Halaman

21 December 2010

Keadaan Banjir Di Kemaman Bertambah Baik Pagi Ini

KUALA TERENGGANU, 21 Dis (Bernama) -- Banjir yang melanda beberapa kawasan di Kemaman beransur surut dan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan berkurangan kepada 243 berbanding 353 orang petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kemaman berkata mangsa yang masih berada di 12 pusat pemindahan adalah 152 orang di kawasan Kemasik dan 91 orang di kawasan Kijal.

"Mangsa belum boleh pulang kerana kawasan rumah mereka masih digenangi air," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Selasa pagi.

Jurucakap itu berkata paras air sungai Kemaman berada dalam keadaan normal, kecuali di Kerteh, iaitu di Batu Putih kini meningkat ke tahap amaran 2.84 meter (amaran 2.5 meter).

Katanya cuaca di Kemaman kembali mendung pagi ini dan hujan sekali sekala.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri memaklumkan keadaan paras sungai di semua sungai utama di Terengganu pagi ini berada dalam keadaan normal.

-- BERNAMA

Terengganu Kini Miliki Pasukan Basikal Profesional, Termasuk Tiga Pelumba Import

KUALA TERENGGANU, 20 Dis (Bernama) -- Terenggganu kini memiliki pasukan basikal profesional "Terengganu Pro-Asia Cycling Team" (TCT) yang mempunyai sembilan pelumba tempatan dan tiga pelumba import.

Penubuhan TCT dilancarkan secara rasmi di sini Isnin oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Pelumba import terdiri daripada Shinichi Fukushima, Motoi Nara daripada Jepun dan Phuchong Udomsin dari Thailand bersama pelumba tempatan Anuar Manan, Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi Mat Senan, Mohamad Fais Sharifuddin Abd Kadir, Mohd Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosdi dan Nur Amiraul Fakhruddin Mazuki.

Fukushima juga akan bertindak sebagai jurulatih dengan dibantu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan.

Ahmad berkata kerajaan negeri memperuntukan RM1.5 juta bagi penubuhan pasukan tersebut.

"Saya yakin pasukan TCT yang dianggotai pelumba-pelumba berkaliber ini mampu memertabatkan nama Terengganu dalam sukan lumba basikal hingga ke peringkat dunia," katanya.

Beliau berkata sasaran pertama TCT ialah untuk menyertai kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dijadual diadakan Januari tahun depan.

"Kita harap Anuar Manan akan dapat mempertahankan jersi hijau yang dimenanginya tahun ini pada tahun depan," katanya.

Ahmad berkata setakat ini pasukan TCT telah memilih Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Thailand sebagai gelanggang latihan yang bermula minggu depan hingga penghujung bulan ini di Thailand bagi menghadapi ujian pertama LTdL.


-- BERNAMA

Solat Suburkan Kesihatan Jasmani

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Amalan solat lima waktu banyak mendatangkan kesan positif kepada badan seseorang umpama melakukan senaman ringan yang boleh menurunkan kadar kolestrol badan di samping dapat mengelakkan penyakit jantung, stress dan kegemukan.

“Solat dari perspektif sains dapat memenuhi keperluan jasmani dan kerohanian manusia zaman sekarang,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Ustaz Khazan Che Mat di majlis perasmian Seminar Sains Solat Peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman hari ini (20 Disember).

Namun katanya, jika solat lima waktu dilakukan tidak mengikut tertib rukun sembahyang, bukan sahaja kesuburan pahala, keberkatan solat dari perspektif sains juga tidak dapat sebaliknya hanya beroleh keletihan.

YB Khazan seterusnya menyeru seluruh umat Islam melakukan penghijrahan sempena kedatangan tahun baru hijrah dan setiap perubahan perlu bermula dari dalam diri setiap individu.

Seminar anjuran kerajaan negeri mengundang dua pakar penyelidik sains dari Universiti Malaya iaitu Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim dan Dr. Ng Siew Cheok yang membentang empat kertas kerja berkaitan kebaikan solat dari perspektif sains.

Prof Madya Dr. Fatimah bentang tiga kertas kerja bertajuk ‘Kesan Postur dan Pergerakan Solat Terhadap Komposisi Badan’ , ‘ Solat Sebagai Terapi Sakit Pinggang’ dan Kesan Solat Kepada Denyutan Jantung dan Sebagai Terapi Mati Pucuk’ manakala Dr. Ng Siew Cheok ‘ Solat Sebagai Terapi Otak’.

TEGANUKITA

Anuar Ketuai TCT Takluk Trek Berbasikal

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said bersama pasukan TCT yang diketuai Anuar Manan pada majlis perjanjian di Kediaman Seri Iman. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

"Saya menyertai pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TCT) kali ini untuk menabur bakti di tanah kelahiran saya dan saya sudah bersedia untuk menghadapi Kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada Januari depan serta berazam melakukan yang terbaik supaya mampu memenangi beberapa peringkat dalam kejohanan itu nanti, " kata Anuar Manan ketika sidang media selepas menandatangani perjanjian bersama TCT di Kediaman Seri Iman, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam (19 Disember).

Anuar yang sebelum ini mewakil pasukan Ginseng Asia dan penyarung jersi hijau di LTdL 2010 dilantik sebagai ketua pasukan TCT bagi berdepan cabaran musim 2011 bersama rakan sepasukan yang baru.

Beliau bersama tiga lagi pelumba luar negara Shinichi Fukushima (Jepun), Phuchong Udomsin (Thailand) dan Moto Naga (Jepun) menandatangani perjanjian bersama TCT dengan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, semalam. Hadir sama, Pengerusi jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat.

Anuar yang menjalani latihan di Australia yakin dengan rakan baru dalam pasukan TCT itu dapat membantunya untuk memenangi kejohanan berkenaan seterusnya menaikkan nama Terengganu dalam acara lumba basikal.

Dalam ucapannya sebelum itu, Menteri Besar amat berbesar hati apabila anak kelahiran Terengganu, Mohd Azizulhasni Awang yang memenangi emas di Sukan Asia Guangzhou telah mendahului senarai keirin UCI di Veldrom Alcides Nieto Patino di Colombia.

“Kerajaan negeri akan memberi penghargaan kepada Azizulhasni Awang atas usaha beliau yang telah memenangi emas di sukan Asia Guangzhou. Manakala sebidang tanah akan diberikan kepada Anuar Manan bagi menghargai sumbangan beliau dalam menaikkan nama negeri Terengganu.

“Saya berasa amat bangga kerana majoriti pelumba-pelumba basikal yang menyertai Sukan Malaysia di Melaka pada awal tahun ini terdiri daripada anak jati Terengganu yang mewakili pasukan masing-masing." Katanya.

Dato’ Seri Ahmad, juga yakin dengan kemampuan TCT memandangkan pasukan itu dibarisi pelumba berbakat dan telah memenangi beberapa kejohanan di negara masing-masing, selain mereka dapat memberi komitmen seratus peratus dalam membantu menaikkan nama pasukan TCT kelak.

Shinichi adalah pemenang di peringkat Asia Eropah termasuk LTdL serta bekas juara lumba basikal di Jepun dan digeruni pihak lawan.

Manakala Phuchong pula adalah salah seorang pelumba terhebat di Asia dan pernah memenangi jelajah di Thailand serta menyarung jersi Asia. Moto bekas pelumba pasukan Livestrong (2009) pula adalah pemenang tempat kedua dalam Kejohanan Lumba Basikal di Jepun baru-baru ini.


TEGANUKITA

Kadar Kemiskinan Turun 10 Peratus Tahun Depan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Terengganu menyasarkan Indeks Kunci Pencapaian (KPI) penerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melibatkan 18,576 orang dengan peruntukan RM30 juta sepanjang 2010 dapat diturunkan sebanyak 10 peratus tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib, berkata kaedah utama bagi menurunkan kadar kemiskinan itu adalah dengan melakukan pemutihan semula iaitu memastikan penerima yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan am yang diperuntukkan JKM.

Beliau berkata, kaedah lainnya adalah memberikan keselesaan dan keceriaan kepada golongan miskin termasuk menyediakan kemudahan tempat tinggal yang sempurna.

Sepanjang 2010, kerajaan negeri membina 5,990 unit rumah baru manakala 10, 436 unit rumah dibaikpulih melalui peruntukan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

“ Ini bukan kerja pengarah JKM sahaja, tetapi semua kakitangan JKM perlu memastikan KPI mencapai pengurangan 10 peratus pada tahun depan. Kalau bertambah (jumlah penerima) bermakna kita tidak mencapai sasaran KPI.

“Kita tidak mahu sebagaimana (contoh) pada tahun 2005, 2006, 2007 berlaku peningkatan. Apabila meningkat bermakna kita masih di tahap miskin yang melampau. Jadi kita mahu kurangkan jumlah sedia ada itu sebagai misi mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata beliau ketika berucap di Majlis Mesra JKM Bersama Media, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam (19 Disember).

YB Yahya berkata, jumlah penerima JKM itu juga merupakan antara 24,549 peserta yang berdaftar melalui sistem e-Kasih atau melibatkan 500 unit rumah iaitu 9 hingga 10 peratus merangkumi keseluruhan penduduk Terengganu.

Menurut beliau, daripada keseluruhan data kemiskinan negeri, miskin tegar (362 orang), miskin (5,209 orang) dan mudah miskin seramai 18,978 orang.

Sebagai contoh, kata beliau jika sebuah keluarga memerlukan RM30 sehari sebagai perbelanjaan isi rumahnya dan hanya memperolehi RM20 daripada keperluan sebenar RM30, maka dia dikategorikan golongan miskin.

Sementara, jika ada keluarga memerlukan RM30 tetapi hanya memperolehi RM10, situasi itu dikategorikan miskin tegar.

Berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) melalui Laporan Penyiasatan Isi Rumah (HIS) yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2007, miskin tegar ialah golongan yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM430 bagi Semenanjung Malaysia. Manakala pendapatan per kapita isi rumah tersebut adalah RM100 dengan bilangan isi rumah 4.4 (bagi semenanjung).

Manakala miskin tegar adalah di kalangan isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan kurang dari PGK makanan. PGK makanan adalah berdasarkan keperluan harian kilo kalori setiap individu berdasarkan metodologi PGK makanan 2005 bagi Malaysia ialah RM4150.

Bagi kategori miskin pula (berdasarkan PGK 2007), golongan yang mempunyai pendapatan kurang dari RM720 bagi Semenanjung, RM960 bagi Sabah dan RM830 bagi Sarawak.

Sementara mudah miskin pula merupakan golongan yang mempunyai pendapatan melebihi PGK bermaksud treshold di bawah RM1500 bagi bandar dan RM1,000 bagi luar bandar.

YB Yahya turut mengumumkan untuk memberi saguhati kepada peserta Pemulihan Dalam Komuniti RM200 seorang, manakala setiap guru pengiring pula mendapat pakaian sutera selepas kumpulan berjaya mendapat tempat ketiga dalam persembahan berkumpulan Gbakat Istimewa Semai Bakti Piala Perdana Menteri 2010, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

TEGANUKITA

20 December 2010

100,000 Orang Dijangka Saksi Pameran Haiwan Berbisa Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 19 Dis (Bernama) -- Pameran haiwan berbisa anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) yang diadakan sejak 1 Nov lalu berjaya menarik lebih 78,000 pengunjung.

Pegawai Perhubungan dan Pemasaran LMNT, Mohd Saberi Muda berkata dijangkakan lebih 100,000 orang akan mengunjungi pemeran itu sehingga 31 Dis ini.

"Selain mengadakan pameran binatang-binatang hidup seperti ular dan kala jengking, kita turut mengadakan pertunjukan permainan ular oleh Raja Ular dari Kelantan iaitu Hamdan Mahadi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan Jabatan Perikanan telah memberikan kerjasama yang baik untuk menjayakan pemeran itu.

Mohd Saberi juga berkata Muzium Terengganu dengan kerjasama Balai Seni Lukis Negara akan mengadakan pameran lukisan yang bertemakan "Kepadamu Kekasih" mulai 15 Dis hingga 28 Jan depan.

Beliau berkata pengunjung berpeluang melihat 40 buah lukisan hasil nukilan pelukis terkenal tanah air seperti Dr Sulaiman Isa yang kebanyakannya berunsur keagamaan serta kebesaran Ilahi.

-- BERNAMA

19 December 2010

Sekitar Lawatan PM Ke Terengganu










Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib menerima kad keahlian Kelab Permotoran Terengganu daripada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said ketika merasmikan Perhimpunan Remaja dan Pelancaran Kelab Motor Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Selanjutnya KLIK : Lawatan PM

















TEGANUKITA

Warga Emas Terharu Terima Kunjungan Najib

KUALA TERENGGANU, 18 Dis (Bernama) -- Tiada apa mampu diucapkan oleh seorang warga emas Esah Mamat, 90, apabila menerima kunjungan istimewa daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selain rasa syukur dan gembira.

Bagi Esah, kesudian Najib berkunjung dan membantu kerja-kerja membaiki rumahnya yang uzur di bawah program Jelajah One Malaysia (JOM) mencermin keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat.

"Terima kasih banyak kepada Perdana Menteri dan kerajaan sebab sudi baiki rumah makcik. Rasa gembira dapat jumpa (Perdana Menteri), sebelum ini tengok di televisyen sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Esah yang mempunyai lima orang anak dan lebih 30 cucu menetap di Kampung Chabang Tiga sejak hampir 70 tahun lalu dan dia adalah antara penduduk terawal kawasan itu.

Rumah warga emas itu sebelum ini mengalami kebocoran atap, lantai dan dinding reput sebelum terpilih untuk dibaiki dalam program JOM dengan bantuan anggota pergerakan Pemuda UMNO.

Dalam lawatan, Najib turut bersama membantu mengecat dinding rumah warga emas itu sebelum meluangkan masa untuk berbual dan makan bersama Esah.

Perdana Menteri kemudian sempat berjalan kaki menuju ke gerai menjual jagung yang terletak berhampiran tapak pasar malam Chabang Tiga tidak jauh dari rumah warga emas itu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


Kementerian Kerja Raya Lulus Peruntukan Tambahan RM410 Juta Untuk Fasa 2 LPT

KUANTAN, 19 Dis (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya akan meneruskan semula kerja pembinaan enam pakej di bawah Fasa 2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mulai Januari tahun depan.

Menterinya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata kerja pembinaan pakej-pakej tersebut dihentikan ekoran kenaikan kos bahan binaan seperti besi, keluli dan simen berikutan kenaikan harga petroleum pada 2007 dan 2008.

"Kontrak pembinaan enam pakej tersebut telah dihentikan, lima daripadanya secara persetujuan bersama," katanya kepada pemberita selepas menutup kejohanan Sukan Jabatan Kerja Raya di Stadium Darul Makmur di sini Sabtu.

Beliau berkata kementerian tersebut telah melantik kontraktor baru untuk melaksanakan enam pakej tersebut yang bernilai RM410 juta.

Shaziman berkata pelaksanaan projek lebuh raya itu kini 75.6 peratus siap berbanding jadual asal 82.9 peratus.

Fasa kedua LPT sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman, ke Kampung Gemuruh, di bahagian utara Kuala Terengganu, merupakan kesinambungan daripada fasa pertama yang bernilai RM3.7 bilion dari dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer.

Kerja pembinaan fasa pertama bermula Mac 2006.

-- BERNAMA


PM Mahu Aktiviti Berkaitan Belia Dilaksanakan Mengikut Aspirasi Golongan Itu

KUALA TERENGGANU, 18 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu setiap aktiviti dan program berkaitan belia dilaksanakan berdasarkan aspirasi kehendak golongan berkenaan.

Beliau berkata tanpa mengambil kira perkara itu, golongan belia akan dilihat semakin sukar untuk didekati.

"Jangan fikir apa yang kita suka golongan berkenaan akan suka dan jangan fikir apa yang kita tak suka, golongan berkenaan juga tidak suka," katanya ketika berucap pada himpunan remaja sempena pelancaran Kelab Motor Terengganu 2010 di Stadum Tertutup Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Perhimpunan berkenaan berjaya mengumpul lebih 32,000 remaja dan 16,000 remaja bermotosikal di Terengganu, yang bertujuan mendidik golongan itu agar lebih berhemah dan tidak terbabit dengan aktiviti lumba haram.

Najib berkata golongan belia kini telah melalui proses perubahan yang besar dan pendekatan yang digunakan tidak boleh lagi dilaksanakan seperti tahun-tahun 60-an dan 70-an.

Perdana Menteri juga meminta semua pihak tidak berterusan melabelkan golongan merempit sebagai samseng jalan raya.

"Jangan kata mereka samseng jalan raya... mereka boleh jadi bengang atau bosan di rumah, jadi timbulah budaya ini yang sebenarnya kita perlu juruskan kepada perlakuan yang baik agar mereka dapat mematuhi undang-undang, tidak menunggang secara berbahaya dan sebagainya," katanya.

Perdana Menteri berkata golongan berkenaan perlu diberi peluang dan kemudahan tertentu, misalnya sirkit perlumbaan, bagi membolehkan mereka berlumba dengan cara yang betul.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional sedang melaksanakan empat transformasi melibatkan kerajaan, ekonomi, politik dan sosial.

"Dalam transformasi sosial yang kita perjuangkan itu termasuklah program seperti hari ini yang kita mahu membentuk belia untuk pimpinan masa depan," katanya.

Najib berkata golongan belia cerminan masa depan dan mereka perlu dibimbing dengan pendekatan sewajarnya untuk menjadi pelapis kepada kepimpinan masa depan.

-- BERNAMA