Halaman

15 April 2014

Sidang DUN; Adun Pas puji kerajaan sedia Wifi percuma kepada rakyat

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra 

 Usaha kerajaan negeri memberi kemudahan Wifi secara percuma di 600 lokasi strategik seluruh negeri mendapat pujian daripada YB Ariffin Deraman (Pas-Alor Limbat).

Usaha kerajaan menyediakan WiFi percuma kepada rakyat Terengganu dibeberapa tempat di negeri ini dipuji pihak pembangkang.

"Saya sokong usaha kerajaan negeri yang menyediakan kemudahan Wifi secara percuma kepada rakyat dan juga untuk pelancong yang datang ke negeri ini", katanya dalam sesi perbahasan menyokong Titah Sultan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri petang semalam.

Siapa kata kerajaan mengabaikan kepentingan rakyat....terbaru kerajaan hari ini menyediakan kemudahan WiFi percuma kepada orang ramai di mana kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu menjadi perintis kepada kemudahan berkenaan.

Beliau menyangkal dakwaan bahawa pembangkang hanya tahu bangkang sahaja sebaliknya turut menyokong usaha baik kerjaan untuk kepentingan rakyat.

Katanya, ini termasuklah pembukaan kelas maya untuk kepentingan pelajaran anak-anak tempatan agar lebih maju dalam bidang pendidikan.

Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said baru-baru ini telah melancarkan projek perintis Wifi dengan peruntukan RM30 juta yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Setakat ini lima lokasi telah dipasang kemudahan capaian akses Wifi percuma termasuklah di Taman Awam Batu Buruk, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Perpustakaan AwamTterenggau dan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

 

14 April 2014

Sidang DUN: Adun Chukai berlagak `hero'

Oleh: Aida Abd Rahman

Isu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merobohkan 17 penempatan haram di Kampung Mak Chili, Chukai, Kemaman, baru-baru ini sengaja disensasikan oleh wakil rakyat pembangkang apabila menjadi `hero’ dengan menyebelahi kedegilan seorang penduduk yang tidak mahu berpindah.

Malah, penduduk dikenali sebagai `Pak Awi’ itu juga dikatakan tidak bersetuju menerima pampasan perpindahan oleh pemaju berjumlah RM20,000 walaupun sedar sudah menghuni secara haram di tanah milik kerajaan itu sejak 10 tahun lalu.

YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih-BN) menjelaskan pihaknya kesal dengan tindakan wakil rakyat Chukai Hanafiah Mat, yang sengaja memperbesarkan isu itu sedangkan perkara berkenaan boleh diselesaikan dengan baik tanpa menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

“Baru-baru ini saya terkejut mengenai isu kita merobohkan rumah haram melibatkan 17 keluarga yang tinggal sudah hampir 10 tahun, kita membiarkan mereka tinggal di situ malah sudah memaklumkan akan membina perumahan rakyat di situ dan pemaju sudah menawarkan pampasan kepada penduduk yang terlibat. 

“Mereka yang sudah lama tinggal secara haram di situ, kerajaan turut menawarkan tanah ganti Rancangan Tanah Berkelompok (RTB), malah semua menerima dengan baik, bagaimanapun hanya satu keluarga sahaja (Pak Awi) yang tidak mahu pindah, tidak mahu menerima tawaran (pampasan), sebaliknya hendak RM60,000,” katanya ketika sesi perbahasan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Persidangan DUN, hari kedua, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Abdul Hakim menjelaskan kerajaan negeri sudah berkompromi dengan penduduk yang terlibat apabila tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang tinggal sejak sekian lama di tanah haram itu.

 Katanya, semua penduduk yang diarahkan berpindah itu akur kecuali Pak Awi, sedangkan dia sudah memiliki rumah lain yang dikatakan didiami oleh anaknya serta sebahagian lagi disewakan kepada sebuah keluarga lain. 

“Pampasan RM20,000 mujur pemaju hendak beri. Ikut undang-undang kamu duduk di tanah haram, kena denda kena dakwa.

“Sebagai kerajaan yang cukup sayang kepada rakyat, kita tidak pernah buat begitu. Beri pampasan pulak, sepatutnya pemaju tidak payah beri pampasan pun, kerajaan boleh keluarkan notis dan dakwa terus kepada Pak Awi, tetapi kerajaan tidak buat (mengambil tindakan perundangan).

 "Kita sudak maklum awal (perpindahan). Hantar cek (pampasan) RM20,000, tetapi dia tolak. Orang lain terima belaka tiada masalah. Kalau kita mengambil tanah hak milik mereka yang sudah ada geran kita boleh berbicara di mahkamah dan minta pampasan lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Wan Abdul Hakim berterima kasih dan memuji tindakan wakil Chukai itu apabila membantu menasihati segelintir kecil penyokong Pas di Neram Satu yang menunaikan solat Jumaat di surau berasingan sedangkan sudah terdapat masjid di kawasan itu.

“Ada dua masjid besar di Neram itu, tetapi segelintir pengikut Pas ini hendak sembahyang dengan puak-puak dia sahaja di surau. Tiga kali sudah sembahyang Jumaat, tidak mahu dengar cakap kita. Jadi, saya amat terharu atas nasihat dan keikhlasan menasihati kumpulan itu supaya tidak buat sedemikian. Jika mahu buat, buat dengan cara betul, itu saya puji,” katanya.

 

PSTD pamer aksi menarik di Hari Ko-kurikulum UCB.

Kumpulan Silat UCB sedang memulakan aksi.
Oleh: Aminudin Ismail.

PELBAGAI aksi yang ditonjolkan pasukan berunifom menarik perhatian tetamu yang hadir pada majlis perasmian Hari Ko-Kurikulum Kolej Universiti Bestari 2014 yang diadakan di dataran astaka UCB, Putera Jaya, Setiu, hari ini.

Paling menarik ialah persembahan Tempur Senjata dari Pasukan Simpanan Tentera Darat dengan menampilkan beberapa kemahiran termasuklah gerak cergas dan demontrasi memecah batu-batu dengan mengunakan tangan dan kepala.

Demontrasi dari JPAM melalui slot “Operasi Menyelamat” juga menarik dan membawa masej yang baik supaya wanita perlu berhati-hati ketika membawa beg tangan dan perlu mempelajari seni mempertahankan diri selain menonjolkan kepelbagaian tugas JPAM.


PSTD pamerkan pesembahan menarik.
Persembahan silat dari penuntut UCB menampilkan ketangkasan ahli kumpulan silat itu dalam seni mempertahankan diri . Beberapa aksi yang ditonjolkan beberapa ahli menunjukan bahawa mereka sudah mampu berhadapan dengan musuh walaupun usia kumpulan itu masih baru.

Majlis dirasmikan Lt. Kolonel Abdul Hamid Maarus, Timbalan Komandan Rejimen 512, Askar Wataniah Padang Midin. Antara pasukan berunifom yang membuat persembahan ialah adalah Pasukan Tentera Wataniah, Rela, JPAM dan Kumpulan Silat UCB.

Abdul Hamid dalam ucapannya, berkata beliau mahu setiap anggota ko-kurikulum supaya menunjukan prestasi yang baik dengan menonjolkan segala kebolehan dan kemahiran yang ada bagi meningkatkan pecapaian dalam bidang itu.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Naib Canselor UCB, Dr. Mustaffa Ismail serta beberapa pegawai kanan UCB serta pensyarah.
Urusetia menjalankan tugas.

Antara jemputan khas yang hadir.

Rela menampilkan aksi yang cergas.

Antara aksi lasak dari Kumpulan Silat UCB

Beberapa ahli silat melihat aksi rakan mereka
Pelajar melawat gerai pameran

Asyik melihat persembahan.

Antara penuntut UCB yang melihat persembahan.

Pameran turut diadakan.

Gimik JPAM menyelamat mangsa ragut.


Pesilat UCB sempat bergambar kenangan.

 

Sidang DUN: Projek Bebas Cukai, Siap Akhir Tahun Depan

Oleh: Wartawan Teganukita
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerja-kerja pembinaan kawasan bebas cukai di kawasan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun depan.

Menteri Besar ketika menjawab soalan dari pihak pembangkang pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata secara purata, semuanya sudah siap sehingga 35 peratus. Namun ada pakej yang sudah berjalan sehingga 75 peratus.

 “Antara yang sedang giat berjalan ialah pembinaan kompleks kastam di Pangkalan Gawi (tanah besar) manakala rangkaian pusat perniagaan, jeti dan sebagainya pula di Pulau Bayas di dalam kawasan tasik berkenaan," katanya ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) pada Sidang DUN hari ini.

 Ahmad turut memberitahu pihaknya mengakui terdapat antara projek itu kini diambil alih oleh kontraktor luar Terengganu selepas kontraktor tempatan Bumiputera gagal menyiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Kerja-kerja Pulau Bebas Cukai di Pulau Bayas yang dirakam melalui udara giat dijalankan.
Katanya, kerajaan bukan pinggirkan kontraktor tempatan untuk melaksanakan sebarang projek di Terengganu, kita sudah beri kepercayaan tetapi mereka gagal memenuhi janji yang dinyatakan sebelum dapat projek.

“Apabila situasi ini berlaku, kita terpaksa menamatkan kontrak projek dengan memberi peluang kepada kontraktor lebih cemerlang dan mempunyai rekod bersih.

“Mana-mana pihak terutama pembangkang tidak boleh menuduh kerajaan pilih kasih atau bersifat berat sebelah,” katanya.

 Menurut Ahmad, tuduhan pembangkang yang menyatakan projek di Tasik kenyir tidak mengikuti speksifikasi adalah tidak benar kerana setiap pembangunan di kawasan itu mengikut kajian pakar.

“Berkaitan pembinaan jeti, kita membina pelbagai jenis jeti di beberapa lokasi sebagai langkah selamat melabuhkan bot dan `house bot’ sama ada pada musim kemarau dan tengkujuh.

 “Melalui usaha itu, tidak timbul membina banyak jeti adalah membazir dan tidak mengikut speksifikasi, sebagai contoh, jika tiba musim tengkujuh dan jeti yang biasa menjadi tempat belabuh bot itu ditengelami air, boleh menghantar penumbang di jeti yang selamat dan berada lebih tinggi,” katanya.

 

Sidang DUN: Tidak Pernah Letak Syarat, Anak Ahli Umno Masuk Ke Imtiaz

Dato' Seri Haji Ahmad Said menurunkan tandatangan sebagai tanda berterusan berdoa untuk MH370.
Oleh Wartawan Teganukita
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa kerajaan negeri tidak pernah menetapkan syarat kelayakan, hanya anak kepada ahli Umno sahaja boleh memohon memasuki mana-mana Sekolah Menengah Imtiaz di Terengganu.
Jasa tetap dikenang...walaupun lama tidak berjumpa, bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu begitu terharu bertemu dengan Mneteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said pada sesi rehat Persidangan Dewan.

Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu sedang bersidang.
“Perkara sebetulnya, pelajar itu perlu mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), lulus ujian hafazan al Quran dan ujian bertulis terjemahan rumi ke jawi.

 “Saya kesal dengan dakwaan itu, sekiranya benar syarat itu pernah dikemukakan, selain memilih pelajar lepasan UPSR yang mendapat kurang daripada 5A, perkara itu perlu dilaporkan bersama bukti,” katanya yang menjawab soalan Satiful Bahari Mamat (Pas-Paka) pada sidang DUN, hari ini.

Ghazali turut memberitahu, kerajaan negeri akan menambahkan beberapa lagi sekolah menengah aliran agama di negeri ini sebagai usaha menampung lebihan permintaan terhadap sekolah itu.

“Permintaan terhadap sekolah aliran agama semakin tinggi, sebagai bukti hampir 5,000 permohonan yang ingin mendapat tempat di Sekolah Menengah Imtiaz.

 “Berdasarkan jumlah itu, 2,100 pelajar berjaya melepasi syarat kelayakan, tetapi hanya 458 pelajar saja terpilih untuk sesi kemasukan tahun ini,” katanya.

 

Tingkatkan komunikasi kerajaan dan rakyat- Pengarah APMT

Pegarah APMT, Haji Roshali (kanan) bersama Ruslan di Pejabat UKOM, hari ini.
Oleh: Amirullah Othman dan Aminudin Ismail. 

PENGARAH Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, (APMT) Haji Roshali Taha meminta supaya maklumat dan komunikasi kerajaan dan rakyat dapat dipertingkatkan, khususnya melalui peranan Unit Komunikasi Negeri (UKOM) sebagai agensi yang turut berada terus di bawah Pejabat Menteri Besar sebagaimana APMT juga.

Katanya, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu mempastikan kaedah komunikasi kerajaan -rakyat berjalan dengan berkesan dan peranan UKOM perlu diperhebatkan lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan perjumpaan dengan pegawai dan petugas UKOM di Pejabat Unit Komunikasi Negeri, Jalan Pejabat di sini hari ini.

Roshali sampaikan surat tahniah kepada petugas UKOM
Beliau mengambil masa lebih sejam untuk bertemu pegawai dan petugas di pejabat UKOM hari ini. Hadir sama, Timbalan Pengarah UKOM, Ruslan Abdul Rahman. Pengarah APMT itu turut menyampaikan surat ucapan tahniah lantikan kepada beberapa kakitangan.

Dalam ucapannya, Haji Rosali mahu semua warga UKOM bekerja lebih gigih lagi bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti jabatan selaras dengan tuntutan teknologi masa kini.

“Saya secara peribadi mengucapkan tahniah dan terima kasih bagi pihak kepimpinan negeri kepada semua petugas UKOM kerana turut memainkan sehingga BN memenangi PRU ke 13 baru-baru ini.

“Saya sebagai Pengarah APMT , bagi saya setiap petugas saya hargai di atas sumbangan penting dengan cara dan sumbangan masing-masing. Kita adalah satu keluarga dan anda semua yang bekerja di UKOM dan APMT adalah orang yang terpilih kerana bukan semua orang boleh bekerja di sini,” katanya.

Haji Rosali juga mengingatkan kepada wartawan, jurgambar dan lain lain yang bekerja di UKOM ini supaya mendapat maklumat yang tepat dan terkini bagi disampaikan kepada orang ramai serta memberi kerjasama sepenuhnya kepada Timbalan Pengarah yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan operasi UKOM dengan berkesan.

Beliau yakin dan percaya, bahawa UKOM dapat memainkan peranan yang berkesan dan lebih produktif lagi bagi membantu kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Said.

Sementara itu, Ruslan mengucap penghargaan dan terima kasih di atas keperacayaan yang diberikan kepadanya di UKOM untuk menjalankan operasi dan kerja-kerja yang amat mencabar dan yakin dengan bimbingan dan panduan Haji Roshali serta pucuk pimpinan negeri , UKOM akan berada di tahap yang terbaik dan memuaskan sebagai agensi komunikasi negeri yang berkesan.

 

13 April 2014

Peserta Candat Sotong Terengganu 2014 tertarik dengan Tasik Kenyir.

Seorang peserta sedang bermanja dengan ikan kelah- Gambar: Aminudin
Oleh: Aminudin Ismail. 

SELEPAS sehari suntuk berada di Setiu semalam kerana mengikuti beberapa program yang diatur termasuklah mencandat sotong di perairan pantai Penarik, hari ini rombongan Festival Mencandat Sotong Terengganu 2014 menyusuri Tasek Kenyir pula bagi mengikuti beberapa aktiviti antaranya ialah membelai kelah di Santuari Kelah di Sungai Petang.

Bertolak dari Kuala Terengganu kira-kira jam 9 pagi, peserta mencandat sotong dari dalam dan luar negara yang menaiki tujuh buah bas itu tiba di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir kira-kira jam 9.40 pagi.

Mereka diberi taklimat mengenai apa yang mereka lalui oleh pegawai dari Ketengah mengenai aktiviti sepanjang sehari berada di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

Kumpulan pertama terdiri daripada 70 peserta bergerak ke Santuari Kelah manakala kumpulan kedua seramai 120 peserta pula ke Taman Tropika dan Taman Orkid.

Orkid yang terdapat di Taman Orkid Kenyir.
Penulis mengikuti kumpulan dua yang bergerak ke Taman Tropika yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Pengkalan Gawi. Taman itu adalah di bawah tadbiran MARDI dan mempunyai beratus jenis spesis pokok dan tumbuhan.

Menurut penyelia taman itu, sebanyak 120 spesis pokok dari luar yang ditanam di pulau itu manakala pokok asal di pulau itu ialah sebanyak 70 spesis.

“Antara pokok-pokok yang terdapat di kawasan ini ialah Merawan Bunga, Meranti, pokok kerkut, Ceri Terengganu, kuning telur , kemas mangkok dan Jampu Cheri. Pokok-pokok ini ditanam sejak tahun 2010 lagi,” katanya.

Di taman itu juga, peserta mencuba air Ceri Terengganu yang diproses oleh Mardi yang belum di pasarkan lagi untuk orang ramai. Selepas itu pesert di bawa pula ke Taman Orkid yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari Taman Tropika itu, sekalipun terpaksa berjalan manaiki bukit tetapi peserta nampak teruja untuk melihat pelbagi jenis orkid.

“Menteri Besar sendiri mahu menjadikan Taman Orkid ini adalah yang terbaik dan terbesar di Malaysia maka kini kita sedang mengumpul sebanyak mungkin tanaman orkid ini untuk tontonan pengunjung ke pulau ini. Taman Orkid ini akan dibuka kepada orang ramai berkemungkinan pada Mei ini,” kata seorang penyelia taman itu.

Selesai menikmati keindahan dua buah pulau itu, peserta bertolak ke Petang Island Resort kira-kira jam 1 tengahari untuk menjamu selera. Selesai menjamu selera di resort milik Ketengah itu, rombongan ke Sungai Petang pula untuk menyaksi sendiri kejinakan beribu-ribu ikan kelah yang terdapat di Sungai itu.


Peserta menaiki rakit ke Sentuari Kelah.
Walaupun terpaksa melalui perjalanan yang agak sukar kerana projek laluan untuk ke santuari itu belum siap sepenuhnya termasuklah terpaksa menaiki rakit yang digerakan mengunakan tali yang ditarik manusia namun kepenatan peserta yang berjalan sejauh kira-kira hampir satu kilometer ternyata berbaloi.

Ini adalah kerana Santuari Kelah sememangnya satu tempat yang unik di Malaysia dan dunia kerana pengunjung dapat bermesra dengan ribuan ikan kelah iaitu satu spesis ikan liar yang terdapat di sungai di negara ini, yang sentiasa mendamping tepian sungai itu malah anda juga boleh membelainya dengan penuh kemanjaan.

Peserta dari dalam dan luar negara memang teruja bermain dengan ikan-ikan kelah itu malah peruntukan masa selama kira-kira setengah jam tidak cukup bagi mereka, ini terbukti masih ramai yang berada di dalam sungai walaupun masa untuk bermesra dengan ikan-ikan itu tamat.

Jinak...Kelah terlalu jinak di Kenyir.
Penulis dan beberapa peserta lain terpaksa beredar awal dari lokasi itu kerana terdapat satu lagi program untuk di ikuti iaitu ke Santuari Gajah yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pengkalan Gawi. Penulis keluar dari Santuari Kelah kira-kira jam 5 petang dan tiba di Pengkalan Gawi jam 5.40 petang.

Keasyikan berada di Santuari Kelah menyebabkan beberapa peserta tidak dapat mengikuti program melihat gajah di Santuari Gajah yang akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi kerana hari sudah semakin malam dan rombongan bertolak balik ke Kuala Terengganu kira-kira jam 7.30 malam.

Tamat hari ke tiga Festival Mencandat Sotong Terengganu 2014. Esok adalah lagi beberapa program yang disediakan penganjur antaranya ialah mengunjungi Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man sebelum peserta sekali lagi akan mencandat di perairan Marang, Terengganu pula.

Petugas Ketengah menyambut peserta di jeti.

Sabar menunggu untuk tiba di pulau di Tasik Kenyir.

Gigih berjalan untuk ke Pusat Santuari.

Bergerak...peserta mula menuju ke Taman Tropika.
Polis Marin ronda untuk keselamatan peserta.
Jambatan yang baru siap di bina untuk ke Santuari Kelah.

 
Laluan jambatan gantung di Santuari Gajah.

 
Pokok unit di Taman Tropika.

Suasana di Taman Santuari Kelah.


Beberapa kakitangan SUK turut serta lawatan.
Pegawai Ketengah memberi taklimat kepada peserta.
Peserta menaiki bukit menyusuri Taman Tropika.

Orkid yang terdapat di Kenyir.

Pokok Buah Ajaib di Taman Tropika.
Wartawan radio RTM menemubual Pengarah MARDI.
Peserta sibuk merakamkan aksi kelah.

 

‘School Of Construction’ Basmi Rasuah Kalangan Kontraktor

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Cadangan penubuhan ‘School Of Construction’ melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah seperti mana yang telah dilaksanakan di negara Amerika Syarikat dilihat mampu menangani jenayah rasuah dalam kalangan kontraktor di negara ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika hadir pada Forum Mencerna Ekonomi Bebas Rasuh SPRM di Hotel Permai, Kuala Terengganu.
Pengarah NKRA Rasuah, Dato’ Hisham Nordin berkata, dibawah ‘School Of Contruction’ sebagaimana di Amerika, ia dikawal oleh undang-undang di mana syarikat perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Dengan saringan dan tapisan yang ketat, hanya syarikat yang betul berkelayakan dan mampu menjalankan kerja-kerja pembinaan sahaja dipertimbangkan.

“Malah dengan mekanisma tertentu, seperti menyenaraihitamkan syarikat-syarikat yang menjual projek kepada pihak tertentu juga diambil kira dalam menilai syarikat tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Forum Mencerna Ekonomi Bebas Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Terengganu bersama Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Peringkat Negeri Terengganu oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said di Hotel Permai, Kuala Terengganu, petang ini.

Menurut Dato’ Hisham, perkara ini masih diperingkat kajian dan ia boleh dicadangkan kepada agensi kerajaan yang lain dan tidak semestinya SPRM yang akan menjadi pelaksana.