Halaman

18 September 2013

Lebih 60,000 buku sempena `The Amazing Book Sale'

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 60,000 unit buku akan dipamer dan dijual kepada orang ramai sempena `The Amazing Book Sale’ di Lobi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Padang Hiliran, Kuala Terengganu bermula  25 hingga 29 September ini.

Jualan buku yang bermula 9 pagi hingga 9 malam akan memasarkan pelbagai jenis bahan bacaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu untuk pelbagai peringkat umur dari peringkat pra sekolah hingga profesional dengan harga yang terendah dalam pasaran.

Pengarah PPAT, Dato’ Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata potongan harga yang ditawarkan kepada pelanggan sepanjang program itu bermula daripada 40 hingga 90 peratus dan sukar diperolehi di premis jualan yang lain.

 “Pelbagai bahan bacaan menarik disediakan termasuk buku masakan, buku kanak-kanak dan remaja, pengetahuan am dan novel kepada orang ramai sempena penganjuran julung kali itu.

 “Bukan sahaja buku tempatan, malah buku dari luar negara juga turut ditawarkan dengan harga jauh lebih rendah berbanding biasa dan orang ramai sewajarnya memanfaatkan peluang itu dengan sebaik-baiknya untuk memupuk budaya membaca di kalangan ahli keluarga,” katanya.

 

KEHEBATAN INDUSTRI BIOTEK DI TERENGGANU: KILANG BIO-METIONINA DAN ISOBUTANOL DUNIA DI KERTIH BAKAL BEROPERASI MEI 2014

Laporan eksklusif oleh: Ruslan Abdul Rahman


 Kilang Bioteknologi yang pertama di dunia bagi penghasilan metionina atau mudahnya difahami sebagai asid amino di Kertih Terengganu dijangka akan memulakan operasi pada bulan Mei tahun depan.
 Dengan permulaan operasi di Taman Biopolimer Kertih, bermakna langkah menjadikan Terengganu sebagai pelopor loji bio-metionina yang pertama seumpamanya di dunia menjadi kenyataan.
  Kilang itu adalah pelaburan bersama Arkema dari sebuah syarikat Kimia dari Perancis yang terkenal dengan CheilJedang (CJ) dari Korea.
  CJ merupakan peneraju dunia dalam industri bioteknologi dengan inovasi penapaian dan penulenan, di mana ia juga merupakan pengeluar utama produk-produk berasaskan penapaian dengan operasi perniagaan di enam benua.

  Manakala Arkema pula merupakan syarikat kimia global dan pengeluar bahan kimia khusus yang terkemuka dari Perancis, dengan operasi di lebih daripada 40 buah negara.
 Jangkaan operasi kira-kira 11 bulan lagi disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSE Resources Corporation Sdh.Bhd., Azhar Anuar kepada Pengarang Teganukita semalam selepas memberi taklimat kepada kepada rombongan Terengganu Inc.
  NSE Corporation adalah syarikat pembekal kepada CJ dan Akema dalam pembangunan kilang dan loji berkenaan.
 Semalam Terengganu Inc diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda telah mengadakan lawatan ke tapak kilang berkenaan di Kertih.
  Turut sama ialah para pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).  Menurut Azhar, boiler wap (Biomass Steam Boiler) yang dibina itu boleh menampung 180 tan sejam yang terbesar setakat ini berbanding bolier sedemikian di negara Eropah iaitu Copenhagen, New York hanyalah 144 tan sahaja sejam.
  Katanya, loji biotek itu antaranya mengandungi Boiler Wap sebanyak 11 unit, Boiler Wap Biomass 3 unit, drum wap 3 unit, blower 4 unit, pengering, pelembut dan pelbagai peralatan teknologi biotek lagi.
  Di samping itu kemudahan bangunan pentadbiran, makmal, bengkel penyelenggaraan, kawasan penyimpanan cip kayu, menara pendingin, jambatan timbang dan sebagainya turut diadakan dan sedang dalam penyiapan pembinaan.
  Sementara itu, Ketua Pengarah Terengganu Inc. , Dato’ Haji Wan Ahamad mengucapkan melahirkan penghargaan bagi pihak kerajaan negeri di atas kelancaran pembangunan loji biotek bertaraf dunia itu, malah pertama seumpamanya di dunia.
  Ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mahu melihat kejayaan pembangunan kilang bioteknologi dengan pelaburan RM2 billion oleh gabungan syarikat terkenal dari Prancis dan Korea itu.
  Beliau berharap, bekalan bahan tumbuhan untuk diproses seperti pokok petai belalang ,acacia dan cip kayu yang lain mencukupi untuk menampung operasi kilang biotek itu serta membuka bidang baru penanaman dan pembekalan bahan perladangan untuk kegunaan loji biotek itu.
Ladang Petai Belalang di Marang

Inilah sumber inovasi dan penemuan baru ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat untuk rakyat negeri Terengganu, katanya.
 Sebelum itu, di sebelah pagi beliau turut melawat ladang Petai Belalang di Pulau Kerengga Marang.

PSKT sedia program menarik sempena bulan astronomi

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menganjurkan Bulan Astronomi PSKT bermula bulan ini sehingga Disember.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pelbagai aktiviti dan program menarik diadakan sepanjang empat bulan program berlangsung.

“Sebagai sebuah pusat pembelajaran dan kreativiti terunggul di pantai Timur, PSKT bertanggungjawab dalam memberikan informasi yang terbaik kepada masyarakat terutamanya tentang perkembangan sains dan teknologi.

“Antara aktiviti diadakan sepanjang program berlangsung seperti bengkel sains astronomi, sembang santai bersama ahli falak, tayangan perdana dan pelbagai lagi acara menarik yang lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Astronomi PSKT yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Tenaga dan Air Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman di TTC, semalam.

Katanya, semua lapisan masyarakat terutamanya golongan pelajar dialu-alukan berkunjung ke PSKT bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan astronomi pada kali ini.

 

Dana Pendidikan Mara bantu belia

Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri YB Ghazali Taib berkata penubuhan Dana Pendidikan Mara berjumlah RM1 bilion diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini memberi manfaat besar kepada golongan belia di negara ini.

Antara lain katanya, dana berkenaan bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi.

YB Ghazali Taib
“Melalui dana tersebut dapat menyediakan program-program kemahiran khusus bagi golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran bagi menyediakan peluang kedua kepada mereka untuk memperolehi pekerjaan,” katanya.

 Menurutnya, 90 peratus mereka yang mendalami bidang kemahiran, mendapat peluang pekerjaan lebih cerah berbanding mereka yang mempunyai bidang akademik semata-mata.

“Golongan ini juga mampu mendapat pendapatan lumayan dalam bidang pembinaan, teknikal, telekomunikasi dan pelbagai lagi,” katanya

Katanya, peruntukan tambahan yang diberikan kepada GiatMara bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan serta pertambahan program latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) mampu membuka ruang lebih luas kepada golongan belia.

Tambahnya, melalui dana tersebut juga dapat mempergiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran, bersesuaian dengan keperluan industri terutama untuk golongan graduan Bumiputera menganggur.
 

MUSTAFFA ALI LAWAN HARUN TAIB- SALAHUDDIN AYOB SOKONG HARUN.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 



Perang mulut di antara Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustaffa Ali dengan Ketua Dewan Ulamak Pas, Dato’ Harun Taib terus menjadi tegang.
 Dato' Mustaffa amat kesal dengan sikap Ketua Dewan Ulamak Pas yang dianggap cuba merenggangkan hubungan Pas dengan pakatan PKR dan DAP.
  “Harun Taib sepatutnya tidak perlu bercakap mengenai strategi parti kepada umum kerana boleh memberikan mesej yang salah berdasarkan persepsi rakyat”.
  Setiausaha Agung Pas, itu berkata, tahaaluf siyaasi adalah strategi dalam perjuangan dan perlu dibincangkan secara dalaman, bukannya dihebohkan kepada umum.
  "Tidak bijaksana dihebohkan. (jika dihebohkan) maksud kajian boleh disalah tafsir dan akibatnya kita menghantar mesej yang salah, bukan sahaja kepada rakan PR tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya penyokong Pas dan Pakatan,” kata Mustaffa dengan nada yang amat kecewa dengan sikap Ketua Dewan Ulamak Pas itu.
Dato" Mustafa Ali membidas Harun Taib dengan menyatakan tindakan Harun Taib adalah sebagai tidak bijak. 

Mustafa Ali gusar sebenarnya memandangkan apabila pendirian Haron ini telah menyerlahkan lagi bahawa memang kumpulan ulama PAS masih tidak selesa dengan hubungan berdasarkan konsep tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP.
 Tetapi bagi Dato' Harun, beliau bimbang dengan sokongan orang Melayu terhadap parti itu semakin menurun.
 Dato' Harun selaku Ketua Dewan Ulamak Pas, dalam ucaptama Multaqa Ulama SeMalaysia baru-baru ini, menyarankan Majlis Syura Ulama mengkaji semula tahaaluf siyaasi dalam PR berdasarkan garis panduan syura atas alasan pengaruh parti itu semakin lemah.
 Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula kenyataan Harun dianggap positif kerana ia bukan bertujuan melemahkan parti, tetapi mahu memastikan Pas lebih konservatif dari segi hala tuju parti itu dalam PR.  Katanya, bagi mana-mana organisasi parti dan badan korporat, mengkaji (semula) sesuatu strategi adalah perkara biasa.
  “Saya yakin, Dato’ Harun berkata demikian untuk menjadikan Pas lebih kuat daripada sekarang,” kata Salahuddin.
  Baginya perkara itu tidak sepatutnya dianggap negatif oleh Dato’ Mustaffa, sebaliknya perlu memahami apa yang cuba disampaikan Dato’ Harun,” kata Salahuddin.
  “Kenyataan Dato’ Harun itu supaya Pas bekerja lebih kuat ke arah memanfaatkan pengaruhnya dalam pakatan.
 Dalam hal ini nampaknya pengaruh dan sokongan kepada Dato’ Mustaffa Ali selaku Setiausaha Agung Pas makin berkurangan.
 Apakah kerana insiden isu ‘video sex’ yang melibatkannya yang tidak terjawab sehingga kini menyebabkan sokongan dan imejnya semakin menurun?
 Ataukah selepas ini jawatan itu bakal diganti oleh tokoh lain?

Program TELL menyeronokkan murid.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Azman ketika berucap merasmikan seminar
SETIU: Program TELL (Teaching English Language and Literature) atau Pengajaran Bahasa Inggeris (BI) dan Kesusasteraan yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran tiga tahun lalu mampu memberi kaedah pembelajaran matapelajaran BI yang lebih menarik dan menyeronokkan kepada murid.

Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahasa Inggeris, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Azman b Othman, berkata program itu, adalah untuk guru-guru BI dan ia akan memberi kemahiran tambahan guru-guru yang menyertainya.

“Program TELL ini sebenarnya ialah satu program di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan saya mengharapkan lebih ramai guru-guru BI akan mendapat pendedahan melalui program TELL ini kerana ia banyak memberi manfaat kearah meningkatkan lagi pencapaian BI di kalangan pelajar.

“Kita mengharapkan kepada guru-guru yang belum mengikuti program untuk murid tahap satu ini supaya menyertainya dan akan melaksanakan program ini di sekolah mereka masing-masing nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar TELL di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah(PPD) Setiu, semalam. 

Sebahagian peserta seminar yang hadir.
Azman berkata, beliau berterima kasih kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu kerana menganjurkan seminar yang pertama kali diadakan di peringkat daerah itu dan mengharapkan lebih banyak lagi seminar seperti itu akan diadakan di negeri Terengganu untuk mempertingkatkan lagi mutu Bahasa Inggeris di kalangan murid.

“Tuan Pengarah Pelajaran negeri sangat perihatin dengan perkembangan BI di negeri Terengganu, ” katanya yang mewakili Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Zakaria Hussin.

Sementara itu, kira-kira 150 guru BI dari semua sekolah di daerah Setiu yang menyertai seminar sehari itu tertarik dan seronok dengan cara menyampaian oleh beberapa mentor yang dijemput khas dengan mengadakan beberapa program yang menyeronokan. Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Setiu, Kipayatuallah Dato' Mohd Said.

Peserta tertarik dengan persembahan Mentor mereka.
PPD Setiu, Kipayatuallah (kanan) bersama dua pegawainya turut hadir.


SMK Bukit Payong, Marang berkhemah di Setiu

Oleh: Aminudin Ismail.

Pelajar bersungguh menyertai acara tarik tali.
SETIU: Seramai 111 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong, Marang yang bakal menduduki SPM tahun memperolehi banyak pengalaman berguna ketika menyertai Program Perkhemahan Perdana Badan Beruniform di Pusat Kokurikulum UnisZa, Merang di sini.

Program selama tiga hari yang bermula 14 sehingga lalu dan berakhir kelamrin adalah perkhemahan perdana kali ke enam dan kali pertama disertai hanya pelajar-pelajar tingkatan lima dan turut disertai 20 guru pengiring.

Pengetua SMK Seri Payong, Muhamad Bin Tawan berkata, program itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memberikan keyakinan kepada pelajar dan bagi memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengalami pengalaman berkhemah.

“Selain itu perkhemahan ini juga bertujuan bagi mendidik pelajar agar lebih berdisiplin, mematuhi masa dan memupuk semangat berpasukan dalam sesebuah unit beruniform.

“Kekentalan semangat individu serta kerjasama berkumpulan yang ditunjukkan sepanjang program ini berlangsung membuktikan bahawa kegiatan luar seperti perkhemahan, dapat melahirkan pelajar yang berkeyakinan dan mempunyai ketrampilan yang tinggi.

“Samada dari segi sahsiah mahupun sosial sesuai dengan saranan kementerian pelajaran bagi mencapai kesempurnaan jasmani, emosi dan rohani bukan hanya bergantung dalam bidang kurikulum (akademik) semata-mata,” kataya.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti sukaneka, pertandingan masakan, pakaian pengantin. Aktiviti lasak jugak seperti water confident, berkayak dan kembara malam menguji pelajar dari segi mental dan fizikal.

17 September 2013

PSKT di Chendering bakal beroperasi 2015

Oleh: Noraini Jusoh

Kerja-kerja pembinaan bangunan baru Pusat Sains Kuala Terengganu (PSKT) yang terletak di Kampung Bukit, Mukim Chendering hanya tinggal 30 peratus yang belum selesai dan dijangka bakal beroperasi sepenuhnya pada 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Tenaga dan Air negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) berkata, disebabkan beberapa masalah teknikal, pembinaan pusat sains yang bermula 2006 berkenaan terpaksa ditangguhkan, sehingga kerajaan negeri kini memutuskan meneruskan kembali projek tersebut.

“Sekarang ini, PSKT di Chendering telah siap 70 peratus dan 30 peratus lagi sedang ditender. Untuk tender baru dijangka kosnya dalam RM43 juta.

“Ia dijangka bakal beroperasi sepenuhnya pada 2015 kerana pada tahun depan (2014) kita akan fokus kepada pengisian iaitu bahan-bahan yang akan ditempatkan di pusat sains yang bertaraf antarabangsa ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Astronomi Pusat Sains Kreativiti Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu, hari ini.

Katanya, apabila siap sepenuhnya nanti, PSKT di Chendering akan menjadi pusat sains yang terbesar sekali di Malaysia dengan keluasan keseluruhannya kira-kira 60 hektar.

“Kerajaan negeri amat serius dalam melahirkan saintis dari kalangan rakyat negeri ini yang mempunyai latar belakang agama yang kukuh dan berhasrat menjadikan pusat sains itu nanti sebagai pusat kajian atau penyelidikan sains yang berkonsepkan Islam,” ujarnya.

Tambah beliau, impian tersebut tidak mustahil untuk dicapai kerana Terengganu mempunyai pelajar daripada sekolah Imtiaz yang merupakan penghafaz 30 juzuk al-Quran dan cemerlang dalam akademik yang boleh menyumbang bakti kepada kerajaan negeri suatu hari nanti,” ujarnya.

 

Pustaka Kongres AS kunjungi Ukom

Oleh: Aida Abd Rahman

Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat (AS) (Library of Congress) mengunjungi Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) dalam usaha berkongsi maklumat bagi menyiapkan jurnal dan dokumen untuk rujukan 20 universiti di AS.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) Ukom, Encik Ahmad Razif Abdul Majid berbincang sesuatu dengan  Ketua Perpustakaan Kongres AS, Mr  M Lingeswaran
Kunjungan Ketua Perpustakaan Kongres AS yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, M Lingeswaran adalah kali ketiga ke negeri ini selepas lawatan terakhir empat tahun lalu.



Menurutnya, kunjungan berkenaan membolehkan pihaknya menyiapkan jurnal khusus mengenai gaya hidup, kebudayaan dan perkembangan Terengganu serta negeri lain di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

“Hasil bahan dan maklumat yang diperolehi bukan sahaja digunakan oleh pensyarah, penyelidik dan penuntut di 20 universiti seluruh AS, malah ditempatkan di perpustakaan khas di AS yang menjadi rujukan oleh semua pembaca melangkau seluruh dunia di perpustakaan itu,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Ukom, Encik Ahmad Razif Abdul Majid, penolong Pengarah Penerangan, Encik Harun Hassan dan Penolong pegawai tadbir, Puan Noriah Mohammad.

Perpustakaan terbesar di dunia dari segi luas rak buku dan total koleksi buku, selain mendaftar lebih dari 32 juta judul bahan pustaka yang ditulis dalam 470 bahasa.

Selain itu, gedung ilmu itu juga menyimpan lebih dari sejuta judul terbitan pemerintah Amerika Serikat, sejuta terbitan akhbar seluruh dunia selama tiga abad terakhir, 33,000 naskhah akhbar yang dijilid, 500,000 gulung mikrofilm, lebih dari 6,000 judul buku komik serta koleksi literatur hukum terbesar di dunia.





Sederhana dalam berbelanja

Oleh; Esah Abdullah 

Rasulullah SAW bersabda “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana, berhemat dan menabung kelebihannya untuk hari susah serta hajatnya.” (Rirawat al-Ibn an-Najjar).

Pengawalan terhadap keinginan dan desakan hati adalah perlu sebagai satu cara untuk mengawal nafsu boros. Rezeki dan kemewahan hidup semuanya datang daripada Allah SWT.

Oleh itu, sikap berlumba-lumba mengumpul harta dan kemewahan harus dielakkan kerana ia menunjukkan sikap rakus serta boleh memberi risiko tidak baik dalam perhubungan hingga menyebabkan berlakunya permusuhan sesama sendiri.

Cara membelanjakan harta menentukan hidup seseorang itu berkat atau tidak, yang mana kehidupan tidak akan menjadi tenang jika harta disalurkan atau digunakan pada perkara haram dan tidak halal.

Bersederhana dalam berbelanja bermaksud seseorang itu apabila berbelanja dia tidak berlebih-kebihan dan tidak pula kedekut, tetapi berada di tengah-tengah antara dua keadaan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga mereka yang diredai Allah itu ialah yang apabila menafkahkan hartanya dia tidak melampau batas dan tidak bakhil. Sebaliknya perbelanjaan mereka adalah benar-benar sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67).

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.” (Riwayat Ahmad).

Umat Islam dituntut sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan reda di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukan adalah Allah SWT.

Apabila diberi Allah SWT rezeki berlebihan, jangan pula kita bersifat boros sebaliknya sentiasa memastikan setiap harta dibelanjakan ke jalan yang diredai Allah SWT.