Halaman

22 May 2012

Polis tubuh unit berbasikal ronda kawasan pelancong

Oleh FAUZI MOHD

Polis Terengganu melancarkan unit ronda berbasikal polis pelancong bagi menjalankan rondaan di kawasan-kawasan tumpuan pelancong di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, antara lokasi yang dironda unit itu ialah sekitar Pantai Batu Burok, Taman Tamadun Islam dan Pasar Payang.

"Sebelum ini kita menggunakan motosikal, berkereta dan berjalan kaki untuk membuat rondaan di kawasan tumpuan pelancong.

"Saya percaya kehadiran anggota polis dengan berbasikal akan memudahkan orang awam terutama pelancong yang mengalami kesulitan mendapatkan maklumat atau bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan dan pelancaran unit ronda berbasikal polis pelancong di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia negeri, Nasir Khusairi.

Dato’ Jamshah berkata, program itu adalah hasil kerjasama antara Tourism Malaysia Terengganu dan Polis negeri bagi membantu merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

Selain menjaga keselamatan dan membendung kejadian jenayah katanya, unit basikal polis pelancong itu juga akan bertindak membantu dan menyelesaikan masalah orang ramai seperti memberi petunjuk jalan kepada pelancong.


YB. Mohd Nor Othman dipilih Tokoh Guru Terengganu

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra


Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB. Mohd. Nor Othman, 60, dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Guru Terengganu 2012 sempena sambutan Hari Guru ke-41 peringkat negeri semalam.

Beliau yang bersama profesion perguruan selama 33 tahun itu menerima wang tunai RM5,000, senaskah al-Quran, satu set persalinan dan trofi yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 warga pendidik dan pelajar berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Penajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin.

Mohd. Nor yang juga bekas Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran negeri menyifatkan kerjaya sebagai guru sebagai ibadah untuk memotivasikan dirinya melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan cemerlang.


Beliau berazam untuk terus memberi sumbangan terhadap sektor pendidikan selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu dikenali sebagai negeri anjung ilmu dan kuasa baru pendidikan tanah air.

"Walaupun sudah bersara daripada arena perguruan, sebagai ahli Parlimen saya tetap mahu berperanan terutamanya dalam isu pendidikan. Malah saya masih lagi melibatkan diri dengan kegiatan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) daerah," katanya.

Mohd. Nor yang berasal dari Kampung Buluh, Kuala Berang adalah lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengajian Pendidikan Sejarah pada 1971 dan mula bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, Kuala Terengganu, pada 1976.



Sepanjang tempoh menjadi pendidik, beliau yang juga penerima Anugerah Guru Khidmat Cemerlang Kebangsaan pada tahun 1996 pernah ditugaskan dibeberapa buah sekolah antaranya SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Landas, SMK Menerong dan SMK Ajil.

Sementara itu, turut menerima anugerah ialah Azran Ibrahim (Guru Pendidikan Khas Cemerlang), Zainudin Mat Ali (Guru Kelainan Upaya Cemerlang) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Terengganu bagi kategori pengurusan PPD cemerlang.

Turut diraikan, Masitah Mohamad (Guru Pra Sekolah Inovatif) serta Mohd. Yusri Ibrahim, Nor Khatimah Ismail dan Wan Mohd. Amir Fazamin Wan Hamzah (Guru Sekolah Menengah Inovatif) dan Kamarulzaman Ismail (Tokoh Nilam).



21 May 2012

Tiga perusuh Bersih 3.0 ditahan di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Polis Terengganu berjaya memburu dan menahan tiga individu yang dipercayai terlibat dalam rusuhan semasa perhimpunan Bersih 3.0 yang bertukar ganas di ibu negara pada 28 April lalu.

Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, tiga lelaki terbabit adalah antara empat yang diburu di negeri ini, selepas identiti yang terlibat rusuhan itu didedahkan Bukit Aman awal bulan ini.

“Kesemua mereka yang berusia antara 20-an dan 40-an ditahan di rumah masing-masing iaitu dua di Marang dan seorang di Kemaman, manakala seorang lagi yang masih diburu berasal dari Dungun,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Dato’ Jamshah, ketiga-tiga lelaki terbabit telah diserahkan kepada Bukit Aman.

Pada 9 Mei lalu, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dilapor memberi tempoh tujuh hari kepada individu yang gambarnya disiarkan polis untuk menyerah diri, bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan pada perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan yang disokong parti pembangkang itu.

Pada Sabtu lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur ,Datuk Mohmad Salleh dilapor berkata polis masih memburu 113 daripada 141 individu yang gambarnya disiarkan polis menerusi media massa.


100 remaja Kampung Apal sertai kayuhan basikal


Oleh: Mohammad Ishak 

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Apal, Jabi, dalam Parlimen Setiu, menganjurkan program kayuhan basikal terbuka kepada remaja dan orang dewasa yang berlangsung di kampung itu semalam.

Program bertujuan menggalakkan komuniti menyertai aktiviti riadah itu turut disertai oleh veteran kampung sebagai tanda sokongan kepada penganjur program.

Pengerusi JKKK Kampung Apal, Mohd Noor Omar berkata, peserta remaja dikehendaki mengayuh basikal sejauh lima kilometer mengelilingi kampung berkenaan secara berkumpulan.

Katanya, menerusi aktiviti riadah itu peserta bukan sahaja mempamerkan semangat kerjasama malah ia dapat mendisiplinkan diri ketika menyertai konvoi berbasikal berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Yang Berhormat Ramlan Ali, melepaskan peserta berbasikal malah paling menarik beliau turut mengayuh basikal bersama peserta veteran.

Ramlan memuji usaha penganjur mengadakan program seumpama itu kerana berjaya mengumpul golongan remaja dan dewan menyertai program berkonsepkan riadah.

Katanya, beliau akan memberi sokongan kepada mana-mana penganjur yang ingin mengadakan program seumpama itu  kerana ia mampu mewujudkan suasana sihat dan meningkatkan semangat kerjasama antara satu sama lain.

“Aktiviti seperti ini amat baik dan patut diteruskan dari masa ke semasa dalam usaha membentuk generasi sihat dan cergas,” katanya.

TATIUC perkasa bidang penyelidikan

Oleh; Esah Abdullah

Tati Universiti Kolej (TATIUC) akan meneruskan penghantaran pelajar dan pensyarah untuk mengikuti pengajian di Mie Universiti Nagoya di Jepun yang masuk tahun ketiga tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah TATIUC, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, TATIUC memberi tumpuan ke arah memperkasakan bidang penyelidikan.

“Terdapat lima tempat disediakan untuk pelajar kita di sana ,tetapi kita hanya hantar dua orang bagi melihat kesesuaian dari pelbagai sudut termasuk makan minum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Penyelidikan dan Inovasi TATIUC di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Hadir sama, Rektor TATIUC, Dr. Mohd Rozailan Ibrahim dan timbalannya, Haji Zulkifli Mohamad.

Katanya, semua kos sepanjang enam bulan berkursus di negara berkenaan ditanggung oleh universiti berkenaan dan TATIUC hanya belanja untuk tambang penerbangan sahaja.

Menurutnya, tahun ini akan hantar beberapa pensyarah TATIUC untuk membuat PhD di universiti yang sama yang dijangka memakan masa dua hingga tiga tahun.

Kita juga turut mendapat tawaran dari universiti di Korea yang bersedia menerima pelajar kita terutama untuk buat PhD di negara berkenaan namun pihak TATIUC sedang meneliti tawaran tersebut dan kemungkinan akan hantar tahun depan.

Sementara itu, terdapat 50 poster hasil penyelidikan dalam pelbagai bidang antaranya bidang kejuruteraan pembuatan, kejuruteraan kimia, kejuruteraan elektrik, automasi, teknologi maklumat dan kejuruteraan automotif menyertai pameran tersebut.

Katanya, TATIUC menyediakan geran penyelidikan jangka pendek sebagai galakan kepada pelajar dan pensyarahnya dalam usaha memperkasakan bidang penyelidikan serta peruntukan kewangan untuk projek tahun akhir sama ada diperingkat diploma dan ijazah sarjana muda.

Dalam perkembangan sama, terdapat lima orang pensyarahnya telah mendapat geran penyelidikan FRGS di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan ini menunjukkan hasil penyelidikan pensyarah TATIUC diiktiraf di peringkat kebangsaan.





YHM wujud kempen cegah hepatitis


Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Yayasan Hepar Malaysia (YHM) menganggarkan kira-kira 2.5 juta rakyat di Malaysia dikesan pembawa kuman virus hepatitis B di mana 100 kali lebih mudah berbanding virus HIV .

Pengerusi yayasan itu, Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd Ismail Merican berkata, penyakit hepatitis B adalah sejenis wabak yang boleh menyerang secara senyap pada organ tertentu, terutama hati.

“Mereka ini kelihatan sihat tetapi mampu secara senyap-senyap menjangkiti orang lain.

“Pihak kami menganggarkan kira-kira 350 juta penduduk di dunia mengalami penyakit kronik dan 600,000 penduduk mati akibat hepatitis B pada setiap tahun,” katanya.


 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap di Majlis Kempen Kesedaran Penyakit Hepatitis peringkat negeri Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat merasmikan kempen anjuran YPM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan UMT.

Menurutnya, virus penyakit itu 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding dengan virus HIV, jika seseorang itu mengambil sikap sambil lewa dan enggan mendapat rawatan.


“Penyakit ini boleh dicegah sekiranya seseorang itu mempunyai kesedaran tentang risiko selain bertindak awal dengan mendapatkan vaksin di hospital berdekatan,” katanya.

Katanya, pihak nya sering menganjurkan pelbagai kempen kesedaran di pelbagai lokasi, termasuk sekolah, jabatan kerajaan dan swasta semata-mata mahu memberitahu orang ramai tentang bahayanya penyakit itu.

“Apa yang menyedihkan ada di antara mereka gemar mengambil sikap tidak peduli dengan apa yang disampaikan walaupun pelbagai pendekatan diambil.

“Menyedari hakikat itu, YHM kini menggunakan pelbagai saluran media sosial sebagai langkah terbaik menyampaikan maklumat,” katanya.






‘Bapa Angkat’ turun padang bertemu rakyat Tangga Batu

Oleh FAUZI MOHD

“Wajah yang saya lihat di Tangga Batu bukan sekadar mampu mengekalkan kemenangan 100 peratus di kerusi Parlimen dan empat DUN, malah di sinilah juga kubu yang cukup teguh buat Barisan Nasional,” kata Dato’ Seri Ahmad Said.



Rumusan itu dibuat Menteri Besar yang juga ‘Bapa Angkat’ kepada UMNO Bahagian Tangga Batu, Melaka setelah mengakhiri program sehari di parlimen itu, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu, jentera Barisan Nasional (BN) di Tangga Batu telah menyatakan kesiap-siagaan mereka menunggu tarikh pembubaran parlimen dan DUN untuk berdepan pilihan raya umum ke-13.



“Saya telah diberi taklimat daripada UMNO bahagian Tangga Batu termasuk pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Perasaan mereka juga sama dengan bahagian-bahagian lain, sudah bersedia untuk hadapi PRU ke-13,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera PIlihanraya Jalinan Rakyat Parlimen Tangga Batu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gelam, Tanjung Keling, Melaka.



Turut hadir, Ahli Parlimen Tangga Batu yang juga Ketua UMNO Bahagian berkenaan, Dato’ Wira Ir. Idris Haron, ADUN Sungai Udang, Datuk Yaakob Md. Amin, ADUN Pantai Kundur, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan ADUN Paya Rumput, Datuk Tahir Hassan.



Pada majlis itu, seramai 114 veteran UMNO Tangga Batu turut menerima sijil dan cenderamata penghargaan atas jasa serta sumbangan mereka kepada parti yang disampaikan Dato’ Seri Ahmad.

Sebelum itu, beliau yang disertai isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud menyertai majlis makan tengah hari di Coconut Shake Klebang Besar Melaka bersama kepimpinan UMNO Tangga Batu.

Dato’ Seri Ahmad turut mengakui keberkesanan program turun padang yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan dan parti dalam mendekati kehidupan sebenar rakyat negara ini.

“Peluang bertemu rakyat yang berkonsep tinjauan mesra itu juga memberi impak besar dalam usaha pemimpin untuk bertindak terhadap setiap rintihan dan masalah rakyat,” ujarnya.


20 May 2012

100 ahli NGO Besut buat laporan Polis berhubung BERSIH 3.0

Ahli NGO Besut berkumpul di IPD  Besut selepas membuat laporan polis

Oleh: Mohammad Ishak

Selepas hampir sebulan  perhimpunan Bersih 3.0 diadakan di Dataran Merdeka,Kuala Lumpur, tetapi masih ada pihak yang menzahirkan rasa marah dan kecewa dengan penganjuran tidak bertamaddun itu menyebabkan mereka tanpil menyampaikan bantahan dan menyanjung tindakan Polis yang menjalankan tugas pada perhimpunan berkenaan.

Seramai 100 ahli mewakili pelbagai pertubuhan NGO daerah Besut yang tidak puas hati dengan penganjuran itu hari ini mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk menyampaikan kalungan bunga sebagai tanda sokongan kepada pihak yang menjaga keselamatan.

Pertubuhan terbabit termasuk, Persatuan Bekas Polis Daerah Besut,Perkasa, Persatuan Belia MAYC Besut, Persatuan Usahanita Daerah Besut dan pertubuhan seni mempertahankan diri.

Pengerusi MAYC Besut, Wan Adilah Wan Nawang mewakili pertubuhan berkenaan menyampaikan bunga kepada Ketua Polis Daerah Besut,Superentanden Kamaruddin Mohd Zakaria dan disaksikan pegawai dan anggota polis daerah Besut.

Selepas penyerahan bunga tanda simpati dan sokongan terhadap tugas polis ketua NGO terbabit masing-masing membuat laporan polis terhadap penganjuran BERSIH 3.0.

Pengerusi Persatuan Polis Daerah Besut, Haji Hussein Awang Ngah berkata, persatuan dukacita dengan penganjuran majlis itu kerana ia buka bersifat perhimpunan sebaliknya melakukan rusuhan.

Katanya,walau apa alasan yang diberikan pemimpin pembangkang dan penganjur rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup tidak dapat menerimanya sebaliknya menyifatkan mereka sebagai penderhaka kepada negara.

Pemimin NGO terbabit sepakat meminta kerajaan bertindak tegas dan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang terhadap penganjur dan mereka yang melakukan keganasan pada hari perhimpunan itu.

Sultanah Nur Zahirah berkenan rasmi Kempen Kesedaran Penyakit Hepatitis


Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Hepatitis peringkat negeri Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Baginda tiba di dewan itu kira-kira jam 9.30 pagi bersama anakanda, Tengku Nadhirah Zaharah.

Ketibaan baginda di sambut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar; Presiden Yayasan Hepar Malaysia (YPM), Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd Ismail Merican dan Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr T. Ramelah Senik.

Baginda kemudiannya bertitah dan seterusnya berkenan merasmikan program yang dianjurkan YPM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan UMT.

Baginda turut diberi penerangan lanjut oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd Ismail mengenai kesan dan siptom Hepititis kepada manusia.

Sultanah Nur Zahirah kemudianya berkenan melawat gerai pameran yang disedia peserta program.

Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd Ismail, berkata kira-kira 2.5 juta rakyat Malaysia dikesan menjadi pembawa kuman virus hepatitis B.

 Katanya, penyakit hepatitis B adalah sejenis wabak yang boleh menyerang secara senyap pada organ tertentu, terutama hati.

“Mereka ini kelihatan sihat tetapi mampu secara senyap-senyap menjangkiti orang lain.

“Pihak kami menganggarkan kira-kira 350 juta penduduk di dunia mengalami penyakit kronik dan 600,000 penduduk mati akibat hepatitis B pada setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, virus penyakit itu 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding dengan virus HIV.

“Penyakit ini boleh dicegah sekiranya seseorang itu mempunyai kesedaran tentang risiko selain bertindak awal dengan mendapatkan vaksin di hospital berdekatan,” katanya.




Pakej berbasikal kunjungi tempat menarik

Oleh; Esah Abdullah

Tourism Malaysia memperkenalkan 33 Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1 Malaysia di seluruh negara sebagai satu lagi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi negara ini sebagai destinasi percutian.

Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Encik Musa Yusof berkata, sebanyak 21 agensi pelancongan di seluruh negara terlibat dengan program tersebut yang menawarkan pelbagai pakej berbasikal menarik.

Beliau berkata, pakej berbasikal yang diperkenalkan itu merupakan antara produk pelancongan domestik terbaru Tourism Malaysia sebagai menyokong usaha memelihara alam sekitar di samping mengenali pusat-pusat pelancongan.

“Berbasikal adalah baik untuk kesihatan selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1 Malaysia peringkat negeri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di Taman Awam Batu Burok semalam. Hadir sama Pengarah Tourism Malaysia Negeri ,Encik Mohd Nasir Khusairi.

Menurutnya, program tersebut yang dilancarkan diperingkat kebangsaan pada 1 April lalu diharap dapat mempromosikan lagi tempat-tempat rekreasi setempat dan pelancongan menarik di seluruh negara.

Beliau menambah, melalui pakej berbasikal yang diperkenalkan itu tiga pakej ditawarkan oleh agensi pelancongan dengan melawat tempat-tempat menarik dan bermalam di samping dapat menyemai budaya gaya hidup sihat terhadap sukan berbasikal.

Katanya di Terengganu kini mempunyai lima agensi pelancongan yang menawarkan pakej berbasikal. Difahamkan harga pakej yang ditawarkan antara RM150 hingga RM829 seorang.

Beliau memberitahu, sepanjang tahun 2010, sebanyak RM35 billion pendapatan dapat dijana melalui industri pelancongan domestik yang melibatkan seramai 115.5 billon pelawat.

Mengenai program pelancaran pakej berbasikal di Terengganu beliau berbangga kerana lebih 1,200 peserta daripada 29 kelab seluruh negeri termasuk Kemaman dan Besut menyertainya.

Sehubungan itu katanya, Tourism Malaysia bercadang untuk mengadakan aktiviti berbasikal yang turut mengundang peserta berbasikal dari negeri-negeri lain.