HUBUNGAN YANG AKRAB BAHKAN PERCINTAAN DAN PERKAHWINAN ORANG KEMAMAN DENGAN ORANG DI KEPULAUAN NATUNA.
Eksklusif daripada: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita
BAHAGIAN KE 3.
Teni binti Abdul Manan, 49 dahulunya gadis Kepulauan Natuna yang kini menetap di Chukai Kemaman berasa amat bahagia bersuamikan orang Kemaman.
Kira-kira 34 tahun yang lalu datang ke Chukai Kemaman, menaiki bot nelayan dari Terengganu untuk mencari penghidupan baru.
Biarpun terpaksa mengharungi badai gelombang di tengah lautan, dia yang baru berusia 15 tahun waktu itu nekad bahawa di hujung sana ada negeri lain yang boleh memberi suatu sinar baru bagi kehidupannya yang sunyi di pulau yang bersetentangan bandar Chukai Kemaman di tengah-tengah Laut China Selatan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.
Namun, pulau tempat asalnya itu, Seluang (antara pulau dalam gugusan Natuna) adalah di bawah jajahan takluk Indonesia, meskipun hatinya begitu mencintai Malaysia dan sebuah negeri yang bernama Terengganu. Kini cintanya kepada Terengganu Malaysia menjadi kenyataan apbila bersuamikan Kamarunzan awal 50 an, orang Kemaman Terengganu.
Cintanya kepada Kamaruzan adalah cintanya juga kepada Terengganu, malah beliau sanggup 48 jam bertarung dengan gelombang di lautan demi kasih sayangnya pada Kamaruzan lelaki Kemaman yang berjaya mencuri hatinya.
Zuriat pertama yang dilahirkan hasil percintaan suci Teni-Kamaruzan diberi nama Deby Marindo (kini menetap di Shah Alam).
Deby yang kini telah berusia 27 tahun dilahirkan di kampung halaman ibunya Teni di Pulau Seluang, Natuna kerana sebaik sahaja mengandung tiga bulan, Teni menjadi terlalu rindu kepada orang tuanya di pulau Seluang, Natuna.
Beliau sewaktu mengandung tiga bulan bersama ibubapa yang menaiki bot nelayan ke Chukai Kemaman di pulang ke Seluang menumpang nelayan Kemaman yang pergi ke sana, dengan harapan suaminya datang mengambilnya kembali.
(Sebelumnya ayah dan ibu yang rindukan anaknya Teni itu sanggup datang ke Chukai dengan menumpang bot nelayan).
Akhirnya dia melahirkan anak sulung, yang dinamakan Deby itu tanpa suami di sini.
Dua tahun kepulangannya semula ke Pulau Seluang Natuna, itu tanpa khabar berita tentang suaminya.
“Bagi Teni, Teni fikir sebenarnya sudah berpisah, tiada harapan lagi dan biarlah Teni kembali bersendiri bersama anak hasil perkahwinan sahnya dengan Kamaruzan,” katanya mengenang peristiwa pilu dalam hidupnya yang lalu itu.
Tanpa di duga, suatu hari dia menerima sepucuk surat yang disampaikan oleh nelayan Kemaman yang datang ke pulau itu yang kebetulan kawan suaminya dengan lukiksan wajah berairmata yakni orang dalam kesedihan dan derita.
Lalu dia berpesan kepada kawan suaminya itu, bahawa dia masih mencintai dan mengingati suaminya dan menunggu biarpun berapa lama sekalipun.
Kawan kepada suaminya itu kembali ke Kemaman membawa khabar itu kepada Kamaruzan suami Teni di Chukai Kemaman.
Lantas Kamaruzan mengambil keputusan nekad menaiki bot nelayan dari Kemaman itu terus ke pulau Seluang, Natuna untuk membawa pulang kembali Teni ke Chukai Kemaman, termasuklah anak mereka, Deby Marindo yang dilahirkan oleh Teni di pulau itu.
Teni yang pernah bekerja di Kampung Air, Kemaman kini bersama Kamaruzan dan anak serta cucunya begitu bahagia sekali.
Teni ketika ditemubual Pengarang Teganukita kita yang membongkarkan hubungan Kepulauan Natuna dengan nelayan Kemaman ini menyatakan, baginya Natuna dan Terengganu adalah sebahagian dari sejarah kehidupannya.
Kisah ini penulis abadikan bagi menggambarkan betapa eratnya hubungan penduduk Chukai, Kemaman, khususnya nelayan dengan kepulauan itu. Hubungan dua tempat yang berlainan pemerintah itu adalah suatu kenyataan bukannya fantasi.
(ikuti di bahagian ke 4 . penceritaan Rumiza, 25 tahun anak Teni tentang Natuna tanah asal ibunya dan tentang Chukai Kemaman yang menjadi tempat tinggalnya sekarang).