Halaman

26 May 2013

Terengganu proaktif laksana agenda

Oleh: Suriati Ali 

 Terengganu mengambil langkah proaktif bagi memastikan agenda pembangunan keusahawanan di negeri ini dilaksanakan secara bersama seiring dengan Kerajaan Pusat bagi mencapai matlamat ditetapkan.

 Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud berkata, usaha berganda pasti dilaksanakan bagi memastikan agenda berkenaan memberikan manfaat kepada sebahagian besar komuniti usahawan di negeri ini.

 Katanya, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai agensi khusus bagi mewujud dan membangunkan usahawan iaitu Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

 "Ini merupakan kekuatan dan kelebihan yang kita ada berbanding negeri-negeri lain. Justeru, saya berharap agar kerjasama antara agensi serta komitmen yang diserlahkan sebelum ini bertambah baik pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perasmian outlet ketiga T'Cafe Mr. Burger di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik dan Pengarah Urusan T'Cafe Mr. Burger, Mohd. Wahyu Affandy Zainudin.

Tambah Roslee, pihaknya juga akan memastikan usahawan di negeri ini lebih berdaya saing pada masa depan seperti yang dinyatakan dalam aku janji Barisan Nasional (BN) di Terengganu sebelum ini.

 "Untuk itu, kita akan terus memberi sokongan kepada program seumpama ini kerana saya percaya dengan kemampuan yang ada pada agensi berkaitan serta kekuatan rakan strategik, usaha untuk memartabatkan usahawan di Terengganu akan tercapai," katanya.

 

YPU perluas rangkaian T'Cafe Mr. Burger

Oleh: Suriati Ali 

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) merancang untuk mengembangkan operasi rangkaian restoran francais jenama T’Cafe Mr Burger dengan membuka cawangannya di setiap negeri .

 Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, buat masa ini, T'Cafe Mr. Burger mempunyai tiga cawangan iaitu di Chendering, Paka dan terbaharu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).

 Katanya, dua lagi cawangan iaitu masing-masing di Air Putih, Kuantan dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini akan dibuka dalam masa terdekat.

"Sasaran kita selepas ini ialah setiap negeri ada cawangan T'Cafe Mr. Burger, bagaimanapun sebelum memastikan impian itu tercapai, kita akan membuat beberapa penambahbaikan termasuk memperkemaskan kualiti perkhidmatan serta mutu produk," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian outlet ketiga T'Cafe Mr. Burger di TTC yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan T'Cafe Mr. Burger, Mohd. Wahyu Affandy Zainudin. Dalam pada itu, Azmi yakin kedai ketiga T'Cafe Mr. Burger di TTC mampu memberi pulangan jualan sehingga RM3,000 sehari dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Beliau berkata, keyakinan itu berasaskan lokasi TTC yang sentiasa menjadi tumpuan ramai khususnya setiap hujung minggu dan musim cuti sekolah.

 "Ketika ini, purata jumlah jualan di dua lagi kedai iaitu di Chendering serta di Paka, Dungun ialah di antara RM1,000 hingga RM1,500 sehari.

 "Bagaimanapun, dengan lokasi strategik serta permintaan terhadap produk T'Cafe Mr. Burger seperti burger, roti john, murtabak raja, lasagna serta nasi ayam golek yang semakin meningkat, kita yakin sasaran jualan di TTC tidak mustahil untuk dicapai," katanya.

 

Faktor kecuaian punca kebakaran-Bomba

Oleh; Esah Abdullah

Orang ramai diingat tidak mengambil mudah mengenai kebocoran elektrik serta pendawaian yang telah usang yang terdapat di rumah kediaman atau di premis kerana ia mengundang bahaya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Md Salleh Sarbini berkata, masyarakat perlu mengambl berat terhadap perkara berkenaan yang boleh mencetuskan kebakaran serta kehilangan harta benda.

“Kejadian kebakaran rumah sentiasa meningkat dari tahun ke tahun dan faktor kecuaian menjadi penyebab utama insiden berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini pihaknya merekodkan kerugian akibat kebakaran, menyelamat dan tugas khas berjumlah RM47.2 juta.

Dalam tempoh yang sama juga pihaknya berjaya menyelamatkan harta benda berjumlah RM95.6 juta melalui kecekapan anggota dan pegawai bomba serta kerjasama orang ramai.

Tambahnya, anggota bomba sentiasa bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan tetapi dalam masa yang sama memerlukan keperihatinan masyarakat untuk membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini bermula Januari hingga April merupakan waktu paling banyak berlaku kebakaran.

“Pada April tahun ini pihaknya merekodkan tafsiran kerugian paling tinggi iaitu RM43.1 juta serta menerima 219 panggilan kecemasan diikuti Mac RM1.6 juta, Februari RM999,300 dan Januari RM1.3 juta,” katanya.

25 May 2013

Bersyukur Barisan Nasional (BN) berkuasa semula


Idris beramah mesra dengan orang ramai

Oleh: Mohammad Ishak 

Rakyat Terengganu bersyukur kerana Narisan Nasional (BN) dapat berkuasa semula diu negeri ini selain mengekalkan pemerintahan di peringkat pusat.

Menteri Pendidikan II,Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, walaupun menghadapi tugas palinggentir pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13), BN masih diberi kepercayaan oleh rakyat untuk terus mentadbir negara dan negeri ini.

Katanya, petugas BN terpaksa bekerja keras kerana pembangkang menggunakan pelbagai cara tidak sihat untuk memenangi PRU13 tetapi kita masih diberi mandat oleh rakyat.

“Pelbagai tuduhan dilemparkan pembangkang termasuk apa yang didakwa petugas SPR di Besut dikurung,” katanya pada majlis meraikan kejayaan BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM), Gong Nering di Kampung Gong Gucil, di sini.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, berikutan keputusan PRU13 baru-baru ini BN perlu membuat analisa lebih terperinci bagi mengenal pasti punca kekalahan di beberapa kawasan bagi mempastikan kawasan terbabit akan diambil semula pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, walaupun banyak fakor sudah dikenalpasti penyebab kekalahan calon BN tetapi kajian secara profesional perlu dilakukan supaya tindakan sewajarnya dapat dilakukan untuk masa depan BN.

Idris berkata, BN sebenarnya masih mempunyai kekuatan dan pembangkang bukannya kuat tetapi strategi menghadapi pihak lawan perlu dilakukan secara bijak dan professional terutama untuk menarik minat pengundi muda.

24 May 2013

Teruskan aktiviti kebudayaan Payang Walk-PPNT

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri digesa meneruskan aktiviti persembahan kebudayaan sempena program Payang Walk yang akan bermula semula pada Khamis depan.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) Wan Supian Dato’ Wan Ishak berkata, persembahan kebudayaan itu merupakan satu daya tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke Payang Walk di samping dapat memperkenalkan kebudayaan tempatan.

“Persembahan kebudayaan seperti wayang kulit, rodat, tarian saba, silat adalah antara persembahan kebudayaan yang masih ada untuk diketengahkan kepada pelancong dan kepada generasi baru,” katanya.

Menurutnya, persembahan kebudayaan di Payang Walk diadakan setiap Sabtu dan Ahad itu mula diperkenalkan pada Oktober tahun lalu, tetapi telah dihentikan pada Disember kerana masaalah cuaca.

``Bagaimanapun PPNT berharap acara persembahan kebudayaan itu dapat diadakan sempena program itu berlangsung bagi mempamerkan kehebatan kebudayaan negeri.

``Kita banyak diberi pendedahan mengenai kebudayaan negeri, tetapi tidak ada pertunjukan khusus atau secara berjadual kebudayaan tersebut untuk ditonton oleh orang ramai dan pelancong,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pesatuan Pelancongan Negeri Terengganu kali ke 24 di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Kuala Terengganu semalam.

 PPNT akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Mohd Jidin Shafee dalam waktu yang terdekat.untuk berbincang mengenai perkara itu.

Katanya, sebagai sebuah persatuan, PPNT tidak mempunyai peruntukan untuk membiayai persembahan kebudayaan yang memerlukan peruntukan kira-kira RM30,000 sebulan bagi persembahan yang diadakan dua kali seminggu.

Oleh itu, katanya peruntukan daripada kerajaan negeri amat diperlukan untuk membiayai persembahan kebudayaan yang sekaligus merancakkan lagi aktiviti Tahun Melawat Terengganu.

Bagaimanapun beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi peluang kepada PPNT untuk mengendalikan Payang Walk.

Menurutnya, Payang Walk  sebelum ini yang dibuka pada Jumaat, Sabtu dan Ahad akan dipinda kepada Khamis, Jumaat dan Sabtu.
 

TDM perluas saiz ladang dua kali ganda

Oleh: Noraini Jusoh

Sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan syarikat, TDM Berhad (TDM atau Kumpulan) merancang untuk memperluaskan dua kali ganda saiz ladang menjelang 2018.

Pengerusinya, Datuk Haji Roslan Awang Chik berkata, dalam sektor perladangan kelapa sawit, Kumpulan TDM mensasarkan untuk mencapai sebanyak 70,000 hektar tanah ladang di Terengganu, Malaysia dan Kalimantan, Indonesia dapat ditanam menjelang tahun 2018 berbanding 40,518 hektar ketika ini.

"Memandangkan kesemua tanah ladang kepunyaan TDM di Terengganu telah ditanam, Kalimantan telah dikenal pasti sebagai kawasan pertumbuhan seterusnya bagi memacu perniagaan perladangan Kumpulan TDM pada masa hadapan.

"Setiap tahun TDM merancang untuk menanam sekurang-kurangnya 5000 hektar pokok kelapa sawit baru di ladang Kalimantan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-48 TDM, di Primula Beach Hotel, semalam.

"Tahun ini, TDM dijangka dapat mengeluarkan hasil tuaian pertama daripada ladang seluas 400 hektar di Kalimantan yang mula ditanam pada tahun 2009,” katanya.

Tambah beliau, daripada keseluruhan 40,518 hektar tanah ladang yang diusahakan Kumpulan TDM di Terengganu, Malaysia dan Kalimantan, 75 peratus daripada pokok kelapa sawit yang telah ditanam adalah dalam lingkungan usia matang dengan purata usia 16 hingga 20 tahun,” ujarnya.

Katanya, bagi memastikan pengeluaran yang konsisten dan mampu bertahan, kumpulan TDM telah menetapkan polisi penanaman semula sebanyak lima peratus bagi kesemua ladang di Terengganu.

 

23 May 2013

Sepuluh Pegawai Tadbir bertukar

Oleh; Esah Abdullah 

Sepuluh orang Pegawai Tadbir negeri terbabit dengan arahan pertukaran yang akan berkuatkuasa mulai 1 Jun depan.

Menurut surat arahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan serta ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah, tiga orang pegawai akan mengisi kekosongan manakala selebihnya tukar ganti.

Timbalan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Haji Mohd Yasim Awang, 56, akan mengisi kekosongan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) dan tempat beliau akan diganti oleh Encik Mohd Shukri Azam, 53, yang sebelumnya sebagai Pengarah Bajet Perbendaharaan negeri.

Manakala Pengarah Unit Pengurusan Maklumat negeri , Haji Shahidan Embok, 51, akan bertukar ke Kemaman sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah Kemaman dan tempat beliau akan diisi oleh Encik Ahmad Azmi Md Salleh, 54, yang sebelumnya sebagai Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan negeri.

Encik Osman A. Bakar, 54, pula dari Ketua Penolong Pegawai Daerah Kemaman akan memegang jawatan sebagai Pengarah Bajet Perbendaharaan negeri dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun, Encik Mohd Razif Abdul Majid, 53, menjadi Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan) Unit Perhubungan dan Komunikasi negeri.

Ketua Penolong Setiausaha (Pembangunan Harta) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Encik Idham Mustafa, 38, menjawat jawatan  sebagai Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan negeri manakala Penyelaras Program Intan Wilayah Timur, Cik Nur Kamilah Hamzah, 32, mengisi kekosongan Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Dasar dan Pembangunan ) Kerajaan Tempatan.

Selain itu Penolong Kanan Pentadbir Tanah (Pendaftaran) Kemaman, Puan Nor Sophia Azura Mohd Husin, 31, bertukar ke Intan Wilayah Timur sebagai Penyelaras Program dan Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama (Pentadbiran dan Kewangan), Encik Hilman Hajijan, 32, mengisi kekosongan sebagai Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Setiu.

 

LMNT rangka program sempena cuti sekolah

Oleh: Suriati Ali

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah merangka beberapa program untuk menarik minat orang ramai mengunjungi muzium itu sepanjang musim cuti sekolah, antara 26 Mei dan 6 Jun ini.

 Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata salah satu daripada program itu ialah rampai budaya iaitu satu aktiviti khusus untuk menghidupkan suasana di muzium.

 Katanya rampai budaya merupakan satu rangkuman aktiviti demontrasi, permainan, kuiz, persembahan kebudayaan yang diadakan serentak bertempat di perkarangan muzium.

“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bertujuan sebagai penyaluran maklumat dan pengetahuan berhubung dengan aspek sejarah dan budaya tempatan.

 "Program ini bertujuan menjadikan muzium Terengganu satu destinasi 'wajib dikunjungi' pada musim cuti persekolahan," katanya.

 Mohd Saberi berkata antara aktiviti teras kepada rampai budaya ini adalah persembahan kebudayaan, demostrasi awetan manuskrip, awetan mamalia dan permainan tradisional.

 Katanya program rampai budaya edisi kedua ini dijangka akan berjaya menarik lebih ramai pengunjung bebanding edisi pertama yang telah dijalankan pada cuti awal penggal pada Mac lalu.

 Mohd Saberi berkata pada edisi pertama rampai budaya telah berjaya menarik hampir 4,000 pengunjung dan untuk program kali ini, pengunjung dijangka meningkat 100 peratus. 

Beliau berharap kepada para ibu-bapa dan pelajar-pelajar sekolah tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan rampai budaya ini.

 

Exco baru sedia `blueprint' sehingga tahun 2020

Oleh: Aida Abd Rahman

Mesyuarat pertama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu semalam, memperhalusi bidang tugas semua portfolio supaya setiap Exco yang baru dilantik itu dapat menyediakan pelan perancangan terperinci dan hala tuju mereka sehingga tempoh tujuh tahun menjelang 2020, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Tidak banyak kertas (perkara) yang diusulkan pada mesyuarat pertama ini, melainkan paling utama kita memperkenal portfolio serta amanah kepada mereka supaya dapat menyediakan `blueprint’ masing-masing, sehingga 2020,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan pertama Exco kerajaan negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Menteri Besar juga mengingatkan semua Exco bukan hanya tertakluk dan mengutamakan amanah sebagai Exco sahaja, sebaliknya turut menjaga kawasan selaku wakil rakyat serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Apa yang penting perkhidmatan mereka sebagai Exco perlu diselaraskan dengan menjaga kawasan.Kita tak nak mereka menjadi Exco sahaja, sehingga kawasan ditinggalkan, jadi itu perlu kita berikan penekanan,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata kerajaan negeri masih dalam proses menyiapkan rombakan kecil portfolio Exco sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bagi mendapat perkenan baginda dalam masa terdekat.

Rombakan itu seiring dengan penubuhan kementerian serta Kabinet yang baru ditubuhkan Kerajaan Pusat.

Sebelum ini, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata rombakan itu mungkin akan dilakukan segera bagi menampung pelbagai peranan dan tugas terhadap rakyat yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar ia seimbang dengan tanggungjawab di peringkat Pusat.


 

AIM komited bantu sahabat jadi usahawan

Oleh: Noraini Jusoh

Setelah 25 tahun beroperasi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), secara kumulatifnya telah mengeluarkan pinjaman hampir RM9 bilion.

Pengarah Urusan AIM, Datuk Hajah Zabidah Ismail berkata, berbekalkan modal RM1 bilion AIM telah berjaya membuat pusingan modal sebanyak sembilan kali.

"Sebagai menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat, kita menyasarkan dapat melahirkan 30 peratus usahawan mikro berjaya dari kalangan sahabat AIM menjelang 2015.

"Bagi mencapai sasaran berkenaan, tahun ini sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi membiayai pinjaman kepada sahabat AIM dan setakat ini hampir RM400 juta dari jumlah itu telah dikeluarkan sebagai bantuan modal kepada mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keusahawanan dan Kepenggunaan Halal Negeri Terengganu 2013, di Quinara Al-Safir Resort, Terengganu, semalam.

Katanya, hasrat AIM adalah untuk membimbing sahabat yang kebiasaannya terdiri daripada fakir miskin dan miskin tegar menjadi usahawan.

"Dari kajian impak yang dilakukan, kita dapati mereka yang meminjam tiga atau empat kali baru boleh keluar dari garis kemiskinan.

"Kita akui, untuk mencapai tahap usahawan memakan masa kerana kebiasaannya lebih daripada 10 tahun di mana usahawan yang dimaksudkan ialah mereka yang mendapat pendapatan RM3500 sebulan secara konsisten.,” ujarnya.

Katanya, untuk yang pertama kali meminjam kita keluarkan maksimum RM3000 dan setakat ini maksimum yang boleh kita beri ialah RM50,000.

"Ia mengikut kemampuan mereka membayar balik, projek yang dilaksanakan atau mengikut daya tahan projek,” jelasnya.

Mengulas mengenai pembayaran balik katanya, berdasarkan rekod kadar bayar balik tidak ada masalah kerana 99.4 peratus pembiayaan dilunaskan peminjam.

"Daripada 123 cawangan yang ada di seluruh Malaysia, lebih 80 cawangan menunjukkan kadar bayar balik 100 peratus dan risiko mereka yang tidak mampu untuk bayar balik pinjaman itu amat rendah.

"Kini, sahabat AIM yang 90 peratusnya wanita dari seluruh Malaysia mencecah 340 ribu dan 28 ribu daripadanya dari negeri ini di mana lebih 60 peratus terlibat dengan peruncitan, ternakan, perikanan serta perladangan.