Eksklusif oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam atau CUEPACS, tidak sekali-kali akan membela jika terdapat mana-mana anggota perkhidmatan awam yang terlibat dengan himpunan atau demonstrasi haram atas nama apa sekali pun, kata Presidennya, Azih Muda.
“Mereka sebagai penjawat awam sepatutnya tidak terlibat dengan aktiviti di luar kerangka tugas selaku penjawat awam,” katanya kepada Pengarang Teganukita sewaktu mengadakan pertemuan khas di Pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu.
Mereka tentu tahu tentang peraturan dan perintah am perkhidmatan awam di bawah Bab D berkaitan kesalahan dan tatatertib, kata beliau yang begitu tegas dalam hal ini menyokong agar pihak kerajaan menguatkuasakan peraturan jika terbukti ada anggota perkhidmatan awam yang terlibat dengan salah laku.
Azih mengulas kejadian himpunan atau demonstrasi haram oleh perusuh yang kononnya hendak mengguling atau menjatuhkan kerajaan malam tadi 31 Ogos di beberapa tempat awam termasuk di ibu kota Kuala Lumpur.
Sambutan Ambang Tahun Baharu 2014 Kuala Lumpur anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Dataran Merdeka terpaksa dihentikan pukul 11.30 malam ini, 30 minit sebelum kemuncaknya berikutan tindakan liar penyokong himpunan guling kerajaan merusuh dan menceroboh kawasan pentas utama.
Malam tadi pengacara majlis terpaksa mengumumkan pembatalan sambutan tahun baru termasuk pertunjukan bunga api, hanya 30 minit sebelum detik 12 tengah malam menandakan bermulanya 1 Januari 2014, berikutan perusuh membaling objek ke arah pentas utama.
Ketika itu, Orkestra DBKL sedang mengadakan persembahan apabila tiba-tiba perusuh berbaju hitam menyerbu pentas utama.
Selain itu, beberapa kenamaan termasuk Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dilihat telah meninggalkan tempat duduk masing-masing.
Orang awam yang hadir semata-mata ingin menyaksikan persembahan dan pertunjukan bunga api juga terpaksa memilih untuk pulang awal untuk mengelakkan sebarang kemungkinan. -
Para perusuh berbaju hitam masih meluru ke arah pentas utama, membaling objek dan menjerit-jerit menghina kerajaan.
Azih menegaskan, “ kita telah berikrar dan buat akuan sumpah untuk menjalankan tugas sebagai anggota perkhidmatan awam dan kita perlu amanah dan bertanggungjawab kepada kerajaan yang telah melantik dan menggajikan kita”.
“CUEPACS tidak akan sekali kali membela anggota perkhidmatan awam yang sekiranya didapati bersalah, terutama yang boleh memusnahkan negara,” katanya.
“Oleh itu saya nasihatkan agar semua anggota perkhidmatan awam tidak membabitkan diri dalam sebarang perhimpunan haram dan kegiatan-kegiatan yang boleh memusnahkan negara kerana sebagai anggota perkhidmatan awam kita sebenarnya telah banyak mendapat faedah hasil dari keamanan dan kemajuan negara,” kata Azih.