Halaman

11 May 2012

SEMARAK MERAH LARIAN BENDERA UMNO

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Sebanyak 66 bekas pulut kuning dengan bunga telur menjadi simbolik pembakar semangat daripada Badan Perhubungan UMNO Terengganu kepada Badan Perhubungan UMNO Pahang telah diarak Ketua-Ketua Wanita Cawangan UMNO Bahagian Kemaman, kelmarin.



Pasukan Larian Bendera UMNO Bahagian Kemaman mula berlari di sempadan Dungun – Kemaman sekitar jam 11 pagi yang turut disertai dengan 100 penunggang motosikal dan 200 basikal fixie.


Selepas menerima bendera daripada UMNO Bahagian Dungun, mereka kemudian meneruskan larian sejauh 40 kilometer sehingga sampai ke Pejabat UMNO Bahagian Kemaman di Chukai.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mengetuai larian peringkat Daerah Kemaman berkata, dengan semangat berkobar-kobar setiap ahli UMNO seluruh pelusuk negeri, tidak mustahil daerah yang menjadi milik pembangkang termasuk Indera Mahkota dapat dirampas kembali.

“Sehubungan itu, seluruh ahli UMNO perlu berjuang habis-habisan untuk mengalahkan PKR, PAS dan DAP yang menjadi petualang kepada bangsa, agama dan negara kita selama ini.

“Amat dikesali ada pihak pembangkang yang sanggup memperalatkan agama demi kepentingan politik mereka, malah saya tidak segan silu menyifatkan mereka sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bendera UMNO kepada wakil Menteri Besar Pahang merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat di sempadan Terengganu – Pahang, Pantai Cendor.

Larian turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera, ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman, Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Zubir dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman, Asfalinda Anuar.





Rakyat digesa sertai industry akuakultur

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu menggesa rakyat di negeri itu merebut peluang menceburi bidang industri akuakultur terutama di Tasik Kenyir bagi membantu meningkatkan hasil pengeluaran ikan air tawar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri YB Asha'ari Idris berkata sehingga ini ternakan ikan air tawar di Sungai Como dalam kawasan Tasik Kenyir, Terengganu melibatkan keluasan 2,800 hektar yang bermula sejak 2006 melibatkan 11 pengusaha.

"Kita pelawa rakyat Terengganu merebut peluang menceburi industri akuakultur terutama di tasik terbesar buatan manusia itu kerana ia masih ada ruang yang luas.

Kalau mereka tidak ambil peluang, kita bimbang pengusaha luar akan memohon untuk membuka industri akuakultur di situ secara besar-besaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Makan Ikan Air Tawar Mega 2012 Negeri Terengganu di Pasar Tani Padang Hiliran di sini , semalam.

Turut hadir Pengarah Perikanan negeri Abdul Khalil Abdul Karim dan Pengarah Fama negeri Hassan Jusoh.

Asha'ari berkata ketika ini terdapat 1,445 penternak ikan air tawar di negeri itu melibatkan 4,371 sangkar serta 808 kolam dengan keluasan kira-kira 90 hektar.

Manakala ternakan ikan air payau pula seperti ikan siakap dan kerapu melibatkan 220 kolam dengan keluasan 50 hektar.

YB Asha'ari berkata ikan air tawar sudah menjadi kegemaran rakyat negeri itu apabila ia menghasilkan jualan RM100,000 sebulan di pasar tani berkenaan.

"Ikan air tawar seperti talapia, patin, baung dan lain-lain sangat digemari rakyat Terengganu. Ini kerana sepanjang Januari hingga April tahun ini pasaran ikan-ikan itu menghasilkan lebih RM400,000.

"Mereka bukan sahaja gemar kepada ikan-ikan berkenaan, tetapi belut pun sudah menjadi rebutan orang ramai. Belut mempunyai rahsia tersendiri kerana mempunyai nilai pemakanan yang tinggi, setanding dengan ikan tenggiri dan
selar," katanya.

Sementara itu seorang pengunjung kempen makan ikan air tawar berkenaan Aslina Abu Bakar, 21, berkata beliau memang suka ikan air tawar sejak kecil lagi.

"Sejak kecil emak saya selalu hidang masakan ikan air tawar dari bendang dan saya paling suka ikan talapia masak tiga rasa," katanya yang tinggal di Kampung Padang Kemunting, Kuala Terengganu.



Program Jom Pakat Mari Gotong Royong dapat sambutan.

Oleh :Amirullah Othman

Kira-kira 200 orang menyertai Progran Jom Pakat Mari Gotong Royong Perdana di Tanah Perkuburan Islam Mukim Pengadang Buluh/ AtasTol, kelmarin.



Program itu dimulakan kira-kira jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 12 tengahari itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu, Haji Rozali Salleh.

Program tersebut dianjurkan Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Dewan Bandaraya Kuala Terengganu, Kadet Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor dantujuh JKKK berhampiran.

Menurut Setiausa Kerja Jawatankuasa Perkuburan Islam Mukim Pengadang Buluh/AtasTol, Encik Matam Mohamad, program itu mendapat sambutan yang menggalakkan dan kehadiran adalah di luar dugaan.

“Ini merupakansatu platform kepada semua penduduk berhampiran untuk berjumpa dan bertegur sapa antara mereka kerana masing-masing terlalu sibuk dengan tugas harian, sebelum ini.

Program itu turut dihadiri Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda; bekas Adun, Dato’ Dr. Abdul Latif Awang; Pegawai Agama Daerah Marang, Encik Ariffin Jusoh dan pemimpin setempat.



Terengganu yakin mampu kekal juara kali ke empat

Oleh: Suriati Ali

TERENGGANU meletak sasaran¬ untuk mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang akan berlangsung di Pahang Julai ini.

Reputasi terbaik Terengganu setelah berjaya mencatat hatrik kejuaraan pada temasya yang lepas menambah suntikan kepada semua atlet untuk mengekalkan kecemerlangan sama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat bagaimanapun berkata, rekod itu mungkin sukar dikekalkan berikutan beberapa acara yang membantu Terengganu merangkul tempat pertama sebelum ini tidak lagi dipertandingkan, antaranya sukan kenu yang banyak menyumbang emas.

Keadaan itu sekali gus boleh menjejaskan usaha Terengganu mengekalkan muncul pasukan negeri terbaik selepas berbuat demikian ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12, Sukma ke-13 di Melaka dan Sukma ke-14 di Kuala Lumpur.

Pada temasya kali ini kontinjen Terengganu bakal menyertai 24 acara sukan yang menawarkan 1,179 pingat.

Temasya itu mempertandingkan 18 sukan wajib seperti olahraga, menembak, pencak silat, tenpin boling dan skuasy serta lima sukan pilihan iaitu tinju, golf, petanque, bola tampar dan ekuestrian



10 May 2012

Klinik Kesihatan akan dibina di pusat peranginan Pulau Perhentian

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerajaan akan membuka sebuah Klinik Kesihatan di pusat peranginan Pulau Perhentian bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk di pulau itu selain untuk kemudahan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, pembinaan klinik berkenaan sedang diberi keutamaan oleh kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan lagi tahap kesihatan penduduk.

Katanya,ketika ini pulau itu hanya mempunyai Klinik Desa yang sudah lama beroperasi manakala jumlah kakitangan pula amat terhad berbanding jumlah sebenar penduduk pulau berkenaan.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, ketika ini dianggarkan antara 30 hingga 40 orang penduduk datang ke klinik terbabit untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu seluas 1,437 hektar tanah telah diluluskan pada Rancagan Malaysia Ke 7 (RMK 7) dan proses pengambilan tanah telah selesai dan sudah diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kerajaan Pusat sudah menjelaskan bayaran RM420,312 kepada penduduk yang terbabit dengan pengambilan balik tanah terbabit “Saya berharap projek pembinaan klinik berharga RM25 juta itu dapat dilaksanakan segera oleh kerajaan bagi memberi perkhidmatan kesihatan lebih selesa dan terbaik kepada penduduk pulau itu,” katanya.

Kerajaan Terengganu sumbang 20 komputer kepada Mahkamah Tinggi

Oleh FAUZI MOHD

Mahkamah Tinggi Terengganu menerima 20 unit komputer sumbangan kerajaan negeri untuk ditempatkan di makmal komputer mahkamah berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata kemudahan itu bagi membolehkan rakyat yang mempunyai kes di mahkamah membuat semakan dan sebagainya melalui sistem online yang disediakan di makmal berkenaan.

"Dengan kemudahan komputer yang ada di mahkamah, orang ramai yang terlibat dengan perbicaraan bolehlah membuat rujukan dan sebagainya seperti bila kes mereka akan dibicarakan," katanya ketika merasmikan makmal komputer dan majlis makan tengah hari dengan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman di Mahkamah Tinggi, Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinudin.

Dato’ Seri Ahmad berkata, pemberian komputer itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membantu semua jabatan kerajaan melaksanakan penggunaan komputer sepenuhnya.


Pengusaha ikan air tawar mampu perluaskan pasaran

Oleh: Suriati Ali

Terengganu turut dicatatkan sebagai negeri paling ramai yang mempunyai bilangan pengemar ikan tawar seperti ikan keli, patin dan baung berbanding negeri lain yang lebih gemarkan makanan laut.

Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Encik Abdul Khalil Abdul Karim, (gambar kecil) pihaknya percaya berdasarkan perkembang positif ini, seramai 1,445 perternak dan pengusaha ikan air tawar di Terengganu mampu mempeluaskan pasaran masing-masing sehingga serata negeri dan ke luar negara.

Katanya, pihaknya menerima banyak permohonan daripada pelbagai pihak untuk menceburi bidang ternakan ikan air tawar seperti keli, baung dan patin selepas menyedari ianya mendapat keuntungan.

“Permintaan tiggi terhadap ikan air tawar secara tidak langsung dapat mengurangkan permintaan terhadap sumber ikan laut yang kini dikatakan semakin berkurangan berikutan mengalami eksploitasi yang berlebihan,” katanya..

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mega Kempen Makan Ikan Air Tawar di Tapak Pasar Tani, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini..


Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Encik Abdul Khalil Abdul Karim; Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur, Putrajaya, Encik Nik Wahab Mat Diah dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Peserta yang hadir pada program anjuran Jabatan Perikan Negeri Terengganu, diberi peluang merasai keenakan beberapa masakan ikan air tawar seperti sup belut, ikan patin masak tempoyak, nuget ikan patin dan sebagainya.

Katanya, program seumpama ini akan diteruskan ke peringkat daerah sebagai langkah mempromosi kepada orang ramai tentang keenakan ikan air tawar.




YPU e-mall.com urusniaga dalam talian

 
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Ads4bucks Network, sebuah portal pengiklanan dan komuniti sosial yang mempunyai 200,000 komuniti di seluruh Asia .

Ketua Pegawai Eksekutif YPUT, Haji Azmi Razik berkata, MoU itu mewujudkan usahasama syarikat itu dengan YPU dan membuka peluang usahawan muda hari ini untuk mempromosikan produk mereka secara talian terus.

“Saya meminta usahawan Bumiputera segera mendaftar dengan kita dan melalui ypu e-mall.com ini produk mereka dapat dilanggan di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di majlis Program Outreach Tranformasi Bumiputera Berprestasi Tinggi di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini.

Hadir sama, Presiden Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (MAPEM); Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu(DPMMT), Dato' Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Ads4buck Network, Encik Ameer Noraizedin Abd. Wahab.

Katanya, perniagaan dalam talian kini menjadi satu keperluan dengan menggunakan website atau facebook untuk disebarkan kepada orang ramai.

Menurutnya, MoU ini dibuat semata-mata untuk membantu usahawan muda hari ini untuk mempromosikan produk mereka secara lebih meluas dan tidak melalui orang tengah.

Tambahnya, dari segi promosi dan pasaran melalui ypu e-mall ini menjimatkan masa dan tenaga kerana ia dapat dilakukan di rumah atau di mana saja tempat yang sesuai asalkan ada komputer riba.

“Terdapat 200,000 komuniti yang berdaftar dengan Ads4bucks dari seluruh dunia, akan melihat produk –produk usahawan kita yang dipaparkan sekaligus membantu mendapatan pasaran yang lebih meluas,” katanya.

Haji Azmi mengesa semua usahawan di negeri ini agar merebut peluang perniagaan secara maya itu yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia siber hari ini.





Pelumba TSG kuasai perlumbaan buka tirai Jelajah 1Malaysia

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Shinichi Fukushima menguasai perlumbaan pembuka tirai berbasikal Jelajah 1Malaysia 2012 dari Stadium Merdeka Kuala Lumpur ke Bandar Baru Kampar, semalam.

Pelumba dari Nagano, Jepun itu mencatat masa 3 jam, 50 minit 58 saat untuk menjadi pelumba pertama tiba di garisan penamat.

Dia meninggalkan pencabar terdekat Michael Torckler dari Pure Black Racing (PBR) dan Hari Fitrianto dari Polygon Sweet Nice (PSN).

Biarpun mengharungi perlumbaan dalam cuaca terik, pelumba veteran berusia 40 tahun itu berjaya melakukan henjutan terakhir dengan menamatkan cabaran sejauh 161.5 kilometer.

"Sepanjang laluan ada beberapa pelumba mula keletihan dan semakin ketinggalan termasuk rakan sepasukan saya Mohd. Harrif Salleh.

"Jadi saya tahu perlumbaan peringkat ini sungguh mencabar, apa yang saya mampu buat ialah kuatkan semangat dan kekalkan kedudukan.

"Saya melihat ada pelumba melakukan breakaway pada 20 kilometer pertama. Jadi saya pun cuba mengejar kelompok tersebut dan mengekalkan kedudukan," katanya yang secara automatik turut menyarung Jersi Kuning sebagai pendahulu keseluruhan.

Peringkat kedua hari ini bermula dari Bandar Baru Kampar, ke Kulim, Kedah sejauh 201.8 kilometer.

Ia merupakan laluan terpanjang melibatkan tiga zon pecutan (Tasek-KM33.6, Kati-KM77.1 dan Selama-KM167.2) serta satu zon pendakian KOM1 (Bukit Sumpitan-KM130.6).




Sedia modal untuk ternak belut

Oleh: Suriati Ali
YB Haji Asha'ari menunjukkan bakat memasak menu daripada ikan air tawar selepas Program Mega Kempen Makan Ikan Air Tawar di Tapak Pasar Tani, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, sebentar tadi. - Gambar oleh Zulkipli Putra.


Kerajaan negeri bersedia memberi modal permulaan jika terdapat mana-mana individu di Terengganu ingin menceburi bidang ternakan belut sebagai alternatif mendapat sumber pendapatan sampingan .

Belut atau nama saintifiknya ordo anguilliformes kini semakin popular berikutan beberapa pengusaha restoran bijak mempelbagai menu daripada belut termasuk sup belut, belut goreng bercili (gambar kiri) dan laksa belut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris, berkata mereka yang berminat wajar merebut peluang itu, kerana kebanyakan pengusaha restoran kini terpaksa membeli belut dari luar Terengganu selain mendapatkannya dengan pencari belut liar.

Katanya, pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada mana-mana pihak mengenai ternakan belut melainkan permohonan berkaitan ternakan ikan patin, keli dan baung.

 “Jika ada, kerajaan negeri sudi membantunya dengan mengenakan beberapa syarat tertentu supaya ia tidak merugikan. Mereka yang ingin menceburinya, biarlah serius dan bukannya bersikap sambil lewa dan mudah putus asa.

“Saya cukup kecewa dengan sikap seumpama itu, bila sudah dapat apa yang dihajati, termasuk memperoleh peruntukan atau modal awal, mereka cabut lari dan enggan bertanggunjawab apa yang dilaksanakan itu, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Mega Kempen Makan Ikan Air Tawar di Tapak Pasar Tani, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini..

Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Encik Abdul Khali Abdul Karim; Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur, Putrajaya, Encik Nik Wahab Mat Diah dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Peserta yang hadir pada program anjuran Jabatan Perikan Negeri Terengganu, diberi peluang merasai keenakan beberapa masakan ikan air tawar seperti sup belut, ikan patin masak tempoyak, nuget ikan patin dan sebagainya.

YB Haji Asha’ari turut memberitahu potensi sektor akuapultur di Terengganu sangat luas di mana mempuyai kawasan daratan dan perairan seluas 5,046 hektar.
Katanya, semua kawasan itu dikenalpasti sebagai Zon Insdutri Akuakultur (ZIA) yang berpotensi dan sedang diusahakan untuk pembangunan ternakan ikan air tawar dan air payau.