Halaman

14 April 2014

Sidang DUN: Projek Bebas Cukai, Siap Akhir Tahun Depan

Oleh: Wartawan Teganukita
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerja-kerja pembinaan kawasan bebas cukai di kawasan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun depan.

Menteri Besar ketika menjawab soalan dari pihak pembangkang pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata secara purata, semuanya sudah siap sehingga 35 peratus. Namun ada pakej yang sudah berjalan sehingga 75 peratus.

 “Antara yang sedang giat berjalan ialah pembinaan kompleks kastam di Pangkalan Gawi (tanah besar) manakala rangkaian pusat perniagaan, jeti dan sebagainya pula di Pulau Bayas di dalam kawasan tasik berkenaan," katanya ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) pada Sidang DUN hari ini.

 Ahmad turut memberitahu pihaknya mengakui terdapat antara projek itu kini diambil alih oleh kontraktor luar Terengganu selepas kontraktor tempatan Bumiputera gagal menyiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Kerja-kerja Pulau Bebas Cukai di Pulau Bayas yang dirakam melalui udara giat dijalankan.
Katanya, kerajaan bukan pinggirkan kontraktor tempatan untuk melaksanakan sebarang projek di Terengganu, kita sudah beri kepercayaan tetapi mereka gagal memenuhi janji yang dinyatakan sebelum dapat projek.

“Apabila situasi ini berlaku, kita terpaksa menamatkan kontrak projek dengan memberi peluang kepada kontraktor lebih cemerlang dan mempunyai rekod bersih.

“Mana-mana pihak terutama pembangkang tidak boleh menuduh kerajaan pilih kasih atau bersifat berat sebelah,” katanya.

 Menurut Ahmad, tuduhan pembangkang yang menyatakan projek di Tasik kenyir tidak mengikuti speksifikasi adalah tidak benar kerana setiap pembangunan di kawasan itu mengikut kajian pakar.

“Berkaitan pembinaan jeti, kita membina pelbagai jenis jeti di beberapa lokasi sebagai langkah selamat melabuhkan bot dan `house bot’ sama ada pada musim kemarau dan tengkujuh.

 “Melalui usaha itu, tidak timbul membina banyak jeti adalah membazir dan tidak mengikut speksifikasi, sebagai contoh, jika tiba musim tengkujuh dan jeti yang biasa menjadi tempat belabuh bot itu ditengelami air, boleh menghantar penumbang di jeti yang selamat dan berada lebih tinggi,” katanya.