Halaman

04 December 2013

Rezeki jual ubi

REZEKI...seorang warga emas, Abdul Aziz Mat, 70, bersama pelbagai jenis ubi yang dijual di gerai di hadapan rumahnya di Kampung Kepala Gajah, Renek, Besut.

Abdul Aziz yang sudah tujuh tahun menjual ubi-ubi itu menanamnya sendiri di belakang rumahnya. Antara jenis ubi yang dijualnya ialah ubi badak putih, Badak Merah, ubi itik, ubi tok rok dan ubi keling.

"Saya jual ubi-ubi ini secara sambilan sahaja, daripada duduk sahaja di dalam rumah. Lagipun saya sudah tidak boleh lagi melakukan kerja-kerja berat kerana sudah berusia.Ubi-ubi ini saya tanam sendiri di belakang rumah.

"Sebelum ini saya lakukan pelbagai kerja kampung untuk membesarkan anak-anak, Alhamdulillah semua anak-anak sudah bekerja" katanya yang juga menternak kambing kampung berhampiran rumahnya.

Menurutnya, dalam sehari dia mampu memperolehi pendapatan sekitar RM30 sahari dan pendapatanya akan bertambah sekiranya ada yang membeli secara borong.

"Pada musim hujan ini, pak cik boleh menjual banyak sikit kerana ramai yang datang membeli. Ubi-ubi biasanya digunakan untuk makan begitu sahaja selepas direbus ataupun digunakan untuk mengulai dan menyayur.

"Jika ada yang mahu membuat kenduri, mereka akan membeli dengan jumlah yang banyak," katanya yang mengambil masa lima bulan menanam ubi sebelum dapat dijual.- Oleh: Aminudin Ismail.

  

03 December 2013

MBKT jawab isu pasar raya Sabasun

 Oleh: Suriati Ali 

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak pernah `menganaktirikan’ pemilik syarikat Bumiputera Sabasun Hyper Runcit Sdn Bhd (Sabasun) seperti yang hangat diperkatakan masa kini, sebaliknya banyak memberi ruang untuk permohonan lesen mengikut akta ditetapkan.

Datuk Bandar MBKT Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata MBKT memberi tempoh panjang untuk menyelesaikan pelbagai perkara dan tidak akan timbul isu gantung lesen sekiranya pemilik Sabasun memenuhi syarat pemohonan lesen perniagaan.

 Katanya, pemilik pasar raya mini itu telah sedia maklum tentang prosuder pembinaan sebarang struktur di atas tanah kerajaan di mana perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.



"Pasar raya Sabasun yang terletak di Bukit Kecil ini telah lama beroperasi di mana ketika itu kita memberi kelulusan untuk sebuah kedai runcit dengan keluasan 900 meter persegi sahaja.

 “Oleh kerana perniagaan kedai runcit itu semakin maju, pemilik Sabasun bukan sahaja telah menukar nama kepada pasar raya besar yang sepatutnya perlu mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) malah menambah binaan pada keluasan lebih 2,000 meter persegi,” katanya .



 Menurut Dato’ Adzlan, MBKT banyak bertolak ansur selama ini dengan pihak Sabasun walaupun mereka banyak melakukan kesalahan seperti menambah binaan bangunan tanpa kelulusan dan permohonan pelan kepada MBKT.

 "Sabasun adalah tempat tumpuan ramai.. jika tiada kelulusan bangunan bermakna tiada kelulusan bomba dan agensi-agensi lain dan jika berlaku kemalangan seperti kebakaran dan runtuhan, MBKT juga boleh disaman," katanya..

 Katanya MBKT tidak mahu menjual sebidang tanah bersebelahan premisnya untuk dijadikan kawasan parkir, sebaliknya dikenakan sewa RM4,000 sebulana

“MBKT tidak boleh sewenang-wenangnya menjual aset mereka, terutama lokasi strategic dalam bandar.

 “Mengikut perjanjian, MBKT memberi sewa kepada Sabasun sekitar tahun 1996, sebidang tanah untuk tapak parkir, namun dikatakan Sabasun melanggar perjanjian dengan membina struktur bangunan di situ,” katanya.

 





Pelajar Pusat pengajian Taman Islam Kemaman mati lemas

MOHD NOR (mangsa)
Teks dan gambar oleh: Nurul Azila Saberi

Seorang remaja, Mohd Ashraf Mohd Nor, 17, ditemui mati lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika memukat ikan di Sungai Pelatoh, petang kelmarin.

Mangsa bersama bapanya Mohd Nor Ismail, 45 dan sepupunya Amira, 12, keluar rumah memukat ikan di ladang kelapa sawit yang menjadi kebiasaan keluarganya memukat ikan dan menjualnya.

Ketika kejadian arwah pengsan disebabkan penyakit sawan yang telah lama dihidapi lalu terjatuh ke dalam bot dan menyebabkan bot yang mereka naiki terbalik.

Jenazah mangsa lemas dibawa balik ke rumah selepas bedah siasat dilakukan.

Keadaan ini membuatkan bapa mangsa kelam-kabut dan telah menyelamatkan anak saudaranya terlebih dahulu kemudian berpatah balik untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal ditemui.

Setelah setengah jam beliau mencari tetapi tidak berhasil, beliau akhirnya mengambil tindakan untuk melaporkan kejadian itu kepada polis.

Operasi mencari giat dijalankan sehinggalah mangsa berjaya dijumpai di celah dahan berhampiran tempat kejadian kira-kira jam  pagi semalam.

Allahyarham dibedah siasat dan dimandikan di Hospital Kemaman sebelum isembahyangkan oleh tenaga pengajarnya sendiri bersama pelajar Kem Tahfiz yang melibatkan kira-kira 100 orang.

Arwah merupakan anak sulung daripada tujuh beradik dan juga seorang pelajar  cemerlang, malah sentiasa bergiat aktif di pusat pengajiannya.

Kehilangan beliau turut dirasai oleh tenaga pengajarnya dan teman-temannya.


JKKN anjur Makyong 7 Disember ini


Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Terengganu (JKKN) akan mengadakan persembahan Makyong di Auditorium JKKN Terengganu, Kuala Ibai pada 7 Disember ini (Sabtu) jam 8.45 malam.

Persembahan kesenian yang bertajuk Dewa Pecil itu dianjurkan dengan kerjasama Kumpulan Makyong Cempaka Wilis, Kuala Besut.

Menurut Timbalan Pengarah JKKN Terengganu, Encik Zahari Mat, berkata Kumpulan Makyong Cempaka Wilis dari Kuala Besut itu di bawah kelolaan Majlis Kebudayaan Besut.

“Persembahan ini adalah satu usaha untuk menjaga khazanah seni dan budaya dalam seni Makyong. “Kita berharap lebih ramai peminat Makyong datang menyaksikan kehebatan persembahan yang jarang dianjurkan untuk tatapan umum ini,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

 Katanya, persembahan itu nanti mampu menjadi wadah mengembangkan tradisi kepelbagaian kebudayaan yang ada di negara kita dan memperkenalkan Makyong kepada semua generasi.

 

Setiu belum banjir sehingga awal petang ini.(selasa)

Hampir melimpah...Sungai Chalok jam 1 tengahari tadi.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Beberapa penduduk Kampung Chalok Terap, dekat sini yang sering dinaiki air apabila berlaku banjir sudah bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Pengerusi JKKK Kampung itu, Mohd Zulkifi Awang, berkata sebuah pusat perpindahan sudahpun disediakan sekiranya ada penduduk yang diarah berpindah.
.
"Tahun lepas sebanyak 11 keluarga berpindah di pusat perpindahan dan pada tahun ini jika ada yang perlu berpindah kita sudahpun bersedia untuk menguruskan mereka yang terbabit.

"Semua penduduk sudahpun membuat persediaan bagi menghadapi banjir kali ini kerana mereka sudah biasa kerana kampung ini sering berlaku banjir pada musim tengkujuh ini," katanya. 

Sementara itu, Tinjauan Teganukita di beberapa buah kampung termasuklah Kampung Besut, Hulu Seladang dan Kampung Chalok mendapati belum berlaku banjir melainkan Sungai Chalok mula meningkat dan melimpahi tebing di beberapa kawasan rendah, tengahari tadi. (selasa)

Bagaimanapun pada petang ini, menurut seorang penduduk, Harifan Daud, 60,  ketika hubungi berkata, air sungai itu mula bertahan berikutan taburan hujan semakin berkurangan dan belum berlaku banjir di kawasan terbabit.

"Hanya Kampung Bukit Terap sahaja yang ada sedikit air banjir manakala kampung-kampung lain yang terbabit dengan Sungai ini seperti Kampung Gong Terap dan Kampung Chalok Kedai belum dinaiki air, kalau petang dan malam (selasa) ini berlaku hujan lebat, mungkin air sungai akan melimpah," katanya.

Sementara itu, ketika menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, sebentar tadi (jam 2.30 ptg), belum ada mangsa banjir yang berpindah dan bilik gerakan banjir belum di buka.

Dalam pada itu, Adun Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor, yang ketika ini berada di Kuala Lumpur kerana menyertai persidangan UMNO, meminta penduduk mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini pada musim banjir ini.

"Saya harap penduduk yang terbabit dengan banjir di kawasan Langkap ini lebih berwaspada dan membuat persiapan awal menghadapi banjir serta sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah dan saya akan bersama-sama penduduk sebaik selesai mesyuarat nanti," katanya.


UMNO HULU TERENGGANU CIPTA SEJARAH

Umno Bahagian Hulu Terengganu melakar sejarah apabila kesemua pemimpin bahagiannya diberi amanah dan kepercayaan di peringkat negeri.
 Ia bermula dengan perlantikan Ketua Bahagiannya, YB Dato' Jailani Johari sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terenggani (BPUNT).
  Kemudian diikuti Ketua Pergerakan Puterinya, Puan Rozita Ismail dilantik sebagai Pengerusi Puteri Umno Negeri.
  Ketua Pergerakan Pemudanya, Saudara Johari Abu Bakar dilantik mengetuai Pemuda Umno Negeri. Terbaru Ketua Pergerakan Wanita Hulu Terengganu Datuk Fatimah Hamad kekal sebagai Ketua Wanita Umno Negeri, sekaligus menjadikan semua ketua ketua sayap bahagian itu mengetuai sayap negeri.
Bukanlah sesuatu yang mudah untuk melakarkan sejarah seperti ini, tetapi Umno Hulu Terengganu berjaya mencipta sejarah sehebat itu.
  Ditambah lagi, mantan Ketua Bahagiannya, YB Dato' Tengku Putera Awang dikekalkan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri oleh YAB Dato' Seri Ahmad Said (Pengerusi Umno Negeri).
  Pengekalan YB Dato' Tengku Putera Awang sebagai Setiausaha BPUNT membuktikan tuduhan-tuduhan tertentu sebelum ini adalah tidak benar.
  Dato' Seri Haji Ahmad membuat keputusan yang terbaik dan penuh teliti untuk kestabilan Umno.
   Tahniah dan syabas Umno.Hulu Terengganu.

500 kampit beras untuk mangsa berpindah di Setiu.

Emilia..JKM bersedia.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Sebanyak 500 kampit beras dan pelbagai keperluan makanan dan barangan lain disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat perpindahan banjir di daerah ini pada musim banjir tahun ini.

Pagawai Kebajikan Masyarakat Daerah Setiu, Emilia Sumiyati Embong, berkata pihaknya sudahpun mengagihkan bekalan beras itu ke kawasan yang sering berlaku banjir dan akan diagihkan ke pusat-pusat perpindahan apabila berlaku banjir.

“Sebanyak 500 kampit beras diperuntukan sebagai permulaan untuk diagihkan kepada pusat-pusat pemindahan di seluruh daerah.

"Selain beras, kita juga menyediakan pelbagai makanan asas yang lain antaranya gula, susu, tea, kopi, sardin dan minyak masak.

“Barangan pula antaranya ialah selimut, cadar, bantal, kain batik, kain pelikat, ubat gigi, sabun, tuala wanita, lampin pakai buang dan lain-lain. Barangan itu kini ditempatkan di 26 pengkalan hadapan di seluruh daerah,” katanya.

Emilia berkata, JKM Setiu juga akan mengerakan seramai 26 pegawai dan kakitanganya untuk bertugas di pusat-pusat perpindahan musim banjir tahun ini.

“Kita juga ada menyediakan beberapa kaunselor untuk memberi motivasi dan semangat kepada mangsa banjir yang mungkin mengalami trauma akibat kehilangan harta benda akibat banjir.

"Selain itu kira-kira 30 anggota sukarela JKM akan digerakkan pada musim banjir ini bagi membantu kakitangan JKM dalam menguruskan mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Emilia mengharapkan kesemua mangsa banjir yang berpindah supaya mendaftar di pusat-pusat pemindahan bagi memudahkan pihaknya menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuklah barangan keperluan harian ketika berada di pusat perpindahan berkenaan.


 

Skuad Mediator Komuniti (MK) Terengganu sedia bantu individu bermasalah


Skuad Mediator Komuniti Terengganu bersama pegawai JPNIN

Oleh: Mohammad Ishak

Skuad Mediator Komuniti dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu sedia turun padang bagi menyelesai pelbagai konflik yang dihadapi individu dengan perkhidmatan diberikan secara percuma.

Kumpulan Mediator yang dianggotai 16 ahli daripada pegawai JPNIN dan pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berkenaan yang mempunyai tauliah akan digerakkan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi orang ramai.

Pengarah JPNIN, Burhanuddin Daud berkata, skuad terbabit yang dilatih khas oleh jabatan berkenaan mampu menghadapi sebarang bentuk penyelesaian yang dihadapi oleh orang ramai.

Katanya, masyarakat negeri ini sebenarnya belum mengenali tugas dan tanggungjawab yang dilakukan oleh Mediator kerana belum mendapat pendedahan secara menyeluruh.

“Jabatan sedang berusaha meningkatkan lagi peranan skuad berkenaan membabitkan kerjasama beberapa agensi berkaitan dalam usaha membantu individu yang bermasalah dalam pertikaian konflik,” kata.

Beliau berkata demikian ketika menutup Program Case Conferencing Mediator Komuniti Peringkat Negeri Terengganu anjuran jabatan berkenaan kelmarin.

Menurutnya, mulai tahun hadapan JPNIN akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi berkaitan untuk membakitkan kesedaran serta keyakinan orang ramai terhadap peranan Mediator Komuniti.

452 mangsa banjir di Kemaman dipindahkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Sehingga pagi ini, seramai 121 keluarga melibatkan 452 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan di seluruh Kemaman

Menurut Portal Kenyataan Banjir Negeri Terengganu yang disediakan Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, daripada jumlah itu, pusat pemindahan yang menempatkan mangsa paling ramai ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik (152 orang).

"Lain-lain mangsa dipindahkan termasuk di SK Telok Kalong (121); Rumah Tamu Padang Kubu (24); Masjid Lama Padang Kubu (13); Dewan Orang Ramai Gong Cengal (22); Masjid Kampung Batu 16 (20); Dewan Orang Ramai Batu 14 (seorang); Surau Haji Osman (7); Dewan Orang Ramai Teladas (40); SK Seberang Tayor (16); Masjid Batu 14 (4); GPW Seberang Tayor (16) dan Balairaya Padang Kemunting (16).

Selain itu, Dungun dan Kemaman kini di peringkat jingga, sementara daerah lain di seluruh Terengganu peringkat kuning yang dijangka berlarutan sehingga tengah malam ini.

Sementara itu juga, keadaan cuaca di seluruh Kuala Terengganu, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana sejak semalam juga dijangka berterusan hingga malam ini.

“Manakala peringkat jingga di Dungun dan Kemaman juga hujan yang sekejap-sekejap kadangkala sederhana turut mengakibatkan risiko lebih banyak kes banjir di kawasan rendah,”katanya.

Selain itu, beberapa jalan di sekitar kemaman turut ditutup kepada kenderaan ringan berikutan dinaiki air antara dari 0.1meter hingga 0.6 meter yang boleh mendatangkan bahaya kepada kenderaan ringan terutama penunggang motosikal dan kereta.

Jalan-jalan berkenaan, Felda Neram, Meraga Beris, Jalan Mak Lagam, Sungai Pinang dan Jalan Air Putih, Kemaman. Manakala Jalan Jerangau Jabor, air semakin surut sehingga jam 9.30 malam tadi. Di Hulu Terengganu pula, hanya jalan Lubuk Periuk yang terjejas sehingga kini.

 

Hanya 106 hotel di Terengganu berdaftar

Oleh: Noraini Jusoh

Hanya 106 buah hotel dengan kapasiti 5,576 buah bilik di Terengganu berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu.

Pengarahnya, Mohd Sabri Zakaria berkata, kebanyakan hotel tidak layak berdaftar dengan kementerian kerana mereka tidak mendapat lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan syarat untuk berdaftar adalah pengusaha mesti memiliki lesen terlebih dahulu.

"Yang menjadi masalahnya, ada hotel di Terengganu tidak mempunyai lesen disebabkan masalah seperti tidak mendapat sijil perakuan kelayakan menduduki (CF) dari pihak bomba kerana didapati tidak selamat dan mempunyai masalah tanah," katanya.

Menurutnya, ada sesetengah hotel yang telah beroperasi antara tiga hingga empat tahun, namun masih tidak mempunyai CF.

"Pihak kami turut menghantar notis kepada PBT pada pertengahan tahun ini, mengarahkan sebanyak empat hotel yang dikategorikan sebagai hotel bajet supaya ditutup kerana didapati tidak selamat dan tidak layak untuk beroperasi," katanya.

Beliau berkata, kedegilan pengusaha hotel untuk mendapatkan lesen dan berdaftar dengan kementerian juga akan turut menjejaskan kualiti perkhidmatan pelancongan di negeri ini.

Justeru, beliau menggesa pemilik hotel mengambil tindakan segera memastikan hotel milik mereka didaftarkan dan PBT perlu mengambil tindakan tegas memastikan pemilik hotel mempunyai lesen.

"Ini bagi memudahkan pihak kami menjalankan operasi mengenai kebersihan serta keselamatan bagi menjaga reputasi pelancongan negeri ini.

"Di pusat peranginan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian, boleh dikatakan hampir 90 peratus hotel dan resort mempunyai lesen dan berdaftar dengan kementerian," katanya.

Menurutnya, kementerian amat serius dalam memastikan hotel di negeri ini berkualiti dan menyediakan servis terbaik kepada pelancong.