Halaman

17 December 2013

DERITAMU DERITA KAMI JUA....

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.

 Walaupun kami tidak terlibat dengan banjir, tidak menanggung derita kesan dari bencana itu, tetapi kami ingin turut berkongsi derita dan kepayahan itu.
 Rombongan kami (Unit Komunikasi Negeri- UKOM) seramai 12 orang turut sama ke daerah Kemaman dua hari lepas (15 Disember) membawa sedikit bantuan makanan untuk beberapa keluarga di sana.  Walaupun tidak seberapa nilainya, tetapi sekurang-kurangnya kami ingin berkongsi mendengar luahan dan hibaan mereka yang baru sahaja menerima ujian Tuhan itu.
  Kalau selama ini, kami hanya melaporkan berita banjir dan sebagainya, tetapi sebagai pengamal media kami juga ingin turut membantu sama, di samping membuat laporan berita dan isu. UKOM bersama Radio Manis FM dan Skuad Sayang Wanita Umno Bahagian Kemaman diberi kesempatan untuk mengagihkan bantuan di kawasan perumahan Bukit Mentok dan sekitarnya.
 Sepanjang kira-kira enam jam menziarahi penduduk di situ, terasa amat teruja sekali kerana dapat membantu mereka yang benar-benar di dalam kesusahan.
 Walaupun bau di persekitaran  kurang menyenangkan , suasana udara yang kurang bersih dan menempohi laluan yang dipenuhi sampah-sarap, tetapi kerana hasrat ingin menyelami sama perasaan mereka, kami tidak hiraukan itu semua.
  Kelihatan kerusi dan almari yang telah rosak berselerakan di luar rumah mereka, begitu juga kain baju dan pinggan mangkuk kotor bersepah-sepah di pinggir rumah.
Barang-barang elektrik seperti peti sejuk, mesin pencuci pakaian, kipas dan sebagainya kelihatan di luar rumah, kemungkinan telah rosak teruk.
  Sebahagian besar barang-barang di dalam rumah telah rosak dan musnah akibat ditenggelami air beberapa hari. Terdapat juga kereta dan motosikal yang tersadai, juga mengalami kerosakan lantaran ditenggelami banjir kerana tidak sempat mengalihkannya kerana paras air naik mendadak.
 Mereka, para penghuni rumah kelihatan dalam keadaan penat kerana membersih rumah dan mengemas rumah yang begitu kotor dan bersepah. Anak-anak kecil yang tidak memahami keadaan sebenarnya nampaknya riang gembira bermain di halaman rumah, biarpun ibubapa mereka kelihatan muram memikirkan kesukaran pasca banjir.
 Dalam hati mereka berkata, betapa banyak kerugian yang ditanggung dan bilakah akan dapat digantikan semula barang yang musnah dan rosak itu.
  Doa dan harapan dimunajatkan kepada Yang Maha Esa agar bantuan terus diperolehi dari masa ke semasa, di samping sedikit sebanyak duit yang ada tersimpan.
  “Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri yang telah mengumumkan bantuan awal RM500 dan kami percaya Kerajaan Negeri juga akan turut mengeluarkan bantuan tambahan,” kata salah seorang mangsa.
 Mereka juga melahirkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, badan-badan sukarela dan semua pihak yang tidak putus-putus dan membantu mereka dan menghulurkan berbagai bentuk derma sama ada pakaian, makanan dan sebagainya.
Malahan mereka memuji sikap pemimpin kerajaan, termasuk Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said sendiri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Haji Ahmad Shabery Cheek (Ahli Parlimen Kemaman) serta lain-lain wakil rakyat dan pimpinan Barisan Nasional (BN),  yang turut sama membantu dan mengharungi banjir di saat-saat rakyat dan pengundi mereka di dalam kesusahan.
 Walaupun ada segelintir pihak yang cuba mempertikaikan peranan kerajaan, agensi dan sebagainya dalam usaha membantu mangsa banjir, tetapi itulah lumrah hidup.
  Yang suka membangkang dan menentang akan terus bersikap demikian, dalam keadaan mana sekalipun. Percayalah, mereka yang bersyukur dan berterima kasih sesama insan pasti diberkati.
 Apa yang utama bagi mereka juga ialah, dapur mereka terus ‘berasap’ dan ahli keluarga mereka dapat menikmati makanan seadanya, walaupun keselesaan tempat tidur dan berehat di dalam rumah masih belum pulih sepenuhnya akibat kerosakan tilam, kerusi dan sebagainya.
  Semuanya ini menjadi pengajaran kepada kita semua, bahawa keselesaan dan kesenangan itu tidak kekal abadi, tiba waktunya kita pasti diuji oleh Illahi jua.
  Kami katakan kepada mereka, sabarlah! Allah bersama orang-orang yang sabar.
 Kami hulurkan bantuan beras, gula, gandum, sardin, susu, biskut dan lain-lain makanan sekadar yang termampu untuk bekalan beberapa hari sahaja.
  Sewaktu di wawancara oleh Manis FM secara lintas langsung, saya menyatakan bahawa sekurang-kurangnya kehadiran kami dan lain-lain sukarelawan dapat mengubat hati mangsa-mangsa banjir itu. “Mereka akan berasa gembira kerana di saat mereka menempohi kesusahan, ada juga insan lain yang datang dari jauh dan dekat, membantu dan berkongsi sama kesusahan itu”.
 Cubit peha kanan, paha kira juga ikut terasa.
  Demikianlah gambaran bahawa kesusahan yang ditanggung oleh mangsa banjir itu turut dirasai oleh kita semua dan bersama-samalah membantu.
 Deritamu, derita kami jua!
 Semoga kalian tabah menghadapinya.

Anak Terengganu hadiah kilauan emas pertama memanah

Acara memanah mengubat duka kontinjen Malaysia pada hari ke-13 Sukan SEA Myanmar ke -27 apabila menyumbangkan pingat emas tunggal negara semalam.

Selepas mempamerkan prestasi terbaik dengan mengutip enam pingat emas semalam, pencapaian kontinjen negara merudum.


Mujur, emas menerusi pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad dalam acara recurve individu itu hasil pertembungan sesama sendiri, menewaskan Atiq Bazil Bakri, dengan keputusan 7-1 dalam aksi final di Lapangan Memanah Wunna Theik.

Rasa bimbang terhadap bencana banjir yang menimpa keluarga di kampung, tidak menghalang Khairul meraih pingat emas pertama peribadinya dan kemenangan itu mahu dihadiahkan kepada ibunya Kelsom Dollah.

Menurut Khairul, keluarganya sedang mengalami kepayahan selepas rumah mereka di Kampung Batu 10, Pasir Gajah, Kemaman, dilanda banjir.

"Saya risau dengan keadaan ibu saya apabila terputus hubungan beberapa hari lepas namun saya rasa sedikit lega apabila dapat menghubungi mereka kembali.

"Hingga kini saya tidak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pertandingan kerana risau dengan keadaan mereka (keluarga) di Malaysia namun saya akan cuba lakukan yang terbaik di sinii dan mampu mencapai sasaran peribadi dua lagi pingat emas menerusi acara recurve berpasukan lelaki dan recurve beregu campuran," katanya.

Pemanah Olimpik negara itu berkata beliau akan berusaha memastikan sasaran peribadinya iaitu tiga pingat emas dapat direalisasikan.

Beliau turut memuji Atiq Bazil yang mempamerkan prestasi cemerlang kerana berupaya memberi cabaran kepadanya sekalipun masih berstatus junior.

"Bagi saya kejayaan Atiq Bazil mara ke pusingan akhir adalah satu pencapaian yang baik dan beliau mampu pergi jauh lagi.

 "Saya teringat ketika pertama kali menyertai Sukan SEA di Indonesia dua tahun lepas juga mara ke final," katanya.

Sementara itu skuad pemanah wanita negara menyumbang sebutir pingat gangsa menerusi Saritha Cham Nong melalui acara compound individu.

 Pingat emas bagi acara itu menjadi milik Aung Ngeain dari Myanmar dan pingat perak pula dimenangi pemanah Indonesia Dellie Threesyadinda.


Jadikan anak-anak sebagai kawan- Dato' Sabri.

Sabri..didik anak dengan baik.
Oleh: Aminudin Ismail.

LANGKAP: Ibubapa di kawasan ini disaran supaya menjadikan anak-anak mereka sebagai kawan bagi memudahkan ibubapa memahami segala permasalahan anak-anak, kata Adun Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor.

Sabri berkata, sekiranya ibubapa itu mahu anak-anak mereka rapat dengannya, ibu-bapa itu hendaklah menjadikan anak-anak mereka sebagai kawan.

"Saya berharap sekiranya kita mahu mendidik anak-anak kita dengan lebih sempurna, kita mesti rapatkan hubungan antara anak dan ibubapa.

"Jika ibu, mereka tidak menjadi masalah sangat kerana mereka sentiasa rapat dengan anak-anak mereka. Oleh itu, kalau boleh kita sebagai bapa, jadikan anak-anak kita sebagai kawan supaya mudah bagi kita berinteraksi dan mengetahui segala permasalahan mereka," katanya.

Sabri juga mengingatkan ibubapa supaya tidak mengharapkan kepada guru-guru semata-mata dalam mendidik anak-anak kerana tugas mendidik juga terletak di tangan ibu-bapa.

"Kita sebagai ibubapa hendaklah memupuk anak-anak kita supaya menjadi manusia yang hebat, manusia yang baik dan manusia yang berguna.

"Pepatah Melayu ada mengatakan kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu saya berharaplah, jika kita mahu menjadikan anak-anak kita anak yang hebat, didiklah mereka dari awal-awal lagi," katanya ketika berucap merasmikan satu majlis di Sungai Tong, dekat sini, baru-baru ini.

 

Lawatan Muhibbah JKKK Kg.Tok Dor ke Bukit Wan.

SAMBUT...sebahagian daripada seramai 50 penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tok Dor, Hulu Terengganu yang melakukan lawatan muhibbah ke Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, baru-baru ini berkenal mesra dengan Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman (berdiri).

Lawatan itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan bertukar-tukar maklumat mengenai kedua-dua kampung terbabit.

Rombongan tiba.
Pelbagai acara diadakan pada majlis lawatan yang diadakan di Dewan PRT Bukit Wan antaranya ialah ucapan aluan dari Pengerusi JKKK kedua kampung itu dan pertukaran maklumat.

“Terima kasih saya ucapkan kepada kepada seluruh JKKK Kampung Tok Dor ke Batu Rakit atas kesudian mereka mengunjungi Kampung Bukit Wan ini.

“Semoga lawatan ini dapat terus mengukuhkan hubungan silaturrahim serta dapat memupuk ukhwah antara satu sama lain dan ianya juga di harap tidak akan berakhir demi kesejahteraan rakyat dan negeri Terengganu,” kata Bazlan. Oleh: Aminudin Ismail. 



 

16 December 2013

Sedia RM1.35 juta biayai pesakit kronik

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.35 juta bagi membiayai rawatan dan keperluan penduduk yang layak melalui Tabung Pesakit Kronik sepanjang tempoh enam bulan dan berakhir Oktober tahun ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, jumlah itu membiayai rawatan 788 penduduk yang menghidapi pelbagai penyakit kronik.

 Menurutnya, daripada jumlah itu, RM256,600 diperuntukkan kepada 158 pemohon yang menghidap penyakit buah pinggang.

 “Selain itu, kita bantu 132 orang yang menghidap penyakit jantung, dengan nilai bantuan keseluruhan adalah RM166,200. Manakala 79 orang penyakit kanser juga dibantu, dengan jumlah keseluruhan bantuan adalah RM123,750.

“Bagi lain-lain penyakit pula, kita ada 360 penerima bantuan, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM388,150 dan bagi bayaran bil-bil perubatan ialah sebanyak RM412,479.63, melibatkan 59 penerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kerusi roda elektronik kepada dua kakitangan kerajaan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini

Bantuan kerusi roda bernilai lebih RM9,000 seunit itu diberikan kepada Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi negeri yang kini berkhidmat di Wisma Darul Iman, Mat Rahim Daham, 55, dan Rosli Awang, 49, yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Pejabat Perbendaharaan Negeri.

 YB Muhammad Pehimi turut memberitahu, Tabung Pesakit Kronik adalah tabungan yang bernilai RM10 juta, yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan bukannya peruntukan sebanyak RM10 juta setiap tahun. “Saya perbetulkan tanggapan ini.

Sebenarnya, apabila digunakan, tabung ini akan susut dan bila susut, ia memerlukan tambahan. Maka kita akan buat tambahan baru.

 “Harapan kita, dengan adanya bantuan ini, ia boleh meringankan beban serta memudahkan penerima bantuan. Kita seboleh-bolehnya ingin membantu semua agar rakyat negeri ini sentiasa terbela,” katanya.

 

Maidam akan salur bantuan dalam bentuk keperluan asas

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bercadang memberi bantuan dalam bentuk keperluan asas menggantikan bantuan kewangan kepada fakir miskin di negeri ini, mulai tahun depan.

Pesuruhjaya Maidam, Dato’ Haji Rozali Salleh berkata, pihaknya mengakui ada sesetengah fakir miskin yang menyalahgunakan bantuan yang diberikan oleh Maidam.

“Ada fakir miskin yang mendapat bantuan bulanan Maidam bagaimanapun wang itu tidak digunakan untuk membeli barangan keperluan, sebaliknya dibelanjakan untuk perkara tidak bermanfaat,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, Maidam akan melancarkan program membeli barangan keperluan yang dikenali sebagai Program Kedai Runcit Asnaf secara besar-besaran mulai awal tahun depan.

 “Maidam sendiri akan membeli barangan keperluan asas berkenaan melalui kedai yang dilantik serta menghantarkannya ke rumah fakir miskin.

“Dijangkakan 100 kedai runcit terpilih di Terengganu akan terbabit dalam program ini dan mana-mana kedai runcit yang berminat untuk menjadi pembekal boleh memohon,” katanya.

Katanya, Maidam juga sedang menapis senarai nama penerima program yang layak dari pangkalan data e-Kasih bagi menyalurkan bantuan berkenaan yang bernilai hampir RM1 juta sebulan.

“Perbelanjaan setahun untuk program ini dianggarkan RM11.8 juta membabitkan 5,100 penerima,” jelasnya.

 

Kerajaan sedia insentif untuk nelayan dan petani

Oleh: Amirullah Othman

Kerajaan menyediakan pelbagai insentif kepada nelayan dan petani supaya dapat meningkatkan sara hidup golongan itu, sekali gus mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
YB A Latiff Awang bersama golongan petani dan nelayan di majlis penyerahan Bantuan AZAM Tani.
Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi Dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang, berkata bantuan seperti benih pokok, baja, wang sara diri, subsidi, diesel, pukat, gentian fiber , enjin bot, baju keselamatan, peti kecemasan diberikan untuk meringankan beban petani dan nelayan.

“Semua penerima sepatutnya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t dan berterima kasih kepada kerajaan BN yang selalu membantu rakyatnya dalam apa jua bentuk subsidi dan bantuan. Keperihatinan kerajaan haruslah dibalas pada PRU14,” katanya sempena penyerahan Bantuan AZAM Tani di Perkarangan Pejabat Perikanan Daerah Marang, kelmarin.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, berkata nelayan dan petani mesti bijak mengambil peluang untuk mencuba bidang-bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) lain seperti pembuatan kerepek, keropok, sate ikan dan sebagainya untuk menambahkan pendapatan sekeluarga.

Projek AZAM Tani adalah salah satu daripada inisiatif di bawah Program 1AZAM yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). KPWKM adalah peneraju kepada bidang keberhasilan utama Negara (NKRA) untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri pada 2010.

Projek itu dilaksanakan untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan sasar melalui pemberian bantuan projek ekonomi di dalam sektor tanaman, perikanan, penternakan, pemprosesan hasil tani, perniagaan hasil tani dan perkhidmatan pertanian.

 Ia juga untuk mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing golongan sasar di dalam bidang pertanian melalui latihan-latihan jatidiri, keusahawanan dan teknikal, selain membantu mengeluarkan peserta dari belenggu kemiskinan.


Jawatankuasa Masjid perlu ketepikan fahaman politik kepartian


Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh turut menerima sijil perlantikan sebagai Pengerusi  masjid Nasiruddin Shah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Jawatankuasa Masjid negeri ini perlu mengenepikan fahaman politik kepartian sebaliknya mengimarahkan tempat ibadah berkenaan sebagai pusat aktiviti agama setempat.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu,Dato’ Rozali Salleh berkata, semua masjid negeri ini dilarang keras mengadakan program berasaskan kepartian kerana ia akan menggangu urusan pentadbiran masjid

Katanya, semua pihak juga hendaklah mematuhi arahan bagi mempastikan masjid bebas daripada kegiatan berunsur politik selain mengelak daripada memecahbelahkan masyarakat Islam.

Menurutnya, jawatankuasa masjid berperanan untuk mengurus tadbir hal pentadbiran supaya berjalan lancar tanpa gangguan mana-mana pihak.

“Perbincangan berkaitan politik biarlah dilakukan di luar kerana ia akan diselesaikan oleh pemimpin politik sendiri,” katanya ketika merasmikan majlis penyerahan sijil kepada ahli jawatankuasa masjid daerah Besut semalam.

Pada majlis itu seramai 1,200 ahli jawatankuasa baru mewakili 81 masjid seluruh daerah Besut menerima sijil pada majlis yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong, dekat Jertih.












Rozali berkata, jawatankuasa juga perlu mengadakan mesyuarat pengurusan bulanan bagi mengetahui masalah yang dihadapi oleh imam dan bilal serta meningkatkan program untuk kariah setempat.

500 sukarelawan turun padang bantu mangsa banjir di Hulu Dungun

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 500 sukarelawan Umno daerah Dungun serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan turun padang untuk membersihkan penempatan yang dilanda banjir sekitar kawasan Hulu Dungun.

Malah, 80 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi serta Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) turut menyertai para sukarelawan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menjayakan Program Misi Bantuan Bencana Dun Bukit Besi itu.

Ahli Dewan Undangan Bukit Besi, YB Roslee Daud berkata, untuk program berkenaan, pihaknya memperuntukkan lebih dari RM100,000 bagi membeli barangan keperluan makanan untuk 1,150 keluarga mangsa banjir yang terjejas antaranya beras, gula, susu serta tepung.

 “Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Minda, Kampung Tepus, Kampung Kuala Jengai, Kampung Jongok Batu serta Kampung Rantau Panjang,” ujarnya kepada pemberita sempena Program Misi Bantuan Bencana Dun Bukit Besi, baru-baru ini.

Menurut YB Roslee yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri berkata, memandangkan Hulu Dungun merupakan kawasan yang terjejas teruk setiap kali banjir melanda, pihaknya akan mengambil tindakan untuk memperbaiki dan menyediakan fasiliti yang lebih baik kepada penduduk.

"Memang kawasan di sini terjejas teruk setiap kali musim banjir, dan masalah utama disebabkan sistem saliran yang tidak sempurna, jadi kita akan cuba memperbaiki sistem saliran di kampung-kampung yang terlibat supaya tidak banyak yang terjejas sekiranya banjir kembali melanda,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi memberi keselesaan kepada penduduk, fasiliti di pusat pemindahan juga akan dipertingkatkan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir pada masa akan datang.

YB Roslee berkata, pihaknya juga akan cuba untuk memindahkan beberapa buah rumah penduduk yang terletak di kawasan yang terlalu rendah ke kawasan yang lebih tinggi dan selamat.

 "Seperti di Kampung Pasir Raja dan Minda, ada penduduk yang tinggal di kawasan yang terlalu rendah, dan kita akan buat pemindahan ke kawasan yang tinggi untuk persediaan menghadapi musim tengkujuh,” katanya.

 

Skuad Prihatin Ukom - program serampang dua mata

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh

Skuad Prihatin Unit komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) melancarkan program serampang dua mata apabila turun padang merakamkan perkembangan di beberapa penempatan serta membantu meringankan penderitaan mangsa akibat bencana banjir di Kemaman, semalam.
Sedikit sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir
Program yang diketuai Timbalan Pengarah (Operasi) Ukom, Encik Ruslan Abd Rahman serta 20 kakitangan itu, mendapat kerjasama Manis FM serta Skuad Sayang Wanita Umno Bahagian Kemaman.

Turut serta, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Ukom, Encik Mohd Razif Abdul Majid; Naib Ketua Wanita Umno Kemaman, Puan Hajah Rosmiza Mokhtar; Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Kemaman serta sekumpulan kakitangan ManisFM.

En. Ruslan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir
Skuad berkenaan meninjau dan menyampaikan bantuan makanan kepada 40 ketua keluarga di sekitar Chukai sepanjang program yang bermula dari jam 12 tengahari sehingga 6 petang itu.

Keadaan rumah penduduk yang terjejas banjir
Encik Ruslan berkata, pihaknya terpanggil untuk bersama-sama membantu mangsa bencana alam di Kemaman selepas melihat kesengsaraan penduduk yang terpaksa berhempas-pulas membersihkan kediaman dan perkakas rumah akibat ditenggelami air.

“Walaupun peranan dan kehadiran kami mungkin tidak mampu membantu ramai mangsa, tetapi sekurang-kurangnya Skuad Prihatin Ukom dapat menyelami isi hati, bertanya khabar dan menghulurklan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang sedang dihadapi mereka.

keperluan asas seperti makanan besar nilainya kepada mangsa banjir
“Melalui program seumpama ini juga membuktikan Ukom bukan sekadar menjadi jambatan dan medium bagi menyebar luas segala fungsi dan kegiatan kerajaan menerusi produk yang dihasilkan, Ukom juga turun padang sebagai menjalankan tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Menurutnya, program yang menjadi serampang dua mata kepada Ukom dengan kerjasama agensi kerajaan dan juga Pertubuhan Bukan Kerajaan yang lain akan diteruskan pada masa depan.