Halaman

03 February 2014

AKHIRNYA KEMBALI SEMULA KE PANGKUAN TSG

Oleh: Ruslan Abdul Rahman  Foto: Harris Fadzillah

Pelumba terkemuka bertaraf anarabangsa, Anuar Manan dan Muhammad Adiq Hussaini kini mengetuai Terengganu Cycling Team (TSG) menghadapi cabaran Kejohanan Lumba Basikan Herald, Sun Tour Victoria 2014 di Melbourne Australia bermula lusa, 5 Februari.

Turut tersenarai empat lagi ialah Mohd Haris Salleh Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.



Ini bermakna TSG akan menjadi pesaing hebat di kejohanan antarabangsa itu memandangkan Anuar dan Muhammad Adiq adalah jaguh professional antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Rozali Salleh berkata kepulangan Anuar dan Mohd Afiq kepangkuan TSG sebenarnya bermula 1 Januari lalu, bakal member kekuatan kepada TSG untuk tetap teguh di persada sukan lumba basikal negara dan dunia.

Sebenarnya ini adalah kali kedua pelumba itu mewakili TSG di kejohanan antarabangsa bagi tahun ini, 2014. Sebelum ini pada 24 Januari lalu Anuar mewakili TSG di Jakarta Indonesia yakni Kejohanan Jiexpo Kreterium 2014. Beliau mendapat tempat ketiga dalam kejohanan ini.

Marilah kita mendoakan pelumba-pelumba TSG ini mencipta kejayaan di Melbourne, Australia kali ini kerana kejohanan bertaraf antarabangsa ini amat berprestij iaitu kali ke 61 setelah bermula sejak tahun 1952 lagi.








Letak jawatan wakil rakyat satu pencabulan demokrasi- Idris Jusoh.

Idris ketika berucap di Kuala Besut, semalam.
Oleh: Aminudin Ismail.

PERLETAKAN jawatan seorang wakil rakyat yang dipilih rakyat secara demokrasi yang sepatutnya berkhidmat selama lima tahun adalah satu pencabulan demokrasi yang besar berlaku di negara ini, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Idris berkata, rakyat perlu lihat dan memerhati siapakah yang sebenarnya yang mengamalkan demokrasi dan siapa pula yang sebenarnya menipu rakyat.

“Gara-gara hendak melaksanakan tugas tetapi tidak melaksanakan tugas. Jadi piliharaya kecil (PRK) Kajang (nanti), Insya Allah akan membuka mata rakyat.

"Maka rakyat akan tahu memilih siapa pemimpin yang lebih baik dan kerajaan mana yang lebih baik, kata Idris kepada beberapa wartawan selepas merasmikan satu majlis di Kuala Besut, semalam.

Sehubungan itu, Idris mahu pengundi di Kajang memilih kerajaan dan pemimpin yang benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat pada pilihanraya kecil itu nanti.

Dalam pada itu, Idris berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO belum lagi berbincang di peringkat Barisan Nasional (BN) mengenai calon BN dalam PRK itu nanti dan beliau akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

Pilihanraya kecil Dun Kajang terpaksa diadakan semula berikutan perletakan jawatan wakil rakyatnya yang dipilih pada PRU Mei tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pendidikan II itu berkata, semua pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara dibekalkan dengan insuran.

“Memang yang dihantar kerajaan dibekalkan dengan insuran. Pelajar-pelajar yang ditaja kerajaan mereka tidak perlu bimbang kerana kerajaan sentiasa mengambil berat tentang mereka,” katanya.

     

02 February 2014

Kementerian Pendidikan akan bantu Aisyah dan adik-adiknya.

Idris..beri pendidikan terbaik.
Oleh: Aminudin Ismail. 

KEMENTERIAN Pendidikan memberi jaminan akan memberi kemudahan proses persekolahan kepada empat beradik yang kedua ibubapa mereka kini ditahan di Sweden sekiranya keluarga kanak-kanak terbabit mahu kanak-kanak itu bersekolah di negara ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai warganegara Malaysia mereka mempunyai hak untuk belajar dan mendapatkan pendidikan terbaik di negara ini seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

“Sebenarnya itulah, jika kita lihat Pelan Pendidikan Malaysia (PPPM), kita nak pastikan semua rakyat Malaysia diberi ruang untuk belajar, jadi kita akan memudahcarakan agar anak-anak mereka itu akan dapat pendidikan yang sempurna .

Idris berkata, pihak kementerian akan berbincang dengan penjaga kanak-kanak terbabit bagi menempatkan tempat yang sesuai untuk empat beradik itu  (Aisyah (14), Ammar (12) Adam (11) dan Arif, 7) belajar.

“Kementerian akan pastikan mereka akan dipermudahkan segala permohanan mereka  supaya mereka (kanak-kanak itu) mendapat pendidikan yang terbaik di negara ini,” katanya.

“Justeru jika mereka ingin meneruskan persekolahan di sini (Malaysia) saya beri jaminan yang semua urusan persekolahan akan dimudahcara oleh pihak kementerian mahupun jabatan pendidikan negeri yang berkaitan,”katanya selepas melancarkan Kelab Sukan dan Rekreasi UMNO Bahagian Besut dan program Membara Kembali Ke Sekolah, di Kuala Besut, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Adun Jertih yang juga Exco kerajaan negeri, Muhamad Pehimi Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Ab Rahman dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Besut, Mohd Mahadi Musa. (Adun Kota Putera).

Pada majlis itu juga, Idris turut menyampaikan sebuah Perodua Viva bernilai RM26,000 kepada peserta Walk Of Malaysia, Mohd Noor Mat yang berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya sempena kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Julai lalu.

 

Wira pejalan kaki, Mohd Nor terima sebuah Viva.

TERIMA...Impian peserta jalan kaki Program Walk4Malaysia, Mohd Nor Mat,48, dari Kampung Tok Raja, Jertih, untuk memiliki kereta sendiri menjadi kenyataan apabila belia menerima sebuah kereta Viva sumbangan lima Adun dan seorang ahli Parlimen, di satu majlis, di Dataran Kuala Besut, hari ini. 

Majlis penyerahan kunci kereta berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh, turut dihadiri tiga Adun iaitu Adun Jertih, Muhamad Pehimi Yusof yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Mohd Noor, kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YT) mencipta sejarah apabila beliau menamatkan berjalan kaki sejauh 600 kilometer dari Kuala Besut ke Putrajaya, September tahun lalu.

Gembira..Mohd Nor(kanan) bersama Idris, Zaihan dan Mahdi.

Beliau menunaikan nazar selepas Barisan Nasional (BN) mencapai kejayaan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, yang diwakili Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Julai tahun lalu.

"Terima kasih kepada UMNO Besut terutamanya kepada Ahli Parlimen, Dato' Seri Idris Jusoh, dan lima Adun termasuk Adun Jabi kerana menyumbangkan kenderaan ini kepada saya. Saya begitu gembira hari ini dan akan meneruskan usaha membantu Barisan Nasional di kawasan ini," katanya. - Aminudin Ismail.

 

01 February 2014

Peserta jalan kaki ke Putrajaya Mohd Nor Mat akan terima hadiah kereta



Oleh:Mohammad Ishak 

Impian peserta jalan kaki Program Walk4Malaysia, Mohd Nor Mat,48, dari Kampung Tok Raja, Jertih, untuk memiliki kereta akan menjadi kenyataan apabila beliau akan dihadiahkan sebuah kereta Produa Viva esok.

Majlispenyerahan kunci kereta berkenaan akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh, sempena pelancaran Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Parlimen Besut di Dataran Kuala Besut,jam 11 pagi esok.

Mohd Noor,kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YT) mencipta sejarah apabila beliau menamatkan berjalan kaki sejauh 600 kilometer dari Kuala Besut ke Putrajaya, September tahun lalu.

Beliau menunaikan nazar selepas Barisan Nasional (BN) mencapai kejayaan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, yang diwakili Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Julai tahun lalu.

Kejayaan Mohd Nor merintis berjalan kaki itu menarik perhatian rakyat Malaysia kerana Berjaya menjadi pejalan kaki pertama menamatkan perjalanan sejauh 600 kilometer.

Berikutan kejayaan beliau mengharumkan nama Terengganu, semua wakil rakyat di Parlimen Besut dan DUN Jabi, sepakat mengumpul dana untuk menghadiahkan sebuah kereta Viva kepada beliau.

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli Parlimen terbabit ialah Ketua Umno Bahagian Besut, Nawi Mohamad yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, ADUN Jertih,, Muhamad Pehimi Yusof yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu terima 10,800 pelancong TMT 2013


Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Rantau Abang menerima lebih 10,800 pelancong sepanjang tahun lepas sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Abdul Khalil Abdul Karim berkata jumlah tersebut bagaimanapun menurun berbanding tahun 2012 yang mencatat kunjungan 12,493 orang.

"Kita harap tahun ini jumlah pelancong ke pusat tersebut akan meningkat dengan adanya program kesedaran penyu di Prinz Park Resort," katanya.

Beliau berkata tahun lepas hampir 800 pelancong daripada luar negara terutamanya daripada Perancis dan United Kingdom telah berkunjung ke pusat tersebut untuk menyaksikan pameran dan juga aktiviti penetasan penyu yang dijalankan di pantai Rantau Abang.

Sementara itu, katanya antara pengunjung dalam negara yang paling ramai melawat pusat konservasi tersebut ialah pelajar Universiti Tenaga Nasional Berhad dan pelajar sekolah dari seluruh negara.

Katanya sebanyak 21 program kesedaran penyu telah dijalankan di pusat konservasi itu melibatkan seramai 1,333 orang pelajar, penduduk kampung dan petugas syarikat petroleum sepanjang tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Perikanan akan bekerjasama dengan Prinz Park Resort Terengganu dalam usaha menarik pelawat ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Rantau Abang. 

Beliau berkata untuk itu, satu pameran mini berhubung kehidupan penyu akan diajurkan di perkarangan resort itu, bulan hadapan.


Internet percuma di Pejabat Penerangan Daerah Setiu.

Periksa...seorang kakitangan PPDS memeriksa sebuah komputer di PMR Setiu.
Oleh: Aminudin Ismail. 

PENDUDUK di sekitar Bandar Permaisuri, Setiu diharapkan dapat memanfaatkan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) di Pejabat Penerangan Daerah Setiu (PPDS), Bukit Pelong, kerana pelbagai kemudahan terdapat di situ.

Pegawai Penenerangan Daerah, Noriham Ahmad, berkata pusat maklumat yang dibuka pada setiap hari bekerja itu memiliki beberapa buah komputer yang dilengkapi internet.

"Sambutan penduduk agak kurang kerana mungkin ramai yang tidak mengetahui terdapat kemudahan internet percuma di sini ataupun kebanyakannya sudah mempunyai internet sendiri di rumah atau di telefon.

Noriham...banyak kemudahan.
"Ada juga pelajar Sekolah Menengah Tengku Ibrahim (SMTI) datang mengunakan internet di sini untuk mencari maklumat untuk pembelajaran," katanya mengenai pusat itu yang terletak di atas sebuah bukit bersebelahan Bomba Setiu itu.

Noriham berkata, selain kemudahan internet percuma, PMR itu juga mempunyai akhbar bahan bercetak, bahan maklumat audio visual dan pemudahcara pencarian maklumat.

PMR diwujudkan di semua Pejabat Penerangan Daerah di negara beberapa tahun dahulu bagi memudahkan orang ramai mencari pelbagai maklumat tanpa dikenakan sebarang bayaran dan mendapat bantuan daripada pegawai bertugas.

 

31 January 2014

BN Wajar Letak Calon di Kajang - KJ

Pergerakan Pemuda Umno berpendapat Barisan Nasional (BN) wajar bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Selangor.

 Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun kekosongan di kerusi DUN ituberlaku disebabkan masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi bila adanya kekosongan, adalah wajar untuk BN menurunkan calon bertanding.

 "Lebih-lebih lagi yang nak bertanding itu adalah ketua pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Jadi kita berpendapat bahawa tak boleh kita bagi laluan yang mudah kepada beliau," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karnival Sukan dan Kebudayaan MAYC peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pagi tadi.



 Katanya, mesej yang jelas kepada pengundi di Kajang bahawa PKR telah mempermainkan amanah rakyat apabila wakil rakyatnya Lee Chin Cheh dengan sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi DUN Kajang Isnin lepas.

 "Pemimpin pembangkang itu sudah terdesak. Nak jadi Perdana Menteri tak dapat, jadi Menteri Besar pun tak apalah," katanya.

 Ditanya mengenai calon BN yang bakal bertanding kelak, Khairy berkata, biarlah Pengerusi BN, Dato' Seri Najib Tun Razak memutuskannya.






1,000 penduduk DUN Jabi sertai perarakan maulud


YB Mohd Iskandar mengetuai perarakan maulud di Jabi

Oleh: Mohammad Ishak 

Perarakan sambutan Mauludurasul Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, mencatat sejarah apabila program berkenaan mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai pihak yang menyertainya.

Ini dibuktikan apabila lebih 1,000 peserta menyertai perarakan anjuran Biro Agama, Penyelaras DUN Jabi, Setiu. Perarakan sejauh satu kilometer bermula dari Masjid Kampung Jabi dan mengelilingi perkampungan itu disertai pelbagai lapisan masyarakat beragama Islam di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Yang Berhormat Mohd Iskandar Jaafar mengetuai perarakaan bersama Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, Ketua Polis Daerah Besut dan Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Turut serta ialah pegawai kanan jabatan kerajaan serta pemimpin masyarakat setempat. Selain menyertai perarakan, pengisian program meliputi ceramah dan kuiz berkonsepkan keagamaan.

Mohd Iskandar ketika ditemui bersyukur kerana program berkenaan berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar DUN Jabi.

“Penyertaan yang ramai membuktikan semangat persaudaraan Islam dan perpaduan dikalangan penduduk setempat amat tebal dan dan masih wujud,” katanya.

MCA Besut anjur majlis sambutan Tahun Baru Cina


Pemimipin Besut YB Nawi, Muhamad Pehimi, Mohd Mahdi menyampaikan ampau

Oleh: Mohammad Ishak 

Sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA Bahagian Besut yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) ,Chung Hwa, di Bandar Jertih, tetap meriah dan mendapat sambutan penduduk setempat.

Majlis yang turut dihadiri pemimpin daerah itu diketuai Ahli Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad selaku Ketua Umno Bahagian Besut, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Muhamad Pehimi Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan CK Rahman dan Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin.

Penduduk setempat mewakili pelbagai lapisan masyarakat termasuk Cina, Siam, India dan Melayu yang hadir memeriahkan lagi suasana sambutan yang diadakan setiap tahun oleh MCA Besut.

Nawi yang juga ADUN Hulu Besut ketika berucap mewakili pemimpin Barisan Nasional (BN) Besut, melahirkan rasa gembira dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat pelbagai kaum di daerah itu.

Katanya, amalan sedemikian diharap dapat diteruskan selama-lamanya bagi mempastikan keadaan aman dan sejahtera dapat diwujudkan di negeri ini.

“Kestabilan politik menerusi kepercayaan antara kaum dapat membantu memancu pembangunan negara dan mempercepatkan lagi usaha kerajaan mezahirkan konsep 1Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, perpaduan amat penting untuk mensejahterakan rakyat termasuk menerusi aktiviti sosial, perayaan kaum dan sukan.

Nawi berkata, kerajaan sentiasa berusaha memupuk semangat perpaduan dan tolenrasi antara kaum supaya negara terus menikmati keamanan tanpa diragui oleh negara luar.