Halaman

01 March 2012

UMNO Kuala Nerus cadang 16 perkara untuk perhatian TPM

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra.

UMNO Bahagian Kuala Nerus mencadangkan 16 perkara, termasuk projek pembangunan kepada pelbagai lapisan rakyat untuk perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Ketuanya, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, cadangan itu diajukan setelah mengambil kira segala cadangan dan keperluan daripada akar umbi di kawasan parlimen yang terdiri daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tepuh, Seberang Takir, Bukit Tunggal dan Teluk Pasu.

Menurutnya, projek yang dicadangkan itu hasil daripada pertemuan dan program turun padang wakil-wakil rakyat dan kepimpinan UMNO bahagian sebelum ini termasuk mempercepatkan projek Sekolah Sukan Terengganu yang tertangguh.

“Kita harap pihak Timbalan Perdana Menteri (Kerajaan Persekutuan) dan Menteri Besar (Kerajaan Negeri) dapat mempertimbangkan perkara berkenaan demi untuk kemudahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pemimpin Bersama Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

16 cadangan UMNO Kuala Nerus untuk perhatian Timbalan Perdana Menteri ialah:

(1) Menaik taraf dewan, bangunan dan padang Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu dengan anggaran kos bernilai RM530,000.

(2) Membaik pulih jambatan di Kampung Pulau Sekati (RM500,000).

(3) Membina longkang di Kampung Wakaf Tembesu (RM200,000).

(4) Membina dewan serbaguna di Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir (RM250,000).

(5) Membina dewan Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Kuala Nerus (RM250,000).

(6) Membina dewan serbaguna di Kampung Kesom Alor Rekang, Manir (RM250,000).

(7) Membina longkang di Kampung Jati (RM200,000).

(8) Membina dewan serbaguna di Kampung Pak Tijah (RM250,000).

(9) Membina bangunan untuk Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir (RM350,000).

(10) Membina bangunan untuk Persatuan Bomba Sukarela Parlimen Kuala Nerus (RM250,000).

(11) Menaik taraf jalan dari Kampung Kebor Besar ke Kampung Durian Mas (RM300,000).

(12) Manaik taraf jalan dari Kampung Banggol Air Lilih ke Taman Desa Jaya, Wakaf Tembesu (RM300,000).

(13) Membina longkang di Kampung Pak Damat (RM200,000).

(14) Membaik pulih jeti nelayan di Kampung Seberang Takir (RM150,000).

(15) Membaik pulih jeti nelayan di Kampung Duyong Sekolah (RM100,000).

(16) Mempercepatkan pembinaan Sekolah Sukan Terengganu berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak (RM25 juta)

JUMLAH KESELURUHAN : RM29.13 juta


Anwar tidak layak berada dalam pakatan Pas-pembangkang

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin disambut kira-kira 20,000 rakyat tanda sokongan tidak berbelah bahagi ketika beliau hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik, Wakaf Tembesu, petang ini.

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Fauzi Mohd
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Tindak tanduk Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, membuktikan beliau tidak layak berada dalam pakatan pembangkang yang disertai Pas, kata Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan jika pemimpin Pas mahu berpegang kepada ajaran Islam sebenar, mereka tidak sepatutnya bersengkokol lagi dengan Anwar kerana Ketua Pembangkang itu secara terang-terang melakukan banyak perkara menyalahi hukum syarak.

“Anwar tidak patut berada dalam pakatan pembangkang kerana beliau tidak sefahaman dengan Pas. Banyak tindakan beliau bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum yang ditetapkan oleh Tuhan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik, Wakaf Tembesu, petang ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pemimpin kerajaan dan ketua-ketua jabatan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara tindak tanduk Anwar yang bertentangan dengan ajaran Islam ialah sokongan beliau terhadap negara Israel dan cadangan supaya undang-undang berkaitan liwat dihapuskan.



“Allah telah menetapkan bahawa liwat itu bertentangan dengan tabie manusia dan perbuatan itu diharamkan, tetapi Anwar pula tidak setuju dengan hukum yang ditetapkan oleh Tuhan,” kata beliau.

Pada masa yang sama, Tan Sri Muhyiddin turut mempertahankan kenyataan Menteri Besar Terengganu bahawa Pas merupakan ajaran sesat kerana tindak tanduk pemimpin parti itu juga menyeleweng dari ajaran Islam.


Malah, kata beliau, dalam banyak hal pemimpin Pas turut menyokong apa yang dilakukan oleh Anwar walaupun ia bertentangan dengan ajaran Islam, semata-mata untuk mempertahakan kedudukannya sebagai sekutu parti pembangkang.

Beliau berkata, jika pemimpin Pas gagal menasihatkan tindak tanduk Anwar dan bersetuju dengan segala tindakannya, tidak syak lagi parti itu juga sesat dan menyeleweng daripada perjuangan agama Islam.





Kerjasama pembangkang tidak lama, hanya tipu rakyat

Menteri Besar ketika berucap di hadapan kira-kira 20,000 hadirin pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Oleh FAUZI MOHD dan KAMARUDIN MAT AKIB
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Dato’ Seri Ahmad Said mahu rakyat di negeri ini sedar bahawa kerjasama pakatan pembangkang tidak akan berpanjangan kerana matlamat mereka hanyalah untuk menipu dan menyeleweng rakyat.

Menteri Besar itu berkata, sejarah membuktikan sepanjang mereka bergabung sama ada di dalam Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif atau terbaru Pakatan Rakyat, tidak pernah satu pun berjaya kerana masing-masing bersikap talam dua muka.

Di hadapan kira-kira 20,000 hadirin beliau berkata, apa yang mereka cuba lakukan hanya sia-sia kerana kerjasama itu bukan didasarkan dengan ramuan keikhlasan, wawasan serta nilai yang dikongsi bersama.

"Mereka cuba meniru kerjasama Barisan Nasional namun, usaha itu sia-sia sahaja. Atas nama apa pun yang dicipta ia hanyalah percubaan-percubaan pembangkang untuk bersatu tetapi tidak mungkin berkekalan.

"Antara DAP dengan PAS misalnya bukan sahaja payah untuk tidur sebantal, jauh sekali untuk mimpi sama," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pemimpin Bersama Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah

Dato’ Seri Ahmad berkata, keadaan itu berlaku disebabkan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu hanya disandarkan dengan lambang pakatan itu, bukan kerjasama utuh seperti Barisan Nasional.

Sementara itu, beliau menyelar pihak pembangkang yang mengaku lebih demokratik dengan menyatakan kepimpinan mereka mewakili semua kaum.

Bagaimanapun kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, hakikatnya ia jauh berbeza.


Rakyat terlibat secara langsung menambahbaik dasar, program kerajaan : TPM

Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin bersalaman dengan kakitangan kerjaan dan persekutuan ketika hadir di Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam negeri, persekutuan dan Guru-guru di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Penglibatan secara langsung semua rakyat yang mewakili pelbagai peringkat dan sektor terutama dalam menyuarakan pandangan dan suara mereka menjadi input berguna bagi tujuan penambahbaikan dasar dan program yang dilaksanakan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin, berkata pendekatan melibatkan rakyat secara langsung itu sudah menjadi amalan kerajaan bagi memberi ruang yang lebih luas kepada rakyat bersama-sama terlibat dalam proses pembangunan negara.

“Bukan kerajaan membuat dasar sahaja, tetapi sebelum kerajaan memutuskan sesuatu dasar, ia sudah ada proses pertemuan dan perbincangan(dengan rakyat) barulah dapat merumuskan sesuatu perkara yang mahu dilaksanakan.”

“Dengan cara itu supaya sesuatu perkara yang hendak dibuat oleh kerajaan atau pihak pentadbiran yang berniat dan bertujuan baik, tidak disalahtafsirkan ataupun tidak difahami secara mendalam..Jika itu berlaku bermakna sesuatu perkara yang hendak dilakukan akan terbantut, tergendala atau tidak memberi impak sebagaimana dikehendaki,” katanya ketika sidang media sempena Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam negeri, persekutuan dan Guru-guru di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shaberi Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Katanya, pendekatan itu juga selari dengan apa yang pernah dinyatakan Perdana Menteri mengenai ` zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir , di mana pada masa kini rakyat lebih bermaklumat, berpengetahuan, mengetahui dan mahu terlibat bersama-sama dalam setiap keputusan serta dasar kerajaan.

“Kita mahu semua rakyat terlibat dalam sesuatu perkara sebelum ia hendak diputuskan..sebab itu di peringkat pimpinan negara.. Menteri Kabinet sudah mengambil pendekatan sebegini berjumpa apa yang dipanggil `stakeholders’ atau kumpulan masyarakat itu sendiri yang mewakili pelbagai peringkat dan sektor .

“Supaya daripada proses sebegitu kita dapat maklum balas, respon dan mengetahui sama ada perkara yang akan dikemukakan itu boleh diterima baik. Yang penting juga mereka akan terlibat membantu dan menyokong dasar kita itu,” katanya.

Selain itu, katanya pegawai di setiap jabatan kerajaan perlu turun ke bawah menemui kakitangan bawahan. Sebagai contoh, pegawai di Jabatan Pertanian perlu turun menemui petani, nelayan dan pekebun kecil, manakala jika pegawai Mara pula perlu berjumpa peniaga.

“Jadi jika beri ruang untuk rakyat terlibat secara langsung bermakna mereka akan berasa lebih berpuas hati kerana mereka terlibat dalam sesuatu keputusan yang dibuat,” katanya.




Dua kejayaan catat MBOR

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said gembira Kejayaan Terengganu yang mampu mengekalkan kedudukan sebagaijuara 11 tahun berturut-turut dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pelaksanaan Program e-Book kepada pelajar sekaligus dapat mencatat nama negeri dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra
.

Kejayaan Terengganu yang mampu mengekalkan kedudukan sebagai juara 11 tahun berturut-turut dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pelaksanaan Program e-Book kepada pelajar sekaligus dapat mencatat nama negeri dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Dua berita gembira itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri, Persekutuan dan Guru-guru di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta pegawai kanan kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pengiktirafan itu mampu menguatkan lagi semangat kerajaan negeri terutama warga pendidik untuk terus mengekalkan kecemerlangan.

“Semua yang diterima hari ini adalah hasil usaha semua pihak terutama pelajar, ibu bapa dan guru-guru.

















“Pada masa akan datang, kerajaan negeri akan berusaha meningkatkan lagi pengunaan kelas maya di sekolah seluruh negeri ini supaya turut diiktirafkan dalam MBOR ,” katanya


Penjawat awam diminta jangan bersikap negatif

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan sikap segelintir penjawat awam di negeri ini yang masih bersikap negatif dan ingin menjatuhkan kerajaan semasa walaupun mereka menyedari apa yang dilaksanakan kerajaan untuk kebaikan rakyat.

“Perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana pelbagai kebaikan dan nikmat di terima mereka sama ada berkaitan kenaikan gaji, penerimaan pangkat baru dan kebajikan.

“Kerajaan yang ada hari ini sememangnya prihatin dan tidak pernah mengabaikan rakyat walaupun mereka itu berlainan fahaman politik,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri, Persekutuan dan Guru-guru di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta pegawai kanan kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Kira-kira 3,000 penjawat awam dan guru-guru dari daerah Kuala Terengganu dan Marang hadir bagi mendengar amanat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu, pihaknya tidak berputus asa memberi penjelasan mengenai dasar, pelaksanaan dan pendekatan yang dilaksanakan semata-mata mahu rakyat memahami dan bukannya hanya pandai mengkritik.

“Perkhidmatan kerajaan yang ada sekarang semakin baik, bagaimanapun masih ada beberapa aspek perlu ditambah nilai. Perkara itu sedang diusaha secara berperingkat-peringkat bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Jika dulu, rakyat kurang mengemari menjawat status sebagai penjawat awam kerana menganggap gaji rendah dan tiada bonus, tetapi zaman sudah berubah di mana mereka berebut-rebut ingin mendapatkan pekerjaan di sektor awam berbanding sektor swasta,” katanya.



JAGAILAH KUASA YANG ADA- SHAFIE AFDAL

Oleh: Ruslan Rahman

Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd.Shafie Haji Afdal mengingatkan pimpinan, ahli Umno dan rakyat Terengganu supaya jangan sampai lagi terlepas kuasa kepada pihak pembangkang dengan mengambil pengajaran atas penderitaan semasa kehilangan kuasa pada tahun 1999.

“Bagaimana sukarnya kita mendapatkan semula kuasa yang terlepas dan jagailah kuasa yang ada ini dengan baik-baik untuk membela rakyat,” katanya dalam satu perjumpaan dengan kepemimpinan Umno bahagian-bahagian di Kuala Terengganu kelmarin.

Katanya, jagailah dan peliharalah baik-baik kuasa yang ada ini untuk mempastikan masa depan anak-anak warisan kita terjamin kelak.

Dalam majlis itu beliau mendedahkan bagaimana rakusnya bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa berkuasa, termasuk arahan memberikan kawasan balak di negeri Sabah kepada kroninya.

“Saya masih simpan dokumen-dokumen itu dan saya adalah barisan pemuda ketika itu menentang perbuatan yang tidak bermoral itu, termasuk untuk memberikan kepada ahli perniagaan dari Sarawak yang menjadi kroni pemimpin itu ,” dedah beliau.

Dato’ Seri Shafie yang juga meminta supaya jentera penerangan parti dapat menerangkan kepada rakyat tentang bagaimana pemimpin pembangkang itu menyokong Isreal dan pelbagai perkara yang mengancam kedudukan Islam sedang dilakukan pihak pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, pihaknya amat memahami permasalahan penduduk di kawasan luar bandar dan sentiasa member perhatian.

Kira-kira 200 orang kepimpinan Umno Terengganu hadir termasuk Ketua-Ketua Umno Bahagian dalam negeri Terengganu.

Beliau meminta supaya semua barisan kepimpinan Umno di semua peringkat siap siaga untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 yang semakin hampir.

Sikap cakna jiran perlu diamalkan

Oleh; Esah Abdullah



Masyarakat diminta sentiasa peka dan mengambil tahu keadaan jiran sekeliling serta laporkan kepada ketua kampung jika ia mempunyai masalah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan tujuan meringankan beban rakyat.

“Sikap cakna dan sentiasa bertanya khabar perlu diamalkan di samping mengeratkan ikatan silatulrahim juga dapat menyelesaikan masalah berbangkit,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada seorang warga emas Abdul Razak Mamat,65, di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit semalam.

Katanya, melalui tabung penyakit kronik dan tabung Darul Iman diwujudkan khusus untuk membantu meringankan beban rakyat yang tidak berkemampuan termasuk kos rawatan, perubatan dan juga pembelian peralatan palsu.

Sementara itu, Abdul Razak yang diserang strok sejak lima bulan lalu melahirkan rasa gembira di atas sumbangan yang diberi dan memudahkan pergerakannya terutama untuk ke bilik air.

Ayah kepada 12 orang anak itu sebelum ini menanggung keluarga sebagai nelayan manakala isteri Puan Siti Esah Deraman, 58, mengambil upah di projek tanaman roselle dan tembakau di Lembah Bidong.

“Bagaimanapun, sejak akhir tahun lepas mak cik terpaksa berhenti kerja untuk menjaga suami yang terlantar sakit bagi memastikan dirinya terjaga dengan baik,” kata Puan Siti Esah.





LTdL 2012 : Jose Serpa tawan Titiwangsa, dua saat dahului Corridor

Oleh FAUZI MOHD

Pelumba pasukan Androni Giocattoli, Jose Serpa sekali lagi membuktikan statusnya sebagai pakar pendaki berkelas dunia apabila mengungguli peringkat keenam Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Proton, Shah Alam ke Genting Highlands semalam.

Kejayaan tersebut adalah yang kedua direkodkan Serpa dalam perlumbaan LTdL edisi ke-17 kali ini selepas pelumba berusia 33 tahun itu menjuarai peringkat kelima kelmarin.

Serpa mencatat masa 3 jam 09 minit dan 37 saat untuk mengatasi pelumba Azad University Cross, Victor Nino Corridor, dua saat di belakang, diikuti rakan sepasukannya, Jose Rujano di tempat ketiga.

Berikutan kejayaannya itu, Serpa muncul pelumba ketiga yang menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan LTdL 2012 selepas pelumba Drapac Cycling, Darren Lapthorne merampasnya daripada tangan penyandang empat peringkat sebelum ini, David Zabrieski.

"Saya tidak menjangka dapat memenanginya (Jersi Kuning), namun saya dapat meramalkan yang saya mampu beraksi dengan baik pada peringkat pendakian yang sukar ini.

"Pada mulanya (Jose) Rujano yang mengetuai kami, namun dia mula ketinggalan ketika menuju pada baki terakhir perlumbaan. Peluang itu saya guna sebaiknya untuk melakukan 'serangan' sebelum berjaya dihimpit oleh Nino.

"Apa yang boleh saya buat selepas itu hanyalah kekalkan kayuhan dan simpan tenaga sebelum melakukan henjutan terakhir ketika 50 meter menuju ke garisan penamat," kata Serpa.

Kejayaan Serpa menawan puncak Genting di Banjaran Titiwangsa sekali gus menyaksikan dia turut memenangi Jersi Merah selaku Raja Bukit dengan 27 mata.

Peringkat ketujuh dari Bentong ke Kuantan hari ini merupakan laluan paling jauh dalam LTdL 2012 dan ia melibatkan tiga zon pecutan (Mentakab - Km 57.7, Maran - Km 117.3 dan Gambang - Km 164) serta satu zon pendakian kategori 4 (Bukit Genting - Km 95.5).


MB berjumpa pelumba TSG

OLEH:Mohd Yahya dan Harish Fadzillah