Halaman

15 April 2014

Sidang DUN: Pembangkang pertikai 3 pokok kelapa sawit dapat RM150 sebulan.

Oleh: Aminudin Ismail. 

MENGUNJUNGI Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu, hari ini, (15hb April) penulis tertarik mengenai keraguan seorang wakil rakyat pembangkang yang bertanyakan mengenai apakah benar menanam tiga pohon kelapa sawit di sekitar kawasan rumah mampu memperolehi pendapatan sekitar RM150 sebulan.

Soalan itu dikemuka ketika apabila wakil BN Hulu Besut, Nawi Mohamad memberitahu bahawa dengan menanam tiga pohon pokok kelapa sawit di sekitar kawasan rumah, seseorang itu mampu memperolehi pendapatan sekitar RM150 sebulan.

Kenyataan itu dicelah oleh wakil Paka yang mempersoalkan kenyataan wakil BN itu, apakah benar penduduk mampu memperolehi pendapatan sebanyak itu dengan menanam tiga pokok kelapa sawit di kawasan rumah.

Selepas itu Wakil Rakyat Jabi, Mohd Iskandar Jaafar pula mencelah, jika mahu tahu samada kenyataan itu benar atau tidak beliau menjemput Wakil Rakyat PAS itu ke Jabi untuk melihat sendiri bagaimana menanam tiga pokok kelapa sawit kawasan rumah seseorang itu mampu memperolehi pendapatan sekitar RM150 sebulan.

Sebagai seorang Exco Pertanian, tentunya Nawi akan membuat kajian dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan kerana ia membabitkan usaha kerajaan untuk membantu rakyat. Kenyataan bahawa penduduk akan mendapat sekitar RM150 sebulan dari tiga pokok kelapa sawit itu ada juga logiknya walaupun dipertikai pembangkang.

Seorang pengurus Ladang Kelapa Sawit Sime Darby Plantation yang juga rakan penulis ketika dihubungi memberitahu bahawa tiga pokok kelapa sawit boleh memberi pendapatan sekitar RM150 sebulan kepada penanamnya.

Katanya, 10 hingga 20 pokok kelapa sawit yang matang dan musim berbuah yang baik mampu mendapat satu tan buah dan harga sekarang di Terengganu ialah sekitar RM700 satu tan.

“Secara ringkasnya, setiap pokok sawit mampu menghasilkan tiga tandan segar sepokok dan boleh dituai dalam masa sebulan. Sekiranya tiga pokok diambil kira, jumlah tandan yang diperolehi ialah sembilan. Jumlah ini akan didarabkan dengan purata berat tandan segar (ABW) iaitu 25 kg untuk setandan.

"Jadi jumlah yang diperolehi adalah 225kg. Harga pasar untuk satu tan matrik kelapa sawit terkini dalam lingkungan 750 satu tan metrik. 225kg tadi di kali dengan 0.75, penanam akan mendapat RM168 sebulan untuk tiga pokok tadi,"

Daripada kenyataan itu, jelaslah dengan usaha kerajaan mengalakan penanaman pokok kelapa sawit di kawasan rumah adalah sesuatu langkah yang baik untuk menambah pendapatan keluarga.

Jika mahu tanam tentunya orang tidak akan tanam tiga pokok malah lebih lagi dan ini akan memberi pendapatan yang lebih.

Kenyataan Nawi memang betul dan berfakta, selain itu kenyataan itu juga bertujuan untuk memberi perangsang kepada penduduk supaya menanam pokok kelapa sawit di kawasan rumah walaupun hanya tiga pokok dan dengar ceritanya beberapa rumah di Dun Jabi sudahpun melaksanakannya.

 

Sidang DUN: Kerajaan tidak zalim, sedia bayar pampasan- Ahmad Said.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said berjiwa besar sedia berbincang dengan sesiapa sahaja walaupun dengan Presiden Pas.


Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Oleh: Aminudin Ismail
Gambar oleh Zulkipli Putra

MENTERI Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said memberi jaminan pampasan kepada pemilik tanah terlibat dengan pelebaran jalan Dungun ke Kuala Terengganu di Kampung Pasir Putih, Dungun walaupun tanah yang mereka duduki itu adalah tanah kerajaan.

Ahmad Said berkata, kerajaan sedia untuk memberi pampasan kepada penduduk terbabit dengan kadar bayaran yang sesuai dan bukannya sebagaimana jumlah yang dituntut oleh penduduk yang dianggap tidak munasabah.

Katanya, pengambilan tanah yang dijalankan pada 1964, semua keluarga sudah menerima pampasan kepada pengambilan tersebut mengikut nilai semasa pada tahun itu.

“Geran baru telah didaftarkan 15 Januari 2007 tetapi sebahagian penduduk masih belum mengambil geran baru dan sebahagian telahpun dipindah milik kepada pemilik baru, maknanya berlaku urusniaga jual beli.

"Siasatan jabatan mendapati, pemilik baru tidak maklumkan pengambilan tanah daripada milik asal. Pihak pejabat tanah mengeluarkan 64 notis bagi meroboh mana-mana bangunan dan gerai-gerai yang terdapat dalam rezab jalan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak bertindak zalim walaupun sudah berpuluh tahun tanah itu diduduki tetapi kerajaan tidak pernah mengenakan sebarang bayaran.

“Kita tidak mengambil satu senpun, bermakna kerajaan tidak zalim kerana itu adalah tanah kerajaan mereka mendapat wang hasil pendapatan mereka atas tanah kerajaan tetapi jika kerajaan mahu mengunakannya sampai masa kena serah balik.

“Kerajaan tidak bertindak zalim, ini hak kerajaan. Saya sebenarnya lembut sangat orangnya. Cuma minta jangan berkasar dengan saya. Adalah tidak adil bagi kerajaan, tanah kerajaan kita duduk, kita kena bayar sejuta lebih, kalau tiga empat ribu seorang boleh kita timbang,” katanya ketika mengulung perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Ahmad Said berkata, beliau agak kesal kerana atas sikap beberapa penduduk yang mahu membuat tuntuntan berlebihan daripada kerajaan negeri kerana mengambil tanah itu.

“Sebenarnya saya sudah sain (tandatangan) surat rayuan itu tetapi bila dah nak saman atau nak apa, kitapun rasa juga. Kita tiada masalah, tapi jangan lah sampai berjuta, 80 ribu, kita bukan buat salah, kita kena bayar pulak,

"Saya Insya Allah , kita dengan rela hati untuk mempertimbangkan dengan satu kadar yang akan ditentukan, tiada masalah,” katanya.

 

"TEMBOR LARI' SIDANG DUN KETIKA PIHAK KERAJAAN MEMBUAT PENGGULUNGAN




Inilah pemimpin Pas, bercakap berdegar-degar, tetapi bila pihak kerajaan memberi penjelasan pemimpin utama mereka tidak masuk ke persidangan Dewan Undangan Negeri.

 Situasi ini dirakamkan pada sesi petang ini, didapati Prsiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Rhu Rendang “ponteng”.


Ketika penulis bertanya kepada Presiden Pas bila melihat belau meninggalkan dewan dengan selamba beliau menjawab “Ada orang hendak jumpa”.

 Turut tidak hadir di persidangan petang ini ketika pihak kerajaan membuat penggulungan ialah Adun Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid bin Endut yang juga merupakan ketua barisan pembangkang Dun Terengganu.

 Petang ini Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berucap kepada dewan menjelaskan perkara-perkara yang dibangkit sepanjang sidang selama tiga hari itu selepas dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahad lalu, bagi penggal kedua Dewan Undangan Negeri ke 13.

 Di luar mengkirtik berbagai-bagai tentang kerajaan, bila kerajaan hendak membuat penjelasan mereka pula tidak hadir ke persidangan. Fikir-fikirlah!!


Sidang DUN: Insentif perkahwinan keluarkan ibu tunggal dari garis kemiskinan

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Inisiatif kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Terenganu (YPKT) mewujudkan program insentif perkahwinan dengan peruntukan RM1.6 juta yang disertai 810 peserta di kalangan ibu dan bapa tunggal berjaya mengeluarkan sebahagian besar golongan itu dari garis kemiskinan.

YB Muhammad Pehimi berkata kerajaan sedang berusaha mengeluarkan sebahagian besar golongan ibu dan bapa tunggal dari garis kemiskinan.

Pelbagai kursus dan taklimat diadakan bagi mengubah kehidupan ibu dan bapa tunggal ke tahap yang lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Muhammad Pehimi Yusof, berkata program itu secara tidak langsung menggalakkan golongan ibu tunggal untuk berkahwin semula dan mengubah kehidupan ke tahap lebih baik.

“Kerajaan juga menyediakan caruman insurans secara berkelompok untuk membantu ibu dan bapa tunggal yang melibatkan 20, 858 peserta dan Pinjaman Jaya Diri bagi menggalakkan golongan itu menceburi bidang perniagaan," katanyaketika menjawab soalan tambahan YB Bazlan Abd Rahman (Batu Rakit-BN), mengenai peratusan ibu tunggal yang dikategorikan miskin dan perancangan membantu golongan itu, di Sidang Dun, hari ini.  .

Antara program lain yang dilaksanakan khas kepada golongan ibu tunggal termasuk 16 siri program pembangunan modal insan merangkumi kemahiran keibubapaan, program motivasi kepada anak-anak ibu tunggal, pembentukan sahsiah dan bimbingan perundangan (kepada ibu tunggal sendiri).

Selain itu, kerajaan negeri juga membelanjakan sebanyak RM18,080 untuk mengadakan 20 program kursus kemahiran dan keusahawanan kepada ibu tunggal.

Untuk rekod, jumlah ibu tunggal yang berdaftar 22,900 orang melibatkan 79 orang (miskin tegar), 8,537 org (miskin) dan 4,018 orang mudah miskin.

Sehingga kini, Pehimi (Jertih-BN) berkata, sebanyak 32 kelab dan satu persatuan ibu tunggal diwujudkan di seluruh negeri yang mendapat bantuan kewangan dari kerajaan sebagai platform golongan berkenaan berinteraksi, berbincang, bertukar pandangan sesama mereka serta mengadakan aktiviti berfaedah.

Sebelum itu, ketika menjelaskan soalan lisan yang dikemukakan YB Mohd Mahdi Musa (Kota Putera-BN) berhubung bilangan dan peratusan keluarga yang masih berada di bawah paras kemiskinan, Pehimi memberitahu berdasarkan statistik kemiskinan melalui sistem aplikasi e-Kasih sehingga 31 Mac lalu, 412 keluarga atau Ketua Isi keluarga(KIR) dikategorikan miskin tegar, 9,839 keluarga (miskin), 4596 keluarga (mudah miskin) dan 31,372 keluarga terkeluar dari golongan miskin.

“Perancangan jangka panjang bagi mengatasi masalah kemiskinan, paling utama adalah memastikan generasi-generasi baru agar mereka berjaya dalam pendidikan sebagaimana ajaran agama apabila mahu berjaya di dunia dan akhirat, mereka perlu berjaya dalam pendidikan.

 “Selain dari itu banyak program lain untuk jangka masa panjang yang dibuat oleh kerajaan bagi mengatasi masalah rakyat yang kurang bernasib baik, antaranya menjalankan program modal insan iaitu program peningkatan kapasiti dan kapabiliti kumpulan khusus yang dikenalpasti yang mana program ini terbuka kepada golongan isi rumah yang berpendapatan terendah (B40) dan tergolong dalam senarai e-Kasih di mana kita kenalpasti masalah mereka serta mencadangkan beberapa alternatif yang boleh mereka pilih bagi mengubah kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga berhasrat untuk mewujudkan satu lagi tabung kemiskinan menerusi perkongsian antara agensi kerajaan seperti FELCRA, FELDA, Lembaga Tabung Amanah Warisan dan sebagainya yang akan membantu secara langsung kepada golongan miskin.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan yang besar pada setiap tahun mengikut Dun bagi program membina rumah baru dan membaiki rumah kepada golongan yang memerlukan di seluruh Terengganu.


Sidang DUN: Rakyat Terengganu bertuah

Oleh; Esah Abdullah

 Rakyat Terengganu bertuah kerana dianugerahkan seorang pemimpin yang bijak serta berupaya mengelak daripada berlakunya krisis kekurangan air seperti yang terjadi kepada sesetengah negeri di negara ini.

YB Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman (BN-Kuala Besut) berkata, kebijaksanaan pengurusan air oleh kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu (SATU) telah berjaya menguruskan bekalan air bersih dengan jayanya.

"Kita harus berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa berusaha menurunkan kadar kehilangan air yang tidak terakaun sekurang-kurangnya mencapai 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang dan memastikan rakyat sentiasa mendapat belakalan air bersih yang selamat dan terawat,".

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan menyokong Titah Sultan di Sidang Dewan Undangan Negeri.

 Katanya, seperti apa yang berlaku di Lembah Klang dan negeri Selangor masa kini walau pun dikenali sebagai sebuah negeri yang kaya tapi akibat pengurusan air yang tidak cekap maka berlakunya catuan air sekaligus memberi keadaan yang tidak selesa kepada rakyat.

YB Tengku Zaihan juga melahirkan rasa bangga atas usaha kerajaan mempertingkatkan taraf sesio ekonomi rakyat di negeri ini kadar kemiskinan berjaya diturunkan.

"Ini terbukti data yang dikeluarkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (ICU) Jabatan Perdana Menteri pada Mac 2013 yang menunjukkan seramai 31,120 orang rakyat negeri ini telah keluar daripada garis kemiskinan," katanya.

Beliau berharap pihak kerajaan akan meneruskan program-program peningkatan pendapatan isi rumah pada masa-masa akan datang agar lebih ramai ketua isi rumah mendapat manfaat daripadanya.

Sidang DUN: LPT 2 siap Disember ini

YB Ir Rosli ketika menjawab soalan lisan.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT 2) sepanjang 184 kilometer yang menghubungkan Jabor, Kemaman ke Kuala Terengganu dijangka bakal siap sepenuhnya menjelang Disember ini.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, YB Ir Rosli Othman, berkata pembinaan LPT2 yang dianggarkan menelan belanja RM4.25 billion hanya tinggal beberapa pakej sahaja yang belum selesai.

 “Pembinaan LPT 2 hampir siap dan cuma tinggal tiga atau empat daripada 15 pakej yang belum siap dan ia akan lengkap sepenuhnya pada Disember tahun ini,”katanya ketika menjawab soalan lisan YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih-BN) di Persidangan DUN, hari ini.

Rosli (Kemasik-BN) berkata, kerajaan negeri turut berpuas hati dengan ciri keselamatan di LPT 2 termasuk membabitkan aspek reka bentuk, kecerunan, pencahayaan dan kaki lima.

“Untuk makluman, reka bentuk LPT 2 mempunyai ciri keselamatan lebih baik daripada fasa satu daripada semua aspek termasuk pencahayaan, kaki lima dan kecerunan.

“Daripada aspek kerja, kerajaan amat berpuas hati dengan hasilnya kerana memiliki ciri keselamatan yang baik,”katanya. Sementara itu, beliau yang menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Sabri Mohd Noor (Langkap-BN) yang mahu mengetahui sama ada LPT akan diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan selepas siap kelak, memberitahu pembinaan LPT 2 adalah unik kerana ia ditanggung oleh Kerajaan Pusat dan negeri.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembahagian hasil itu nanti berdasarkan sumbangan kedua-dua pihak dalam pembinaan LPT 2 yang akan ditentukan selepas selesai urusan akaun nanti. “Kita anggarkan kos LPT 2 akan mencecah RM4.25 dan kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM1.8 billion daripada peruntukan dana khas.

Dari segi nisbah pembahagian, sumbangan kerajaan negeri akan diambil kira dan akan ditentukan oleh berapakah jumlah diperuntukkan dalam pembinaan.

 “Alasan kenapa kerajaan negeri turut menyumbang kos yang sepatutnya ditanggung oleh Kerajaan Pusat adalah untuk mempercepatkan pembinaan LPT 2,”katanya.


Sidang DUN; Adun Pas puji kerajaan sedia Wifi percuma kepada rakyat

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra 

 Usaha kerajaan negeri memberi kemudahan Wifi secara percuma di 600 lokasi strategik seluruh negeri mendapat pujian daripada YB Ariffin Deraman (Pas-Alor Limbat).

Usaha kerajaan menyediakan WiFi percuma kepada rakyat Terengganu dibeberapa tempat di negeri ini dipuji pihak pembangkang.

"Saya sokong usaha kerajaan negeri yang menyediakan kemudahan Wifi secara percuma kepada rakyat dan juga untuk pelancong yang datang ke negeri ini", katanya dalam sesi perbahasan menyokong Titah Sultan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri petang semalam.

Siapa kata kerajaan mengabaikan kepentingan rakyat....terbaru kerajaan hari ini menyediakan kemudahan WiFi percuma kepada orang ramai di mana kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu menjadi perintis kepada kemudahan berkenaan.

Beliau menyangkal dakwaan bahawa pembangkang hanya tahu bangkang sahaja sebaliknya turut menyokong usaha baik kerjaan untuk kepentingan rakyat.

Katanya, ini termasuklah pembukaan kelas maya untuk kepentingan pelajaran anak-anak tempatan agar lebih maju dalam bidang pendidikan.

Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said baru-baru ini telah melancarkan projek perintis Wifi dengan peruntukan RM30 juta yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Setakat ini lima lokasi telah dipasang kemudahan capaian akses Wifi percuma termasuklah di Taman Awam Batu Buruk, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Perpustakaan AwamTterenggau dan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

 

14 April 2014

Sidang DUN: Adun Chukai berlagak `hero'

Oleh: Aida Abd Rahman

Isu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merobohkan 17 penempatan haram di Kampung Mak Chili, Chukai, Kemaman, baru-baru ini sengaja disensasikan oleh wakil rakyat pembangkang apabila menjadi `hero’ dengan menyebelahi kedegilan seorang penduduk yang tidak mahu berpindah.

Malah, penduduk dikenali sebagai `Pak Awi’ itu juga dikatakan tidak bersetuju menerima pampasan perpindahan oleh pemaju berjumlah RM20,000 walaupun sedar sudah menghuni secara haram di tanah milik kerajaan itu sejak 10 tahun lalu.

YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih-BN) menjelaskan pihaknya kesal dengan tindakan wakil rakyat Chukai Hanafiah Mat, yang sengaja memperbesarkan isu itu sedangkan perkara berkenaan boleh diselesaikan dengan baik tanpa menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

“Baru-baru ini saya terkejut mengenai isu kita merobohkan rumah haram melibatkan 17 keluarga yang tinggal sudah hampir 10 tahun, kita membiarkan mereka tinggal di situ malah sudah memaklumkan akan membina perumahan rakyat di situ dan pemaju sudah menawarkan pampasan kepada penduduk yang terlibat. 

“Mereka yang sudah lama tinggal secara haram di situ, kerajaan turut menawarkan tanah ganti Rancangan Tanah Berkelompok (RTB), malah semua menerima dengan baik, bagaimanapun hanya satu keluarga sahaja (Pak Awi) yang tidak mahu pindah, tidak mahu menerima tawaran (pampasan), sebaliknya hendak RM60,000,” katanya ketika sesi perbahasan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Persidangan DUN, hari kedua, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Abdul Hakim menjelaskan kerajaan negeri sudah berkompromi dengan penduduk yang terlibat apabila tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang tinggal sejak sekian lama di tanah haram itu.

 Katanya, semua penduduk yang diarahkan berpindah itu akur kecuali Pak Awi, sedangkan dia sudah memiliki rumah lain yang dikatakan didiami oleh anaknya serta sebahagian lagi disewakan kepada sebuah keluarga lain. 

“Pampasan RM20,000 mujur pemaju hendak beri. Ikut undang-undang kamu duduk di tanah haram, kena denda kena dakwa.

“Sebagai kerajaan yang cukup sayang kepada rakyat, kita tidak pernah buat begitu. Beri pampasan pulak, sepatutnya pemaju tidak payah beri pampasan pun, kerajaan boleh keluarkan notis dan dakwa terus kepada Pak Awi, tetapi kerajaan tidak buat (mengambil tindakan perundangan).

 "Kita sudak maklum awal (perpindahan). Hantar cek (pampasan) RM20,000, tetapi dia tolak. Orang lain terima belaka tiada masalah. Kalau kita mengambil tanah hak milik mereka yang sudah ada geran kita boleh berbicara di mahkamah dan minta pampasan lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Wan Abdul Hakim berterima kasih dan memuji tindakan wakil Chukai itu apabila membantu menasihati segelintir kecil penyokong Pas di Neram Satu yang menunaikan solat Jumaat di surau berasingan sedangkan sudah terdapat masjid di kawasan itu.

“Ada dua masjid besar di Neram itu, tetapi segelintir pengikut Pas ini hendak sembahyang dengan puak-puak dia sahaja di surau. Tiga kali sudah sembahyang Jumaat, tidak mahu dengar cakap kita. Jadi, saya amat terharu atas nasihat dan keikhlasan menasihati kumpulan itu supaya tidak buat sedemikian. Jika mahu buat, buat dengan cara betul, itu saya puji,” katanya.

 

PSTD pamer aksi menarik di Hari Ko-kurikulum UCB.

Kumpulan Silat UCB sedang memulakan aksi.
Oleh: Aminudin Ismail.

PELBAGAI aksi yang ditonjolkan pasukan berunifom menarik perhatian tetamu yang hadir pada majlis perasmian Hari Ko-Kurikulum Kolej Universiti Bestari 2014 yang diadakan di dataran astaka UCB, Putera Jaya, Setiu, hari ini.

Paling menarik ialah persembahan Tempur Senjata dari Pasukan Simpanan Tentera Darat dengan menampilkan beberapa kemahiran termasuklah gerak cergas dan demontrasi memecah batu-batu dengan mengunakan tangan dan kepala.

Demontrasi dari JPAM melalui slot “Operasi Menyelamat” juga menarik dan membawa masej yang baik supaya wanita perlu berhati-hati ketika membawa beg tangan dan perlu mempelajari seni mempertahankan diri selain menonjolkan kepelbagaian tugas JPAM.


PSTD pamerkan pesembahan menarik.
Persembahan silat dari penuntut UCB menampilkan ketangkasan ahli kumpulan silat itu dalam seni mempertahankan diri . Beberapa aksi yang ditonjolkan beberapa ahli menunjukan bahawa mereka sudah mampu berhadapan dengan musuh walaupun usia kumpulan itu masih baru.

Majlis dirasmikan Lt. Kolonel Abdul Hamid Maarus, Timbalan Komandan Rejimen 512, Askar Wataniah Padang Midin. Antara pasukan berunifom yang membuat persembahan ialah adalah Pasukan Tentera Wataniah, Rela, JPAM dan Kumpulan Silat UCB.

Abdul Hamid dalam ucapannya, berkata beliau mahu setiap anggota ko-kurikulum supaya menunjukan prestasi yang baik dengan menonjolkan segala kebolehan dan kemahiran yang ada bagi meningkatkan pecapaian dalam bidang itu.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Naib Canselor UCB, Dr. Mustaffa Ismail serta beberapa pegawai kanan UCB serta pensyarah.
Urusetia menjalankan tugas.

Antara jemputan khas yang hadir.

Rela menampilkan aksi yang cergas.

Antara aksi lasak dari Kumpulan Silat UCB

Beberapa ahli silat melihat aksi rakan mereka
Pelajar melawat gerai pameran

Asyik melihat persembahan.

Antara penuntut UCB yang melihat persembahan.

Pameran turut diadakan.

Gimik JPAM menyelamat mangsa ragut.


Pesilat UCB sempat bergambar kenangan.

 

Sidang DUN: Projek Bebas Cukai, Siap Akhir Tahun Depan

Oleh: Wartawan Teganukita
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerja-kerja pembinaan kawasan bebas cukai di kawasan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun depan.

Menteri Besar ketika menjawab soalan dari pihak pembangkang pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata secara purata, semuanya sudah siap sehingga 35 peratus. Namun ada pakej yang sudah berjalan sehingga 75 peratus.

 “Antara yang sedang giat berjalan ialah pembinaan kompleks kastam di Pangkalan Gawi (tanah besar) manakala rangkaian pusat perniagaan, jeti dan sebagainya pula di Pulau Bayas di dalam kawasan tasik berkenaan," katanya ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) pada Sidang DUN hari ini.

 Ahmad turut memberitahu pihaknya mengakui terdapat antara projek itu kini diambil alih oleh kontraktor luar Terengganu selepas kontraktor tempatan Bumiputera gagal menyiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Kerja-kerja Pulau Bebas Cukai di Pulau Bayas yang dirakam melalui udara giat dijalankan.
Katanya, kerajaan bukan pinggirkan kontraktor tempatan untuk melaksanakan sebarang projek di Terengganu, kita sudah beri kepercayaan tetapi mereka gagal memenuhi janji yang dinyatakan sebelum dapat projek.

“Apabila situasi ini berlaku, kita terpaksa menamatkan kontrak projek dengan memberi peluang kepada kontraktor lebih cemerlang dan mempunyai rekod bersih.

“Mana-mana pihak terutama pembangkang tidak boleh menuduh kerajaan pilih kasih atau bersifat berat sebelah,” katanya.

 Menurut Ahmad, tuduhan pembangkang yang menyatakan projek di Tasik kenyir tidak mengikuti speksifikasi adalah tidak benar kerana setiap pembangunan di kawasan itu mengikut kajian pakar.

“Berkaitan pembinaan jeti, kita membina pelbagai jenis jeti di beberapa lokasi sebagai langkah selamat melabuhkan bot dan `house bot’ sama ada pada musim kemarau dan tengkujuh.

 “Melalui usaha itu, tidak timbul membina banyak jeti adalah membazir dan tidak mengikut speksifikasi, sebagai contoh, jika tiba musim tengkujuh dan jeti yang biasa menjadi tempat belabuh bot itu ditengelami air, boleh menghantar penumbang di jeti yang selamat dan berada lebih tinggi,” katanya.