alat pembesar suara turut dipertingkatkan bagi memberi peringatan dan nasihat yang menjurus kepada aspek pencegahan jenayah kepada orang ramai di kawasan-kawasan rondaan,” ujarnya.