Halaman

22 June 2012

Jejambat Sungai Limbong jangka selesai kesesakan trafik

Oleh: Aida Abd Rahman
Kesesakan aliran trafik di Bandar Chukai atau `Yellow Town’ yang menjadi lokasi tumpuan ramai dijangka dapat diselesaikan dengan siapnya projek pembinaan Jejambat Sungai Limbong, tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata jejambat yang bernilai lebih RM3 juta dibina merentasi Sungai Limbong menghubungkan antara Yellow Town dengan Jalan Abdul Rahman dijangka akan memberi kemudahan kepada orang ramai apabila dibuka dalam tempoh terdekat.

“Sehingga kini, kontraktor sedang menyiapkan kerja-kerja akhir jejambat yang dihias indah dengan lampu serta dilengkapi dua pintu gerbang itu. Kemudahan itu akan menjadi ikon baru kepada Bandar Chukai.

“Pada masa yang sama, kemudahan yang disediakan Kerajaan Barisan Nasional ini mengutamakan kepentingan rakyat bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang berlarutan sejak dulu lagi,” katanya.

Dato' Mohamed berkata, projek yang mula dibina dua bulan lalu sebagai langkah melancarkan aliran trafik sebagai kemudahan orang ramai dan peniaga serta pengunjung dari luar Kemaman yang datang ke pusat bandar untuk menyelesaikan pelbagai urusan.

Selain itu juga, kawasan sekitar jejambat itu juga dilengkapi dengan kemudahan gerai niaga yang turut membuka peluang perniagaan kepada penduduk sekitar Chukai selain turut menjadi tarikan baru pengunjung.





PPK Gerai antara terbaik di Malaysia


Arpan menyampaikan sijil kepada seorang ahli PPK

Oleh: Mohammad Ishak 

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) membelanjakan RM2.3 juta bagi meningkatkan taraf hidup petani terutama ahli pertubuhan itu di seluruh negara,Kata Ketua Pengarahnya, Datuk Arpan Shah Satu.

Katanya, peruntukan itu disediakan untuk subsi baja, peralatan pertanian,jentera membajak dan benih padi sebagai usaha menggalakkan petani menyertai sector berkenaan.

Menurutnya,ketika ini ada kira-kira 500,00 petani menjadi ahli kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan mereka menjadi penyumbang terbesar kepada pengeluaran hasil tani negara.

Beliau berkata, selaras dengan tranformasi negara sektor pertanian juga bergerak seiring dengan industri lain dalam usaha menjana ekonomi negara. “Ini terbukti apabila ada juga petani yang mampu meraih pendapatan bulanan antara RM20,000 hingga RM30,000 ribu sebulan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke 34 PPK Gerai, dekat sini semalam.

Hadir sama Pengerusi PPK Gerai Nawi Mohamad yang juga ADUN Hulu Besut dan ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof.

Arpan berkata,ahli PPK kini mendapat kemudahan yang cukup untuk menjalankan aktiviti pertanaian berikuatan pelbagaai bantuan dan sokongan diberikan oleh agensi berkaitan. Mengenai PPK Gerai,

Beliau berkata PPK terbabit adalah antara yang paling aktif di negara ini menjalankan aktiviti bertereraskan ekonomi dengan menyertai pelbagai kegiatan

Menurutnya, PPK berkenaan merancang untuk membina kilang memproses ubi kayu di Kerandang bagi pengeluaran makanan ringan untuk pasaran tempatan selain menambah hasil pendapatan ahli pertubuhan itu.

Kontijen Sukma dalam fasa akhir

Oleh; Esah Abdullah

Persiapan Kontijen Terengganu ke Sukan Malaysia (Sukma) XV yang akan berlangsung di Pahang pada awal bulan depan kini memasuki fasa akhir.

Ketua Kontijen Sukma Terengganu, Haji Wan Nawawi Ismail berkata, hampir kesemua sukan sedang menyertai pertandingan dalaman dan luar negara.

“Program turun padang oleh ketua-ketua kontijen (bapa angkat) ke tempat-tempat latihan sedang berjalan sekarang,” katanya.

Menurutnya beberapa program khas seperti kem bina semangat diadakan di Kem Jenagor mengikut kumpulan (empat kumpulan) dan kem sasaran pingat di adakan di Bukit Gambang Resort City khusus untuk atlet yang disasarkan mendapat pingat di Pahang.

Selain itu kem pemantapan minda untuk sukan konsentrasi (memanah, menembak, tenpin bowling, lawn bowls dan petanque) akan diadakan di Batu Burok Beach Resort pada 25 hingga 26 Jun manakala kem latihan pusat akhir akan diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak pada 27 Jun ini.





“Terima Kasih BN” dari penduduk Kg. Alur Tuman.


Oleh : Amirullah Othman


“Terima kasih Barisan Nasiona,” Itulah ungkapan yang diluahkan oleh seluruh penduduk di Kampung Alur Tuman apabila jalan raya yang dinaiktaraf telah siap di bina, kepada WartawanTeganuKita, semalam.



Ini kerana jalan raya utama yang menghubungkan Dungun dan Kuala Terengganu merupakan jalan utama yang digunakan oleh pengguna setiap hari, dilebarkan untuk kemudahan pengguna.

Sebelum ini, kadar kemalangan jalan raya di selekoh tajam Kampung Alur Tuman agak tinggi dan meragut banyak nyawa, terutama apabila hari hujan.

Pengerusi JKKK Kampung Alur Tuman, Khasperi Muda mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan yang sangat menjaga kebajikan rakyat.

Beliau berharap jalan raya yang telah dinaiktaraf ini dapat mengurangkan kemalangan jalan raya, khususnya yang melibatkan kematian pengguna.

Yunus Ghulam Nabi, salah seorang penduduk yang tinggal berdekatan memberitahu kemalangan yang berlaku mungkin disebabkan keadaan jalan yang licin, terutamanya apabila hari hujan.

Beliau berkata, langkah kerajaan Barisan Nasional yang prihatin menaiktaraf jalan di kampong itu sangat dialu-alukan bukan saja penduduk kampong, tetapi seluruh pengguna jalan tersebut.

21 June 2012

MPP terima watikah

Oleh; Esah Abdullah



Seramai 172 orang penuntut Kolej Teknologi Bestari (KTB) telah menerima Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Persatuan Kelab Pelajar yang berlangsung di Dewan Teater kolej berkenaan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Eksekutif KTB, Encik Ahmad Suhaily Mohd Salleh berkata,
majlis ini merupakan satu kemestian yang dilakukan oleh pihak kolej kepada MPP dan persatuan kelab yang berdaftar secara tahunan.

“Watikah perlantikan dilakukan sebaik saja pilihanraya kampus selesai serta pembentukan jawatankuasa baru MPP,” katanya.

Tambahnya, majlis sebegini sebagai penghormatan kepada semua ahli MPP dan persatuan kelab yang disaksikan semua pengurusan tertinggi serta ketua jabatan KTB.

Pengerusi Eksekutif, Kolej Teknologi Bestari Dato’ Dr Haji Tengku Mahmud Mansor telah menyampaikan watikah berkenaan kepada pelajar terbabit.




Sidang video PM - MB lancar

Oleh: Aida Abd Rahman

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak berbangga dengan pencapaian Terengganu dalam bidang ekonomi dan keusahawanan hasil pelbagai program dan aktiviti yang dirangka kerajaan negeri menerusi agensi kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).



Beliau berkata demikian menerusi sidang video secara langsung dari Majlis Perasmian Minggu PKS 2012 Peringkat Nasional, Kuala Lumpur dengan Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said, di program Himpunan Usahawan Terengganu 2012 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (21 Jun).

Menerusi sidang video yang berlangsung selama lima minit itu, Menteri Besar turut memberitahu jumlah pinjaman perniagaan yang dikeluarkan pelbagai agensi kerajaan kepada usahawan negeri ini.

Malah, Perdana Menteri turut berharap kerajaan negeri terus menjana ekonomi dan memanfaatkan peluang dan bantuan yang disediakan kerajaan sebaik mungkin bagi memastikan kehidupan rakyat Terengganu terus maju.


Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebelum menamatkan perbualan sempat berseloroh Terengganu akan mencapai kejayaan yang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti, menyebabkan Perdana Menteri spontan berkata `masih sempat lagi menyebut perkara itu (PRU13)'.




James Jam Jolly juara pidato bukan Melayu

Oleh; Esah Abdullah



James Jam Jolly, 25 dari masyarakat Iban, Sarawak muncul johan dalam Pertandingan Pidato 1Malaysia (Bukan Melayu) Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu hari ini.

James merupakan pelajar tahun dua Jurusan Bioteknologi Marin di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membawa pulang wang tunai RM1,500, plak dan sijil penghargaan.



Naib johan dimenangi Linggatharani a/p Kesavan, 21, pelajar di Maktab Perguruan Dato’ Razali Ismail dan berasal dari Pulau Pinang dan Wan Zainuddin Ali Aspar, 22, dari masyarakat Bajau Kudat, Sabah yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendapat tempat ketiga dan masing-masing menerima RM1,000 dan RM500 beserta plak dan sijil penghargaan.

Manakala lima peserta menerima saguhati RM200 setiap seorang beserta plak dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.



Lapan peserta termasuk seorang masyarakat Iban, Bajau dan masing-masing tiga China dan India menyertai pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) itu yang masuk tahun kedua setelah mula diperkenalkan tahun lalu.

Menurut Pengarah JPNT, Hajah Azizah Awang, pertandingan yang bertemakan nilai-nilai murni itu bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan serta kefahaman orang ramai mengenai dasar negara khususnya Gagasan 1Malaysia selain memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan pelbagai kaum dalam kehidupan harian.

"Kita juga berharap dengan penganjuran program ini dapat menyubur serta mengekalkan semangat perpaduan di kalangan warga Malaysia, "katanya.





Usahawan Terengganu paling rendah gagal bayar balik pinjaman

Oleh: Aida Abd Rahman
Usahawan di negeri ini dikenalpasti sebagai peminjam paling berdisiplin dalam aspek bayaran balik pinjaman berikutan mampu melunaskan pembiayaan mengikut tempoh ditetapkan berdasarkan penilaian beberapa agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan itu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peminjam dari negeri ini yang gagal membayar balik pinjaman kepada agensi seperti Tekun Nasional (Tekun), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) amat kecil.

Menurutnya, hanya 20 peratus peminjam di YPU yang gagal menjelaskan pinjaman itu, manakala daripada setiap sepuluh peminjam Tekun, hanya tiga daripadanya gagal membayar balik yang mungkin berpunca daripada perniagaan yang merudum dan tidak berkembang.

Sementara Mara pula mencatatkan 25 peratus gagal menjelaskan pinjaman perniagaan menerusi pelbagai skim yang disediakan , selain 0.01 peratus sahaja yang tidak melunaskan pinjaman berkontrak.



“Bagi pinjaman Tekun pula, usahawan yang meminjam menerusi Tekun kebanyakannya kaum wanita dan sikap wanita lazimnya sentiasa beringat dan berdisiplin untuk membayar balik pinjaman yang dibuat mereka berbanding lelaki.

“Sama juga seperti pinjaman disediakan menerusi YPK, sebanyak 80 peratus berjaya membayar balik dan mengubah hidup mereka. Sementara 20 peratus lagi semakin susah akibat gagal mengurus dan bertindak menjual peralatan perniagaan, pada masa yang sama meminjam pula dengan along,” katanya di sidang akhbar sempena Himpunan Usahawan Terengganu 2012 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (21 Jun).

Menteri Besar berkata, sehingga kini, Mara mengeluarkan pinjaman RM440 juta kepada 5,435 usahawan Terengganu termasuk RM21 juta dikeluarkan Januari hingga Jun tahun ini yang melibatkan 673 peminjam keseluruhannya.

Katanya, Tekun pula melibatkan RM27077,500 dengan 24,500 peminjam dari Terengganu dengan negeri ini merekodkan jumlah peminjam tertinggi serta jumlah peruntukan kedua tertinggi selepas Selangor.

Menerui YPU, sebanyak RM13.166 juta dikeluarkan melalui Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu atau T’Fund kepada 1,795 usahawan Terengganu pada tahun lalu, manakala Januari hingga Mei tahun ini melibatkan peruntukan RM268,500.

YPK pula mengeluarkan pinjaman sebanyak RM19,110,100 kepada 4,803 kepada peserta menerusi program Jaya Diri YPKT.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata kerajaan menyediakan banyak peluang dan kemudahan pinjaman perniagaan kepada rakyat supaya dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mengubah taraf hidup masing-masing.

“Ramai di kalangan usahawan berjaya kerana bantuan dan bimbingan yang dibuat oleh kerajaan, tetapi pada masa yang sama, ramai mengalami kegagalan di separuh jalan disebabkan sikap, disiplin dan kesilapan pengurusan perniagaan masing-masing.

“Jika orang lain boleh berjaya dengan pinjaman Mara, Tekun dan YPU, kenapa kita gagal? Kita kena tanya dengan diri kita sendiri kerana setiap kali mahu melibatkan diri dalam perniagaan kita perlu ada perancangan dan disiplin,” katanya.

Katanya, rakyat yang miskin harta dan tidak miskin minda pasti boleh mengubah taraf hidup, bagaimanapun seringkali menjadi masalah apabila terdapat mereka yang miskin minda sehingga sanggup menjual bantuan peralatan perniagaan yang disediakan kerajaan semata-mata untuk mendapatkan wang tunai dengan jalan yang mudah.





Universiti Mie, Jepun biayai lima pelajar, tenaga akademik TATiUC sambung pengajian

Oleh: Aida Abd Rahman
Lima pelajar dan tenaga akademik Kolej Universiti Tati (TATiUC) bakal menyambung pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah secara percuma di Universiti Mie, Jepun untuk setiap sesi kemasukan pelajar akan datang.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Pengantarabangsaan TATiUC, Dr Zunaidi Ibrahim, berkata persetujuan pembiayaan itu terkandung dalam perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Jepun pada 24 Mei lalu.

“Pemeteraian perjanjian persefahaman adalah bagi jurusan kejuruteraan biosumber, inovasi dan kejuruteraan. Selain itu, menerusi MoU ini, kuota untuk program pertukaran pelajar selama enam bulan di university itu ditambah kepada lima orang, selain TATiUC turut menerima lima pelajar daripada Universiti Mie,” katanya.

Dr Zunaidi berkata, sebelum ini, dua pertukaran pelajar sudah dilaksanakan dengan university itu melibatkan pertukaran sesi pertama melibatkan seorang pelajar pada tahun lalu diikuti dua pelajar pada sesi kedua.

Katanya, seorang daripada pelajar berkenaan mendapat pembiayaan biasiswa dari Universiti Mie sendiri.

“Menerusi MoU ini juga, empat profesor pelawat dari Universiti Mie juga akan ditempatkan di TATiUC pada setap tahun bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan di kolej universiti ini khususnya dalam bidang penyelidikan serta bidang lain sperti pembuatan, kimia, mekatronik serta sains computer dan teknologi maklumat.

“Dengan itu diharap kerjasama bersama university dari matahari terbit itu akan membantu memperkasakan kualiti pendidikan di TATiUC khususnya dalam penyelidikan,” katanya.

Ayuh! Daftar segera sebagai pengundi

Oleh: Kamarudin Mat Akib

BERITA BAIK BUAT MEREKA YANG BELUM MENDAFTAR SEBAGAI PENGUNDI.

Anda masih berpeluang untuk mendaftar segera sebagai pengundi kerana jika anda mendaftar sebagai pemilih sebelum 30 Jun ini, anda masih berpeluang untuk mengundi jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan selepas bulan Ogos.

Berdasarkan perkembangan semasa, PRU-13 tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat ini dan kemungkinan besar ia akan dilakukan selepas bulan Ogos nanti.

Di Terengganu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenal pasti kira-kira 46,000 orang belum lagi mendaftar sebagai pemilih walaupun mereka layak berbuat demikian.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, bulan Jun adalah saat terbaik untuk mereka yang belum mendaftar sebagai pemilih menunaikan tanggungjawab mereka, sebelum senarai pemilih diwartakan pada Ogos depan.

Bulan Jun merupakan bulan terakhir suku tahun 2/2012 di mana selepas itu di mana nama-nama mereka yang mendaftar sebagai pemilih akan diwartakan selama dua minggu pada bulan Julai.

Jika tiada sebarang bantahan, senarai daftar pemilih yang baru itu akan diwartakan pada bulan Ogos nanti.

Orang ramai boleh berurusan dengan SPR atau mana-mana agen yang dilantik untuk mendaftar sebagai pemilih sepanjang musim, dalam waktu pejabat.

Semakan daftar pemilih pula boleh dibuat di ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau mana-mana pejabat SPR negeri mulai jam 8 pagi hingga 5 petang, setiap hari sepanjang bulan ini.

Mereka juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my bagi membuat semakan dan mendapatkan keterangan mengenai tempat mengundi.

Daripada statistik yang dikeluarkan SPR sebelum ini, didapati kira-kira 3.7 juta orang masih belum berdaftar di seluruh negara belum mendaftar sebagai pemilih, tetapi jumlah di Terengganu adalah yang paling sedikit.