Halaman

01 October 2012

2.7 juta orang bujang layak terima BR1M 2.0

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih 2.7 juta individu bujang berumur 21 tahun ke atas layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang akan diagihkan awal tahun depan.

Perkembangan terbaru yang pasti menggembirakan banyak pihak, bukan saja mereka yang bekerja dan berpendapatan RM2,000 ke bawah yang berpeluang menikmati bantuan itu, tetapi ia meliputi golongan pelajar universiti serta siswazah menganggur.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek (gambar), menjelaskan mekanisme dan prosedur pemberian BR1M sama seperti tahun lalu di mana mereka perlu mengisi borang terlebih dahulu bagi urusan pembayaran.

Golongan berkenaan perlu mendaftar secara ‘on-line’ (talian terus) atau di kaunter Pejabat Pembangunan Negeri, pejabat daerah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri di seluruh negara. Mengikut Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, semua individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah layak menerima bantuan RM250 atau separuh daripada BR1M yang dimulakan tahun lalu.

Bagi bajet 2013, kira-kira 4.3 juta isi rumah yang menikmati BR1M tahun lalu turut layak menerima bantuan yang serupa tahun ini.

Mereka yang telah menerima BR1M sebelum ini, tidak perlu mendaftarkan nama kerana ia akan menggunakanpakai pendaftaran sedia ada.

Cuma mereka yang tercicir daripada senarai penerima bantuan sebelum ini perlu mendaftar bagi menikmati bantuan tersebut pada tahun ini. Bajet 2013 menunjukkan dengan jelas keprihatinan Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) bagi meringankan beban rakyat, termasuk golongan pelajar dan siswazah menganggur.

Bagi siswazah mereka turut menerima bantuan baucer buku bernilai RM250 bagi memberi pelbagai keperluan pembelajaran mereka.

Dan untuk rakyat Terengganu pula, golongan remaja lebih bertuah kerana sebelum Aidilfitri baru-baru ini mereka telah menerima ‘duit raya’ daripada kerajaan negeri sebanyak RM200 seorang melalui program Bakti Remaja.

Inilah kelebihan yang terdapat pada Kerajaan BN yang sentiasa mengambil berat masalah rakyat dan menunaikan setiap janji yang dilafaz, sekaligus menepati slogan “Janji Ditepati”.

 

30 September 2012

Sultan Terengganu gembira kejayaan negeri di bawah kepimpinan MB

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin melahirkan sukacita kerana banyak kejayaan telah dicapai oleh negeri ini di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 Antaranya kejayaan mengekalkan kecemerlangan akademik dalam UPSR selama 11 tahun berturut, PMR, SPM dan STPM masing-masing selama empat tahun berturut dan juga menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) empat tahun berturut sekali gus meletakkan nama Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu dan kuasa baru sukan di negara ini.

 “Beta percaya dan yakin melalui perancangan rapi kerajaan, lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan serupa akan dicapai dalam bidang yang lain pada masa hadapan, InsyaAllah,” .

Baginda bertitah demikian di Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Singgahsana Istana Maziah hari ini.

Sultan Mizan Zainal Abidin juga menghargai usaha kerajaan yang menitikberatkan kebajikan dan keperluan rakyat ke arah melahirkan persekitaran yang lebih sempurna dan memperbaiki taraf hidup rakyat .

“Pelbagai bantuan telah disalurkan bagi mengubah taraf hidup rakyat bermula daripada bantuan pakaian sekolah, pemberian percuma e-book, bantuan menyambung pelajaran ke institusi pendidikan tinggi, penyakit kronik, kebajikan, bencana alam sehinggalah penyediaan tempat tinggal yang selesa,” titah baginda.

 Titah baginda, rakyat perlu memupuk budaya berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan dan usaha yang dilakukan dan pada masa yang sama budaya meminta dan mentaliti subsidi perlu dikikis segera di kalangan rakyat.

“Beta percaya dengan usaha murni ini kerajaan mampu membantu mengurangkan taraf kemiskinan rakyat terutama golongan miskin tegar yang dianggarkan 603 ketua isi rumah dan 7,579 ketua isi rumah golongan miskin,” titah baginda.

Sultan Mizan Zainal Abidin turut melahiran keyakinan, pelaksanaan projek perumahan mampu milik yang kerajaan sasarkan sebanyak 10,000 buah sehingga 2013 bagi golongan berpendapatan rendah akan tercapai dan iltizam untuk rakyat menikmati suasana kehidupan lebih baik akan menjadi realiti.

 “Beta berharap kerajaan dapat mengambil langkah berjimat cermat dan berhemah dalam urusan pentadbiran negeri tanpa mengabaikan penekanan kepada kepentingan mengurangkan dan meringankan beban hidup rakyat,” titah baginda.

 

103 terima Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri

Oleh: Esah Abdullah

Seramai 102 menerima Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istiadat Penghadapan dan Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri sempena sambutan Hari Keputeraan Yang Ke-50 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Singgahsana Istana Maziah Kuala Terengganu hari ini.


Pada istiadat itu, Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Dato’ Haji Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus dikurniakan gelaran Engku Kelana DiRaja yang membawa gelaran ‘Engku Kelana’.


Manakala Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Seri Dr. Ali Hamsa dikurniakan Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z).


Tiga orang penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T) ialah Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zin; Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali Daud dan Tan Sri Dato’ Shamsul Azhar Abbas.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abd. Razak Ismail di antara enam penerima Darjah Setia Sultan Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z) manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, salah seorang daripada 11 penerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang turut membawa gelaran Dato’.

Seramai 14 orang menerima Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.M.Z), Darjah Setia Mahkota Terengganu (S.M.T) (15 orang), Darjah Ahli Mizan Zainal Abidin Terengganu (A.M.Z) (21 orang) dan Darjah Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T) (30 orang).

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan berangkat di istiadat tersebut dan mengurniakan gelaran dan bintang-bintang darjah kebesaran kepada semua penerima.


Turut berkenan berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah beserta anakanda Baginda Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Kerabat-kerabat Raja; Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara.

Sebelum ini, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Kerajaan Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Kerabat yang pertama (D.K) kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

 

Sultan Terengganu berangkat ke Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang Darjah Kebesaran Negeri

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri di Singgahsana Istana Mazioah, Kuala Terengganu hari ini (30 September).

Berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah; Anakanda Baginda Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Kerabat-kerabat Raja; Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara.

Sultan Terenggan dan Sultanah Terengganu berangkat tiba di Istana Maziah diiringi Tengku Sri Bendahara Raja dan Tengku Sri Temenggong Raja disambut oleh Menteri Besar Dato’ Seri haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

 Lagu Selamat Sultan dipersembahkan serentak dengan bendera DiRaja dinaikkan di perkarangan Istana Maziah. Keberangkatan masuk Baginda ke majlis singgahsana disambut dengan paluan nobat lagu ‘Iskandar’ dan sebaik Baginda selesai bertitah nobat dipalu lagu ‘ Ibrahim Khalil berserentak dengan tembakan meriam 21 das.

 Sehubungan itu Ketua Istiadat memohon perkenan Baginda memulakan Istiadat Pengurniaan gelaran dan Bintang darjah Kebesdaran Negeri

 

Peserta puas hati dengan penganjuran LJSM

Oleh: Suriati Ali

“Saya bersama beberapa rakan Orang Kurang Upaya (OKU) lain tidak akan melepaskan peluang jika Terengganu menganjurkan kembali kejohanan Larian Jambatan Sultan Mahmud (LJSM) pada tahun depan.

“Kami sanggup berbelanja lebih kerana mengetahui hadiah yang ditawarkan berbaloi dan lumayan,” katanya Daniel Lee, 21 dari Setapak, Kuala Lumpur.

Daniel Lee yang memenangi tempat pertama kategori Kerusi Roda Lelaki, berkata dia yang sebelum ini tidak pernah menyertai mana-mana kejohanan seakan tidak percaya boleh memenangi acara itu.

“Saya dan beberapa rakan lain hanya menjalankan latihan selama tiga minggu saja sebelum datang ke Terengganu,” katanya.

 Daniel berkata demikian kepada pemberita selepas tamat kejohanan LJSM di Dataran Bangau, Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

 Lebih 5,000 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Kenya, Indonesia dan Afrika Selatan menyertai larian sejauh 21 kilometer (km), 10 km, 7 km dan 4.5 km itu.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang LJSM.

Pemenang kategori Kerusi Roda Wanita, Chow Mei Hsai, berkata dia gembira kerana berpeluang menyertai LJSM walaupun mendapat persaingan sengit antara rakan OKU pelbagai negeri.

 Saya berharap pihak penganjur akan meneruskan kejohanan seumpama ini kerana memberi banyak faedah, termasuk memperkenalkan Terengganu ke serata negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pihak akan menghebahkan tarikh kejohanan Larian Jambatan Sultan Mahmud (LJSM) setahun lebih awal supaya lebih ramai peserta luar negara dapat menyertainya.

“Tarikh LJSM untuk tahun depan bermungkinan akan diadakan pada 28 September dan pihak berkaitan sudah menghebahkan kepada umum bermula sekarang.

" Pihak kami cukup gembira dengan jumlah peserta yang mengikuti larian LJSM kali ini walaupun sudah 12 tahun menyepi atau tidak dianjurkan.

 “Bagi menarik lebih ramai jumlah peserta tempatan dan luar negara untuk kejohanan sama 2013, kita turut bersetuju menaikkan jumlah hadiah sebanyak 50 peratus berbanding RM230,000 tahun ini,” katanya.

 

Acara tradisi seluruh kaum hasil kemakmuran, kestabilan politik

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (pelatih)

Pesta Tanglung seharusnya menjadi acara tradisi seluruh kaum sebagaimana sambutan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri bagi umat Islam saban tahun.

 Setiap perayaan itu dapat diraikan hasil adunan sikap kerjasama, persefahaman dan toleransi antara satu sama lain yang wujud dalam masyarakat majmuk menyebabkan Malaysia mampu mengecapi kemakmuran sejak kemerdekaan sehingga kini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melakukan gimik perasmian Pesta Tanglung di Kampung Cina , Kuala Terengganu
 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dengan nikmat pembangunan dan ekonomi kita yang semakin mampan juga membolehkan Malaysia dan juga Terengganu dibangunkan mengikut acuan sendiri. 

“Tanpa kemakmuran dan kestabilan politik, kita pastinya sukar berhimpun dan merayakan pelbagai acara serta perayaan seluruh masyarakat mengikut tradisi serta kebudayaan masing-masing.

“Sambutan Pesta Tanglung ini perlu menjadi tradisi seluruh kaum di negara kita dan juga Terengganu seperti juga kita meraikan rumah terbuka bagi umat Islam setiap tahun,” katanya ketika merasmikan Pesta Tanglung, di Pulau Warisan, Kampung Cina, malam kelmarin (28 September).


 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Mohd Dagang dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Tuan Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

 Menteri Besar berkata, nikmat kemerdekaan dan kemakmuran itu juga membolehkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak merangkap Menteri Kewangan membentangkan bajet terbesar berjumlah RM251.9 billion yang menepati tema Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat : Sebuah Janji Ditepati”.

 “Di bawah program `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ kita juga berusaha untuk membangunkan negeri Terengganu setelah kita ketinggalan pada 1999 hingga 2004.

 “Ini bermakna kita ketinggalan lima tahun dari segi pembangunan kerana semasa pemerintahan Kerajaan Pas, tiada satu pun projek pembangunan dilaksanakan di Terengganu ini. Justeru itu, kita perlu bergerak lebih pantas untuk mengejar negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, sejak dua tahun lalu, Terengganu menjadi negeri yang memperuntukkan bajet yang tinggi untuk projek pembangunan, iaitu berjumlah RM1 bilion, sementara Kerajaan Pusat pula membelanjakan RM49 billion bagi tujuan yang sama berbanding lebih daripada RM200 juta untuk aspek pengurusan.

18,000 penjawat awam di Terengganu diberi bonus sebulan setengah

BERITA BAIK BAGI PENJAWAT AWAM DI TERENGGANU.

Kerajaan negeri akan mengikut langkah Kerajaan Pusat dengan membayar bonus sebulan setengah gaji kepada kira-kira 18,000 penjawat awam, termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said (gambar kecil) ketika mengesahkan perkara itu berkata, bagi tujuan itu, sejumlah peruntukan disediakan untuk diagihkan kepada semua penjawat awam.

“Kita akan ikut Kerajaan Pusat (bayar bonus), kita beri bonus sebulan setengah gaji seperti yang dibuat Kerajaan Pusat,” katanya. Bayaran bonus itu akan dibuat dua kali iaitu setengah bulan pada Disember ini manakala selebihnya pada Januari depan.

Sebelum ini, penjawat awam telah dibayar bonus setengah bulan gaji sebelum perayaan Aidilfitri bulan lalu.




MB anggap Bajet 2013 terbaik dan bertanggungjawab

Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said (gambar kecil) menyifatkan Bajet 2013 adalah yang terbaik dan bertanggungjawab kerana mengambil kira keperluan semua masyarakat.

Katanya, kerajaan Terengganu akan mengikut langkah Kerajaan Pusat untuk membayar bonus sebulan setengah gaji kepada kira-kira 18,000 penjawat awam termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Bagi tujuan itu, kita menyediakan sejumlah peruntukan untuk diagihkan kepada seluruh kakitangan kerajaan di negeri ini.

"Kita akan ikut Kerajaan Pusat (bayar bonus), kita beri bonus sebulan setengah gaji seperti yang dibuat Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Larian Jambatan Sultan Mahmud di Dataran Bangau, Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Bayaran bonus sebulan setengah gaji kepada penjawat awam itu akan dibuat dua kali iaitu setengah bulan pada Disember ini manakala selebihnya pada Januari depan.


Sementara setengah bulan lagi telah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri tempoh hari. Dato’ Seri Haji Ahmad seterusnya berharap rakyat negeri ini termasuk penjawat awam sentiasa berterima kasih atas keprihatinan kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti bayaran bonus, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dana hari perayaan dan sebagainya.

 Menurutnya, jika rakyat mengekalkan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), segala bantuan itu akan diteruskan dan mereka tidak akan menikmati peluang seumpama itu sekiranya memilih pembangkang untuk berkuasa.

"Apa yang penting BN terus memerintah Terengganu dan bantuan seperti BR1M, wang ihsan dan dana raya untuk rakyat dapat diteruskan untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

 Beliau berharap agar segenap lapisan masyarakat terutama kakitangan kerajaan berpuas hati dengan pelbagai insentif kerajaan dalam bajet tersebut yang kesemuanya untuk kesejahteraan mereka.

"Bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, kelmarin menunjukkan kerajaan telah mengubah prinsipnya untuk dinikmati rakyat dan kakitangan kerajaan juga perlu bekerja lebih keras lagi," katanya.

 

Bingkisan istimewa madu lebah dari 27 negara

Bingkisan istimewa dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berupa madu daripada 27 negara. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan berangkat melancarkan Perasmian Persidangan Persatuan Perlebahan SeAsia (AAA) & Apiekspo 2012 kali ke-11, menerima bingkisan istimewa daripada 27 negara yang menyertai program itu, di Dataran Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 Baginda kelihatan ceria dan sempat memegang beberapa botol madu sebaik empat petugas membawakan bakul dihias indah berisi pelbagai jenis reka bentuk bekas berisi madu daripada negara Asia dan juga seluruh dunia termasuk Venezuela, Kanada, United Kingdom, Czechoslovakia, China, Jepun, Thailand dan Filipina.


Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Haji Asha’ari Idris; Pengerusi AAA, Profesor Siriwat Wongsiri dan Naib Pengerusinya, Dato’ Dr Makhdzir Mardan.

Cenderahati istimewa itu sebagai simbolik usaha baginda yang turut menyokong serta menggerakkan kemajuan dan pembangunan industri itu di Terengganu menerusi Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).


Sejurus kemudian, baginda bersama tetamu kehormat yang lain melawat ekspo yang menempatkan 32 ruang pameran dan jualan pelbagai jenis madu.

 Terengganu yang mewakili Malaysia menewaskan tiga lagi negara India, Vietnam dan Jepun untuk penganjuran kali ini, sementara penganjuran dua tahun lalu dijalankan di Korea Selatan.


Sebanyak 27 negara seperti Australia, Kemboja, Cameroon, Kanada, China, Mesir, Jerman, India, Indonesia, Iran, Jepun, Libya, United Kingdom, Venezuela dan Singapura menyertai persidangan enam hari yang bermula 28 September lalu.

Persidangan merangkumi ekspo dan bengkel turut membincangkan mengenai jenis, teknik pengeluaran, kajian bagi perubatan, kesihata, komestik serta hala tuju industri madu dunia, selain usaha bagi membangunkan industri lebah negeri bagi kemajuan ekonomi, warisan mahu pun pelancongan negeri.

 

Sultan Mizan berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan memeriksa barisan rejimen Askar Melayu Diraja. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat pada majlis Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-50 baginda, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pagi ini.

Keberangkatan tiba baginda yang diringi Sultanah Nur Zahirah, disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan para pembesar negeri.

Sultan MIzan Zainal Abidin melambai tangan ke arah kanak-kanak sekolah yang turut menjayakan Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-50 baginda di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Sebaik saja baginda tiba di Pentas Diraja, Lagu Selamat Sultan dimainkan dan disusuli tembakan meriam sebanyak 21 das.

Selepas itu, baginda berkenan melakukan pemeriksaan barisan rejimen Askar Melayu Diraja, disusuli lintas kehormat pelbagai kontinjen yang mengambil bahagian dalam istiadat berkenaan.


Selesai istiadat tersebut, baginda berangkat ke Istana Maziah bagi menyempurnakan Istiadat Penghadapan dan Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri.