Halaman

06 January 2014

Ibu Damia korban masa, cuti enam bulan tanpa gaji

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Rosnaini berkorban masa cuti enam bulan
bagi menguruskan anak istimewanya, Nur
Damia Irsalina sehingga mampu menyesuaikan
diri di sekolah.
Walaupun dilahirkan tanpa kaki dan tangan serta menjadi perhatian rakan-rakan di sekolah, Nur Damia Irsalina Daeng Malis 7, tetap bersemangat untuk meneruskan rutinnya ke sekolah setiap pagi.

Menurut ibunya, Rosnaini Mohamad, 36, Nur Damia menunjukkan perkembangan positif dan mampu menyesuaikan diri walaupun baru empat hari bersekolah di Sekolah kebangsaan Kuala Telemong, Hulu Terengganu itu.

"Dia bersemangat untuk ke sekolah dan bangun awal setiap hari. Saya juga bersyukur kerana pihak sekolah, guru-guru serta kawan-kawan juga banyak membantu Nur Damia. Suasana ini banyak mempengaruhi emosinya dan semangat anak saya untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Puan Rosnaini jururawat di Pusat Kesihatan Kuala Telemong kini terpaksa mengambil cuti enam bulan bagi menguruskan kehidupan dan aktiviti Nur Damia sepanjang di sekolah terutama ketika di kantin dan tandas.

Katanya, dia terpaksa berkorban masa dan tenaga serta bercuti panjang bagi memberi sepenuh perhatian kepada anak istimewanya itu sebelum mendapat khidmat seorang pembantu bagi menemani dan membantu pergerakan Nur Damia selepas ini.

 "Setakat ini, saya akan memantau dan membantu pergerakannya sementara mendapat seorang pembantu bagi mengurus anak saya ini.

 “Saya terpaksa bercuti tanpa gaji, walaupun jika bekerja saya juga dapat berulang-alik ke sekolahnya yang tidak jauh dari tempat kerja saya. Bagaimanapun, sekiranya perlu ke luar kawasan dan berkursus sepanjang tempoh enam bulan ini, ia pasti menyulitkan lagi keadaan,” katanya.

Nur Damia, anak ketiga dari empat beradik kepada pasangan suami  isteri Dr Daeng Malis Ab Kahar , 43, dengan Rosnaini lahir pada 30 Jun 2007 tanpa kaki dan tangan,  mendapat liputan meluas media berikutan semangat kentalnya  untuk bersekolah seperti murid normal yang lain.

Dia  yang membahasakan diri sebagai 'Kak Nik' itu  tidak kekok menulis dan  petah bercakap, selain tidak teragak-agak menjawab soalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib dan Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Rozi Mamat yang melawat sekolah berkenaan  pada hari pertama persekolahan, baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu, YB Ghazali berkata, pihaknya akan memanggil ahli akademik dari Kolej Universiti TATi untuk membantu Nur Damia Irsalina terutama dalam menambah baik kerusi roda untuk kegunaan murid tersebut serta kemudahan lain.

Ibu dan bapanya seorang pegawai perubatan di Universiti Malaysia Terengganu sudah melakukan pelbagai persediaan termasuk menyediakan kerusi roda bermotor yang ditempah khas berharga RM10,000 daripada pengasas Zull Design Autotronic, Zulkifli Haron, selain bantuan pihak sekolah yang menyediakan laluan khas bagi memudahkan pergerakan anaknya itu.


 

ISU GURU KAFA: HAJI KAMRUL AMIN YIT JAWAB SATIPU BAHRI MAMAT

“SAYA YAKIN SAYA DI PIHAK YANG BENAR, SEGALANYA IKUT PROSEDUR DAN PERATURAN”
 Wawacara Eksklusif Ruslan Rahman Pengarang Teganukita dengan Pengarah YIT ,pada pagi ini 6 Januari 2014. 


 “Kita tidak sambung kontrak pekhidmatan kepada mana-mana guru KAFA yang didapati gagal mematuhi prosedur, arahan kerja dan melanggar disiplin, tidak kira penyokong Umno ke, Pas ke, PKR ke, persoalannya mereka yang tidak disambung itu gagal mematuhi skop dan prosedur kerja yang ditetapkan,” kata Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Mohd Kamarul Amin Ismail kepada Pengarang Teganukita.
 Beliau mengulas tentang isu guru-guru Kelas Agama dan Fardhu Ain(KAFA) di Terengganu yang tidak disambung kontraknya.
 Katanya, YIT ada Pegawai Penyelia yang membuat seliaan ke atas tugas-tugas guru berkenaan setelah dilantik setiap tahun, jadi semua perjalanan kerja, disiplin dan pematuhan tugas setiap guru ada dalam rekod.  Rekod itu kita semak dari masa ke semasa, terutama di penghujung tahun untuk menentukan semula kelayakan mereka sama ada layak atau tidak disambung tugas untuk tahun seterusnya.
 Dimaklumkan terdapat kira-kira 3,300 orang guru KAFA di seluruh Terengganu di samping 3,200 orang Guru Khidmat Masyarakat di bawah Yayasan Islam Terengganu.
 Guru KAFA biasanya mengajar di sebelah petang di beberapa buah sekolah rendah di negeri ini, manakala Guru Khidmat Masyarakat yang mengajar di kelas-kelas persendirian, di surau, masjid dan sebagainya, termasuk yang mengajar agama, ceramah agama dan kelas-kelas berzanji.
Guru KAFA dengan bayaran elaun sebanyak RM800 berdasarkan tugas mengajar selama 3 jam sehari, 9 jam seminggu dan 36 jam sebulan.

Pengarang: Jadi bukan disebabkan parti mereka tidak disambung?

Pengarah YIT : Ye, kita ada senarai kerja yang harus ditunaikan dengan sebaiknya serta mematuhi peraturan/disiplin oleh mereka yang dilantik setiap tahun sebagai guru KAFA ini.

 Pengarang: Ada orang Umno juga tidak disambung atau orang Pas atau pembangkang sahaja?

Pengarah YIT: Mana ada peraturan begitu, peraturan kita berdasarkan prosedur kerja dan peraturan serta disiplin yang dibuat untuk memastikan mereka menjalankan tugas dengan amanah dan tidak membazirkan wang peruntukkan yang digunakan untuk membayar elaun mereka.

Pengarang: Berapa peruntukan semua dan bila sebenarnya wujudnya kelas dan guru KAFA ini?

 Pengarah YIT: Setiap tahun RM35 juta dibelanjakan untuk membayar elaun mereka, suatu jumlah yang agak besar, bukan sedikit, itupun yang kita Yayasan Islam dapat peruntukkan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia- JAKIM. Dulu sebelum JAKIM, Kerajaan Negeri Terengganu tanggung sepenuhnya yang dinamakan Kelas Agama Petang.
 Kelas seumpama ini telah lama diwujudkan, dulu kebanyakan kelas-kelas berjalan secara sukarela, Cuma YIT dan kerajaan negeri peka kepada kepentingan agama dan rakyat, langkah membayar elaun diadakan, itu sejarahnya.

 Pengarang: Jadi Tuan nafikanlahlah mereka ini tidak disambung semata-mata kerana politik kepartian sebagaimana kenyataan Pesuruhjaya Pas Terengganu Satiful Bahri Mamat?

Pengarah YIT: Ya, saya katakan itu tidak benar berasaskan apa yang telah saya huraikan tadi. Tapi saya tidak tahulah mereka yang dipecat itu ahli atau penyokong kepada mana-mana parti dan mereka pergi melaporkan kepada pemimpin parti mereka bila menghadapi masalah. Apa yang saya jalankan ialah untuk memastikan guru KAFA menjalankan tugas dengan amanah dan sempurna, apatah lagi saya juga kena bertanggungjawab kepada JAKIM yang memberikan peruntukan bayaran elauan guru-guru KAFA itu.

Pengarang: Ada juga guru-guru khidmat masyarakat yang tidak diteruskan selain guru KAFA dan adakah kerana masalah yang sama?

Pengarah YIT: Ya memang ada, termasuk di kalangan penyokong Umno, tetapi jika mereka didapati tidak layak kita tidak sambung, bukan kira parti pun. Ini kerana ia banyak prosedur kerja, terutama guru-guru KAFA yang perlu membuat skop mengajar, hadir kelas dan patuhi peraturan yang ditetapkan. Kita ada Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu, maknanya kita membuat keputusan secara mesyuarat secara sah, bukan kuasa pengarah dan pegawai sahaja untuk menentukan.

 Pengarang: Tahukah Tuan dengan kenyataan Pesuruhjaya Pas, Satipul Mamat bahawa Pengarah YIT tidak harus menanggung dosa pemimpin Umno, malah menambah dosa peribadi dengan bercakap tidak benar?

Pengarah YIT:  Saya yakin saya di pihak yang benar. Saya dah jelaskan banyak tadi tentang prosedur, peraturan dan keputusan melalui mesyuarat Lembaga bukan saya buat keputusan atas nafsu dan kepentingan diri saya. Dulu pun ramai yang tidak sambung kontrak, tiada masalah pun, kenapa sekarang dijadikan isu.




Pertandingan perarakan sempena Maulidur Rasul

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan menganjurkan pertandingan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul pada 14 Januari ini bersamaan 12 Rabiul Awal 1435H.

Dengan jarak laluan 2.4 kilometer, perarakan bermula di Dataran Shahbandar melalui Jalan Sultan Zainal Abidin, Bulatan Batu Bersurat, Jalan Sultan Mahmud dan berakhir di Stadium Negeri.

Sebanyak tujuh kategori yang akan dipertandingkan iaitu perarakan yang melibatkan jabatan kerajaan negeri dan Badan Berkanun Negeri, jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan, pasukan sekolah menengah, IPTA/IPTS, pasukan beruniform, syarikat-syarikat terpilih, badan pertubuhan bukan kerajaan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka turut menyertai perarakan ini bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 

05 January 2014

CHUKAI KEMAMAN TERLALU DEKAT DI HATI PENDUDUK KEPULAUAN NATUNA DAN SEBALIKNYA PULAU NATUNA DEKAT DI HATI PENDUDUK CHUKAI KEMAMAN, KHUSUSNYA NELAYAN


HUBUNGAN YANG AKRAB BAHKAN PERCINTAAN DAN PERKAHWINAN ORANG KEMAMAN DENGAN  ORANG DI KEPULAUAN  NATUNA.

Eksklusif daripada: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita

BAHAGIAN KE 3.

Teni binti Abdul Manan, 49 dahulunya gadis Kepulauan Natuna yang kini menetap di Chukai Kemaman berasa amat bahagia bersuamikan orang Kemaman.
 Kira-kira 34 tahun yang lalu datang ke Chukai Kemaman, menaiki bot nelayan dari Terengganu untuk mencari penghidupan baru.
  Biarpun terpaksa mengharungi badai gelombang di tengah lautan, dia yang baru berusia 15 tahun waktu itu nekad bahawa di hujung sana ada negeri lain yang boleh memberi suatu sinar baru bagi kehidupannya yang sunyi di pulau yang bersetentangan bandar Chukai Kemaman di tengah-tengah Laut China Selatan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.
Namun, pulau tempat asalnya itu, Seluang (antara pulau dalam gugusan Natuna) adalah di bawah jajahan takluk Indonesia, meskipun hatinya begitu mencintai Malaysia dan sebuah negeri yang bernama Terengganu.  Kini cintanya kepada Terengganu Malaysia menjadi kenyataan apbila bersuamikan Kamarunzan awal 50 an, orang Kemaman Terengganu.
 Cintanya kepada Kamaruzan adalah cintanya juga kepada Terengganu, malah beliau sanggup 48 jam bertarung dengan gelombang di lautan demi kasih sayangnya pada Kamaruzan lelaki Kemaman yang berjaya mencuri  hatinya.
 Zuriat pertama yang dilahirkan hasil percintaan suci Teni-Kamaruzan diberi nama Deby Marindo (kini menetap di Shah Alam).
 Deby yang kini telah berusia 27 tahun dilahirkan di kampung halaman ibunya Teni di Pulau Seluang, Natuna kerana sebaik sahaja mengandung tiga bulan, Teni menjadi terlalu rindu kepada orang tuanya di pulau Seluang, Natuna.

 Beliau sewaktu mengandung tiga bulan bersama ibubapa yang menaiki bot nelayan ke Chukai Kemaman di pulang ke Seluang menumpang nelayan Kemaman yang pergi ke sana, dengan harapan suaminya datang mengambilnya kembali.
  (Sebelumnya ayah dan ibu yang rindukan anaknya Teni itu sanggup datang ke Chukai dengan menumpang bot nelayan). Akhirnya dia melahirkan anak sulung, yang dinamakan Deby itu tanpa suami di sini. Dua tahun kepulangannya semula ke Pulau Seluang Natuna, itu tanpa khabar berita tentang suaminya.
  “Bagi Teni, Teni fikir sebenarnya sudah berpisah, tiada harapan lagi dan biarlah Teni kembali bersendiri bersama anak hasil perkahwinan sahnya dengan Kamaruzan,” katanya mengenang peristiwa pilu dalam hidupnya yang lalu itu.
 Tanpa di duga, suatu hari dia menerima sepucuk surat yang disampaikan oleh nelayan Kemaman yang datang ke pulau itu yang kebetulan kawan suaminya dengan lukiksan wajah berairmata yakni orang dalam kesedihan dan derita.
  Lalu dia berpesan kepada kawan suaminya itu, bahawa dia masih mencintai dan mengingati suaminya dan menunggu biarpun berapa lama sekalipun.
 Kawan kepada suaminya itu kembali ke Kemaman membawa khabar itu kepada Kamaruzan suami Teni di Chukai Kemaman.
 Lantas Kamaruzan mengambil keputusan nekad menaiki bot nelayan dari Kemaman itu terus ke pulau Seluang, Natuna untuk membawa pulang kembali Teni ke Chukai Kemaman, termasuklah anak mereka,  Deby Marindo yang dilahirkan oleh Teni di pulau itu. Teni yang pernah bekerja di Kampung Air, Kemaman kini bersama Kamaruzan dan anak serta cucunya begitu bahagia sekali.
 Teni ketika ditemubual Pengarang Teganukita kita yang membongkarkan hubungan Kepulauan Natuna dengan nelayan Kemaman ini menyatakan, baginya Natuna dan Terengganu adalah sebahagian dari sejarah kehidupannya.
 Kisah ini penulis abadikan bagi menggambarkan betapa eratnya hubungan penduduk Chukai, Kemaman, khususnya nelayan dengan kepulauan itu. Hubungan dua tempat yang berlainan pemerintah itu adalah suatu kenyataan bukannya fantasi.
 (ikuti di bahagian ke 4 . penceritaan Rumiza, 25 tahun anak Teni tentang Natuna tanah asal ibunya dan tentang Chukai Kemaman yang menjadi tempat tinggalnya sekarang).





Sistem agihan baharu bekalan air di Kemaman


Satu sistem agihan baharu bekalan air akan dilaksanakan dengan menakung bekalan di daerah Kemaman bagi mengelakkan masalah air tidak mencukupi di daerah itu menjelang tahun 2020.

Menteri Besar, Dato'  Seri haji Ahmad Said, berkata pihaknya mengambil langkah awal memandangkan pertumbuhan pesat industri di kawasan berkenaan.

"Untuk permulaan, kita akan sambung bekalan air dari kawasan Perindustrian Kerteh ke kawasan Perindustrian Teluk Kalong melibatkan bekalan dari loji petronas di Dungun dengan kos pemasangan paip sebanyak RM50 juta dan akan dilaksanakan pada tahun ini.

"Dari segi jangka masa panjang, bila beberapa lagi kilang besar akan dibina kita menjangkakan bekalan air di daerah ini tidak mencukupi sebab kita tahu bahawa pembangunan di Kemaman yang melibatkan kawasan industri dan perumahan bagaikan cendawan tumbuh.

 "Untuk itu kita terpaksa mengadakan satu sistem agihan baru untuk menakung air dan ia melibatkan kos RM400 juta," katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, seorang perunding telah dilantik untuk membuat kajian terperinci mengenai projek tersebut.

25 Pelajar miskin di DUN Kuala Besut dapat perhatian Menteri.


Idris menggunakan motosikal roda tiga mengunjungi rumah pelajar miskin.

Oleh: Mohammad Ishak 

Masalah membiayai kos persekolahan yang dihadapi golongan miskin di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, mendapat perhatian Menteri Pendidikan II, Dato' Seri Idris Jusoh, yang turut padang menyampaikan bantuan kewangan kepada pelajar terbabit.

Seramai 25 pelajar miskin yang disenaraikan oleh pihak guru besar dan pengetua sekolah di DUN berkenaan diberi bantuan segera bagi menyelesaikan masalah dihadapi sempena pembukaan sekolah kelmarin.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut turut padang dan menyampaikan sendiri bantuan berkenaan dari rumah ke rumah dan menemui pelajar serta ibu bapa berkenaan.

Paling menarik Idris bergerak dengan menggunakan motosikal roda tiga yang turut disertai ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Pada program itu pelajar terpilih akan menerima RM500 dan RM1,000 berdasarkan keadaan kehidupan keluarga masing-masing.

Menurut Idris, kementerian tidak mahu mendengar ada laporan mengenai isu pelajar miskin yang tidak dapat belajar di sekolah negera ini.

Katanya, pemimpin terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen yang mempunyai butiran jika ada pelajar di kawasan masing-masing menghadapi masalah kemiskinan diminta menghubungi kementerian untuk diberi bantuan.

“Sehingga ini hampir 100 pelajar yang benar-benar menghadapi masalah kemiskinan untuk menyambung belajar sudah diberi bantuan di tiga DUN di Parlimen Besut,” katanya.

Risda perkenal TS Online - TS 14 untuk peserta

Oleh: Mastura Jamaldin

Risda memperkenalkan `TS Online-TS 14' bagi memudahkan pekebun kecil membuat permohonan semula sebagai peserta bermula tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan )Risda, Haji Mohamat Muda, berkata menerusi kecanggihan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) peserta boleh memohon semula menerusi talian internet walaupun berada di rumah bagi mendapat kelulusan serta merta tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti biasa.

“Pada masa yang sama, kita juga mempertingkatkan kemahiran kakitangan Risda dengan menghantar mereka menyertai kursus yang dianjurkan terutama mengenai GAP supaya lebih banyak transformasi dilakukan.

“Selain itu juga, RISDA yang ditubuhkan lebih daripada 40 tahun lalu adalah lanjutan daripada Lembaga Perusahaan Getah yang ditubuhkan pada 1953. Malah, sejak itu, pelbagai transformasi dilakukan untuk menjadikan agensi itu lebih hebat selaras dengan perkembangan semasa,” katanya ketika berucap sempena merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Tanam Semula Peringkat RISDA Negeri Terengganu di daerahHulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Risda negeri Terengganu, Rusly Yaacob dan pekebun-pekebun kecil.

Dalam pada itu, Risda memperuntukkan 2,410 hektar melibatkan perbelanjaan RM13.4 juta untuk pekebun kecil getah mengusahakan tanaman itu pada tahun ini. Jumlah itu meningkat pada tahun ini, berbanding 1,650 hektar pada tahun lalu.

“Pertambahan kawasan getah itu juga disokong dengan kempen penorehan dan penghasilan yang diperkenalkan pada tahun ini .

 “Kempen bertujuan untuk memastikan setiap kebun akan menghasilkan susu getah yang berkualiti melalui amalan pertanian yang betul dan baik,” katanya.


Futsal tertutup Padang Kemunting meriah.

Kenangan..pemain final veteran bergambar kenangan bersama Bazlan (enam dari kanan).
Teks dan gambar: Aminudin Ismail. 

BATU RAKIT: Penyertaaan beberapa pemain veteran dengan pelbagai aksi ketika di padang untuk kategori JKKK memeriahkan Kajohanan Futsal Tertutup Zon Padang Kemunting, yang diadakan di Dewan Futsal kampung itu, dekat sini, semalam.

Kejohanan yang disertai kira-kira 30 pasukan itu terbahagi kepada lima kategori iaitu Sekolah Menengah (SM), Sekolah Rendah (SK), Pemuda, Wanita dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Zakaria..acara tahunan.
Jurucakap Penganjur, Zakaria Abdul Rahman, berkata kejohanan yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara JKKK dengan golongan belia itu berlangsung selama dua hari.

"Sambutan penduduk terhadap kejohanan ini begitu mengalakan dan kita bercadang akan menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan pada masa depan.

"Kami amat berterima kasih kepada YB Bazlan (Adun Batu Rakit) kerana sudi hadir untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang dan kehadirannya pada petang kelmarin juga menyuntik semangat pemain untuk bermain dengan bersungguh-sungguh pada perlawanan akhir kejohanan itu," katanya.

Zakaria berkata, JKKK Gelong Gajah menjadi johan bersama JKKK Pancur Kuin untuk kategori JKKK manakala kategori Pemuda pula, johan ialah pasukan 'Inter Milan'yang menewaskan 'Parma'.

"Wanita pula, johan ialah pasukan 'Thailand' yang menang ke atas 'Malaysia'. Kategori sekolah rendah, johan ialah 'Selangor', naib johan 'Kelantan' manakala Sekolah Menengah pula dimenangi 'Chelsea' yang menewaskan 'Mancester City'," katanya.

Gol..aksi jaringan pasukan vateran.

Tengok..sebahagian penonton yang hadir.
Sedia..pasukan pemuda sedia berentap.

Johan..Bazlan menyampai hadiah pemenang kategori vateran.

Menang..pemenang kategri sekolah rendah terima hadiah.

 

RM200 cukup bermakna buat golongan belia

Oleh: Noraini Jusoh

Wang tunai sebanyak RM200 yang diberikan Kerajaan Terengganu kepada golongan bujang berusia 21 hingga 40 tahun melalui Program Dana Bakti Remaja cukup bermakna buat golongan belia.
Nurul Sawani, 22, dan Nurul Afizatul Atikah,22, menyifatkan pemberian dana tersebut merupakan tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada golongan remaja seperti mereka.

“Kami bangga menjadi anak Terengganu kerana mempunyai kerajaan yang sentiasa membantu rakyat termasuk golongan remaja,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Dana Bakti Remaja (Dun Kijal) yang dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad bin Said di Dewan Sivik Kijal, Kemaman, baru-baru ini.

Bagi Abdul Razak Husin,23, berkata, wang yang diperolehnya itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan sehariannya.

“Saya hanya bekerja ladang dan duit ini sedikit sebanyak dapat membantu saya membeli barang keperluan harian untuk saya dan ayah,” katanya.

Norhayati Abd Ghani,22, pula berkata, wang tunai RM200 itu cukup bernilai kepada dirinya.

“Saya bersyukur dengan rezeki ini dan bercadang untuk menyimpan wang yang diberikan oleh kerajaan negeri,” ujarnya yang pertama kali menerima dana tersebut.

Adli Mohamad, 29, berkata, wang yang diperolehi itu akan digunakan bagi meringankan beban kedua ibu bapanya dengan membeli barang keperluan dapur.

 

Kerajaan negeri sokong langkah penjimatan Kerajaan Pusat


Kerajaan negeri menyokong langkah berjimat-cermat yang dilaksanakan Kerajaan Pusat dalam usaha mengamalkan perbelanjaan lebih berhemah.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata Terengganu akan turut melaksanakan langkah sebagaimana Kerajaan Pusat itu bagi menjimatkan perbelanjaan kewangan negeri.

"Malah kitapun sebelum ini telah mengamalkan jimat cermat seperti yang pernah saya sebut semasa pembentangan bajet tempoh hari," katanya di Kemaman, kelmarin.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata kerajaan negeri akan mengkaji dari semasa ke semasa perbelanjaannya berasaskan keperluan sebagaimana apa yang disarankan Kerajaan Pusat.

Katanya langkah berjimat cermat itu penting bagi mengelak sebarang pembaziran.

Sementara itu mengulas tentang pemberhentian 300 guru al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT),  Dato' Seri Haji Ahmad berkata penamatan kontrak guru itu berdasarkan prestasi mereka dan peraturan yang ada.

"Mereka yang tidak mempunyai prestasi yang bagus selain bermasalah, maka kontrak mereka tidak akan disambunglah.

"Jangan anggap kerja kontrak ini kekal sampai bila-bila. Mereka ini ada penilaian dan ukuran prestasi yang dibuat YIT. Kalau tidak boleh didik anak bangsa dengan baik, maka kontrak mereka tidak akan disambung," katanya.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata kerajaan mahu guru Kafa berwibawa yang mampu mendidik anak bangsa dengan baik.

Katanya penamatan itu disebabkan pemarkahan oleh YIT yang mempunyai syarat dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi guru berkenaan.

"Kalau dia tidak boleh didik dengan baik dan maki hamun orang, ini bukan satu contoh yang baik," katanya.