Halaman

27 September 2012

MB minta jangan sertai demontrasi ABC

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta semua pihak tidak menyertai Demontrasi Asal Bukan Che Mat (ABC) yang dijadualkan berlangsung di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Katanya, demontrasi yang jelas mencemar imej Terengganu itu tidak wajar diadakan kerana ada pelbagai cara boleh diselesikan secara baik.

“Pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah bersetuju membaiki kesilapan lampau dan akan melaksanakan perubahan terbaik demi mutu bola sepak Terengganu.

 “Oleh itu, orang ramai, khususnya peminat bola sepak diminta jangan terpengaruh oleh pihak tertentu supaya menyertai demo itu secara beramai-ramai,” katanya kepada pemberita, semalam.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia akan mengambil tahu dan terlibat secara langsung mengenai pemilihan pemain-pemain pada musim baru supaya kedua-dua pasukan lebih mantap.

“Walaupun tidak terbabit secara langsung dalam persatuan , saya sebagai wakil kerajaan negeri yang membiayai pasukan Terengganu dan T-Team itu berhak berbuat demikian,” katanya

 

26 September 2012

Peserta kursus imam dan bilal dari Nusantara melawat Masjid Ulul Albab


Oleh:  Mohammad Ishak


Keunikan seni bina bercirikan ukiran Melayu yang terdapat di Masjid Kayu Ulul Albab, Seberang Jertih, di sini, menarik perhatian serombongan imam dan bilal dari Nusantara yang singgah seketika untuk melihat keindahan masjid itu baru-baru ini.

Mereka ialah dari Kemboja, Indonesia dan Thailand berkesempatan melawat masjid itu sebagai salah satu siri lawatan sempena kehadiran mereka menyertai kursus di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur di Bukit Keluang, Besut.

Kursus lima hari di bawah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertujuan mendedahkan peserta khususnya dari negara Islam di Asean mengamati perkembangan dan pembangunan syiar Islam di negara ini.

KERAJAAN BERI PELUANG TIMBA KEMAHIRAN DAN KERJAYA DI AKADEMI BINAAN

Oleh: Ruslan AR 

Anda, anak anda atau sesiapa yang ingin berjaya menjadi tenaga mahir dalam bidang pembinaan? Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur (ABMWT) yang terletak di Jenagor, Kuala Berang boleh membantu anda.

ABMWT sebagai sebuah institusi berkredibiliti dalam melahirkan tenaga mahir mengikut kehendak pasaran semasa. Secara ringkasnya, ABMWT ialah sebuah pusat latihan bagi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam pembangunan dan peningkatan kemahiran dalam kalangan personel binaan.

Diwujudkan oleh kerajaan di bawah Kementerian Kerja Raya. Percaya atau tidak, pendapatan yang boleh diraih oleh lepasanya setiap bulan berupaya menandingi gaji yang diperoleh daripada kumpulan profesional.

Malah semasa masih dalam kursus mereka sudah ditempah oleh pihak syarikat dan agensi yang memerlukan tenaga mahir. Hakikat itu diakui oleh Pengarah CIDB Terengganu, Ahmad Fahrin Mokhtar, di mana perolehan pendapatan dalam industri pembinaan berskala besar terutama mereka yang terlibat dalam bidang minyak, gas, keselamatan dan kimpalan.

"Gaji bukan satu masalah, tapi kadang-kadang persepsi masyarakat yang menjadikan bidang ini kurang diminati," katanya ketika ditemui kelmarin di Kuala Terengganu.

Yang paling signifikan adalah untuk mewujudkan lebih ramai personel binaan berkemahiran penuh dan berkemahiran separa tempatan bagi mengurangkan pergantungan negara kepada pekerja asing.

"Selain itu, kita juga mahu menghasilkan dan memberi ruang bagi tenaga kerja tempatan yang terlatih untuk dieksport ke peringkat antarabangsa," katanya.

Terdapat dua jenis latihan kemahiran yang ditawarkan di ABMWT iaitu latihan kemahiran belia untuk lepasan sekolah dan latihan kemahiran untuk pekerja binaan tempatan.

Bagi program Latihan Kemahiran Belia tajaan CIDB Malaysia, seramai 750 telah dilatih pada tahun ini (2012) dan 112 orang lagi akan memasuki kursus ini pada awal Oktober nanti.

Ia melibatkan empat kursus iaitu Scaffolding, Steel Structure Erection and Fabrication, Gas Pipe Fitting dan Gas Pipe Insulation. Menurutnya, selain tajaan CIDB, pihak ABMWT juga menerima pelatih-pelatih yang ditaja oleh agensi atau pihak luar seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dalam bidang ‘welding’, pemasangan pendawaian bangunan dan jentera berat.

Katanya, berdasarkan kajian lepasan pelatih, didapati dari 14 941 orang belia yang telah menjalani latihan, 80 peratus telah berjaya bekerja di dalam industri pembinaan, malah ada yang telah menjadi kontraktor/sub kontraktor, penyelia dan sebagainya.

Difahamkan,bagi menyertai latihan di pusat ini, permohonan boleh dibuat melalui onlines atau dapatkan borang dari CIDB Kuala Terengganu, di Menara Yayasan Islam.


Seekor tikus, dibayar RM2

Oleh: Suriati Ali 
Gambar ZULKIPLI PUTRA.

 Kerajaan negeri akan melancarkan Operasi Menangkap Tikus di kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), bermula minggu depan sebagai usaha membanteras pelbagai penyakit berpunca daripada haiwan itu.

Dato'Seri Haji Ahmad Said bersama Dato' Haji Mazlan Ngah ketika mengadakan sidang akhbar .
Apa yang istimewanya, seekor tikus yang berjaya ditangkap penduduk akan dibayar RM2 di kaunter yang dikhaskan majlis itu .

 Insiatif itu sebagai pendorong kepada mereka untuk terus membanteras haiwan itu yang dikatakan semakin membiak di kawasan terlibat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata apa yang dilaksanakan itu sebagai langkah mendidik dan mendedahkan warga MBKT supaya menjaga kebersihan persekitaran agar bebas daripada ancaman tikus serta tempat pembiakan aedes.

 “Kita mengambil langkah berjaga-jaga sebelum pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku seperti terdapat kematian berpunca daripada air kencing tikus dan penyakit berjangkit lain.

“Berdasarkan permerhatian, haiwan ini banyak berkeliaran di kawasan tertentu terutama dalam longkang, di lorong-lorong bangunan dan sebagainya,” katanya Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, pihaknya berharap melalui program itu, ia dapat mendidik masyarakat supaya sentiasa peka dan mengambil berat berhubung tahap kebersihan di kawasan kediaman masing-masing.

“Usaha ini perlu dibuat berterusan bagi mengawal wabak demam denggi daripada merebak serta ancaman tikus daripada berleluasa serta memerlukan penyertaan menyeluruh daripada semua pihak,” katanya.

 

Perlu beri undi pada BN

Dato' Haji Ahmad Farid
Oleh; Esah Abdullah
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Rakyat tidak boleh mengharapkan wakil rakyat Pas untuk menyediakan pelbagai kemudahan serta bantuan sebaliknya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bantu dalam banyak hal.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Farid Wan Salleh berkata, ketika Pas menjadi kerajaan pada 1999 – 2004 tidak ada satu pun pembangunan yang dilakukan.

“Masajadi kerajaan pun tak buat apa-apa inikan pulak jadi pembangkang lagilah gelap gambar,” katanya ketika berucap di majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di DUN Wakaf Mempelam di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad petang semalam.

Katanya, cuba bayangkan kalau BN menang di kawasan itu tentu lebih banyak pembangunan akan dilaksanakan kerana masa kalah pun macam-macam beri bantuan.

“Tengok MB kita ni (Dato’ Seri Haji Ahmad) pantang tahu ada orang susah terus beri bantuan walaupun dia tahu orang itu penyokong kuat Pas tapi sikap orang BN sangat murah hati,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu kemudiannya meminta 24,741 pengundi dalam DUN Wakaf Mempelam memberi undi kepada BN pada PRU akan datang untuk melihat perubahan yang dijanjikan oleh BN.

 “Orang Wakaf Mempelam mesti buat keputusan bijak kalau nak rasa pembangunan seperti kawasan-kawasan lain yang dimenangi BN,” katanya.

 

BN Terengganu yakin menang besar

Oleh: Suriati Ali 
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin akan memperoleh kemenangan besar pada pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) akan datang berdasarkan sokongan padu dan positif yang dipamerkan rakyat.

 Menteri Besar, Dato, Seri Haji Ahmad Said, berkata sokongan rakyat terutama peringkat akar umbi dilihat semakin kuat kerana mereka menyedari keupayaanBN yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada Terengganu berbanding masa lalu.

Katanya, pada masa sama, dia tidak mengerti dan sedih, jika ada rakyat yang sebelum ini menerima pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediaka kerajaan, masih bersikap sebagai pengkhianat.

 “Hampir setiap penduduk kita bantu, bukan pada masa sekarang saja, malah bantuan itu diberi sebelum lahir sehingga meninggalkan dunia.

 “Kita sebagai kerajaan, tidak jemu untuk berkhidmat walaupun bantuan itu mencecahkan ratus juta setahun,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Dato’ Seri Haji Ahmad Bajet mengharapkan Bajet 2013 yang bakal dibentang oleh Perdana Menteri nanti turut menjanjikan perkara istimewa kepada rakyat Terengganu.

 “Banyak perkara dan pengumuman baru yang pastinya menjurus kepada kebahgiaan dan kegembiraan rakyat, bakal diumumkan dalam bajet tersebut,” katanya.

 

Kesinambungan kepimpinan BN, pacu pendidikan setanding negara maju

Oleh : Aida Abd Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin ketika berucap di hadapan rakyat Dun Wakaf Mempelam.

Kerajaan melaksanakan pelbagai program transformasi pendidikan bagi memastikan generasi hari ini menguasai bidang ilmu, kemahiran, kebijaksanaan serta mampu menandingi sistem pendidikan yang ada di negara maju di dunia.

 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin, berkata segala perancangan dan hala tuju bidang pendidikan itu hanya dapat diterjemahkan dengan jaya jika rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

 “Hari ini sudah banyak usaha dibuat dengan kita membina banyak sekolah, kita membina banyak kemudahan untuk membantu pelajaran anak kita, kita menyediakan lebih daripada 465,000 guru di seluruh negara, mereka (guru) yang sudah terlatih untuk mendidik anak-anak kita menguasai bidang ilmu yang kita kehendaki.


“Tetapi hal sebegini sahaja tidak mencukupi kerana dunia hari ini agak berubah pantas kalau Malaysia hendak menjadi negara maju, sebagaimana yang kita sebutkan tadi salah satu perkara pokok adalah bagaimana kita hendak menentukan generasi anak-anak kita hari ini dapat dibekalkan dengan pengetahuan kemahiran dan juga kebijaksanaan. Dengan cara begitu, kita dapat menandingi apa yang ada di negara-negara maju,” katanya beliau berucap sempena Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri, di Perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, semalam (25 September).

Turut hadir,Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu. Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

 Tan Sri Muhyiddin berkata, beliau akan memberikan sepenuh tumpuan dan mengerah tenaga bagi memastikan segala perancangan dalam aspek pendidikan berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 dapat dilaksanakan bersungguh-sungguh.

 “Untuk tahun-tahun depan, mudahan-mudahan apabila kerajaan BN terpilih semula, insya-Allah dengan sokongan semua rakyat jelata maka pelan ini dapat kita laksanakan dengan cara bersungguh-sungguh dan kita harap dalam jangka masa tidak terlalu lama maka sistem pendidikan negara kita akan dikatakan setanding dengan sistem pendidikan yang ada di negara maju di dunia,” katanya.

 Katanya, pelan pembangunan yang akan berlangsung dalam tempoh 13 tahun yang dilancarkan Perdana Menteri itu bertujuan untuk memastikan aspek pendidikan dapat dipacu lebih jauh serta lebih baik daripada apa yg sudah dilakukan pada masa kini.

 Beliau juga gembira apabila Perdana Menteri memberi jaminan ketika melancarkan pelan pembangunan berkenaan bahawa kerajaan BN pimpinan beliau akan terus memberi keutamaan dalam soal pendidikan negara, selain mengutamakan aspek itu pada pembentangan Bajet 2013 Jumaat ini.

 “Sebab itu soal pendidikan ini, adalah suatu perkara yang paling utama. Tiap-tiap tahun Perdana Menteri menyediakan satu peruntukan yang besar, lebih kurang 26 peratus daripada belanjawan negara disediakan untuk pendidikan,” katanya.

 

TPM lulus bina kemudahan baru untuk penduduk, SMK Sultan Ahmad

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam membawa berita gembira buat penduduk sekitar apabila meluluskan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan sebuah dewan baru di Kampung Panji, untuk memudahkan penduduk mengadakan aktiviti keramaian.

Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin turut mengumumkan peruntukan RM430,000 bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Kuala Terengganu untuk memperbaiki dewan sekolah, surau, gelanggang dan menyumbang sebuah van sekolah.


Beliau mengumumkan demikian sempena program Sepetang Bersama TPM di sekolah berkenaan, dalam kawasan DUN Wakaf Mempelam, sebagai sebahagian daripada lawatan sehari ke Terengganu.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata penduduk kampung telah mengenal pasti tapak bagi pembinaan dewan itu yang dijangka dapat menampung 1,000 orang.

 Katanya, kemudahan dewan yang baru bagi menggantikan dua dewan kayu sedia masing-masing di Kampung Durian Burung dan Kampung Losong Panglima Perang, yang dibina lewat 70-an dan awal 80-an.

Seorang penduduk, Hashim Mamat, 54, berkata kemudahan asas yang bakal dibangunkan itu membuktikan hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno sahaja mampu membela dan menyelesaikan masalah penduduk.

“Pembangkang hanya ada pada nama sahaja, gagal melaksanakan pembangunan biarpun diberi mandat sudah lebih 30 tahun mentadbir DUN ini. Jadi, lepas ini semua orang kena pilih kerajaan yang terbukti benar-benar mampu membela nasib rakyat,” katanya.

  

Tamatkan keegoan Pas di Wakaf Mempelam

Oleh; Esah Abdullah
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Kedatangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam sangat dinantikan penyokong tegar Barisan Nasional (BN) sambil mengharapkan rekod kekuasan Pas selama 33 tahun di kawasan itu akan lebur pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Mohd Zaki
 “Saya harap kesediaan TPM turun ke kawasan kami memberi rahmat dan akan menamatkan keegoan Pas di kawasan ini,” kata Encik Mohd Zaki Mohd Yusof, 42 dari Kampung Paloh Sungai Kiat Wakaf Mempelam.

Tambahnya, di samping kerja keras jentera BN, saya yakin TPM ada membawa ‘tonik’ untuk menyedarkan masyarakat kawasan ini yang masih menyokong pembohongan dan janji palsu pemimpin pembangkang.

Ahmad Suhaimi
Encik Ahmad Suhaimi Abu Bakar dari Taman Setia Durian Burong turut berharap masyarakat khususnya pengundi di DUN Wakaf Mempelam agar membuka ‘mata hati’ menilai keikhlasan kerajaan BN membantu rakyat keluar dari kepompong kemiskinan.

 “Kesediaan TPM meluluskan peruntukan RM1 juta bagi membina dewan orang ramai di DUN Wakaf mempelam juga membuktikan kerajaan BN tidak pernah ‘pilih bulu’ dalam mengagihkan pembangunan untuk rakyat,” katanya ketika ditemui di majlis Sepetang Bersama TPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad petang semalam.

Katanya, rekod kekuasan parti Pas selama 33 tahun di kawasan ini mampu dipecahkan dalam PRU ke -13 nanti jika semua ahli UMNO bersatu.

Nor Fadilla
Bagi Cik Nor Fadilla Mohd Rased, 27, dari Kampung Ladang menyifatkan kehadiran pemimpin nombor dua negara itu meniup semangat yang sedia dalam diri penyokong BN di negeri ini.
Halimah Nik

 “Saya mari ni kerana menyokong perjuangan UMNO, kerana hanya kerajaan BN yang boleh tunai janji serta beri macam-macam bantuan kepada rakyat,” katanya.

Puan Halimah Nik,70, dari Kampung Bukit Kecil juga berharap kerajaan hari ini terus kekal sampai bila-bila kerana banyak berjasa kepada rakyat.

Beliau yang kelihatan sedikit uzur tapi turut datang ke majlis berkenaan semata-mata kerana ingin bertemu dengan pemimpin kesayangan ramai itu.

 

Pro-A menang besar – petanda baik bagi BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kemenangan besar calon proaspirasi (Pro-A) pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institusi pengajian awam (IPTA) di seluruh negara yang berakhir semalam, memberi petanda baik kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sehingga malam tadi, kejayaan Pro-A menguasai 12 universiti, termasuk lima yang mengadakan pemilihan MPP minggu lalu, menguatkan sokongan masyarakat kampus terhadap Kerajaan BN.

Keadaan ini tentunya melegakan pemimpin kerajaan di mana sebelum ini masyarakat kampus sering dikaitkan dengan pelbagai kegiatan yang lebih cenderung kepada pihak pembangkang.

Pemimpin pembangkang sering menggunakan para pelajar universiti tempatan untuk menjayakan kegiatan mereka seperti demonstrasi haram dan program-program yang memburuk-burukkan kerajaan.

Pemilihan MPP kali ini merupakan yang pertama kali selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej 1971 (pindaan 2012) yang membenarkan pelajar memegang jawatan dalam parti politik, tetapi tidak dibenarkan mengadakan kempen parti dalam kampus.

Pemilihan MPP kali ini menyaksikan Pro-A yang dikaitkan dengan parti kerajaan, menang di Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknologi Mara, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Perlis.

Lebih memeranjatkan Pro-A turut menang di Universiti Malaysia Kelantan yang kerajaan negeri dikuasai parti pembangkang apabila kumpulan itu memenangi 10 kerusi berbanding Pro-M yang dikaitkan dengan pembangkang hanya menang empat kerusi.

Pro-A turut melakukan kejutan di Universiti Malaya apabila buat pertama kali kumpulan prokerajaan itu menang lebih banyak kerusi iaitu 21 kerusi berbanding Pro-M 20 kerusi.

Sokongan masyarakat kampus kepada Kerajaan BN dilihat bertambah kuat apabila Kumpulan Pro-M gagal memenangi sebarang kerusi di lima buah universiti iaitu UUM, UiTM, UniSZA, Utem dan UniMAP.

Keputusan penuh di dua universiti lagi iaitu Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Terengganu masih belum diketahui.

Pemerhati politik berpendapat pemilhan MPP kali ini memperlihatkan kematangan masyarakat pelajar dalam menentukan sokongan mereka kepada parti-parti politik negara ini.

Masyarakat kampus yang terdiri daripada golongan terpelajar tentunya dapat menilai dengan waras corak kepimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Mereka mengikuti dengan teliti perkembangan politik, ekonomi dan keadaan sosial negara yang semakin meningkat dengan pelbagai program transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri.

Bantuan serta subsidi yang mencurah kepada golongan kurang berada dan semua lapisan masyarakat di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohd Najib kini telah menambat hati masyarakat kampus untuk menyokong dan mendokong kerajaan.

Kita mengharapkan sokongan ini akan berterusan hinggalah ke PRU 13 bagi membolehkan Kerajaan BN bukan saja kekal sebagai pemerintah, tetapi menang besar dengan majoriti melebihi dua pertiga.