Halaman

18 August 2012

Terengganu kekal kuasa sukan

Oleh: Aida Abd Rahman

Gelaran juara buat kali keempat berturut-turut membuktikan Kerajaan Terengganu konsisten dalam menetapkan hala tujunya untuk memastikan pembangunan sukan negeri berada pada landasan yang kukuh.

Pada edisi kali ini, Sang penyu yang bertandang ke Pahang dengan kekuatan `hanelang’ diketuai Ketua Kontinjen, Haji Wan Nawawi Wan Ismail terus mencetus fenomena untuk mengekalkan kuasa sukan negara.

Pencapaian 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa merupakan pencapaian terbaik yang pernah diraih kontinjen Terengganu, berbanding kejuaraan tiga edisi Sukma terdahulu.

Kejuaraan pertama selaku tuan rumah pada Sukma ke-12 2008 dengan membolot 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa dianggap segelintir pihak sebagai jaguh kampung.

Namun, berbekalkan usaha dan perancangan efektif, teliti dan jitu yang didukungi bapa pembangunan sukan negeri, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, semua kontinjen akhirnya akur dengan kehebatan Terengganu yang terus mempertahankan kejuaraan dua tahun kemudian di Sukma Melaka 2010 apabila meraih 47 emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Malah, Terengganu terus melakar hatrik kejuaraan pada Sukma Kuala Lumpur tahun lalu dengan membawa pulang 30 emas, 8 perak dan 12 gangsa.

Menteri Besar berkata pembangunan jangka panjang dan perancangan yang teliti menjadi indikator utama yang menjulang Terengganu selaku kuasa sukan negara dan muncul juara buat kali keempat berturut-turut.

Malah, atlet negeri ini yang bertanding di Sukma bermula pada usia muda dan dijanjikan peluang beraksi di peringkat antarabangsa sekiranya menunjukkan potensi memberangsangkan.

Kejayaan Terengganu pada edisi Sukma Pahang turut menafikan penguasaan Selangor selaku juara Sukma tujuh kali sejak 1988 untuk menghuni tangga kedua dengan koleksi 47 pingat emas, 54 perak dan 60 gangsa.

Sejarah turut tercatat pada Sukma lalu apabila menyaksikan atlet angkat berat Terengganu, Abdul Mubin Rahim diumumkan olahragawan mengiringi Frenceay Titus dari Sabah yang muncul olahragawati.


Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin - MB


Saya mengambil kesempatan sempena hari yang mulia ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua rakyat Terengganu.

Kepada perantau, saya dan keluarga mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman masing-masing dan pandulah kenderaan anda dengan cermat serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Pada hari yang mulia ini ambillah kesempatan untuk menziarahi kedua ibu bapa kita, kaum keluarga, sanak saudara serta sahabat handai.

Kunjung mengunjung sempena Aidilfitri ini merupakan tradisi turun temurun yang mampu memupuk kemesraan antara kaum keluarga dan sahabat handai kita.

Justeru itu, saya minta tradisi ini diteruskan dan dipupuk di kalangan generasi muda. usah biarkan anak-anak kita melepak di depan televisyen atau bermain video game di dalam bilik saja pada sepanjang sambutan perayaan Aidilfitri ini.

Sempena hari lebaran ini marilah kita sama-sama ketepikan segala selisih faham, perbezaan ideologi politik, sambil kita semua mengeratkan semula tali silaturahim agar umat Islam dan bangsa Melayu menjadi kuat.

Tidak ada gunanya kita bergaduh sesama sendiri semata-mata disebabkan perbezaan pendapat dan fahaman politik kerana ia merugikan umat Islam dan bangsa kita sendiri.

Sementara kita masih bercakaran sesama sendiri, bangsa lain dan penganut agama lain sudah jauh meninggalkan kita dalam semua bidang.

Akhir sekali, saya memohon ampun dan maaf kepada semua rakyat Terengganu jika sepanjang perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar, terdapat kesilapan yang tidak disengajakan.





Terengganu boleh!


Oleh: Kamarudin Mat Akib


Terengganu menyimpan impian besar untuk mengatasi rekod Selangor yang pernah muncul sebagai juara Sukan Malaysia (Sukma) selama enam tahun berturut-turut.

Bermula sebagai juara Sukma pada tahun 2008, Terengganu tidak menoleh ke belakang lagi apabila menguasai kejohanan tersebut pada setiap temasya hingga kini menjuarai Sukma buat kali keempat berturut-turut.

“Pada kejohanan Sukma di Pahang baru-baru ini, banyak pihak tidak menjangka yang Terengganu akan mengekalkan kejuaraan sukan tersebut.

“Ini memandangkan pada peringkat permulaan kejohanan tidak banyak pingat emas yang kita menang dan saingan terdekat meninggalkan kita agak jauh dari segi pungutan pingat,” katanya ketika meraikan atlet, pengurus pasukan dan pengawai Sukma pada majlis berbuka puasa di Kediaman Seri Iman, baru-baru ini.

Terengganu yang bermula agak perlahan pada peringkat awal temasya sukan terulung di Malaysia itu, bangkit pada peringkat pertengahan dan muncul juara Sukma ke-15 selepas meraih 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Menteri Besar berkata, beliau amat kagum dengan kegigihan dan semangat juang tinggi yang dimiliki atlet Terengganu yang terus berjuang pada kejohanan Sukma di Pahang.

“Saya yakin jika atlet kita mengekalkan semangat mereka dan terus berlatih bersungguh-sungguh, Terengganu akan muncul juara lagi pada kejohanan akan datang,” katanya penuh yakin.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri berkeyakinan tinggi bahawa rekod Selangor dapat diatasi kerana semua kemudahan dan insentif untuk mereka, termasuk menjalani latihan di luar negara, telah disediakan.

“Dari segi bajet untuk sukan, Selangor hanya menyediakan RM4 juta untuk atlet mereka bagi menghadapi Sukma, tetapi Terengganu menyediakan peruntukan RM7 juta.

“Secara keseluruhan bajet untuk atlet kita (termasuk insentif kejayaan) Terengganu menyediakan peruntukan RM12 juta pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memberi komimen yang tinggi terhadap bidang sukan dan sentiasa menghargai mereka yang berjaya dan mengharumkan nama negeri di persada negara mahu pun antarabangsa.




PGA rampas barang seludup bernilai RM2.6 juta

Oleh: Suriati Ali

Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas pelbagai jenis barang yang cuba diseludup masuk ke negara ini bernilai RM2.6 juta dalam tempoh sebulan lepas.

Ajutan PGA Batalion 9 Terengganu, ASP Mohd Yusuf Ujang berkata rampasan itu adalah antara kejayaan besar pasukan keselamatan tersebut sejak mengambil alih tugas operasi di sempadan Malaysia-Thailand dekat Rantau Panjang di Kelantan pada 16 Julai lalu.

"Antara barang yang kita rampas ialah beras, dadah, mercun, haiwan ternakan tanpa permit dan pakaian yang cuba diseludup masuk ke negara ini bagi mengelakkan cukai.

"Seramai 300 anggota telah berkawal di sana untuk menggantikan PGA Kuantan sebelum kami mengambil alih operasi dan selepas ini, PGA Pengkalan Chepa pula bertugas di kawasan itu,” katanya kepada pemberita, di satu majlis, baru-baru ini.

Katanya, pelbagai taktik digunakan, termasuk menyembunyikan bahan seludup dalam himpunan barangan keperluan harian, membawa masuk haiwan ternakan dan beras melalui sungai dan sebagai.

“Apa juga taktik, kita tetap berjaya menemuinya, hasil daripada sepakat dan kerjasama semua anggota,” katanya.




17 August 2012

Derma darah waktu malam di Hospital Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Walupun berpuasa tetapi bukan menajdi penghalang kepada umat Islam untuk menderma darah kepada tabung darah di hospital negeri ini.

Semangat ingin berbakti dan beramal pada bulan mulia ini dibuktikan oleh penderma darah daerah Besut apabila mereka tanpil menderma darah masing-masing kepada tabung berkenaan yang kini memerlukan lebih banyak darah untuk kegunaan pesakit.

Seramai 50 penderma tanpil secara sukarela menyertai kempen derma darah anjuran Unit Tabung Darah Hospital Besut (HB) yang diadakan di hospital berkenaan malam semalam.

Penderma terbabit datang menderma darah selepas selesai menunaikan solat tarawih di surau dan masjid masing-masing kerana pada Ramadan umat Islam tidak dapat melakukan aktiviti itu pada siang hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A. Rahman Mokhtar berkata, pihak unit tabung darah kini memerlukan lebih banyak keperluan darah untuk kegunaan hospital selain dijadikan simpanan ketika berlaku kecemasan.

Katanya, selain di hospital unit berkenaan juga mengadakan kempen secara meluas di 10 masjid terpilih seluruh Kuala Terengganu. Kempen yang dijalankan pada sebelah malam itu, antaranya membabitkan Masjid AL-Muktafi Billah Shah, Masjid Wakaf Tembesu, Masjid Rhusila, Masjid Pengadang Baru, Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin dan Masjid Instep.

“Pihak kami mengakui pada bulan Ramadan seumpama ini, penderma darah daripada masyarakat Islam berkurangan kerana tidak dapat menderma pada siang hari.

Katanya pada setiap kempen diadakan purata hanya 30 hingga 50 penderma saja yang tampil untuk menderma berbanding 80 hingga 100 penderma pada hari biasa.

Selain itu,katanya, unit berkenaan juga mengadakan kempen di pusat-pusat komuniti yang menjadi tumpuan ramai untuk menggalakkan masyarakat bukan Islam turut menderma.

“Walaupun Unit Tabung Darah belum menghadapi masalah kritikal kekurangan darah, tetapi ianya perlu mempunyai simpanan untuk menampung jika berlaku kecemasan yang memerlukan darah yang banyak,” katanya.

Beliau berkata, apabila menjelang perayaan statik kemalangan jalan raya meningkat dan ada yang mengalami kecederaan teruk dan memerlukan bantuan daerah segera.

Dr A Raahman berkata, pada masa ini unit tabung darah tersebut memerlukan kira-kira 1,000 hingga 1,200 pain darah sebulan untuk membantu kes pesakit.

PERKIM Besut anjur majlis berbuka puasa



Oleh: Mohammad Ishak 

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Daerah Besut menganjurkan majlis berbuka puasa bagi meraikan ahli dan pemimpin komuniti di daerah itu sempena Ramadan tahun ini.

Majlis yang diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bukit Keluang,Besut, turut dihadiri Ketua Polis Daerah Besut, Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria, jawatankuasa PERKIM Daerah dan keluarga serta pemimpin masyarakat.

Yang Dipertuanya, Anuar Hassan berkata, pihaknya menyusun pelbagai program sepanjang tahun ini dengan tumpuan diberikan kepada kegiatan keagamaan dan sosial kepada ahli pertubuhan itu.

Katanya, Perkim Besut yang kini mempunyai keahlian 800 orang sentiasa aktif menganjurkan aktiviti untuk saudara baru supaya mereka tidak dipinggirkan dalam arus kemajuan semasa.

Anuar berkata, ada juga dikalangan ahlinya yang mempunyai kebolehan dalam membaca al-Quran dan pernah menjadi wakil negeri ke tilawah al-Quran peringkat kebangsaan.

Menurutnya, usaha kini diberikan kepada ahli untuk menyertai aktiviti bersama komuniti supaya mereka mendapat pendedahan mengenai kehidupan bersama masyarakat.

Katanya, selain itu Perkim juga tidak mengabaikan kehidupan masyarakat Orang Asli yang tinggal di Kuala Sayap,Hulu Besut, yang juga menjadi saudara baru.

Bomba periksa 127 premis

Oleh: Suriati Ali

Sebanyak 127 premis tumpuan awam termasuk hotel dan pasar raya di negeri ini diperiksa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri sepanjang musim perayaan ini.

Timbalan Pengarahnya, Penguasa Kanan 1 Md. Ridzuan Hassan berkata, langkah itu bertujuan memastikan sistem keselamatan kebakaran dan peraturan dipatuhi semua premis terbabit.

Menurutnya, kes kebakaran terutama membabitkan kediaman meningkat kira-kira 10 peratus pada musim perayaan yang kebanyakannya berpunca daripada kelalaian manusia.

Katanya, bagaimanapun faktor seperti pendawaian elektrik, permainan mercun serta penggunaan barangan elektrik juga boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini jika tidak diawasi sebaiknya.

''Sejak awal Ramadan sehingga semalam, 15 kes kebakaran membabitkan kediaman telah dilaporkan berlaku," katanya di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna supaya berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini kerana api merebak begitu cepat dalam keadaan cuaca panas ketika ini.

Md. Ridzuan berkata, sempena Ramadan dan perayaan ini, jabatan juga menubuhkan pasukan Unit Peronda Bomba untuk membuat pemantauan keselamatan di lebuh raya dan jalan persekutuan serta jalan negeri.


Aidilfitri penuh makna bagi makcik Nipis

Oleh: Suriati Ali

“Aidilfitri tahun ini amat bermakna kerana impian untuk memiliki bekalan air bersih dan elektrik sudah tercapai hendaknya.

“Sempurna segala urusan harian seperti mandi, membasuh pakaian dan mengambil wuduk selepas pihak berkaitan tampil memberi kemudahan itu,” katanya seorang warga emas yang cacat penglihatan, Nipis Hasan 67, dari Kampung Kubang Padang, Marang.

Katanya, sebelum ini, nasib baik ada jiran dan sepupu yang sudi menghulurkan bantuan dengan menakung air dalam baldi setiap kali didapati kosong.

“Jika tiada yang membantu, sudah tentu pengerakan saya terbatas dan sukar untuk melakukan kerja-kerja harian seperti memasak dan membasuh pakaian,” katanya yang tinggal seorang diri kerana tidak pernah berkahwin.

Sepupu yang juga jiran Nipis, Esah Ismail, 47, berkata dia terharu kerana Syarikat Air Terengganu dan Tenaga Nasional Berhad sudi membantu makcik Nipis dengan menyalurkan kemudahan itu secara percuma.

“Makcik Nipis sudah lama mengimpikannya kerana berasa sukar untuk menguruskan diri dan melakukan tugasan harian tanpa kemudahan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Jalinan Kasih bersama Satu, di rumahnya semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Alor Limbat, YB Alias Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Husain Embong,

Haji Husain berkata Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) bukan saja bertanggungjawab sebagai operator membekalkan keperluan air bersih ke seluruh Terengganu, malah prihatin dan mengambil cakna terhadap mereka yang kurang bernasib.

“Pihak kami terpanggil membantu seorang warga emas yang cacat penglihatan, Nipis Hasan, 7, yang hidup bersendirian di Kampung Kubang Panjang, Kuala Terengganu dengan memasang paip dalaman serta membekalkan air bersih,” katanya.

Katanya, kerja-kerja yang dijalankan kakitangan Satu itu merupakan antara Program Jalinan Kasih di mana sentiasa bersedia membantu mereka yang hidup dalam kedaifan.
“Saya yakin apa yang dilaksanakan ini mampu mengembirakan makcik Nipis untuk menguruskan kehidupan harian terutama apabila menjelang hari raya nanti.

“Selepas ini tidak perlu lagi bersusah payah meminta bantuan jiran untuk menghantar air untuk tujuan tertentu seperi mandi, mengambil wuduk dan membasuh pakaian,” katanya.

Katanya, Program Jalinan Kasih akan diteruskan sekiranya masih ada masyarakat yang kurang berkemampuan menyambung bekalan air ke rumah masing-masing.

“Mereka yang terpilih untuk menerima bantuan ini adalah terhad dan setiap permohonan akan diteliti terlebih dahulu bagi mengelak penipuan,” katanya.






72,425 pelajar duduki peperiksaan awam tahun ini

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 72,425 orang pelajar di seluruh negeri bakal menduduki empat peperiksaan awam tahun ini yang bermula bulan depan.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Terengganu, Haji Zubir Embong berkata, jumlah itu merangkumi empat peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil TInggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Seramai 23,325 calon akan mula menduduki UPSR pada 11 hingga 13 September depan iaitu 25 hari dari sekarang,” katanya di majlis pelancaran Program Kecemerlangan UPSR,PMR, SPM, STPM 2012, Gerakan Merealisasikan 201052 di Kompleks Sukan Gong Badak.

Pelancaran program itu telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Katanya, peperiksaan PMR pula akan bermula pada 9 hingga 16 Oktober membabitkan 23,025 calon yang hanya tinggal 53 hari lagi.

Manakala peperiksaan SPM bermula 5 November hingga 6 Disember membabitkan 22,710 calon dan STPM pada 19 November hingga 13 Disember dengan 3,365 calon dari seluruh negeri.

“Marilah kita mengajar diri kita dan generasi kita membudayakan ungkapan terima kasih kepada orang yang memberi dan bersyukur kehadrat Allah SWT serta mendoakan yang terbaik kepada anak-anak kita,” katanya.

Katanya, kerajaan membelanjakan puluhan juta setahun tujuan pembangunan pendidikan bagi merealisasikan pencapaian 201052 bagi menobatkan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.





Zon khas pengayuh beca

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan zon khas beca sempena pembukaan Payang Walk, berhampiran Pasar Payang, Kuala Terengganu bagi memulihkan imej golongan itu yang bertindak sebagai duta pelancongan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Haji Azmi Razik, berkata konsep yang digunapakai dari Melaka itu akan menggunakan khidmat pengayuh beca dari kalangan golongan muda dan operasi mereka diselaraskan di bawah satu bumbung.

“Kita mahu menggunakan konsep sebagaimana di Melaka yang mana kita tempatkan mereka di satu zon khas sempena pembukaan Payang Walk. Kita memilih pengusaha beca di kalangan generasi muda yang masih bertenaga.

“Bayaran gaji secara bulanan dan pendapatan lebihan dianggap sebagai pendapatan dia, sebagaimana juga konsep francais,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada pengayuh beca, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.

Katanya, YPU juga akan memohon peruntukan khusus untuk membaik pulih beberapa beca yang terpilih dan uzur bagi menjaga imej pelancongan negeri sempena TMT 2013.

Selain itu, beliau berkata, faktor usia golongan pengayuh beca yang rata-rata lebih daripada 60 tahun menyebabkan mereka gagal dan sukar menerima serta memanfaatkan evolusi terbaru seperti solar hybrid dan enjin yang diperkenalkan kerajaan kepada golongan itu.