Oleh: Aida Abd Rahman
Nasib malang sepasang suami isteri warga emas yang hidup di rumah uzur di tanah milik orang hampir 50 tahun lalu akhirnya terbela apabila mendapat rumah baharu menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), di Penempatan PPRT Nelayan, Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Terengganu.
Pasangan suami isteri berkenaan, Mat Chik Ali, 74, dan Hendon Mamat, 63, menerima rumah yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman di majlis penyerahan kunci rumah berkenaan, hari ini.
“Alhamdulillah, makcik bersama suami, anak serta cucu seramai lapan orang kesemuanya dapat berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa dan baik hasil bantuan kerajaan.
“Rumah yang kami tinggal selama ini semakin uzur, atap rumah sering bocor apabila ribut dan sudah beberapa kali diganti baru. Lantai dan dinding juga reput dan rosak teruk. Selepas ini kami sekeluarga tidak lagi perlu menumpang di atas tanah milik orang,”kata Hendon Mamat ketika ditemui selepas menerima kunci rumah berkenaan.
Seorang lagi penerima, Shamsiah Ibrahim, 43, yang juga ibu tunggal berkata, impian untuk mendapat rumah baru yang lebih selesa akhirnya terlaksana serta tidak lagi perlu menumpang di rumah saudaranya lagi.
“Kakak sbersama empat anak berusia tujuh hingga 16 tahun dan semuanya masih bersekolah dapat memulakan hidup baru dengan lebih sempurna, apatah lagi kami sudah tiada tempat bergantung sejak kematian suami tujuh tahun lalu.
“Walaupun kakak tidak pernah memohon rumah ini, nampaknya keprihatinan pemimpin setempat khususnya Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Batin, Encik Awang Sulaiman yang melihat keperluan kami sekeluarga untuk hidup lebih sempurna,” katanya yang bekerja sebagai tukang sapu di sekolah berhampiran.
Dato’ Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Dan Inovasi, Tenaga, teknologi Hijau dan Air negeri berkata , pembinaan rumah yang mempunyai tiga bilik tidur dengan kos tanah bernilai RM110,000 termasuk nilai rumah RM40,000 ini membuktikan kerajaan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat khususnya yang amat memerlukan bantuan.
“Pembinaan rumah PPRT ini membuktikan keperihatinan kerajaan bagi membela nasib rakyat, memandangkan kedua-dua penerima rumah PPRT ini sudah lama tinggal di rumah yang agak uzur , selain tanah kepunyaan orang lain.
“Sebagai kerajaan dan pemimpin yang bertanggungjawab, kita mengambil inisiatif membina rumah baru ini di atas tanah kerajaan. Alhamdulillah pembinaan kedua-dua rumah selesai dan diserahkan kepada penerima, sekali gus menyelesaikan masalah kedua-dua keluarga berkenaan,” katanya.
Menurutnya, tujuan kerajaan menyediakan rumah PPRT bukan sahaja mengharapkan penerima dapat menikmati kehidupan baru yang lebih selesa, malah tumpuan anak-anak dan cucu-cucu terhadap pelajaran juga semakin sempurna dan berjaya mengubah nasib keluarga pada masa depan.