Halaman

23 December 2012

Teliti pelbagai aspek sebelum ambil guru Bahasa Inggeris dari India

Oleh: Aida Abd Rahman


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memberi jaminan bahawa cadangan pengambilan guru dari India untuk mengajar bahasa Inggeris di Malaysia ini akan diteliti dengan terperinci sama ada menepati dengan keperluan pendidikan negara.

Kementerian Pelajaran akan mengambil kira daripada pelbagai aspek dan mengkaji perkara itu terlebih dahulu termasuk menilai latar belakang dan kemahiran guru berkenaan.

 "Kita akan teliti apakah guru bahasa Inggeris dari India ini sesuai, sudah tentu orang yang kita hendak ambik mungkin dia ada kelulusan Cambridge atau Oxford dan daripada univesiti yang diiktiraf, misalnya, boleh mengajar dengan baik.

“Bukan disebabkan longhatnya bagi sesetengah pihak merasa tidak berapa sesuai tetapi kandungan pengajaran menyebabkan banyak perkara yang Kementerian Pelajaran perlu ambil kira untuk meneliti bahawa guru yang diambil itu adalah guru yang benar-benar sesuai, pakar dan terlatih mengikut kehendak kita," katanya di sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi dan Profesional, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini yang mahu kajian mendalam dilakukan berhubung cadangan pengambilan guru bahasa Inggeris dari India.

Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, semasa lawatannya ke New Delhi tiga hari lalu bercadang mengambil sejumlah guru bahasa Inggeris dari India mengajar di Malaysia.

 “Jadi biar kita kaji dahulu, kaji dalam erti kata apabila kita hendak ambil esok, apakah jenis guru bahasa Inggeris yang ada di India yang dianggap sesuai untuk sistem pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris di Malaysia dan bagaimana latar belakang dan kemahiran dia serta sebagainya itu hendaklah kita diambil kira,” katanya.


Bantuan persekolahan dibayar Januari depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan RM560 juta bagi membiayai bantuan persekolahan anak-anak di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata bantuan tersebut yang bertujuan meringankan ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah akan mula dibayar pada bulan Januari.

“Kita akanm minta wakil-wakil rakyat atau pemimpinmasyarakat supaya mengagih-agihkan bayaran tersebut mulai bulan Januari depan,” katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola Kampung Pulau Bahagia, Manir, semalam.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat, Barisan Nasional memutuskan untuk meneruskan bantuan persekolahan dan Batuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun depan.

“Kerajaan sentiasa mencari jalan bagi memberi bantuan untuk meringankan beban rakyat,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak membeza-bezakan dalam pemberian bantuan dan subsidi kepada rakyat di mana semua pemohon yang layak akan menerima habuan masing-masing.

Melalui bantuan persekolahan setiap pelajar akan diberi wang tunai RM100 bagi membeli pakaian dan peralatan sekolah.

 

22 December 2012

Tidak laksana hukum hudud bukan bermaksud tolak hukum Islam- TPM

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menegaskan tindakan kerajaan tidak melaksanakan hudud bukan bermaksud menolak hukum Islam sebaliknya menggantikan dengan undang-undang syariah yang menghukum setiap pesalah itu dengan adil.



“Banyak perkara perlu diselidik sebelum melaksanakannya, di negara kita ini terdapat pelbagai bilangan bangsa, sudah tentu mereka tidak faham erti sebenarnya mengenai hukum itu.

“Di Kelantan, pemimpin mereka pernah menyatakan mahu melaksanakan hukum hudud, tetapi sehingga sekarang ini, belum juga dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Khas Bersama Pegawai Pengurusan Tertinggi &Profesional di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta Barisan Nasional.

 Katanya, itu belum lagi masuk soal hukum yang pernah dilemparkan oleh pemimpin Pas bahawa menolak hudud dan undang-undang Allah menjadi kafir, tetapi dalam persoalan sekarang ke mana hukum itu hendak dituju bila keputusan mereka bersama pakatan dengan orang-orang bukan Islam, menolak pelaksanaan hudud.

 “kerajaan buat apa yang kita mampu dan laksanakan apa yang perlu diutamakan, serta apa yang dituntut oleh agama rasmi di negara kita,” katanya.

 

Umum calon BN pada waktu sesuai, ambil kira isu strategik

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali


Pengumuman calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dilakukan pada waktu yang sesuai dengan mengambil kira isu strategik khususnya kelebihan kepada calon BN sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

 "Ia akan sampai waktu di mana apabila Presiden (Umno) sudah membuat keputusan, maka mereka yang hendak jadi calon itu akan diberitahu, tetapi kita tidak boleh buat satu keputusan mengatakan sekarang masanya, apabila tiba waktu yang sesuai, ikut situasi, ikut keadaan dan ikut calon yang berkenaan.

“Kita kena ada satu pendirian yang akan strategik , bila Perdana Menteri hendak buat satu keputusan pun kena ada isu yang strategik. Apakah (dengan) mengumumkan lebih awal itu akan memberi kelebihan kepada kita atau hal-hal yang lain," katanya di sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi dan Profesional, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Tan Sri Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Umno Pahang yang meminta pucuk pimpinan supaya menimbangkan untuk mengumumkan nama calon BN lebih awal supaya gerak kerja kempen dapat dilaksanakan lebih teratur.

Katanya, apa yang lebih mustahak adalah semua pemimpin dan ahli parti Umno sebulat suara dan akur menerima keputusan senarai calon PRU13 itu nanti.



Dialog jenayah curi kabel dan langkah pencegahan

Oleh: Mohammad Ishak 

Kes jenayah curi kabel Telekom Malaysia (TM) semakin meningkat dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk mencegah perbuatan tidak bertanggung pihak terbabit.

Ini kerana jika berlaku kecurian pengguna telefin termasuk internet akan turut terjejas dan menghadapi masalah untuk berhubung dengan pihak lain.

Jika ini berlakau bukan sahaja kerugian dihadapai oleh Telekom Malaysia tetapi orang ramai juga akan berhadapan dengan pelbagai masalah untuk mendapatkan perkhidmatan komunikasi berkenaan.

Berikutan itu, TM mengambil daya usaha mengajak masyarakat supaya menyertai sesi dialog berkenaan yang akan berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong pada Isnin 24 Disember.

Sempena program sehari itu pihak penganjur,turut mengadakan pelbagai acara ,menarik termasuk kuiz, penyampaian reward dan sijil perlantikan Sukarelawan TM, serta jamuan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara, akan merasmikan program berkenaan.

Program sehari bertemakan TM Mesra Sepakat Komuniti itu dijangka dihadiri ribuan penduduk sekitar daerah Besut yang juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

15 pelajar Kolej TESDEC terima diploma UniKL

Oleh :Amirullah Othman 

Seramai 15 orang belia yang mengikuti program Diploma of Engineering Technology in Automotive Maintenance [DET(AMT)] Kolej TESDEC menerima diploma mereka di Majlis Konvokesyen kali ke-9 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada para pelajar yang mengikuti program DET(AMT) ambilan pertama pada bulan Julai 2009 apabila Kolej TESDEC bekerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur-Malaysia France Institute (UniKL-MFI) memperkenalkan program diploma berkenaan di negeri Terengganu.

Tempoh pengajian berkenaan adalah selama tiga tahun bersamaan dengan enam semester pengajian selama enam bulan setiap satunya.

Pelajar-pelajar mengikuti kelas teori dan amali di bengkel selama lima semester yang pertama dan kemudiannya menjalani latihan praktikal di pusat-pusat servis automotif terpilih pada semester keenam.

Pelajar yang lulus menerima diploma yang dianugerahi oleh Universiti Kuala Lumpur sendiri.

Pada masa ini, terdapat 118 orang pelajar sedang mengikuti program tersebut di Kolej TESDEC, Marang, Terengganu. Pelajar ambilan ketiga pula akan menjalani latihan industri pada bulan Januari 2013 nanti dan dijangka tamat pengajian pada bulan Julai 2013.

Sepanjang tempoh pengajian para pelajar dibimbing oleh pensyarah yang terlatih di dalam bidang automotif berkelayakan ijazah dan menjalani latihan di bengkel automotif serba lengkap dengan kenderaan dan peralatan terkini.

Belia-belia yang berminat memasuki kolej berkenaan boleh berhubung dengan Bahagian Kemasukan dan Rekod, Kolej TESDEC, 21600 Marang, Terengganu atau telefon. 09-627 2222 atau melayari www.tesdec.edu.my.

 

Ucap selamat tinggal kepada Pas-MB

Oleh; Esah Abdullah



Setelah 32 tahun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berada di bawah cengkaman Pas, saya harap masyarakat di sini perlu mengucapkan selamat tinggal kepada parti itu yang hanya tahu berjanji tetapi tidak menunaikannya.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sudah sampai masanya penduduk Manir membuat perubahan dan mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

“Dia perintah pun tak beri apa-apa kepada rakyat, pemimpin BN juga yang datang bantu orang sakit dan baiki rumah orang susah,” katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Kebangkitan Masyarakat DUN Manir di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, sehingga ini sudah 347 unit rumah mampu milik dibina oleh kerajaan BN untuk masyarakat dalam kawasan ini. “Saya janji jika DUN Manir menang BN selepas PRU nanti, 1,000 unit rumah mampu milik akan dibina,” katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 20,000 hadirin yang membanjiri padang bola.

Tambahnya, tiga gelanggang futsal lagi akan dibina sebagai tambahan untuk golongan muda menjalan aktiviti masing-masing.

 “Saya harap rakyat memilih kerajaan BN untuk terus kekal memerintah negeri dan negara dan menikmati pembangunan yang dijanjikan,” katanya
 

Cukup sampai di sini saja sokong Pas

Oleh; Esah Abdullah

Jadikan lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kali ini sebagai satu ‘noktah’ untuk tidak lagi bersama parti Pas.



Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, tidak ada maknanya beri undi pada Pas kerana semua kebajikan untuk penduduk dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN).


“Cukup, cukup sudah biar sampai di sini saja, masyarakat DUN Manir berubah dan beri sokong BN dalam Pilihan raya Umum (PRU) akan datang,” katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Kebangkitan Masyarakat DUN Manir di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Hadir sama Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, pemimpin BN bersilih ganti datang ke Manir memberi bantuan serta bertanya khabar sambil menghulur bantuan kepada yang memerlukan.

“Wakil rakyat Pas ada, tapi tidak buat apa-apa selain dari berceramah dan menabur janji, sedangkan pahala kebajikan dibuat oleh pemimpin BN,” katanya.

Tambahnya, penduduk dalam DUN Manir perlu fikir nasib masa depan anak cucu mereka jika terus di bawah wakil rakyat yang tidak peka dengan pemasalahan rakyat.
 

TPM lulus peruntukan RM4.9 juta untuk DUN Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sempena lawatan kerja ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, membawa ‘ole-ole’ berupa peruntukan sebanyak RM4.9 juta bagi membiayai projek pembangunan di kawasan berkenaan.



Daripada jumlah itu, RM2 juta akan digunakan bagi membaiki dan membaikpulih rumah penduduk di kawasan itu yang uzur. Manakala RM2.9 juta bakal digunakan bagi membiayai pelbagai projek kecil yang dirancang di kawasan berkenaan.


Dalam ucapannya di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola Kampung Pulau Bahagia, Manir, Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata pihaknya prihatin dan komited dalam membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan.

“Kita mahu menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh masyarakat daripada pelbagai kategori seperti petani, peniaga, pengusaha industri kecil dan sederhana serta kakitangan awam dan swasta,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak membeza-bezakan dalam pemberian bantuan dan subsidi kepada rakyat di mana semua pemohon yang layak akan menerima habuan masing-masing.

Katanya, kerajaan memberi bantuan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik kerana mereka semua adalah warga negara ini.

Beliau berharap rakyat di kawasan DUN Manir akan terus memberi sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) agar lebih banyak program dan projek dapat dilaksanakan di kawasan itu.

 

Petanda awal BN bakal tawan Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kehadiran luar biasa di majlis Jamuan Rakyat 1 Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola Kampung Pulau Bahagia, sempena kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, hari ini, merupakan petanda awal Barisan Nasional (BN) menawan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, pada pilihan raya akan datang.


Dalam ucapannya, Timbalan Presiden Umno itu amat teruja dengan kehadiran yang begitu ramai walaupun dalam keadaan lebat sejak awal pagi, menandakan rakyat tempatan mula beralih sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Saya yakin kehadiran yang begitu ramai hari ini menandakan petanda awal ‘Gelombang Perubahan Ubah Manir’ akan dapat dicapai pada pilihan raya akan datang,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh lebih 20,000 orang yang hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerap datang ke negeri ini bagi melihat usaha-usaha dan program yang dilaksanakan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat di negeri ini.

“Kita mahu memastikan program dan projek berkenaan dapat memberi faedah yang maksima kepada rakyat. Kita mahu negeri Terengganu berubah wajah menjadi negeri yang maju,” katanya.

Beliau berkata, hasil penelitiannya didapati pemimpin Umno dan BN di negeri ini komited dalam melaksanakan tugas mereka dan bekerja bersungguh-sungguh bagi membantu penduduk negeri ini.