Halaman

18 October 2012

Projek Pembangunan Pekan Ajil rancak ekonomi

Pembangunan Pekan Ajil sedang rancak dibina.
Teks dan gambar oleh Mastura Jamaluddin 

Senario kesuraman aktiviti perniagaan komuniti setempat di Pekan Ajil hanyalah bersifat sementara kerana melalui Projek Pembangunan Pekan Ajil yang sedang dibina dan dijangka siap pada awal tahun 2014, bakal merancakkan ekonomi kawasan itu.

Ramai peniaga merungut aktiviti perniagaan mereka merosot hingga 40 peratus sejak Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) mula beroperasi akhir tahun lalu apabila jalan utama sebelum ini iaitu Jerangau- Jabor tidak lagi menjadi pilihan utama pengguna.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Haji Rosol Wahid, pembinaan LPT adalah salah satu kemudahan daripada kerajaan untuk rakyat.

Beliau berkata, bagi mengembalikan kerancakkan ekonomi di Pekan Ajil, projek pembangunan pekan itu yang bernilai RM4 juta di atas keluasan tanah kira-kira 8.09 hektar sedang giat di jalankan.

“Projek pembangunan ini menyediakan pelbagai kemudahan termasuk bangunan lot kedai dua tingkat, medan selera, stesen teksi dan bas.

“Malah projek ini d jangka memberi peluang kepada lebih 50 penduduk setempat dan juga menarik kedatangan pelabur ke Pekan Ajil kelak.

“Ini merupakan mercu tanda baru dan tumpuan sebagai pusat sehenti dan saya amat berharap rakyat di Pekan Ajil dapat merebut peluang yang ada nanti,” kata beliau ketika di temui semalam selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Amanah Masyarakat Ketengah Tahun 2012 di Balai Raya Kampung Landas.


JPNT anjur pertandingan fotografi

Oleh: Noraini Jusoh 

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) menganjurkan Pertandingan Fotografi Merdeka 2012 sempena bulan kemerdekaan, baru-baru ini.

Penolong Pengarahnya, Encik Iskandar Jaafar berkata, pertandingan yang julung kali diadakan dan terbuka kepada seluruh rakyat Terengganu itu telah mendapat sambutan menggalakkan walaupun tempoh penyertaan dibuka hanya lima hari sahaja.

YB Haji Khazan Che Mat bersama pemenang Pertandingan Fotografi Merdeka 2012.
“Pertandingan fotografi bertemakan kemerdekaan itu berlangsung 7 September sehingga 12 September yang lalu dan menerima 25 penyertaan dari orang ramai.

“Pemenang dipilih berdasarkan kreativiti menghasilkan gambar paling menarik yang mengandungi jalur gemilang sebagai syarat utama dan memenuhi kriteria lain yang telah ditetapkan,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi peringkat negeri di Hotel YT Midtown, semalam.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah sempena pertandingan tersebut.

Pertandingan yang turut mendapat sejumlah peruntukan daripada kerajaan negeri itu dimenangi Saudara Md.Yasin Embong, 39, berasal dari Manir yang berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta sijil penghargaan.

Tempat kedua dimenangi oleh Wan Fadli Wan Arip, 36, juga dari Manir menerima RM800 dan sijil penghargaan.


Abdullah Deen Mohd Zain, 37, dari Taman Perumahan Gong Badak pula menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang RM600 beserta sijil penghargaan.

Manakala lima orang pemenang saguhati iaitu Isthyad Ahmed, 57, Mohd Radzi Abdul Kadir,45, Afsal Abdullah,30, Hasnordin Md.Nor, 41, dan Nur Anisah Arjasneh,13, telah menerima RM200 dan sijil penghargaan setiap seorang.


Ketengah anjur Kenyir Motocross Chalenge 2012

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bakal menganjurkan pertandingan Kenyir Motocross Challenge 2012 di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, pada 21 Oktober ini.
Acara tersebut yang merupakan program tahunan, akan bermula seawal jam 10 pagi dan berakhir pada jam 5.30 petang.

Lima kategori akan dipertandingkan pada sebelah pagi dimulai dengan kategori Classic (Moto 1), diikuti CKD (Moto 2), Endurance Open/veteran (Moto 2), Cub Cross 4 Strokes (Moto 2) dan Cub Cross (Moto 2).

Pada sebelah petang acara diteruskan dengan kategori Novice Junior (Moto 2), Junior (Moto 2), Classic (Moto 2), Mx Veteran (Moto 2), Novice Senior (Moto 2) dan diakhiri dengan acara Expert (Moto 2).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat akan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang sempena pertandingan tersebut.


Maidam bangunkan 100 hektar tanah wakaf seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu yang dikenalpasti antara negeri memiliki tanah wakaf paling luas bakal membangunkan lebih 100 hektar tanah itu di seluruh Terengganu bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu akan bekerjasama dengan pelbagai agensi khususnya dari Yayasan Terengganu dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji bagi memastikan projek berkenaan mampu mendatangkan faedah serta memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Rozali Salleh berkata pihaknya sudah mengenalpasti beberapa projek yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan asrama pelajar, pusat rawatan bagi pesakit buah pinggang, rumah kediaman dan hotel.

 “Terengganu antara negeri yang ada tanah wakaf yang luas. Jadi kita sudah mengenalpasti projek-projek yang akan dijalankan, selain kita sedang bangunkan hotel bernilai RM41 juta bersebelahan Masjid Zainal Abidin Kuala Terengganu.

 “Hotel setinggi tujuh tingkat dengan kemudahan 180 bilik itu dijangka siap awal tahun depan. Sementara projek lainnya adalah Pusat Hemodialisis di Kampung Balik Bukit, Jerteh serta di Kampung Gong Kepas di Jertih,” katanya.

 Selain itu, Haji Mohd Rozali berkata antara tanah wakaf lain yang sedang dibangunkan ialah Pulau Kerengga berhampiran Penjara Marang.

 

Velodrom Terengganu mungkin ikut reka bentuk Melbourne

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu bercadang melihat model velodrom di Melbourne, Australia sebelum memutuskan reka bentuk sebenar bagi pembinaan velodrom lumba basikal bernilai RM3 juta di Kampung Balai Besar, Dungun tidak lama lagi.

Veledrom lumba basikal yang akan dibina di Kampung Balai Besar, Dungun, mungkin mengikut model velodrom  di Melbourne, Australia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za'abar Mohd Adib, berkata kemungkinan pihaknya akan melakukan lawatan ke Melbourne untuk melihat secara dekat reka bentuk velodrom di negara itu sebelum membuat ketetapan dan perkara susulan berhubung perkara itu.

"Kita diberi peruntukan RM3 juta bagi membangunkan projek itu, bagaimanapun peruntukan itu agak rendah dan peruntukan tambahan diperlukan. Bagaimanapun, mungkin kita bina velodrom asas sebelum kemudahan lain ditambah secara berperingkat.

 “ Buat masa ini, kerajaan negeri sedang dalam proses perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai reka bentuk velodrom yang akan dibina,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco negeri, di Wisma Darul Iman, semalam (17 Oktober).

 Dato’ Za’abar berkata, velodrom itu dibina untuk sesi latihan bagi pelumba negeri dan mencungkil bakat baru.


 

Terengganu tawar produk baru pelancongan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Terengganu menawarkan produk baru untuk bidang pelancongan bagi memberi peluang orang ramai menikmati pengalaman menyeronokkan sambil menjamu selesa dengan pelbagai hidang yang lazat.

Orang ramai boleh menikmati hidangan lazat yang disediakan di atas bot pelancong.
Produk tersebut memberi peluang kepada pelancong untuk menyusuri Sungai Terengganu bersama keluarga atau sahabat handai sambil menikmati keenakan makanan tradisional dan barat di atas bot, dengan harga berpatutan.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Wan Supian Dato’ Wan Ishak, berkata pihaknya menyediakan dua bot yang menyediakan perkhidmatan tersebut di mana pelancong dan orang yang berminat boleh menghubungi pihaknya untuk tempahan.


Melalui pakej terbaru itu pelancong boleh melihat keindahan panorama sepanjang ‘pengembaraan’ mereka, termasuk bangunan sekitar Bandaraya Warisan Pesisir Air, Kampung Cina, Payang Walk dan Taman Tamadun Islam, sama ada waktu siang atau malam.

 “Pada masa ini pihak kami mengadakan promosi dengan kadar harga RM60 seorang bagi program menyusuri Sungai Terengganu beserta hidangan makan malam atau RM15 seorang, tanpa makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membawa rombongan media massa tempatan, pengusaha hotal dan agen pelancongan menikmati sendiri perkhidmatan tersebut, malam tadi.


Wan Supian berkata, pihaknya berharap dengan adanya produk baru itu lebih ramai pelancong datang ke negeri ini untuk bercuti bersama keluarga dan sahabat handai mereka.

“Pakej ini disediakan untuk merangsang kedatangan pelancong ke Terengganu, khususnya bagi menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2013,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang memberi sokongan kepada pihaknya bagi menjayakan program tersebut, termasuk menyediakan bot bagi perkhidmatan itu.

 

Terengganu anjur Sultan Mizan Cup 2012

Kerajaan negeri dengan kerjasama Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) akan menganjurkan Sultan Mizan Cup 2012 selama tiga hari mulai 19 Oktober, di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong.

Sempena majlis tersebut diadakan Majlis Makan Malam kira-kira jam 8.15 malam di lokasi yang sama.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan melakukan ‘flag-off’ (pelepasan) pada jam 5 petang, pada 20 Oktober (Sabtu).

Majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan pada jam 9 pagi, 21 Oktober, di mana Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dijadualkan berangkat ke majlis tersebut.


17 October 2012

Utamakan rakyat, modal BN diterima

Oleh: Aida Abd Rahman

Prinsip dan pendekatan kepimpinan Terengganu yang mengutamakan kebajikan rakyat menjadi modal utama kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

 Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan berkata, tiada pihak yang boleh mempertikaikan kelebihan pucuk pimpinan negeri yang diketuai Dato’ Seri Haji Ahmad Said kerana beliau sudah terbukti membela nasib rakyat dan sentiasa turun padang menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Pertama kepimpinan beliau selaku ketua kerajaan negeri yang mengetuai pentadbiran kerajaan. Yang kedua, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri. Walaupun kedua-duanya berlainan, tetapi tetap berkait rapat antara satu sama lain. Dia perlu ada saling perkaitan dan melengkapi. Kalau bagus di kerajaan, tak bagus di Umno pun, tak boleh juga. Bagus kat Umno, tak bagus di kerajaan, tak boleh juga, sebaliknya kedua-duanya perlu bagus dan saling membantu,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Sura berkata selaku pemimpin yang mengepalai dua struktur penting negeri itu, beliau berupaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan saling melengkapi antara satu sama lain yang tiada lain menjurus kepada menjaga kebajikan rakyat.

Dato’ Rosli berkata sebagaimana umum sedia maklum bahawa Dato’ Seri Haji Ahmad mengambil alih tampuk kepimpinan negeri dalam keadaan yang tidak bersedia serta menimbulkan kontroversi terutama sekali dalam sokongan padu daripada Adun-Adun.

 “Jadi, setakat ini saya melihat berlaku transformasi dan proses perubahan positif dalam iklim pentadbiran dan politik negeri. Walaupun tidak secara keseluruhan tapi, lebih daripada tiga suku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang ada memberi sokongan kepada beliau. Saya kira, masalah sebelum ini sudah pulih .

“Kemudiannya, langkah pertama yang dibuat beliau mengamalkan konsep `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ . Jadi sebab itu kita tahu dari awal lagi penekanan kepentingan yang memberi sepenuh tumpuan kepada rakyat, rakyat didahulukan dalam setiap aspek,” katanya.

Beliau berkata, penekanan jelas diberikan kepada usaha menyediakan bantuan dan kemudahan terutama bidang kesihatan dan pendidikan. Malah, sektor juga diteruskan dan diberi nilai tambah yang akhirnya memberi manfaat secara optimum kepada rakyat yang memberi cukai.

 Selain itu, kata beliau projek mega tidak banyak wujud kebelakangan ini melainkan Dato’ Seri Haji Ahmad membuat penambahbaikan dengan memberi kekuatan kepada sesetengah projek dan program pembangunan.

.

Kerajaan sedia segala kemudahan rakyat-MB

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengajak semua rakyat sentiasa bermuhasabah diri, insaf dan bekerja keras menentang usaha sesetengah pihak yang suka mempermainkan hukum Allah dengan mengeluarkan fatwa mengikut naluri sendiri.

 “Bulatkan tekad dan ikhlas dalam perjuangan menegakkan kebenaran serta redha dengan qada’ dan qadar-Nya,” katanya ketika berucap di majlis Perjumpaan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu bersama Menteri Besar di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, contoh terdekat apabila tidak membenarkan wanita menyertai pertandingan tilawah al-Quran untuk memelihara aurat seorang wanita Islam tetapi membenarkan wanita bersuara lantang di pentas ceramah.

“Saya harap kita sama-sama berperanan memberi penjelasan dan membuka minda masyarakat agar bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah berhenti merancang dan menghulur bantuan,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada sebab lagi rakyat marahkan Kerajaan BN kerana telah berikan segala keperluan yang rakyat perlukan sama ada rumah, tanah, bantuan bulanan, bantuan pelajaran, e-book, dana raya, dana remaja dan banyak lagi.

“Setiap perjumpaan bersama rakyat saya sering bertanya apa lagi yang mereka mahu dan hari ini saya nak tanya sekali lagi apa lagi yang kerajaan boleh bantu,” ujarnya dihadapan kira-kira 1,000 anggota APMT seluruh negeri.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat dan mempunyai empat sumber utama untuk membiayai pembangunan rakyat pada masa hadapan.

“Sumber utama adalah minyak dan gas diikuti kilang besi waja yang akan bertambah satu lagi bulan depan menjadi tiga kilang dan dua sumber baru iaitu industri berasaskan biojisim dan sektor pelancongan di Tasik Kenyir yang membuka peluang ribuan pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.

Malah katanya, dalam tempoh empat tahun kerajaan berjaya mengagihkan 19,000 lot tapak perumahan dan kawasan pertanian kepada rakyat yang memerlukan.

 “Kita negeri pertama perkenalkan dana raya dan dana remaja dan kini diikuti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang juga diagihkan kepada remaja berusia 21 tahun ke atas oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

Katanya, kerajaan BN adalah yang terbaik sentiasa menjaga kebajikan rakyat bermula dari buaian hingga ke liang lahat.

“Marilah sama-sama kita bergerak sederap, berjalan seiring dan jangan sekali-kali mempertikai calon yang ditentukan oleh pucuk kepimpinan tertinggi parti pada pilihan raya akan datang sebaliknya berilah sokongan agar BN terus berkuasa di negara ini,” katanya.

 

Pemuda Kuala Terengganu lancar “BN Youth Volunteer”

Oleh: Noraini Jusoh

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu melancarkan sukarelawan yang dinamakan ‘BN Youth Volunteer’ (BNYV) sejak dua bulan yang lalu, sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Program berkenaan terbuka keanggotaannya kepada semua golongan muda yang belum layak mengundi dan berusia dalam lingkungan 18 hingga 21 tahun.

Ketua pergerakan itu, Encik Badrul Hisham Zaki berkata sejak dilancarkan keahliannya sukarelawan itu telah mencecah 1,250 orang.
“Kita menubuhkan BNYV untuk orang muda yang berada di luar parti tetapi mereka ingin membantu dan pro-Barisan Nasional (BN),” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Menurut beliau, dengan adanya pasukan anak muda itu pihaknya berharap jentera pilihan raya BN semakin kuat bagi memastikan Terengganu kekal di bawah pemerintahan kerajaan sedia ada.

Katanya, pergerakan itu masih mengharapkan lebih ramai anak-anak muda menganggotai sukarelawan itu bagi membolehkan mereka menyumbangkan tenaga kepada kerajaan BN.

Golongan muda yang berminat untuk menyertai BNYV boleh mendaftarkan keahlian dengan memberi nama kepada Pergerakan Pemuda Cawangan masing-masing.