Halaman

11 February 2014

Maidam wujud PPD bantu golongan asnaf

Oleh: Suriati Ali

 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan membina Pusat Pertumbuhan Desa (PPD), di Bukit Diman, Hulu Terengganu sebagai langkah membantu golongan asnaf di negeri ini  hidup berdikari.

 Pusat yang bakal dibina dalam tempoh terdekat di kawasan seluas 28.6 hektar itu membabitkan peruntukan kira-kira RM60 juta dan boleh menampung antara 200 hingga 300 peserta, selepas siap sepenuhnya akhir 2015 nanti.

 Projek yang diasingkan kepada tiga kumpulan itu bakal dihuni tiga golongan iaitu warga emas terbiar ditempatkan dibawah program al-Birru, gadis bermasalah dan berdepan dengan hukuman penjara (al-Islah) dan bagi penghidap HIV pula melalui program al-Tai’bin.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Dato’ Haji Rozali Saleh, pihaknya berasa terpanggil melaksanakan projek besar itu selepas melihat golongan tertentu, terutama warga emas, gadis bermasalah dan penghidap HIV sering dipinggir masyarakat.

 “Mereka ini sangat memerlukan bantuan sama ada berkaitan kewangan, tempat berlindung dan sokongan moral masyarakat setempat.

 “Kita perlu membantu golongan itu agar tidak terus dibelenggu masalah sedia ada, dan seterusnya mampu keluar daripada kelompok kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Jawatankuasan Masjid, di Komplek Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

 Dato’ Haji Rozali berkata, sebagai permulaan, pogram al-Birru akan dilaksanakan pada Mei ini di kawasan Masjid Tebing Tembah, Paka, Dungun membabitkan peruntukan RM8 juta.

 Katanya, kira-kira 50 hingga 60 peserta warga emas ini bukan saja akan diajar ilmu agama Islam, mengaji al-quran malah dibenarkan bekerja dengan membungkus makanan atau pakaian untuk dibekalkan ke sekolah mahupun asrama.

 “Tugas mudah yang dijalankan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kerana mereka diberi imbuhan untuk simpanan masing-masing,” katanya.

 

Demi maruah dan harga diri : MB

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mempertahankan tindakan melafaz sumpah dengan al-Quran sebagai menegakkan kebenaran, membersihkan nama, menjaga maruah dan harga diri rakyat Terengganu serta individu yang terlibat.

“Tindakan kita bukan untuk mempermainkan kitab suci al-Quran yang menjadi sumber rujukan umat Islam, apabila timbul pertikaian yang melibatkan maruah, harga diri rakyat Terengganu dan harga diri pihak tertentu, maka kita tiada pilhan. Kerana dalam dunia hari ini masing-masing hendak mengaku mereka tidak bersalah dan mereka tidak buat.


“Sebab itu saya lebih teruja untuk menyaksikan acara ini dilaksanakan kerana pada peringkat awal saya tidak menjangkakannya akan dibuat. Tetapi apabila saya tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, apabila JDT (Johor Darul Takzim) membuat laporan polis mengatakan kejadian ini tidak benar, termasuk pengakuan yang dibuat oleh pemain T-Team sendiri, Irfan Abd Ghani yang berasal dari Johor mengatakan ini tidak berlaku, jadi saya tercabar, seolah-olah anak buah saya, mungkin pemain T-Team ini sudah menipu dan membohongi saya serta rakyat Terengganu.

“Jadi untuk membuktikan kebenaran perkara ini dan mereka tidak berbohong, apatah lagi bercakap menerusi televisyen ke seluruh negara, seolah-olah kita menipu orang. Jadi jalan terbaik, kita mengadakan sumpah pada malam ini, bagi membuktikannya,” kata beliau kepada pemberita di Majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pegawai dan Pemain Bola Sepak Liga Super Terengganu, di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat; Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Encik Ab Rashid Jusoh.

Menteri Besar juga terharu dengan keberanian dan ketegasan penolong jurulatih, Azlan Johar dan pemain T-Team, Khairan Ezuan Razali selaku saksi kejadian yang sanggup bersumpah walaupun menyedari risiko sekiranya berbohong.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Haji Ahmad juga sudah mendapatkan pandangan dan merujuk pakar agama mengenai tindakan bersumpah, malah menyedari natijah yang boleh terjadi sekiranya mempermainkan al-Quran.

“Kita nak berbohong jangan main-main, kita berbohong dengan manusia boleh, menipu manusia boleh, tetapi jangan kita menipu tuhan dengan bersaksikan al-Quran. Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui, sebab itulah mahu membuktikan jika mereka tidak nampak jangan bersumpah. Jika tidak saya panggil satu pasukan bersumpah.

"Sebab tadi saya kata yang nampak sahaja kita minta bersumpah..jangan main-main, ini bukan perkara kecil sebab apabila orang mengatakan kita berbohong, pihak JDT juga membuat laporan polis, kenapa kita harus berbohong? Orang ramai saksi, mungkin termasuk anggota keselamatan. Kita bercakap tentang hak,” katanya.

Tambah beliau, terpulang kepada JDT untuk bersumpah atau tidak, tetapi yang lebih penting T-Team sudah melafaz sumpah bagi membuktikan insiden itu benar-benar berlaku.

Bagaimanapun, pemain sensasi T-Team,  Irfan Abd Ghani tidak muncul di majlis itu. Dia yang bertindak menafikan insiden itu menerusi sidang media dan laporan polis di Johor Bahru, sebelum itu dikatakan gagal dijejaki pihak media di negeri itu.

Tindakan Irfan itu juga mendorong Menteri Besar mengarahkan pemain T-Team melakukan lafaz sumpah dengan al-Quran bagi membuktikan kejadian `Terowong Larkin’ itu.

Pada 1 Februari lalu, perlawanan antara T-Team dengan JDT dalam babak kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin terpaksa ditangguhkan ketika JDT mendahului 2-1.

T-Team menarik diri daripada meneruskan perlawanan itu pada babak kedua untuk langkah keselamatan apabila Rodrigues dipukul pengurusan tertinggi JDT, sementara jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo turut dikasari dalam terowong menuju ke bilik persalinan.



Biri-biri di BSA mula melahirkan anak.

Seekor biri-biri bersama anak sebulan dilahir.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SELEPAS kira-kira sembilan bulan beroperasi, Besut Setiu Agropolitan (BSA) yang terletak di Pasir Bederu, Dun Langkap, Setiu akhirnya membuahkan hasil apabila, beberapa ekor biri-biri di pusat ternakan biri-biri terbesar di Terengganu itu mula melahirkan anak.

Ketua Peserta, Mahasan Muhammad, berkata biri-biri jenis dorper itu mula melahirkan anak pada pertengahan Disember lalu dan hingga kini kira-kira 40 ekor anak biri-biri sudah dilahirkan ibu masing-masing.

Mahasan...anak biri-biri sihat.
“Biri-biri ini mula melahirkan anak pada pertengahan Disember lalu dan dalam tempoh sebulan seramai 12 ekor biri-biri dilahirkan.

“Jumlah kelahiran semakin bertambah selepas tempoh sebulan itu dan sehingga hari ini (10 Februari) seramai kira-kira 40 anak biri-biri di lahirkan,” katanya.

Menurutnya, kesemua anak-anak biri-biri itu dalam keadaan sihat dan dapat menyusu dengan baik bersama ibu masing-masing.

“Kami akan memastikan anak-anak biri-biri ini dapat membesar dengan baik dan tiga petugas bahagian kesihatan biri-biri ini sentiasa mengambil berat tentang masalah kesihatan dan pemakanan anak-anak kambing ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus BSA, Abdul Rahim Maulud, berkata pihak pengurusan belum lagi membuat keputusan mengenai penjualan biri-biri itu tetapi menjangkakan akan dijual selewat-lewatnya akhir tahun ini.

 

Lafaz sumpah Azlan

Oleh: Aida Abd Rahman
Video oleh Mohd Yahya Muda



“Saya Azlan Johar, penolong jurulatih bola sepak Liga Super T-Team musim 2014 dengan sesungguhnya pada hari ini, mengangkat sumpah dengan nama Allah s.w.t bahawa pada 1 Februari 2014, kira-kira jam 9.40 malam di dalam terowong semasa menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, saya dalam keadaan sedar dan waras melihat sendiri kejadian pemain saya Evaldoe Rodriques pemain T-Team yang memakai jersi nombor 16 ditumbuk di bahagian muka,” demikian ayat terkandung dalam lafaz sumpah Azlan, malam tadi.

Selepas Azlan, seorang pemain T-Team, Khairan Ezuan Razali turut melafaz sumpah yang sama, dengan disaksikan Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Encik Ab Rashid Jusoh dan semua pegawai serta pemain T-Team dan Terengganu. Majlis mengangkat sumpah berkenaan diadakan sempena Majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pegawai dan Pemain Bola Sepak Liga Super Terengganu, di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Azlan yang ditemui selepas majlis itu berasa lega dan bersyukur kerana dapat menyelesaikan satu perkara yang cukup penting bagi membuktikan kebenaran dakwaannnya sebelum ini, bahawa insiden di Larkin itu benar-benar berlaku.



 “Saya rasa apa yang sudah saya dan pemain saya lakukan pada malam ini adalah satu langkah terpuji bagi membuktikan kebenaran kejadian itu.

"Terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sentiasa memberi sokongan cukup padu kepada pasukan kami,” katanya.

Terdahulu, beliau sebagai individu yang menyaksikan `insiden Terowong Larkin' menceritakan detik-detik bagaimana kejadian itu terjadi dan menyifatkannya amat menggerunkan, sekali gus mendorong T-Team menarik diri dari meneruskan perlawanan pada babak kedua, 1 Februari lalu.



MENJADI REALITI: T TEAM BERSUMPAH DENGAN AL-QURAN

Kata dikota, itulah Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Haji Ahmad Said yang telah menunai janjinya untuk memanggil pasukan bola sepak T-Team bersumpah di hadapannya bagi.membuktikan kebenaran peristiwa yang berlaku ketika pasukan itu menentang JDT di Johor baru baru ini.

Majlis sumpah di hadapan Al-Quran disaksikan sendiri beliau bersama Pengurus Pasukan T Team YB Haji Rozi.Mamat dan Pengerusi Persatuan Bola Sepak.Negeri.Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam berlangsung di Hotel Tabung Haji, Jalan Lapangan Terbang , di Kuala Terengganu malam ini (10 Feb) kira kira jam 9.30 malam.

Penolong Jurulatih T-Team Azlan.Johar dan pemain Khairul Ezuan Razali telah melafazkan sumpah di hadapan Al-Quran mewakili pasukan T-Team memperakui bahawa kejadian memukul di lorong oleh pihak tertentu yang mengancam keselamatan mereka sewaktu perlawanan menentang JDT di Johor baru-baru ini.

T-Team mengambil keputusan tidak meneruskan perlawanan di separuh masa kedua kerana faktor keselamatan akibat.insiden "memukul" oleh pihak tertentu membabitkan pengurusan tertinggi JDT.


Kemuncak kemelut T-Team- JDT




Oleh : Aida Abd Rahman


Ketegasan kerajaan negeri untuk membuktikan kebenaran insiden pergaduhan yang tercetus antara T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) di Larkin awal bulan ini, sampai ke kemuncaknya apabila berlangsung majlis angkat sumpah, di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, malam ini.

Acara angkat sumpah di depan al-Quran itu diketuai penolong jurulatih, Azlan Johar sebelum diikuti dengan seorang pemain T-Team Khairan Ezuan Razali sempena Majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pegawai dan Pemain Bola Sepak Liga Super Terengganu.

Menyaksikan detik penting itu, Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Terdahulu, Dato' Seri Haji Ahmad berkata, keputusan mengangkat sumpah itu timbul selepas tindakan pihak lawan yang turut membuat laporan polis dan pemain pasukan T-Team sendiri, Irfan Abd Ghani, membuat kenyataan yang bercanggah dengan kejadian sebenar.

"Saya megambil keputusan bersumpah ini supaya keadaan lebih jelas dan kita tetap mempertahankan maruah pemain dan seluruh rakyat Terengganu, bahawa insiden pemain kita ditumbuk itu benar-benar berlaku.

"Tindakan JDT dan juga Irfan itu sekali gus menjejaskan imej pemain kita yang dikatakan kita sudah berbohong," katanya.







10 February 2014

Benderam moden kini di pasaran.

TERIMA...Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu, Dato' Sabri Mohd Nor menyampaikan pembungkusan baru produk kuih benderam kepada usahawan wanita, Zalida Othman pada satu majlis yang diadakan di perkarangan rumah usahawan itu di Kampung Calok Kedai, Setiu hari ini.

Zalida yang mengusahakan kuih benderam sejak tiga tahun lalu dengan bantuan Risda itu menerima bantuan YPU untuk mengadakan satu pembungkusan baru produk benderamnya supaya ia kelihatan lebih menarik dan dapat di pasarkan ke pasaran lebih luas.

Dato' Sabri yang juga Adun Langkap itu, berkata sebelum ini pengusaha benderamg itu belum dikenali ramai kerana pembungkusannya kurang menarik tetapi dengan usaha yang dilakukan YPU, ia memberi satu pembaharuan kepada produk keluaran Zalida itu.
Kuih benderang.

"Satu suntikan baru kepada cara pembungkusan benderam ini dan ianya dijangka dapat menarik perhatian ramai untuk membelinya dan hasilnya pengeluaran benderam ini semakin meningkat. 

"Dan YPU akan sentiasa membantu darisegi pinjaman geran sehingga RM5 ribu dan geran itu ditanggung sebanyak 70 peratus dan 30 peratus akan ditanggung pengusaha. Selain itu YPU akan sentiasa memberi khidmat nasihat kepada Zalida," katanya.

Turut hadir ialah Eksekutif YPU,Razali Adis (kanan) dan Pegawai Risda Daerah Setiu, Zulkiflee Salleh (kiri) serta beberapa pegawai dari YPU dan Risda.- Aminudin Ismail
Sabri mencuba mengoreng benderang.

Wartawan bersiap menanyakan Sabri

Zalida ketika diajukan soalan daripada wartawan.
Sabri menjawab soalan daripada seorang wartawan.

 

59 sekolah sertai sukan MSSKTU di Gong Badak.

Semangat..seorang peserta membaca ikrar kejohanan.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI 1,122 peserta mewakili 18 buah sekolah menengah (SM) dan 41 buah sekolah rendah menyertai Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kuala Terengganu Utara (KTU) yang diadakan di Trek Latihan Gong Badak, Kuala Terengganu, selama empat hari bermula semalam.

Pengurus Kejohanan, Zuriman Abdul Rahman berkata, sebanyak enam kategori sukan dipertandingkan iaitu lelaki bawah 12 tahun, 15 dan 18 serta wanita bawah 12, 15 dan 18 tahun.

Zuriman...sukan kali ke 45.
"Sukan ini diadakan bertujuan bagi mencungkil bakat bagi mewakili KTU dalam kejohanan sukan peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST) yang akan diadakan nanti," katanya. 

Kejohanan sukan itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman,pagi tadi. Dalam ucapannya, Bazlan mengharapkan KTU akan menjadi juara pada kejohanan sukan MSST nanti dan beliau akan memberi imbuhan sekiranya berjaya.

Katanya, melalui sukan, atlit boleh mempromosikan negeri Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Hari ini dengan semangat Terengganu Nelang, kita telah berjaya melahirkan ramai atlit berkelibar terutamanya pelumba basikal. Dan dalam Sukma, kita beberapa kali menjadi juara, kita harap ianya akan berterusan pada masa hadapan." katanya.
Bazlan menyampaikan hadiah kepada wakil pemenang perbarisan.

SM Teknik berbaris masuk.

Antara jemputan yang hadir

Antara pasukan yang menyertai kejohanan.
Bazlan (dua kiri) sedang melihat perbarisan.

Antara guru yang bertugas.
SMK Jeram dengan aksi tersendiri.

Dengar..peserta mendengan ucapan Bazlan.

Band Sesma dahului perbarisan.

 

Angullia seindah namanya

Oleh: Noraini Jusoh

Sekiranya anda ingin bercuti di Terengganu, sebenarnya tidak sukar untuk mencari tempat penginapan di pusat bandar dan juga kawasan sekitar yang menepati pilihan selain berlatar belakangkan panorama pantai yang indah.

Antara pilihan pusat penginapan yang pasti menjanjikan kepuasan kepada yang mencintai kedamaian ialah di Angullia Beach House Resort yang terletak di Kampung Rhu Muda, Marang.

Terletak berhampiran dengan Pantai Peranginan Kelulut dan jarak dari bandaraya Kuala Terengganu cuma kira-kira 20 kilometer (km) sememangnya memudahkan pengunjung datang ke sini.

Lokasi penginapannya yang terletak di tepi pantai dan mengadap ke arah laut menjadi daya tarikan utama untuk pengunjung bersantai bersama insan tersayang.

Pelbagai kemudahan disediakan di sini. Antaranya, ‘Suloo’s Haven’ iaitu penginapan utama Angullia dilengkapi restoran yang berkonsepkan taman dengan pemandangan hijau tumbuh-tumbuhan tropika serta disertakan kemudahan wifi secara percuma.

Sekiranya ingin ‘lepak’ sambil menikmati hidangan snek pula, pengunjung boleh bersantai di ‘Vohra’s Deck’ iaitu kafe yang menyediakan pemandangan indah menghadap laut yang dibuka dari 4.30 petang sehingga 12 malam.

Untuk membeli makanan ringan dan minuman serta menyewa jaket untuk aktiviti pantai, anda boleh mendapatkannya di kedai mini yang disediakan iaitu ‘Vohra’s Mart.

Kemudahan barbeku, psrkir, dewan persidangan, dewan solat, taman permainan kanak-kanak turut disediakan.

Dengan segala kelengkapan dan kemudahan yang disediakan, Angullia Beach House Resort sememangnya menjadi pilihan orang ramai untuk mengadakan pelbagai jenis program seperti hari keluarga, bengkel atau seminar.

 Harga yang ditawarkan tempat penginapan di bawah pengurusan Encik Esa Suleiman Angullia,52, memang berpatutan iaitu serendah RM60 hingga RM250.

 Jika anda mahukan percutian seolah-olah berada di tengah pulau tanpa berbelanja lebih, penginapan di sini pastinya pilihan yang tepat.

 

Masjid perlu bebas daripada fahaman politik

Oleh: Suriati Ali 

 Jawatankuasa masjid di negeri ini di saran memastikan `rumah Allah’ bebas daripada pengaruh fahaman politik yang boleh membawa kepada sikap berpuak-puak dan pecah belah antara masyakat islam setempat.

 Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib, berkata umum mengetahui, masjid adalah tempat mulia yang boleh mengeratkan keharmonian dan kedamaian.

“Sekiranya ada unsur negatif di bawa ke masjid, seperti mempelawa membenci pihak lain, sangat tidak wajar dan di larang sama sekali dalam Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Jawatankuasa Masjid, di Komplek Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Seramai 1,989 ahli mambabitkan 117 jawatankuasa masjid di Kuala Terengganu menerima sijil perlantikan masing-masing.

 YB Ghazali turut memberitahu, semua pihak yang dilantik itu perlu menggembeleng usaha yang bersepadu bagi menjadikan masjid sebagai institusi agama yang di pandang mulia dan tinggi di kalangan umat Islam serta semua bangsa.

“Tidak hanya terhad dengan peranan itu, masjid juga menjadi pusat penyebaran ilmu dan dakwah berasaskan al-Quran dan as-Sunnah serta nadi utama mempelbagaikan aktiviti yang membangun umat dengan amalan dan penghayatan budaya Islam, merangkumi ibadat khusus seperti sosial, ekonomi dan politik dalam landasan yang benar,.

 “Bagi melahirkan masyarakat Islam yang komited terhadap masjid, kerajaan giat mempelbagaikan aktiviti dan program pengimarahan kepada seluruh masyarakat ke arah Pembangunan Masjid Cemerlang,” katanya,.
Katanya, kita juga mahu menjadikan pengurusan masjid dan surau dalam Terengganu lebih teratur, cekap dan sistematik.

 “Soal kebersihan dan kesucian rumah Allah itu juga harus dititikberatkan khususnya kemudahan tandas di masjid yang berada di laluan utama dan jalan besar yang menjadi persinggahan ramai,” katanya.