Halaman

14 June 2013

Terengganu bakal pertahan kejuaraan SUKMA

Terengganu sudah siap siaga untuk mempertahankan kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) buat tahun kelima berturut-turut, apabila kejohanan tersebut berlangsung di Kuala Lumpur, akhir bulan ini.

Buat masa ini atlet tempatan telah menjalani latihan dan membuat persiapan rapi agar negeri ini dinobatkan sebagai juara Sukma edisi ke-16.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat, berkata pihaknya tekad untuk menjuarai Sukma kali ini walaupun banyak acara sukan yang memberi kelebihan kepada skuad Terengganu untuk memperolehi pingat emas seperti lumba basikal dan kenu tidak dipertandingkan.

Katanya, di sebalik tidak mempunyai banyak acara pilihan, atlet Terengganu akan berusaha gigih untuk mendapatkan seberapa banyak pingat emas bagi membolehkan negeri ini muncul juara Sukma tahun ini.

“Saya akan mengumumkan sasaran kita untuk mendapatkan pingat emas pada kejohanan ini dalam satu majlis khas bagi meraikan para atlet sebelum mereka berangkat ke Kuala Lumpur, tidak lama lagi,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri masih belum memutuskan jumlah imbuhan kepada atlet yang meraih pingat pada kejohanan tersebut.

Pada tahun lepas setiap atlet yang memenangi emas diberi imbuhan RM5,000 sebagai insentif kemenangan mereka.

“Seperti tahun sebelum ini, kita memang akan beri ganjaran kepada atlet yang berjaya sebagai penghargaan kepada mereka yang menaikkan nama negeri ini di bidang sukan,” katanya.


13 June 2013

Yang Dipertua Serikandi lawat mangsa dera

Oleh: Suriati Ali 

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), To’ Puan Hajah Norliza Mahmud kesal dengan kes penderaan kanak-kanak berusia dua tahun dari Taman Permint Permai, Bukit Chendering, Kuala Terengganu yang dipercayai didera teman lelaki ibunya, Isnin lalu.



 Mangsa, Atiyea Jazeera Abdullah yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), akibat kecederaan pada kaki kanan disebabkan terkena objek panas kini dilaporkan stabil.

 Anak ketiga daripada empat beradik itu kelihatan ceria dan petah menjawab beberapa soalan ketika diaju isteri Menteri Besar bersama rombongan itu.

To’ Puan Hajah Norliza yang melawat mangsa petang ini, berkata manusia normal tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu, apatah lagi ia melibatkan kanak-kanak yang memerlukan belaian manja keluarga. “Kita boleh menilai mana yang baik atau buruk, sebelum melakukan sesuatu tindakan.

 “Saya hairan mengapa ibu kanak-kanak itu lebih menyayangi teman lelaki berbanding anak sendiri,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah, petang ini.

 Katanya, dia berharap mana-mana wanita yang bergelar ibu, terutama mereka yang ditinggalkan suami supaya mengutamakan anak-anak dengan emmberi sepenuh kasih-sayang dan perhatian yang sempurna. “Jangan mudah percaya mana-mana pihak atau lelaki yang ingin mengambil kesempatan terhadap diri dan anak kita, bagi mengelak kes seumpama ini berlaku,” katanya.

 Terdahulu, akhbar hari ini melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai menjadi mangsa dera rakan lelaki ibunya di Bukit Chendering dekat sini, dua hari lepas

. Bertindak atas aduan orang awam menerusi Talian Nur, budak perempuan berusia dua tahun tujuh bulan itu ditemui dalam keadaan sebelah kakinya berwarna kehitam-hitaman dan berbau busuk dipercayai akibat terkena objek panas lebih seminggu lalu

. Kanak-kanak itu memberitahu pegawai JKM dan anggota polis yang datang ke rumahnya bahawa kecederaan itu dilakukan seorang lelaki yang juga rakan ibunya.

 Dia juga mengadu cedera di beberapa bahagian anggota badan yang lain namun ibunya yang berusia 30-an tidak membawanya ke hospital sebaliknya hanya membalut luka di kaki itu dengan sehelai kain.

 

Berganding bahu pastikan warisan hijau negara dikekalkan

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri 2013 diharap menjadi pemangkin dan inspirasi kepada seluruh masyarakat yang cintakan kehijauan hutan untuk berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan warisan hijau negara ini dapat dikekal dan dinikmati secara berterusan, kata Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Terengganu (JPNT), Haji Azmi Nordin.

"Bertemakan ‘Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat’ pemilihan kampung yang terkenal dengan keindahan pantai dan dipenuhi pokok Ketapang serta Rhu Pantai itu sememangnya amat bersesuaian dengan sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada setiap tahun.

“Saya berharap kita semua berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan kepentingan hutan ini seiring dengan kemajuan yang dikecapi kini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu 2013 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau & Air, Dato’ Haji Razif Abdul Rahman di Kampung Teluk Ketapang, hari ini.

Haji Azmi berkata, pemilihan pokok Ketapang atau nama saintifiknya Terminalia Catappa untuk ditanam di pesisir pantai kampung ini amat sesuai kerana tumbuhan ini tahan lasak dan mampu tumbuh di pelbagai kawasan samada tanah berpasir, tanah pantai , tanah gambut atau tanah bermasalah.

“Sementara Rhu Pantai pula hanya dapat tumbuh dengan baik di kawasan pantai berpasir,” ujarnya.

Katanya, penanaman pokok-pokok ini amat penting kerana secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya pokok dan hutan kepada manusia.

 

Wanita pengguna paling aktif - Isteri MB


Oleh; Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

Semua masyarakat terutama wanita diminta sentiasa peka dengan keadaan sekeliling kerana mereka merupakan golongan pengguna paling aktif serta memain peranan utama dalam sektor ekonomi.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, peranan wanita sebagai pengurus di rumah memberi ruang yang besar dalam membuat pilihan untuk membuat penyediakan keperluan asas kepada keluarga dan rumahtangga.

“Wanita perlu membuat pertimbangan yang bijak untuk memilih diantara keperluan, kehendak, kemampuan dan keseimbangan nutrisi untuk keluarga,” katanya ketika berucap di majlis penutup Seminar Kepenggunaan Puspanita bersama PPDNKK Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita)Terengganu, To’ Puan hajah Rohani Abdullah; Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, Encik Samsul Badrin Mohsin dan Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Puan Reihana Abd Razak.

Katanya, sebagai pengguna wanita perlu tahu hak untuk mendapat keperluan asas, mendapat gantirugi, mendapat pendidikan pengguna serta hak mendapat perlindungan keselamatan.

“Wanita dan juga ibu merupakan tulang belakang sesebuah keluarga justeru perlulah berusaha untuk menambah ilmu dengan sentiasa mengikuti seminar seperti hari ini yang boleh menambah pengetahuan serta menjadi pengguna yang bijak,” katanya.

Beliau yang juga Penaung Puspanita Terengganu kemudiannya berharap aktiviti sebegini dapat disertai lebih ramai isteri dan suri rumah kepada anggota lelaki jabatan-jabatan dan juga daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

 

Peruntukan RM33.1j laksana sembilan projek utama pembangunan hutan Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM33.1 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) bagi mengurus dan melaksanakan sembilan projek utama pembangunan hutan di seluruh Terengganu, pada tahun ini.



Kesemua projek berkenaan melibatkan pengurusan sumber hutan, pembangunan sumber hutan, hutan lipur dan ekopelancongan, infrastruktur dan utiliti, pemuliharaan sumber, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) publisiti dan pengembangan perhutanan, kuantiti biji benih dan bekalan tanaman serta operasi dan penguatkuasaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri tidak hanya mementingkan pembangunan ekonomi semata-mata dari kawasan hutan seluruh Terengganu.

“Kerajaan negeri turut memberi penekanan dan tumpuan kepada pengurusan hutan secara berkekalan supaya khazanah hutan negeri sentiasa terpelihara.

 “Bagi memastikan usaha pembangunan dan pemuliharaan hutan menerusi amalan silvikultur yang berkesan dan sempurna, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan RM33.1 juta pada 2013 dan mungkin tahun depan kita akan meminta peruntukan khusus untuk pemuliharaan dan pemeliharaan di kawasan pantai sahaja,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu 2013, di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung malaysia, Dato' Prof Dr Abd Rahman Abd Karim; Pengarah JPNT, Haji Azmi Nordin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu, Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid.

Dato' Ahmad Razif kemudiannya bersama tetamu kenamaan dan peserta menanam anak pokok ketapang dan rhu pantai sebagai simbolik kepada kepentingan menjaga alam sekitar oleh semua pihak di kawasan pesisir pantai.

“Pantai Teluk Ketapang dipilih sebagai perintis program ini pada kali ini dan selepas ini akan diteruskan ke semua pesisir pantai kerana kita mahu melindungi berikutan usaha pemuliharaan lebih baik berbanding membaikpulih yang memerlukan kos amat tinggi selain mengakibatkan pembaziran kepada ekonomi negara.

“Oleh sebab itu, tindakan JPNT pada hari ini amat bijak. Malah, di Terengganu sendiri, kita masih lagi memiliki Hutan Simpan Kekal seluas 42 peratus atau 0.5444 juta hektar daripada keseluruhan keluasan negeri yang harus dilindungi oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi JPNT memberi penekanan supaya segala sumber khazanah perhutanan digunakan sebaiknya bagi menjamin keberkekalan sumber hutan yang kaya dengan sumber semula jadi serta kepelbagaian biologi.

Menurutnya, hutan merupakan penyumbang yang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, selain menyumbang faedah lain yang tidak ternilai seperti pemeliharaan tanah-tanih, kestabilan iklim, pemeliharaan kepelbagaian biologi dan mewujudkan kawasan rekreasi serta punca sumber air bersih.





Kerusi roda elektrik untuk Nur Fatihah

Adik Nur Fatihah mencuba kerusi roda baru
yang lebih canggih menggunakan motor
elektrik yang disumbangkan oleh
kerajaan negeri.
Oleh; Esah Abdullah 
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Pemberian sebuah kerusi roda elektrik daripada kerajaan negeri sudah cukup untuk merubah kehidupan
seorang kanak-kanak pengidap penyakit sendi lembik adik Nur Fatihah Abdul Karim, 12, dari Kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu.

 Adik Nur Fatihah yang ditemani bapanya Abdul Karim Abdullah, 40, menerima kerusi roda yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Wisma Darul Iman semalam.

“Kerajaan peruntukkan RM10 juta di bawah Tabung Penyakit Kronik serta membelanjakan RM2.5 juta setahun untuk pelbagai bantuan perubatan seperti lampin pakai buang, susu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kerusi berkenaan.

Pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Bukit Payong itu merupakan anak sulung daripada empat beradik mengidap penyakit itu sejak dilahirkan bergantung sepenuhnya kepada ibunya Puan Mahani Mat Lela, 34, untuk mengurus diri termasuk mandi, pakai baju, suap makanan dan sebagainya.

Namun dia seorang murid yang pintar dan mendapat 4A 1B dalam peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini serta bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar yang sangat perihatin terhadap anak sulungnya itu dan pemberian ini dapat meringan beban saya serta Nur Fatihah lebih selesa untuk bergerak,” kata Abdul Karim yang bekerja sebagai penjual ikan.

Katanya, bantuan bulan RM300 yang diterima dari jabatan Kebajikan Masyarakat juga banyak membantu meringankan beban keluarga kerana Nur Fatihah turut memakai lampin pakai buang sehingga sekarang.

Beliau berkata, biar pun anak sulungnya itu tidak dapat bengkokkan kedua tangan dan kakinya namun dia masih mampu menulis menggunakan hujung jari tangan serta menaip papan kekunci e-Book menggunakan jari kaki.

 

Pulau Bidong jadi pulau warisan negeri

Kerajaan negeri bercadang menjadikan Pulau Bidong, yang kaya dengan peninggalan sejarah selain keindahan alam semulajadi dan terumbu karang, sebagai pulau warisan negeri, sekali gus menjadi tarikan pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafie berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat untuk mengkomersilkan pulau itu yang pernah menjadi tempat pelindungan pelarian Vietnam.

Bagi merealisasikan impian itu, beberapa infrastruktur akan ditambah selain kerja-kerja pembersihan selain memelihara khazanah yang terdapat di pulau itu, katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan ke pulau-pulau di kawasan Pulau Bidong baru-baru ini.

“Kita akan menjadikannya sebagai pulau pusat rekreasi sejarah selain membolehkan penggiat sejarah meneruskan kajian mereka terhadap peninggalan masyarakat terdahulu,” katanya.

Datuk Mohd Jidin berkata walaupun pulau berkenaan dibuka untuk kunjungan pelancong namun pihaknya akan memastikan ia dilakukan secara terkawal bagi memastikan warisan peninggalan sejarah terus terpelihara.

Katanya pulau seluas 203 hektar itu mempuyai nilai sejarah yang tinggi dan kerajaan negeri akan melakukan beberapa program pemuliharaan untuk mengekalkan keindahan alam semulajadi di pulau itu.

Selain itu, katanya beberapa kemudahan juga akan ditambah di pulau-pulau untuk nelayan kecil berlindung daripada ombak besar, angin kencang dan ribut.


Kejohanan futsal tiga negara esok

Allecel Trading Sdn Bhd (Red Bull Malaysian) dengan kerjasma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kerajaan Terengganu akan menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Red Bull di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, selama dua mulai esok (Jumaat).

Tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei akan menyertai pertandingan tersebut di mana Terengganu buat julung kali dipilih sebagai tuan rumah pertandingan tersebut.

Majlis perasmian dan jamuan makan malam bagi pertandngan itu akan diadakan di Puncak Gamelan, Hotel Prlimula, jam 8 malam ini dan dijangka dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dijadualkan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan tersebut di Stadium Negeri.

 

Pelbagai aktiviti sempena Karnival Jualan PMINT 2013

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 30,000 pengunjung dijangka hadir pada Karnival Jualan yang diadakan sempena Larian Perdana PMINT 2013 di Dataran Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu.


Karnival yang akan berlangsung selama empat hari dan berakhir 29 Jun itu dianjurkan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan bertujuan memberi maklumat dan memperkenalkan produk PMINT kepada pelanggan.

 Urusetia program memerangkap Pengurus Bahagian Pentadbiran & Sumber Manusia PMINT, Haji Wan Adnan Wan Deraman berkata aktiviti dijangka mendapat sambutan orang ramai, Larian Perdana PMINT yang akan diadakan pada hari akhir karnival iaitu 29 Jun depan .

“Apa yang menariknya sebanyak 180 hadiah dan 150 cabutan bertuah bakal diperoleh dengan jumlah keseluruhan RM40,000.

 “Aktiviti lai, termasuk pemeriksaan kesihatan, persembahan tarian tradisional, senamrobik, pertunjukan taekwando, motosikal besar dan silat gayung,” katanya.

 Katanya, karnival tersebut akan menembatkan 20 unit kanopi untuk usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berminat mengadakan jualan dan promosi dalam tempoh berkenaan.

 “PMINT turut membuka ruang pameran untuk mempromosi pembangunan hartanah PMINT kepada orang ramai,” katanya.

 

12 June 2013

Bengkel ibu bapa dengan anak selama sejam dedah aktiviti rangsang minda

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memperkenalkan bengkel aktiviti bersama ibu bapa bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman penjaga mengenai kaedah terbaik merangsang minda kanak-kanak menerusi kaedah bermain.

Penolong Pengarah Taska I, Encik Wan Zulfazlee Wan Mustaffa, berkata bengkel yang bertujuan mengaplikasikan aktiviti di bengkel selama sejam di antara ibu bapa dengan anak-anak yang berusia empat tahun ke bawah yang ditempatkan di taska YPKT, mula dilaksanakan sejak tahun lalu.

“Sehingga kini, dari keseluruhan 65 taska YPKT seluruh Terengganu, hampir sebahagian sudah selesai melaksanakan aktiviti itu menerusi bantuan dan pemantauan pengurus serta guru terlatih taska masing-masing. Insya-Allah kita akan menyelesaikan aktiviti berkenaan di semua taska pada bulan depan sebelum Ramadan.

“Alhamdulillah, sambutan dan penyertaan ibu bapa amat baik dan membuktikan mereka memberi komitmen padu terhadap usaha taska yang mahu memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan awal yang betul dan minda berkembang dengan baik sebelum melangkah ke prasekolah,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Encik Wan Zulfazlee berkata, berdasarkan sambutan baik ibu bapa yang sanggup meluangkan masa berikutan ada di kalangan taska melaksanakan aktiviti itu di waktu pejabat, pihaknya berhasrat untuk meneruskan program itu di masa depan.

Selain itu, aktiviti ini amat penting dalam usaha menyerapkan kaedah yang betul kepada ibu bapa untuk mempraktikkan cara yang sama sambil meluang masa yang berkualiti dengan anak-anak di rumah.

“Peralatan dan bahan digunakan amat ringkas, selain hanya menggunakan apa yang ada di sekeliling termasuk bahan terbuang seperti kapas, potongan kertas warna, habuk pensil, hampas kelapa, cat air, gabus dan span.

 “Konsep bermain sambil belajar yang diterapkan dalam aktiviti taska ini membolehkan kanak-kanak meneroka pengalaman baru mengikut kebolehan, minat dan kesediaan fizikal dan juga mental mereka,” katanya.

Menurutnya, sebelum bengkel bermula, ibu bapa akan diberi penerangan oleh pengurus dengan dibantu guru, selain ibu bapa berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pihak pengurusan taska berkaitan anak dan juga aktiviti di pusat asuhan itu.