Halaman

25 January 2013

Tarian tradisional mampu promosi Terengganu

 Oleh: Suriati Ali 

 Pengemar seni muzik di awal 1970 an, pasti mengenali penggiat seni Wan Salmah Wan Sulaiman, 68 dan Wan Habsah Jusoh, 65 yang setia mengangkat martabat lagu dan tarian tradisional Terengganu.

 Tarian ulek mayang, rodat, anak burung baniong dan gamelan yang diperkenalkan penggiat seni ketika itu terus tersohor sehingga ke serata negara. Kebanyakan tarian yang berkisarkan kehidupan, budaya dan adat masyarakat Melayu itu mampu menaikkan imej dan keunikan Terengganu.

Penggiat seni, Wan Salmah, berkata dia masih bersedia mengajar mana-mana pihak atau individu yang ingin mengetahui secara mendalam mengenai tarian Terengganu.

Katanya, dia sudi berbuat demikian kerana sayang dan bimbang asal-usul pelbagai tarian, termasuk ulek mayang hilang keaslian tarian dan lagunya di mana satu ketika dahulu dicipta dan diperkenalkan Haji Mazlan Embong.

“Tarian lain seperti , rodat, anak burung baniong dan gamelan wajar dikekalkan kerana mempunyai keunikan tersendiri berbanding tarian yang dimiliki dan diperkenalkan negeri lain.

“Sebagai contoh, tarian ulek mayang iaitu bentuk asalnya adalah sebuah tarian memuja semangat. “Penarinya akan menggunakan mayang pinang dan mengoncangkannya semasa menari sehinggalah ia merasakan mayang pinang tersebut bergoncang dengan sendirinya sebelum dilepaskan kepada penari yang lain.

 “Tarian ini kebiasaannya diamalkan untuk memuja semangat laut. Namun pada hari ini, kepercayaan atas semangat itu sudah hilang, sebaliknya tarian ini cuma tinggal sebagai bentuk hiburan sahaja,” katanya.

Seorang lagi penggiat seni veteran, Wan Habsah, berkata tarian tradisional Terengganu jelas dapat menaikkan imej Terengganu bukan saja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

“Saya dan beberapa rakan seangkatan sekitar 1980an seakan tidak menang tangan mempromosi Terengganu di beberapa negara tersohor seperti Eropah, Singapura, Filipina dan sebagainya melalui tarian tradisional Terengganu,”katanya

Seramai 9,448 orang sertai perarakan

Oleh: Suriati Ali



Sebanyak 278 pasukan daripada lima kategori dengan jumlah penyertaan seramai 9,448 orang menyertai perarakan sempena sambutan Majlis Maulidur Rasul peringkat Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu.

Hadir sama,  Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan `Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran, persembahan nasyid, bacaan rawi dan syair.

Pasukan Majlis Amanah Rakyat (MARA) cawangan Terengganu, dinobatkan sebagai juara bagi kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan.

 Manakala Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) diumumkan sebagai juara Kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Badan Bukan Berkanun.

 Juara kategori lain, Tenaga Nasional Berhad (syarikat swasta dan syarikat terpilih lain) dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (pasukan sekolah menengah, IPTA/IPTS).

 Manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Laut menang bagi kategori JKKK. Kesemua pasukan itu berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000.

 

JKNT sasar sifar aduan

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meletakkan sasaran besar iaitu untuk mencapai sifar aduan tahun ini.

Pengarahnya, Dr Haji Anwa Sulaiman berkata, usaha jabatan kini ke arah sifar aduan khusus berkaitan komunikasi antara doktor, juruawat dan pembantu perubatan agar dapat memberi layanan mesra dan hormat kepada pesakit.

“Sepanjang tahun lalu kita menerima 219 maklum balas daripada orang ramai di mana 96 daripadanya adalah mengenai kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan merangkumi komunikasi,layanan, tidak sopan, perkhidmatan kaunter dan perkhidmatan telefon.

 “Walaupun ia satu angka yang kecil berbanding dengan dengan pesakit luar yang datang mendapatkan rawatan tetapi ia tetap sebagai petunjuk dan jabatan perlu perbaiki mutu perkhidmatan sedia ada,” katanya di majlis Pelancaran Kempen Amalan 3S (senyum salam, sapa) JKNT di Perpustakaan Awam Terengganu baru-baru ini..

Sehubungan itu pihaknya mengariskan enam perkara perlu dilaksana semua kakitangan hospital seperti memupuk semangat kekeluargaan dan silatulrahim sesama anggota ketika bertugas dan pelangan,” katanya

Katanya, mewujudkan suasana harmoni, mesra dan berorientasikan pelangan sepanjang masa di samping mengurangkan stress di tempat kerja agar sentiasa bersemangat dan bertenaga ketika menjalankan tugas.

Tambahnya, usaha meningkatkan kemahiran berkomunikasi supaya lebih peka dalam mengurus dan merawat pesakit. “Kita perlukan warga kesihatan yang sentiasa disenangi dan memuaskan hati pelangan melalui senyuman yang dizahir serta sapaan mesra,” katanya.

Katanya, satu senyum membawa seribu keceriaan dan merupakan amalan paling mudah dilakukan serta ia merupakansedekah yang mulia dan tinggi darjatnya.

Menurut kajian katanya, individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam selama 10 minit.

“Jadikan 3S sebagai amalan penting bagi mengeratkan hubungan silatulrahim serta jangan ada sifat sombong, takabur dan hasad dengki di dalam diri kita,” katanya.

 

24 January 2013

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan rasmi Majlis Sambutan Maulidur Rasul

Oleh: Suriati Ali 

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.



Keberangkatan baginda disambut, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

 Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan `Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran, persembahan nasyid, bacaan rawi, syair dan kemudiannya ucapan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Baginda Sultan Mizan seterusnya menyampaikan titah ucapan dan melancarkan sambutan Maulidur Rasul.

Majlis kemudiannya disusuli dengan persembahan selawat dan penyampaian anugerah kepada pemenang pelbagai kategori pertandingan dan pemenang perarakan.

Sebanyak 278 pasukan daripada lima kategori dengan jumlah penyertaan seramai 9,448 orang menyertai perarakan sempena sambutan kali ini.

   




Umat Islam wajar kenang jasa dan pejuangan Rasulullah

Oleh: Suriati Ali 



 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan umat Islam di Terengganu supaya sentiasa mengenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengobanan Rasulullah S.A.W.

 baginda, ingatan itu perlu kerana kita sebagai umat Islam dapat menerima cahaya keislaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat yang amat berharga iaitu iman dan Islam.

“Namun kita sebagai seorang muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang kita ungkapkan ini benar-benar tertanam di lubuk hati kita atau sejauh manakah kita melakukan apa yang Rasulullah dalam kehidupan kita seharian.

“Baginda Rasulullah mempunyai pandangan jauh, akal fikiran tajam dan semangat juang tinggi, kekuatan mental dan tabah menempuh pelbagai dugaan seharusnya dijadikan sebagai contoh tauladan,” titahnya.

 Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Sebanyak 278 pasukan daripada lima kategori dengan jumlah penyertaan seramai 9,448 orang menyertai perarakan sempena sambutan kali ini.

 Majlis Amanah Rakyat (MARA) cawangan Terengganu, dinobatkan sebagai juara bagi kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan.

 Manakala Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) diumumkan sebagai juara Kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Badan Bukan Berkanun.

 Juara kategori lain, Tenaga Nasional Berhad (syarikat swasta dan syarikat terpilih lain) dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (pasukan sekolah menengah, IPTA/IPTS).

 Manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Laut menang bagi kategori JKKK. Kesemua pasukan itu berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000.

 Baginda bertitah, ketokohan Nabi Muhammad S.A.W sebagai manusia teragung yang pernah dilahirkan di muka bumi memang tidak dapat disangkal lagi.

“Orientalis barat sendiri mengakui hakikat ini iaitu Rasulullah merupakan satu-satunya pembawa risalah agama yang secara jelas sejarahnya diceritakan sejak Baginda dilahirkan dan wafat,” titahnya.



3,000 pengakap sertai Perkhemahan Maulidur Rasul

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kira-kira 3,000 pengakap dari seluruh negara akan menyertai Perkhemahan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, selama tiga hari mulai 1 Februari ini.

Program itu yang julung kali diadakan di negara ini bertujuan mendekatkan ahli-ahli Pengakap dengan program bercorak keagamaan serta menyemarakkan perayaan menyambut ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya berbesar hati untuk menjadi tuan rumah program ini dan sedia menghulurkan pelbagai bantuan bagi menjayakannya.

“Program ini diadakan bagi memupuk komitmen yang tinggi di kalangan pemimpin dan ahli pengakap dalam menyokong sebarang aktiviti keagamaan yang boleh mendorong kepada perpaduan ummah.

“Pada masa yang sama ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada mereka betapa perlunya kita menyokong usaha membentuk kemantapan kerohanian dan mentaati rasul dan pemimpin,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, petang semalam.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, pengisian perkhemahan tersebut termasuk pengurusan jenazah, amalan selawat, aktiviti penyembelihan dan riadah mengikut sunnah akan dijalankan sepanjang program tersebut.

Beliau berkata, kemuncak bagi program berkenaan ialah Ceramah Maulidur Rasul pada sebelah malam 2 Februari di mana Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan untuk berangkat ke majlis berkenaan.

Pada sebelah pagi hari berkenaan semua peserta perkhemahan akan menyertai program perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang melibatkan laluan sekitar tapak perkhemahan.


Pas, PKR tidak sehaluan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Belum pun tiba musim pilihan raya, dua parti dalam Pakatan Rakyat (PR), iaitu Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sudah tidak sependapat dan kini membawa haluan masing-masing.

Pemimpin kedua-dua parti tersebut kini sudah bertelagah pendapat mengenai isu penggunaan kalimah Allah kepada masyarakat bukan Islam.

Tidak mustahil kudis yang sedikit ini akan membengkak dan bernanah di mana akhirnya akan mengeluarkan bau busung yang sangat busuk.

Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada sidang media semalam menegaskan pakatan pembangkang yang turut dianggotai DAP kekal dengan pendirian membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Manakala Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, pula dilaporkan berkata pihaknya tetap mempertahankan keputusan Majlis Syura Pas bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan bagi orang bukan Islam, termasuk dalam Bible versi bahasa Melayu.

Pemerhati politik berpendapat selepas ini banyak lagi pertelingkahan bakal berlaku antara Pas dan PKR kerana kedua-dua parti itu memang sepatutnya ‘tidak boleh duduk semeja’.

Walaupun sejak kebelakangan ini Pas sudah banyak menyeleweng daripada perjuangan asal parti itu bagi menjaga hati PKR dan DAP, ia masih terikat dengan beberapa perkara berkaitan hukum hakam dan masih ada rasa segan silu untuk mengambil tindakan yang terang-terang menyalahi kehendak agama.

Bagaimanapun, keadaan ini jauh berbeza dengan PKR di mana semua orang tahu latar belakang pemimpinnya yang juga Ketua Pembangkang, yang tidak pernah mengambil kisah mengenai halal haram.

Apa yang penting bagi pemimpin PKR itu ialah menjaga hati DAP dan mereka sanggup melakukan apa saja bagi memastikan hasrat beliau menjadi Perdana Menteri akan tercapai.

Dalam hal ini, lebih banyak episod akan dapat disaksikan selepas ini apabila pemimpin-pemimpin DAP, terutamanya Karpal Singh yang merupakan penentang nombor 1 agama Islam, membuat komen yang lebih pedas berhubung isu berkenaan dan pendirian terbaru Pas mengenainya.

Ini baru satu babak berkaitan isu penggunaan kalimah Allah. Bagaimana pula nanti bila Pas mengungkit kembali untuk melaksanakan hukum hudud bila tiba muism kempen pilihan raya sebagai modal untuk memancing undi, adakah pemimpin DAP akan berdiam diri?

Dan bila saat Parlimen dibubarkan nanti, sudah tentu akan berlaku pula perebutan kerusi antara DAP, Pas dan PKR kerana sehingga ini belum ada keputusan muktamad mengenai pembahagian kerusi di kalangan parti-parti komponen PR.

Keadaan ini jauh berbeza dengan Barisan Nasional (BN) di mana part-parti komponennya sentiasa sepakat dalam apa jua isu serta permasalahan, termasuk pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Persepakatan inilah yang menjadi kunci kejayaan BN memerintah negara ini sejak merdeka hingga sekarang.

Justeru itu, rakyat negeri ini tidak ada pilihan lain, melainkan mengundi calon-calon BN pada pilihan raya umum kali ini bagi memastikan pemerintahan negara dan politik Malaysia terus stabil.


Umat Islam perlu bersatu

Oleh: Suriati Ali

‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ bukan bermaksud sama rata, tetapi adalah pendekatan kasih sayang, kesejahteraan dan perpaduan yang dikongsi bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama.



 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata ia juga bukan berada ditengah-tengah tanpa pendirian, tetapi bertujuan mengutamakan dan menjaga perkara-perkara dasar.

 Katanya, oleh itu, nikmat yang dikurniakan kepada kita hendaklah disyukuri, malah kita sepatutnya membuka mata dan melihat bagaimana negara-negara lain kecundang di sebalik kemenangan.

“Sesungguhnya cabaran bagi umat Islam amatlah besar, perpecahan merupakan satu cabaran utama umat Islam hari ini.

 “Semua umat Islam perlu bertanggungjawab dalam memainkan peranan ke arah menyatukan umat,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Ambang Maulidur Rasul di Masjid Bukit Chempaka, Batu Rakit Kuala Terengganu, petang semalam.



Kira-kira 400 jemaah hadir untuk bersama-sama Dato’ Seri Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan penolong Pesuruhjaya (Imam Besar), Encik Aizi Saidi solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah.

Penceramah bebas yang sering muncul di kaca televesyen, Ustaz Badli Shah Alauddin, turut menyampaikan ceramah berkaitan bagaimana menjadi umat Islam sejati, sebagaimana yang diamalkan Rasulullah.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, perkembangan semasa hari ini menuntut umat Islam bersatu demi menjamin masa depan umat dan generasi akan dating. Tiada kerugian jika umat Islam bersatu.

“Melalui kesatuan ummah, Allah akan memberi rahmat. Sebaliknya perpecahan akan mengundang petaka dan penderitaan,” katanya.

 






LKIM belanja RM9.5 juta bina rumah nelayan

Oleh; Esah Abdullah

Sejumlah RM9.5 juta telah dibelanjakan untuk projek khas perumahan nelayan di negeri ini bagi baikpulih dan bina baru 1,068 buah rumah nelayan sepanjang tahun lalu.

 Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)cawangan Terengganu, Encik Mohd Saffe Mohd berkata, peruntukan yang besar ini dibelanjakan tujuan memberi keselesaan kepada golongan itu yang sebahagian besar dalam kategori miskin.

“Peruntukan maksimun baiki rumah adalah RM10,000 manakala rumah bina baru sebanyak RM40,000,” katanya dalam sidang media di majlis Penyerahan Bantuan Sara Hidup Nelayan di Perpustakaan Awam Terengganu baru-baru ini.

Katanya, nasib golongan nelayan sentiasa di bawah pemerhatian pihak LKIM serta berusaha untuk meningkatkan pendapatan keluarga nelayan termasuk memiliki kediaman yang selesa.

Menurutnya, peruntukan projek baiki dan bina rumah untuk tahun ini masih dalam perbincangan dan akan diputuskan dalam sedikit masa lagi.

“Kalau boleh semua nelayan boleh duduk di rumah sendiri yang selesa dan melalui projek penempatan semula nelayan yang dirancang mampu menangani masalah berkenaan,” katanya.

 

Usia belasan tahun sudah jadi nelayan

Oleh: Nurul Aziela Saberi 

Sejak berusia 12 tahun Wan Mohd Napi Wan Mohamad telah bergelumang dengan laut dan sehingga kini beliau tegar mencari rezeki untuk menyara keluarganya dengan bergantung kepada hasil laut.

Beliau yang amat berterima kasih kepada pihak kerajaan yang selama ini tidak pernah bosan memberi bantuan kepada warga nelayan sepertinya.

Bagaimanapun, Wan Mohd Napi tekad tidak mahu anak-anaknya nanti menjadi nelayan sepertinya dan dia bertekad mahu mengubah nasib keluarganya dengan memberikan mereka pendidikan tinggi.

Sungguhpun begitu, dia tidak pernah menyesal menjadi seorang warga nelayan, sebaliknya berbangga kerana mampu menyara keluarganya sehingga kini walaupun dalam keadaan sederhana.

“Kami warga nelayan yang hanya bergantung kepada hasil laut kebanyakannya menghadapi kesusahan menjelang musim tengkujuh kerana tidak dapat memungut sebarang hasil, namun dengan keprihatinan pihak kerajaan sedikit sebanyak dapat meringankan kami semua,” katanya yang mempunyai lima tanggungan.

Setiap bulan warga nelayan akan menerima bantuan RM200 yang diperuntukkan dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan bagi sesiapa yang mempunyai E-Nelayan akan menerima subsidi minyak.



Sekitar 240 warga nelayan Kijal menerima bantuan sebanyak RM100 dan keperluan dapur yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Dewan Nelayan, Kijal petang kelmarin.