Halaman

28 August 2013

Rakyat perlu bersyukur atas nikmat kemerdekaan

Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Tengku Putera
Hanya beberapa hari lagi, sekali lagi sejarah ulung negara bakal dicipta, ulangtahun kemerdekaan ke-56 bakal disambut pada kali ini, kemerdekaan yang memberikan pelbagai kenangan dan harapan kepada kita semua.

 Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke 56, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, oleh itu, marilah kita bersama-sama bersyukur di atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi ini dengan penuh rasa keinsafan.

 Katanya, sewajarnyalah kita memperkuatkan iltizam kita untuk menjadi warga yang menyumbang kepada kebaikan demi martabat agama, kemajuan bangsa dan kemakmuran negara.


 “Sebagai warga yang mewarisi kemerdekaan negara, kita semua hendaklah sentiasa tersemat di hati masing-masing akan tanggungjawab kita yang perlu diutamakan, iaitu untuk memastikan minda yang merdeka benar-benar tercapai.

“ Minda yang jahil, dangkal dan cetek sejarah bangsanya akan mudah goyah,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan pada satu majlis baru-baru ini.

. Katanya, dengan pemikiran yang jumud dan rapuh, pintu penjajahan akan kembali terbuka akibat kealpaan kita tentang sejarah negara bangsa.

“Slogan-slogan kemerdekaan yang dilaungkan saban tahun menjelang kemerdekaan hanyalah retorik, jika kita sendiri yang tidak mahu menghayati sejarah ketamadunan bangsa di bumi berdaulat ini.

 “Apakah kerana kemakmuran yang dikecapi negara hari ini menyebabkan ada yang merindui zaman kezaliman komunis berulang kembali, nikmat kemerdekaan ini perlu dimanfaat untuk menjadikan setiap detik adalah masa yang berkualiti,” katanya.

 Menurutnya, seharusnya perlu merasa bangga dan bertuah kerana berpeluang untuk turut sama menyambut hari kemerdekaan negara ke-56. Semangat kemerdekaan perlu ditanam disetiap jiwa rakyat Malaysia 

“Pihak kami berharap semua lapisan masyarakat dapat menyemarakkan lagi sambutan dan pertingkatkan rasa cinta terhadap negara, melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat pembangunan serta keamanan yang dikecapi kini,” katanya.

 

CINTA RAKYAT DI HATINYA

BAHAGIAN KEDUA: SEMPENA 100 HARI DATO' SERI HAJI AHMAD SAID SEBAGAI MENTERI BESAR BAGI PENGGAL KEDUA.

Oleh: Pegarang Teganukita.

 “Negara kita negara demokrasi, setiap lima tahun kita diberi mandat oleh rakyat. Ingatlah jika rakyat benci kita, umur kita dalam politik tidak panjanglah jawabnya”.
  Itulah yang selalu ditegaskan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
Beliau dilantik semula bagi penggal kedua menerajui Terengganu setelah Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke 13.
 Sewaktu mula-mula dilantik sebagai Menteri Besar kira-kira lima tahun yang lalu, Dato’ Seri Ahmad pernah menyatakan: “Jawatan ini adalah satu anugerah Tuhan. Saya tidak menjangkakan.
 Saya terima sebagai satu amanah dan satu anugerah Illahi kepada saya. Apa yang perlu saya lakuka adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat”. “Ini berlaku bukan dengan kehendak saya, tetapi ini adalah ketentuan dari Illahi.
 Kita perlu menerima hakikat ini, “Kun Fayakun” kalau hendak jadi, jadilah, inilah sebenarnya”
  Apa yang disebutkan oleh Dato’ Seri Ahmad selaras dengan sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya penciptaan Isa di sisi Allah adalah seperti penciptaan Adam, Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya “Jadilah” maka jadilah dia”. (Al Baqarah 117).
  Ini bermakna dalam apa jua perkara, percaya kepada ketentuan Allah amat penting supaya kita dapat mengelak diri dari sebarang bentuk spekulasi, khabar angin , desas-desus dan apatah lagi fitnah.
  Justeru pegagan kukuh Dato’ Seri Ahmad kepada prinsip rakyat berkuasa, maka lahirlah segala bentuk program yang dirancangkan dan diwujudkan adalah untuk rakyat, iaitu pemikirannya ialah biar rakyat mendapat faedah. Sebagai bekas pegawai tadbir negeri sebelum terjun ke dunia politik,
 Dato’ Seri Ahmad amat melihat kerajaan dari sudut perkhidmatan awam yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk politik dan rakyat. Beliau berkata, apa jua yang dilakukan oleh kakitangan awam (kakitangan kerajaan), akhirnya hendaklah dikembalikan kepada rakyat.
 Kita hendak merakyatkan perkhidmatan, kita hendak merakyatkan apa jua pembangunan. Bermakna bagi Dato’ Seri Ahmad, perkhidmatan kakitangan kerajaan bukan suatu yang ekslusif, melainkan atas dasar untuk perkhidmatan dan faedah rakyat. Berkali-kali dipesankan kepada kakitangan kerajaan. Bidang-bidang pendidikan, pelancongan, pertanian dan industry menjadi keutamaan bagi menjana ekonomi dan masa depan rakyat. Selain tidak pernah dilupa soal-soal kebajikan dan keperluan asas untuk rakyat seperti perumahan, pekerjaan, bantuan perubatan, pakaian sekolah dan sebagainya yang berlegar untuk mengatasi masalah kemiskinan. Beliau menyifatkan itu semua adalah tuntutan agama dan sesuatu yang baik dan berfaedah itu adalah dari ajaran Islam. “Saya anak orang miskin, pernah tidur dilantai kayu nibung, beratapkan nipah.
  Bila tiba bulan November atau Disember persekolahan, saya terpaksa makan ibu gadung untuk ke sekolah” demikian pengakuan telus dan suci Dato’ Seri Haji Ahmad seperti yang tercatat dalam buku berjudul “Ahmad Said, dari rakyat untuk rakyat” terbitan Fakulti Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu. Berdasarkan latar hidup pemimpin bernama Ahmad bin Said ini, sudah kita dapat jangkakan betapa kesedaran membela rakyat, menyentuhi denyut nadi rakyat dan darah rakyat mengalir dalam dirinya. Pemilihan beliau untuk penggal kedua bagi kali kedua menerajui negeri Terengganu, malah sebelum ini telah banyak berbakti kepada kerajaan dan rakyat sebelumnya sebagai pegawai tadbir dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sudah pasti dialu-alukan oleh rakyat Terengganu yang mahukan agenda merakyatkan diteruskan.
 “Kita perlu bersatu dalam melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat dan memastikan rakyat tahu akan sumbangan UMNO dan Barisan Nasional kepada rakyat keseluruhannya,” kata Menteri Besar yang juga Pengerusi Umno dan Barisan Terengganu.

Naik taraf jalan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan akan menaik taraf beberapa jalan di negeri ini bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya terutama kawasan yang kerap terjadi kemalangan maut khususnya pada musim perayaan lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Pengangkutan Awam, Transformasi Kerajaan dan Teknologi Maklumat negeri, YB Mohd Iskandar Jaafar berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan saranan orang ramai untuk menaik taraf beberapa jalan untuk keselesaan pengguna jalan raya.

“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat kerajaan negeri secepat mungkin supaya tindakan lanjut dapat diambil bagi mengelak berulangnya kemalangan maut,” katanya.

Katanya, antara jalan yang menjadi rungutan orang ramai adalah laluan utama Kampung Alur Serdang Bintang hingga ke persimpangan Felda Selasih dan Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu yang sering berlaku kemalangan maut kerana permukaan jalan tidak rata.

Menurutnya, ketiadaan lampu jalan juga menyebabkan kawasan berkenaan gelap pada waktu malam dan menyebabkan kekeliruan kepada pengguna jalan raya.

Kerajaan memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan segera untuk mengekang berlakunya kemalangan berterusan di kawasan berkenaan,” katanya.
 

SEMANGAT DAN PERJUANGAN KEMARDEKAAN DI TERENGGANU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bahagian pertama:

Sempena menyambut ulangtahun kemardekeaan negara ke 56, mari kita melihat sejenak gerakan kesedaran perjuangan kemerdekaan, khususnya di Terengganu.
 Kemasukan pengaruh Kesatuan Melayu Muda (KMM) ke Terengganu, sebuah organisasi yang menentang penjajahan sekitar tahun 1940 an tidak kurang pentingnya dalam membangkitkan semangat menentang penjajahan secara terurus.
 Sebelumnya sekitar tahun 1920an memang telah lama wujud kebangkitan menentang penjajahan di Terengganu, misalnya di era Abdul Rahman Limbong dan terdahulu darinya di zaman Terengaanu di bawah kesultanannya yang amat taat dengan pendaulatan Islam dalam pentadbiran dan pemerintahan.
 ( Abdul Rahman Limbong menentang penindasan dan dasar percukaian Inggeris di Terengganu yang amat menekan para petani).
  KMM di peringkat Pusat dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaacob, manakala di Terengganu sewaktu penubuhan awalnya sekitar 1940 an dipimpin oleh Wan Daud Ahmad dan Ibrahim Muhammad.
 Ia wujud sebelum kemasukan Jepun ke Tanah Melayu lagi, bermakna zaman penjajahan Inggeris peringkat pertama .
 Lain-lain tokoh KMM Terengganu ialah Muda Jalil, Ibrahim Sulaiman, Muda Kassim dan lain-lain. Kebanyakan mereka adalah orang yang terdidik dengan ilmu pengetahuan kerana mendapat pendidikan di Sekolah Sultan Sulaiman dan Sekolah Agama Sultan Zainan Abidin. Pusat pertemuan awal bagi penubuhan KMM Terengganu ialah di Grand Hotel Terengganu, satu-satunya hotel yang ada di Kuala Terengganu waktu itu.
  Malah ia bergerak sampai ke Besut, melahirkan tokoh-tokoh penentang penjajahan seperti Mohd Senari Yunus dan Ibrahim Ismail. KMM membawa kempen anti penjajahan, melalui tema Melayu Raya dipengaruhi oleh gerakan kebangsaan dan penentangan terhadap penjajah dari Indonesia.
 Walaupun, ia bersifat untuk memasukkan bersama Tanah Melayu ke dalam gerakan bersama Indonesia, tetapi sekurang-kurangnya ia menampakkan adanya kebangkitan yang hebat orang-orang Melayu membenci dan menentang penjajahan, suatu gerakan pemikiran baru dalam minda Melayu.
  Sehinggalah akhirnya pemimpin KMM ditangkap dan ditahan oleh Inggeris, namun perjuangan tetap mereka teruskan. Walaupun KMM kemudiannya dibubarkan, tetapi wujud pula Pembela Tanah Air (PETA) yang dipimpin oleh Ibrahim Muhammad dan Haji Muhammad Salleh Awang.
  Sewaktu pendudukan Jepun di Terengganu, ia adalah di bawah Sultan Sulaiman Badurl Alam Shah (bersambung)

MASJID SUNGAI TONG INDAH DAN BERSIH

Teks dan gambar oleh Aminudin Ismail.

Pemandangan indah Masjid Sungai Tong, Setiu. KEDUDUKANYA di tepi jalan utama Kuala Terengganu ke Kota Baharu menjadikan masjid Sungai Tong, Setiu sebagai tempat persinggahan penguna jalan raya itu samada untuk menunaikan solat atau berehat bersama keluarga.

 Masjid yang dibina kerajaan Barisan Nasional dan siap sepenuhnya Januari lalu itu, adalah sebuah masjid yang sesuai sebagai tempat beribadat dan berehat kerana lokasinya yang mudah dilihat kerana berada di tempat agak tinggi serta suasana masjid yang indah, bersih dan mendamaikan.

Terletak berhampiran Pekan Sungai Tong, masjid yang terletak di atas tanah berkeluasan kira-kira 0.5 hektar itu bukan sahaja menjadi tempat beribadah bagi penduduk setempat dan musafir tetapi dijadikan tempat beberapa aktiviti keagamaan bagi daerah Setiu antaranya musabaqah Al-Quran peringkat daerah Setiu.

Pembinaan masjid itu banyak memberi manfaat kepada penduduk setempat kerana ia boleh memuatkan lebih ramai jemaah berbanding masjid lama terutamanya bagi menampung jemaah yang menunaikan sembahyang jumaat dan sembahyang hari raya.

Bahagian dalaman masjid yang bersih dan indah
Keadaan dalaman dan luaran masjid yang bersih dan indah menjadikan kebanyakan penguna jalanraya Kuala Terengganu- Kota Bharu memilih masjid itu untuk berhenti solat atau beristirehat selepas penat memandu.

Iman masjid itu, Baharom Yassin berkata, terdapat seorang iman dan dua bilal bertugas di masjid itu manakala syarahan agama diadakan setiap empat kali seminggu oleh beliau ataupun penceramah jemputan.

“Selain itu, kita juga ada mengadakan beberapa program keagamaan untuk jemaah setempat serta kelas mengaji Quran,” katanya.

Semoga masjid yang indah dan besar yang dibina kerajaan itu akan dimanfaat sebaik mungkin oleh orang-ramai terutamanya untuk menunaikan solat berjemaah serta sebagai tempat untuk melakukan ibadat lain.

500 HADIR RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PPD SETIU

Teks dan gambar oleh Aminudin Ismail.

Kipayatul Allah (berdiri,tengah) sedang melayani tetamu yang hadir.
SETIU: Kira-kira 500 warga pendidik dan tetamu jemputan hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2013 Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu diadakan di perkarangan pejabat itu, Putera Jaya, di sini, semalam. 

Majlis yang bermula jam 10.30 dan berakhir jam 2 petang itu, turut dihadiri oleh wakil Pejabat Pelajaran seluruh Terengganu yang mengadakan mesyuarat pengurusan sekolah serta pegawai dari beberapa jabatan kerajaan daerah Setiu.

Jurucakap PPD Setiu berkata, kehadiran dua wakil rakyat (YB) iaitu Dato’ Sabri Mohd Nor, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh serta bekas Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Ariffin Embong, memeriahkan lagi suasana.

“Sambutan kali ini lebih bermakna kerana ia pertama kali ia diadakan di pejabat baru PPD Setiu yang terletak berhampiran dengan Kolej Universiti Bestari (UCB). Pejabat PPD Setiu baru itu dibuka akhir tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, antara juadah yang disediakan ialah nasi minyak, nasi ayam kampung, nasi dagang, ketupat, tapai dan pelbagai kuih muih.

Para tetamu di sambut oleh beberapa kakitangan PPD Setiu yang dIketuai oleh Pegawai Pelajaran Daerah Setiu, Kipayatul Allah Dato' Mohd Said.

 

27 August 2013

Pencapaian ahli akademik, penyelidik UMT mendapat pengiktirafan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pencapaian ahli akademik dan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menunjukkan kecemerlangan holistik dalam perjalanan ilmu yang memberi impak signifikan kepada pembangunan universiti terus mendapat pengiktirafan apabila menerima pelbagai anugerah sempena Majlis Anugerah Malim Ilmu UMT di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, malam tadi.

Seramai 13 ahli akademik menerima anugerah berkenaan, sementara 108 penyelidik yang menerima geran penyelidikan daripada kerajaan pusat sepanjang tahun lalu turut menerima penghargaan.

Di majlis itu, pensyarah Prof. Emeritus Dr Faizah Sharom dianugerahkan Anugerah Malim Ilmu 2013 yang membolehkan beliau menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penghargaan.

Pakar bidang parasitologi dan penyakit ikan itu sudah  banyak melakukan pelbagai penyelidikan terutama mengenai penyakit spesies hidupan di air berkenaan.

Bagi Anugerah Pemimpin Akademik yang dibahagikan kepada tiga kategori menyaksikan Kategori Penyelidikan dimenangi oleh Prof. Madya Dr Mhd Ikhwanuddin @ Polity Abdullah.

Manakala Kategori Pengajaran dimenangi oleh Prof. Dr. Ir Ahmad Jusoh dan Kategori Pemindahan Ilmu dianugerahkan kepada Prof. Madya Dr, Zaleha Kassim dengan masing-masing menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Bagi anugerah Saintis Cemerlang dianugerahkan kepada Prof Madya Dr Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa (Sains Tulen) dan Prof. Madya Dr Yeong Yik Sung ( Sains Gunaan & Kejuruteraan).

Kejayaan itu membolehkan pemenang membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan. Anugerah lain ialah Anugerah Pemimpin Akademik Muda diberikan kepada Prof. Madya Dr Wan Mohd Khairul Wan Mohamed Zin ( Penyelidikan), Prof. Madta Dr Mohd Zul Helmi Roziani ( Pengajaran) dan Dr Mustafa Man ( Pemindahan Ilmu).

Mereka menerima wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penghargaan. Untuk kategori Anugerah Penyelidik Tahunan diberikan kepada Prof. Madya Dr Noor Maizura Mohamad Nor (Sains Gunaan & Kejuruteraan) dan Prof. Madya Dr Nur Azura Sanusi (Sains Sosial). Masing-masing menerima Mereka menerima wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penghargaan.

Manakala bagi Anugerah Pengajar Cemerlang diberikan kepada Prof. Madya Dr. Mariam Taib yang menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan. Semua hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Naib Canselor UMT, Prof, Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo.

Sementara itu, Dato’ Ibrahim berkata UMT akan melakukan transfromasi dalam usaha penambahbahbaikan dan meningkatkan lagi prestasi serta kecemerlangan pusat pengajian itu.

“Kita perlu melakukan perubahan bukan kerana kita hennak berubah tetapi perubahan adalah untuk memperkukuhkan lagi cara UMT dalam menyumbang kepada pelajar dan masyarakat,’’ katanya.

menurutnya, kertas cadangan mengenai transfomasi sistem fakulti kepada pusat pengajian akan dihantar pada Oktober ini kepada Lembaga Pengarah Universiti bagi mendapatkan kelulusan dan akan mula dilaksanakan mulai awal tahun depan jika diluluskan.


Penjawat awam wajar ikuti pelbagai kursus

 Oleh: Suriati Ali

 Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said menegaskan penjawat awam terutama yang bertugas di unit kewangan dan pengauditan sewajarnya perlu didedah dengan pelbagai kursus atau seminar pemantapan kerjaya.

Katanya, dia mengakui, hampir semua penjawat awam di unit itu berpengalaman dan bertauliah, tetapi perlu menghadiri program seumpama itu dalam usaha memartabatkan perkhimatan awam bertaraf kelas pertama.

“Berdasarkan pengalaman lalu, unit kewangan dan pengauditan, banyak menerima teguran daripada majikan, walaupun mereka berpendapat, apa yang dilaksanakan itu sudah betul, sebaliknya pandangan pihak atasan masih ada kesilapan.

“Setiap seminar yang dikuti mampu memperingatkan semua pihak tentang muatahaknya tanggungjawab mereka mengurus kewangan dengan penuh berintergriti dan berakauanbiliti,” katanya pada Majlis Perasmian Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam, di Primula Hotel, Kuala Terengganu.

Seminar selama tiga, berakhir 29 Ogos ini dan turut dihadiri, Timbalan Naib Canselor (Penyelidina dan inovasi), Prof Dr Abdul Razak Saleh itu membentangkan pelbagai tajuk kertas kerja.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, walaupun seorang akautan atau juruaudit umumnya dirujuk dengan pepsepsi sebagai bekerja di belakang tabir, mereka sebenarnya adalah tunjang kepada kekuatan sesebuah sistem pentadbiran yang baik, ketelusan keterbukaan dan kepantasan maklumbalas kewangan.

“Bagi memastikan usaha memantapkan pengurusan kewangan sektor awam ini tidak sia-sia, kerajaan telah memperkanalkan pelbagai usaha, supaya mencapai matlamat memenuhi keperluan rakyat dan negara,” katanya.

“Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan pusat dan negeri perlu giat memperkasaakan keupayaan pegawai dan kakitangan untuk memahami konsep, mengenalpasti, melaksanakan sistem serta sumber manusia yang selaras dengan usaha merelisasaikan matlamat ini,” katanya..

 

Hotel Grand Puteri guna peruntukan Jawhar - Maidam

Oleh Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pembinaan Hotel Grand Puteri yang terletak berhampiran Masjid Putih Kuala Terengganu menggunakan wang zakat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh berkata, hotel bertaraf tiga bintang berharga RM41.69 juta itu dibangunkan dengan  peruntukan daripada Jabatan Waqaf Zakat dan Haji (Jawhar).

“Saya tidak mahu masyarakat keliru dengan dakwaan tersebut kerana Maidam tidak pernah menggunakan duit zakat untuk membangunkan hotel atau bangunan lain di negeri ini,” katanya kepada pemberita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) di Wisma Darul Iman.

Katanya, Hotel Grand Puteri dibangunkan di atas sekeping tanah wakaf yang dipegang oleh Maidam dan merupakan hotel wakaf pertama di negeri ini berkonsepkan Islam.

Hotel ini juga katanya merupakan hotel ketiga di bawah pengurusan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di negara ini dan majlis Penyerahan kunci kepada Maidam telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha jabatan Perdana Menteri, Dato’ Hajah Hasnah Salleh pada 8 April manakala operasi sepenuhnya bermula Mei lalu.

Dato’ Haji Mohd Rozali berkata selain Hotel Grand Puteri, sebuah lagi bangunan milik Maidam iaitu Bangunan Akademi Kulinari di Pulau Kerengga Marang (RM1 juta), Asrama Pelajar di Besut dan bangunan perniagaan berhampiran Hospital jertih juga dibangunkan menggunakan peruntukan Jawhar.

“Kita banyak mendapat peruntukan Jawhar untuk membina bangunan di atas tanah-tanah wakaf milik Maidam di negeri ini dan amat berterima kasih terhadap egensi itu yang membantu Maidam,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak Maidam juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Jawhar untuk memajukan beberapa lagi tanah wakaf milik Maidam di negeri ini.
 

TMT Merdekaraya Dive 2013 di Pulau Bidong

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menerusi Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 akan menganjurkan
program `TMT Merdekaraya Dive 2013’ di Pulau Bidong, pada 30 Ogos hingga 1 September ini.

 Program julung kali dengan kerjasama Yayasan Coral Malaysia dilaksanakan sempena ulang tahun Kemerdekaan Malaysia ke-56 pada 31 Ogos ini dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Sekretariat TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata peserta program bakal menaik dan mengibarkan Jalur Gemilang serta merakam sambutan hari raya di daratan dan dasar laut Pulau Bidong.

“Program bertujuan meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-56 dengan menghargai dan memulihara khazanah laut dan darat negara.

“Pada masa yang sama acara itu akan mempromosikan TMT menerusi program konservasi, sekali gus dapat membersih kawasan pantai dan jeti Pulau Bidong yang tidak berpenghuni sejak sekian lama,” katanya.

Encik Ahmad Fathil berkata, program ini juga dapat memerkukuh dan mempromosi nilai serta semangat konservasi di kalangan rakyat terutama golongan muda. Menurutnya, kesinambungan dari acara itu pihaknya juga mahu menyediakan forum untuk membincang dan mencambah minda bagi tujuan pembangunan pelancongan di pulau bersejarah itu.

Katanya, peserta dan media dari luar Terengganu dijangka akan bertolak dari Kuala Lumpur sejak 30 Ogos dan sebaik tiba keesokannya, mereka akan berkumpul di Jeti Merang, Setiu sebelum berlepas ke Pulau Bidong, kira-kira jam 11 pagi.

“Kesemua media dan peserta akan mengikuti aktiviti yang disediakan urusetia sebaik sampai di pulau itu seperti dialog, kerja membersih darat dan dasar laut, program mengibar Jalur Gemilang dan bendera TMT serta jamuan merdekaraya.

“Sementera majlis perasmian penutup dijangka akan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Haji Bazlan Abd Rahman yang mewaikili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, sebelum program tamat kira-kira lima jam kemudian dan semua peserta kembali ke jeti Merang,” katanya