Halaman

14 October 2012

Usah nilai jasa Kerajaan dalam bentuk kebendaan

Teks dan gambar oleh: Mastura Jamaluddin 

Bertemakan “Kekalkan Kebahagiaan, Elakkan Kemurungan” Kementerian Kesihatan Malaysia berjaya menganjurkan Karnival Jelajah Sihat bersama Komuniti Kuala Berang 2012 dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2012 Peringkat Negeri Terengganu, di Padang Astaka Kuala Berang.

Penduduk Kuala Berang hadir bagi menjayakan Karnival Jelajah Sihat bersama Komuniti 2012 dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat negeri fi Padang Astaka Kuala Berang.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang dua hari yang bermula pada hari Jumaat seperti pameran, forum perdana, sukaneka, berjalan 10,000 langkah yang menjuruskan masyarakat membudayakan amalan cara hidup sihat di dalam kehidupan seharian.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, YBM Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Beliau mengingatkan agar rakyat jangan sesekali menilai jasa-jasa kerajaan selama memerintah dalam bentuk kebendaan semata-mata kerana kerajaan telah berusaha untuk keselesaan semua pihak.


Sebaliknya, beliau mengingatkan rakyat bahawa keamanan yang di kecapi sejak merdeka hingga sekarang, aspek kesihatan masyarakat dan kesejahteraan hidup rakyat tidak pernah diabaikan oleh kerajaan.

“Kita perlu melihat dengan pandangan yang lebih luas termasuk aspek keharmonian, keutuhan negara serta kebajikan rakyat secara menyeluruh jika dibandingkan dengan negara lain.

“Banyak negara tidak dapat menguruskan kesihatan dengan baik hingga menyebabkan rakyat mereka mendapat pelbagai penyakit.

“Kerajaan Malaysia iaitu Kerajaan Barisan Nasional telah membelanjakan sejumlah peruntukan besar setiap tahun dalam aspek kesihatan jadi rakyat negara ini cukup bertuah kerana kerajaan tidak pernah abaikan aspek kesihatan masyarakat,” kata Dato Tengku Putera.

Selain daripada itu, ibu bapa turut dinasihatkan agar memainkan peranan penting sebagai penggerak utama dalam memastikan setiap ahli keluarga dapat mengamalkan gaya hidup sihat.


Tekun beri pinjaman kepada 3,326 pemohon

Oleh:Noraini Jusoh

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Terengganu memberi pinjaman berjumlah RM28.03 juta kepada 3,226 peminjam yang layak dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengurus TEKUN negeri, Encik Mohd Ghazali Husain, berkata jumlah pemohonan untuk memohon pinjaman perniagaan dengan pihaknya sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

“Bagi sembilan bulan pertama sahaja lebih RM28 juta pinjaman telah dikeluarkan berbanding hanya RM27 juga bagi tempoh setahun lepas.

“Pihak kami sentiasa memproses permohonan bantuan pinjaman perniagaan yang dikemukakan oleh orang ramai dari semasa ke semasa khususnya peniaga kecil dan penjaja,” katanya ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Tujuan utama TEKUN memperkenalkan bantuan pinjaman perniagaan atau Sistem Pembiayaan Perniagaan (SPP) adalah untuk membantu mereka memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada.

Menurut Mohd Ghazali, TEKUN mengamalkan konsep pembiayaan yang memudahkan orang ramai untuk membuat pembayaran balik.

“Pemohon yang membuat pinjaman antara RM500 sehingga RM50,000 diberi tempoh antara sebulan dan lima tahun untuk membuat bayaran balik dan caj perkhidmatan hanya empat peratus,” ujarnya.

Antara syarat asas yang perlu dipenuhi untuk memohon SPP adalah mesti warganegara, Bumiputera berumur antara 16 hingga 65 tahun dan 18 hingga 55 tahun bagi masyarakat India (Program Khas Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India-SPUMI).

Selain itu, pemohon juga mesti mempunyai lesen, permit atau daftar perniagaan yang sah (pinjaman bawah RM5,000 tidak perlu pendaftaran perniagaan), mempunyai tempat atau lokasi perniagaan yang khusus atau berniaga secara bergerak (mobile) serta pinjaman perniagaan sedia ada tidak melebihi RM50,000.

 “Antara bidang perniagaan yang boleh diceburi oleh pemohon SPP yang berminat dalam bidang keusahawanan adalah seperti peruncitan, perkhidmatan, pertanian dan akuakultur, pembuatan serta pembinaan kecil,” tambahnya.


Penjawat awam disaran cari idea baru penuhi kehendak pelanggan

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Dato' Haji Mazlan Ngah
Penjawat awam di negeri ini disaran supaya mencari idea-idea baru yang lebih bernas bagi memenuhi kehendak pelanggan dan orang ramai yang berurusan di jabatan masing-masing.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata buat masa ini pihaknya berpendapat penjawat awam perlu mementingkan keberhasilan mereka dalam melaksanakan tugas harian agar rakyat mendapat faedah maksimum.

“Penjawat awam tidak boleh bekerja secara diam, tetapi mereka perlu bekerja secara berkumpulan dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, pagi ini.

Dato' Haji Mazlan Ngah ketika memberikam amanat kepada kakitangan Wisma Darul Iman sambil ditemani Dato' Haji Wan Ahamad.
Hadir sama, Timbalan SUK (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan ketua-ketua jabatan di Wisma Darul Iman.

Dato’ Haji Mazlan mahu penjawat awam bekerja dengan lebih yakin dan menangani dengan baik segala kerenah orang ramai yang berurusan dengan agensi-agensi kerajaan.



“Saya tidak mahu kita mudah bepuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan, tetapi kita perlu meningkatkan pencapaian dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Sementara itu, 15 kakitangan warga WDI dipilih sebagai penerima anugerah cemerlang bulanan iaitu Encik Mohd Rosdi Mohamed Yusof (Pejabat Tanah dan Galian), Puan Zainah Botok (Pejabat Perbendaharaan), Puan Junaliza Wan Jaafar (SUK), Puan Rohani Awang Alias (Unit Perancang Ekonomi Negeri) dan Puan Aini Hafizah Ahamad (Unit Pengrurusan Maklumat Negeri) bagi bulan Julai.




Manakala pemenang bagi bulan Ogos ialah Cik Junaidah Harun (SUK), Syed Abu Bakar Tuan Bharu (PTG), Puan Norliza Ani (Upen), Encik Ahmad Affandi Awang (pejabat Menteri Besar) dan Encik Abd Wahab Yusof (SUK).

Pemenang bagi bulan Setember ialah Puan Nazlyza Nazri (Pejabat Penasihat Undang-Undang), Encik Hasanuddin Ali (Perbendaharaan), Encik Mahadi Mohamad (Unit Audit Dalam), Puan Patimah Ibrahim (Pejabat Pembangunan Negeri) dan Puan Huraizah Mohd (Unit Komunikasi Negeri).


13 October 2012

MARA Daerah Marang Anjur Program Kacau Bubur Lambuk.

Oleh :Amirullah Othman 


Sememangnya sangat nikmat jika dapat merasai beramai-ramai, itulah luahan hati semua pengunjung yang menghadir program Kacau Bubur Lambuk Peringkat Daerah Marang yang dianjurkan oleh MARA Daerah Marang di hadapan Pejabat MARA Daerah Marang hari ini.

Sebanyak 10 kawah bubur lambuk diwakili oleh 10 kumpulan yang terdiri dari daripada jabatan dan agensi menyertai pertandingan Bubur Lambuk yang dimenangi oleh Arkeb MARA daerah Marang.

Antara pasukan yang menyertai adalah Pejabat Daerah Marang, Majlis Daerah Marang, Kemas Daerah Marang, Kelab Myvi Negeri Terengganu, Arkeb MARA Daerah Marang, Arkeb MARA Bukit Payong, Peruncit Rusila, Risda Daerah Marang, Pejabat Agama Marang dan Usahawan MARA Daerah Marang.


Program ini telah dihadiri oleh Y.B.Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Tuan Haji Nik Dir Nik Wan Ku, Penolong Pegawai Daerah Marang, Ketua-ketua Jabatan dan pengunjung sekitar Bandar Marang.


Program ini sememangnya sangat baik untuk memperkenalkan juadah ini kepada anak-anak muda yang tidak pernah merasa bubur lambuk sebelum ini.


Jika kaedah pembuatan bubur lambu kini tidak diwarisi oleh golongan muda, sudah tentu resipi dan cara memasak masakan yang enak ini akan lenyap ditelan zaman.



 

Nasib Nelayan Terengganu Tidak Diabaikan

Nasib nelayan di Terengganu tidak pernah diabaikan sama sekali oleh pihak kerajaan negeri mahupun Pusat.

Menerusi program ‘Touch Point’ sejumlah RM211,049.00 peruntukan telah diluluskan oleh pihak kerajaan untuk membantu membaikpulih kolam dan sangkar ternakan kira-kira 887 golongan nelayan dan penternak di seluruh negeri ini.

Dato' Haji Ahmad Razif menunjukkan cara memakai jaket keselamatan dengan cara yang betul kepada seorang nelayan pantai. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, merangkap Adun Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd. Rahman berkata program ‘Touch Point’ merupakan salah satu usaha pihak kerajaan untuk meningkatkan pendapatan serta mengurangkan bebanan kos operasi mereka (nelayan dan penternak).

Nelayan menolak bot yang dimuatkan unjam daun kelapa untuk diletakkan di beberapa lokasi bagi menambahkan lagi jumlah tangkapan ikan.
Menurut beliau, kerajaan negeri hari ini sentiasa berusaha mencari jalan untuk meningkatkan ekonomi penduduk setempat terutamanya para nelayan khususnya di perairan pantai Tok Jembal ini.

“Pelbagai bantuan telah diberikan seperti bantuan dalam bentuk makanan ikan,jaket keselamatan dan pemberian bot untuk kemudahan nelayan mencari rezeki halal untuk menyara keluarga.

Oleh hal yang demikan, saya berharap para nelayan dan penternak yang ada pada hari ini sentiasa mencari alternatif lain seperti mengusahakan satu produk baru berasaskan hasil tangkapan laut untuk memberi nilai tambah kepada produk sedia ada supaya pendapatan isi rumah penduduk di sini terus meningkat.” katanya.


Dalam ucapan perasmian Program Touch Point, Majlis Interaksi dan Pelancaran Unjam anjuran Jabatan Perikanan Negeri dengan kerjasama Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP) Tok Jembal itu juga, Adun Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif turut menyatakan bahawa kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Seberang Takir sebagai “Sea Felda” atau Felda Laut.

“Pembangunan kawasan Seberang Takir akan dilaksanakan secara berperingkat tetapi masih mengekalkan tradisi nenek moyang dengan menjadikan laut sebagai sumber rezeki cuma kita akan gunakan pendekatan berbeza yang lebih sistematik.

“Setakat ini, kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM 9 juta untuk pembaikian pesisir pantai Tok Jembal ini selain RM 10 juta diperuntukkan dalam tahun 2006 hingga 2012 untuk pembinaan tukun konkrit penghalang pukat tunda di kawasan ini.”ujarnya.


Sehubungan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu iaitu Profesor Ibrahim Mamat sedang berusaha mengumpul data penduduk setempat untuk mengukur tahap kemiskinan seterusnya membantu golongan ini menjana pendapatan berasaskan sumber laut.

Dalam menghadapi musim tengkujuh pula, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian bantuan sebanyak RM 200 sebulan kepada para nelayan menerusi peruntukan RM230 juta khusus buat golongan nelayan melalui pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini.

Justeru, Dato’ Haji Ahmad Razif mengharapkan golongan nelayan sentiasa menyokong Barisan Nasional supaya nasib mereka terus terbela.

Seramai kira-kira 250 orang hadir pada majlis perasmian tersebut. Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Abdul Khalil Abdul Karim; Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Haji Mohd Shafee Mohamad; Ketua-ketua KPEP dan ketua-ketua nelayan.

 

Kenaikan Gula Jangan Jadikan Isu Politik

Kenaikan harga gula mentah dunia telah menyebabkan harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak.

Bahagian Penguatkuasa Bekalan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri ketika dihubungi berkata, walaupun harga gula telah meningkat tetapi bekalan gula tetap mencukupi untuk seluruh rakyat Terengganu.

Sehubungan itu, peruncit dan peniaga dinasihatkan supaya tidak menaikkan harga sesuka hati kerana gula adalah di bawah barangan kawalan.

Menurut kajian yang dilakukan oleh pihak KPDNKK sebelum ini, kenaikan harga gula tidak akan menjejaskan produk berasaskan minuman kerana penggunaan gula tidak banyak jika dibandingkan barangan lain.

Sebagai contoh, dalam secawan teh tarik hanya satu atau dua sudu kecil gula digunakan dan ianya tidak menjejaskan pendapatan perniaga. Justeru, kenaikan harga gula yang sangat minimum tidak seharusnya menjadi isu politik oleh sesetengah pihak sehingga menyebabkan kegelisahan di kalangan pengguna.



Rampas semula DUN Ladang

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jentera pilihan raya Umno di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang diminta bekerja keras bagi memastikan hasrat Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi DUN Ladang pada pilihan raya akan datang dapat dicapai.

Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh, berkata pihaknya yakin ramai pengundi di kawasan tersebut telah sedar kesilapan mereka memilih calon Pas pada pilihan raya umum lalu.

“Jika jentera pilihan raya Umno bekerja lebih keras bagi memberi penerangan kepada orang ramai mengenai apa yang telah Kerajaan BN buat dan apa keburukan Pas, kita akan menang pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Lebih 200 orang terdiri daripada jentera pillihanraya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Dato’ Haji Wan Hisham berkata, BN boleh merampas semula kawasan itu jika semua pihak mengembeleng tenaga untuk membantu calon yang dipilih oleh parti, tanpa mengira siapa calon berkenaan.

“Pada pilihan raya ini kita tidak mahu ada pihak yang mempertikaikan pemilihan calon dan melakukan sabotaj kerana tidak bersetuju dengan calon,” ujarnya.


Jentera Umno lakukan tugas mulia

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Jentera pilihan raya Umno melakukan perbuatan mulia melalui tugas mereka mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, berkata tugas yang dilakukan petugas Umno sekarang ini akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah kerana mereka berjuang untuk memastikan agama Islam terus menjadi agama rasmi negara.

Sebaliknya, kata beliau, perjuangan Pas yang didakwa jihad oleh pengikut parti itu bukannya jihad kerana mereka sering melakukan fitnah dan pelbagai perbuatan keji yang bercanggah dengan ajaran agama.

“Perjuangan Pas bukan jihad kerana mereka melakukan fitnah dan dakyah bagi memburuk-burukkan kerajaan BN yang bersusah payah menegakkan syiar Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Lebih 200 orang terdiri daripada jentera pillihanraya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dan Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh.

Haji Shamsuddin berkata, Umno dan BN menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan rakyat seluruh negeri, termasuk di bidang pendidikan dan agama.

“Oleh itu, tidak ada sebab mengapa rakyat negeri ini mahu menukar kerajaan. Kini menjadi tugas besar jentera Umno untuk menjelaskan segala kekeliruan di kalangan rakyat supaya mereka menyokong Kerajaan BN pada PRU 13,” katanya.


UMT terajui usaha martabat Bahasa Melayu


Oleh: Suriati Ali

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diberi kepercayaan untuk menerajui usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) di rantau ini.

Sehubungan itu, sebuah Majlis Bahasa Melayu IPT Nusantara telah dibentuk dengan penyertaan 10 buah IPT iaitu enam dari Malaysia, tiga dari Indonesia manakala sebuah dari Brunei.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, majlis itu akan membincangkan kaedah atau pendekatan untuk menterjemahkan langkah mengangkat nilai bahasa Melayu ke tahap lebih tinggi dengan penggunaan lebih meluas. 

12 October 2012

UMT dan PKT bekerjasama teroka bidang penyelidikan

Oleh; Esah Abdullah

Jalinan kerjasama antara Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Politeknik Kuala Terengganu (PKT) mampu meneroka dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Dekan FST, Prof Dr. Tengku Sifzizul Tengku Muhamad berkata, usahasama ini juga akan dapat merangka dasar yang bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi.

“Ia dapat memberi peluang kepada pelajar, pensyarah dan kakitangan sokongan melanjutkan pelajaran dan latihan di UMT,” katanya di Seminar Pemantapan Matematik (Semat) dan Majlis Menandatangani Surat Niat di antara FST dan PKT di UMT semalam.

Hadir sama Pengarah PKT, Hajah Radiah Che Su dan Penyelaras Program Semat, Prof Madya Dr. Sabri Ahmad serta 40 pelajar dan 11 pensyarah PTK mengikuti Seminar Semat.

Katanya, surat niat yang ditangani bersama ini antara lain akan mengadakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran berasaskan teknologi dan multimedia interaktif di samping menjalankan penyelidikan dan kajian bersama dalam bidang-bidang yang dikenalpasti.

Selain itu katanya, UMT juga menyokong dan menggalakkan pensyarah PKT melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran serta memberi peluang kepada pelajar lepasan Diploma menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda di UMT.

“Saya percaya pelajar PKT akan mengambil peluang ini untuk memantapkan diri dalam persediaan untuk mempelajari subjek matematik di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu katanya dapat merancakkan lagi bidang pendidikan dan penyelidikan di negara ini serta melonjakkan nama institusi masing-masing ke peringkat antarabangsa.