Halaman

23 January 2014

Fama pilih 18 petani untuk Program Ladang Kontrak

 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu akan memilih 18 petani lagi untuk menjalankan Program Ladang Kontrak dalam usaha meningkatkan bekalan terus dari ladang ke Pasar Tani di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan & Komoditi negeri, Nawi Mohamad berkata tambahan petani itu dibuat bagi menjamin sumber bekalan hasil pertanian mencukupi untuk dipasarkan kepada pengguna.

 "Dalam jangka masa panjang, langkah itu juga diharap dapat mengurangkan rantaian pemasaran yang menyumbang kepada harga tinggi sebelum hasil ladang sampai kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Insentif Pengukuhan Ladang Kontrak ke Pasar Tani (Kukuh) di Pejabat Fama daerah Besut di Jerteh di sini

Nawi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Besut berkata pada masa ini 10 petani terlibat dalam program ladang kontrak itu dengan kuantiti hasil pertanian berjumlah 16,962 kilogram dengan nilai RM29,092 tahun lepas.

 Beliau berkata pertambahan bilangan dengan hasil berkualiti itu sejajar dengan 'Kempen Jom Nanang' (kempen jom tanam) yang bakal dilancarkan kerajaan negeri dalam masa terdekat ini bertujuan menggalakkan rakyat menanam sendiri keperluan harian mereka.

 Pada majlis itu, seramai 10 petani yang mengusahakan kontrak ladang Fama ke Pasar Tani dari dua daerah, masing-masing Besut dan Kuala Terengganu menerima insentif berjumlah antara RM1,000 hingga RM1,500 seorang.

Selain itu, Nawi berkata kerajaan negeri telah mengarahkan Fama mencari tapak baharu yang lebih sesuai untuk mengadakan Pasar Tani Kekal di setiap daerah di negeri ini.

 


ANTARTIKA: MOU NARC- NACH DITANDATANGANI-TUDUHAN LIAR DAN SEMBORONO PEMBANGKANG TERJAWAB.

Daripada: Ruslan Abdul Rahman 

Menjadi realiti…Perjanjian Persefahaman (MOU) berkaitan penyelidikan di Antartika telahpun ditandatangani semalam dan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah menyaksikannya.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said di majlis MoU antara National Antartic Research Center of Malaysia dengan Institut Antartico Chileno.
Perjanjian itu adalah di antara National Antartic Research Center of Malaysia (NARC) dengan Institut Antartico Chileno (NACH).

NARC diwakili oleh Prof Dr.Azizan Abu Samah, manakala NACH diwakili Pengarahnya, Dr.Jose Ratamales Espinoza.

Menurut salah seorang yang menyertai lawatan kerja ke Antartika itu,Prof Datuk Dr Aziz Deraman sekurang-kurangnya terdapat 4 fokus utama persefahaman itu:

I) Kerjasama dalam kajian sains dan alam sekitar Antartika.

II) Berkongsi dan saling bertukar sumber penyelidikan untuk kepentingan bersama.

III) Bekerjasama mempromosio pembangunan sumber manusia berkaitan kajian di Antartika.

IV) Mencari peluang untuk kerjasama kedua dua pihak untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan di Antartika.

Kesemua ini menolak tohman dan tuduhan liar pemimpin pembangkang terhadap pemergian Menteri Besar Terengganu itu ke Antartika.


22 January 2014

Nasib keluarga piatu di Langkap terbela.

Sabri bersama lima sekeluarga piatu di Kampung Langkap.
Oleh: Aminudin Ismail. 

LIMA sekeluarga yatim piatu di Kampung Langkap, Setiu berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor kerana sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan keluarga itu yang hidup dalam kekurangan.

Abang sulong keluarga itu, Mohd Azmi Khairuddin, 29, berkata, dia yang bekerja sebagai penoreh getah terharu dengan kesudian wakil rakyat itu untuk bertandang ke rumahnya dan melihat sendiri keadaan keluarganya itu.
Nordiana..baru kematian ibu.(tiga minggu lalu)

“Terima kasihlah kepada YB Dato’ Sabri kerana datang ke rumah saya ini. Dia bersetuju untuk menyelesaikan beberapa perkara yang menjadi masalah kami sekeluarga kerana saya dan adik (Azam,26) tidak dapat mengambil upah menoreh pada musim hujan ini.

“Antaranya ialah Dato’ mahu adik saya Azizi (14) yang tidak bersekolah supaya meneruskan persekolahannya dan menangggung beberapa perbelanjaan persekolahan termasuklah membeli pakaian sekolah.

“Selesaikan masalah bil air yang banyak tertunggak dan membina bilik air dan tandas di rumah ini kerana kami mengunakan bilik mandi dan tandas yang uzur di luar rumah,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Sabri berkata, beliau akan membantu keluarga ini dalam beberapa perkara termasuklah meminta JKM menaikan jumlah bantuan bulanan yang diterima sebanyak RM200 sebulan oleh seorang ahli keluarga ini yang OKU. (Azizol, 18)

“Kita akan sentiasa memantau keluarga ini dan kita akan pastikan keluarga ini terbela dan anak bongsu keluarga ini (Nordiana, 2) dapat membesar dengan sempurna,” katanya mengenai keluarga ini yang kematian ayah dan ibunya itu.
Sabri menghulurkan sumbangan peribadi kepada Azmi.

Sedang meneliti bil air bersama Azizol yang OKU.(kiri).


ANTARTIKA: KITA PERLU MEMBUKA MINDA DAN MELIHAT JAUH KE HADAPAN- YB A.LATIFF


Exco Kerajaan Negeri, YB A.Latiff Awang menyifatkan pembangkang tidak faham perkara sebenar tentang lawatan kerja Menteri Besar Terengganu ke Antartika dan membuat kenyataan secara rambang dan melulu.

Sebagai Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad amat peka kepada usaha Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan bagi meningkatkan usaha-usaha penyelidikan di Antartika, ujarnya.

Sebenarnya tegas beliau, kita telah jauh ketinggalan dari pihak lain yang sekian lama membuat penyelidikan di Antartika, lantaran itu usaha yang diambil oleh Yayasan berkenaan dengan kerjasama ada sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi amatlah perlu disokong oleh semua pihak.

 Malah katanya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sendiri menggesa supaya kerajaan kerajaan negeri, badan swasta dan individu membantu usaha yang dipelopori oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan itu.

 “Justeru itu, suatu pengiktirafan oleh Kementerian Sains , Teknologi dan Inovasi kepada Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengamanahkannya bagi mengetuai lawatan kerja itu,” kata A.Latiff.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah yang mempertikaikan lawatan kerja Menteri Besar Terengganu ke Antartika itu.

Kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu semalam “perkara itu menjadi tanda tanya memandangkan ia dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar yang sepatutnya diketuai menteri atau pakar berkaitan.”

Menurut YB A.Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, bahawa  Dato’ Seri Ahmad sebagai salah seorang pemimpin sebenarnya telah merealisasikan gesaan kementerian supaya membantu usaha-usaha murni yayasan itu, kerana kalau kita ketinggalan dalam kajian di sana, maka kita akan terus ketinggalan dalam mengetahui perubahan yang sedang berlaku di kutub yang juga memberi suatu kesan kepada perubahan alam seluruhnya.

Pihak lain telah lama beroperasi di sana dengan pelbagai kajian, mempunyai ‘base station’ dan kita hanya baru hendak memulakan, mengapa begitu dangkal pemikiran pembangkang, ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri menegaskan. bahawa pada masa kini hujan salji telah wujud di Vietnam dan Mesir akhir tahun lalu,yang sepatutnya musim kering, bermakna cuaca dunia semakin berubah dan akan terus berubah, apakah kita masih lagi mahu menjadi katak di bawah tempurung?

Justeru itu, A. Latiff marilah sama-sama kita membuka minda dengan lebih luas dengan berfikiran lebih professional, ilmiah dan jangan disempitkan oleh pemikiran politik murahan semata-mata.


460 Atlet termasuk pegawai sertai karnival sukan pantai di Besut



Oleh: Mohammad Ishak

Sebanyak 460 atlet termasuk pegawai Majlis Sukan Universiti Malayia (MASUM) berkampung di Besut selama 3 hari bermula hari ini bagi menyertai Karnival Sukan Pantai 2014.

Karnival yang membabitkan empat jenis permainan iaitu Bolasepak Pantai, Bolatampar Pantai, Sepaktakraw Pantai dan Bolajaring Pantai itu di rasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Terengganu Mohd Mahdi Musa di Pantai Air Tawar, Besut.

Karnival yang disertai atlet dari 15 buah Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) itu dianjurkan oleh Universiti Sultan Zainal Abdidin (Unisza) dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) .
Timbalan Naib Canselor Unisza,

Profesor Dr Mohd Ikhwan Toriman berkata, kejohanan terebut yang sepatutnya di adakan dari 12 hingga 15 Disember lalu terpaksa ditangguh ke hari ini kerana Terengganu dilanda banjir.

Katanya, ini merupakan karnival kali ke 3 bagi Masum dimana sebelum ianya diadakan selama dua tahun berturut-turut di Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

 “ Dengan penganjuran Karival di Pantai Air Tawar itu penduduk tempatan berpeluang melihat pertandingan yang tinggi mutunya dari kalangan pelajar-pelajar universiti dalam 4 jenis permainan Sepanjang tiga hari ianya diadakan ,” katanya.

Menurutnya, walaupun pelajar universiti itu berada dalam dunia akademik, penganjuran karnival itu merupakan sebahagian daripada landasan bagi atlet sukan universiti menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

Bagi memeriahkan lagi majlis perasmian karnival kali ini ,acara pertandingn memancing turut diadakan petang ini untuk penduduk tempatan.

Sementara itu atlet bolatampar Masum , Mohamad Fitri Salim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sebelum ini telah mewakili negara sebanyak 6 kali ke Kejohanan Sukan Universiti-Universiti ASEAN telah mengepalai peserta membaca ikrar kejohanan.

`River Cruise’ TTI dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

`River Cruise’ atau menyusuri Sungai Terengganu yang disediakan Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, semakin mendapat sambutan menggalakkan dan penyumbang kepada peningkatan pengunjung di pusat pelancongan terkenal itu.

 Sepanjang tahun lalu, seramai 566,658 pengunjung TTI direkodkan dengan 102,688 adalah pengunjung Taman Monumen, diikuti kira-kira 50,000 penumpang `River Cruise’.

 TTI menyediakan bot tradisional payang dan kolek, Sri Wan Man (bot fiber) dengan 32 muatan, selain Sri Paloh, Sri Warisan dan Sri Kristal yang menyediakan 45 muatan. Pengarah Urusan, TTI Management Sdn Bhd berkata dengan adanya program menyusuri sungai itu telah memberi impak besar kepada kedatangan dan peningkatan sektor pelancongan negeri.

“Sokongan penduduk setempat, selain tarikan pelancong tempatan serta luar negara amat memberangsangkan menyebabkan kerajaan negeri bersedia menambah jumlah bot sedia ada bagi memenuhi permintaan itu,” katanya kepada Teganukita.

 Katanya, pembinaan kincir air yang berukuran diameter sembilan meter bukan saja mampu menjadi tarikan terbaru malah dapat mengubah data kedatangan pelancong tempatan dan luar negara ke destinasi itu.

 “Kincir air yang bernilai RM6.9 juta itu adalah sumbangan kerajaan negeri yang ingin melihat TTI terus menerima kunjungan ratusan ribu pelancong pada setiap tahun.

 “Pembinaan teknologi itu merujuk kepada kincir air umat Islam lampau di Syria yang menggunakan Teori Al-Jazari,” katanya.

Menurutnya, TTI juga merancang beberapa program tertentu semata-mata menambah bilangan pengunjung, antara Festival Sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dijangka berlangsung Februari ini; Kem Khalifah Muda (Mac) dan Pesta Buku & IT (Mei) dan Karnival Gempak Belia ( Jun).

Program lain, Pesta Coklat & Biskut (Jun); Terengganu International Islamic Art Festival 2014 (September); Program Kacau Bubur As-Syura (8 Nov) dan Mini Karnival Akhir Tahun TTI bakal diadakan pada Disember.

 

Terengganu sasar 80 peratus mahir BI 10 tahun akan datang

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu mensasarkan 80 peratus pelajar yang menyertai program `Tranglish’ mampu menguasai bahasa Inggeris (BI) dengan baik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 Program baharu yang menelan belanja RM3.3 juta sebagai inisiatif kerajaan negeri memperkasakan penguasaan BI di kalangan pelajar Tingkatan Dua Tiga dan Empat di 32 sekolah terpilh seluruh Terengganu, mulai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat sekurang-kurangnya 80 peratus pelajar yang menyertai program itu mampu menguasai bahasa antarabangsa menjelang 2024 nanti.



“Walaupun impian saya pastinya mahu 100 peratus, namun saya tidak meletakkan kesemuanya memandangkan ada di kalangan pelajar kemungkinan tahap kecerdasannya lemah, mengalami kecacatan dan juga masalah emosi.Bagi pelajar demikian, mereka belajar macammanapun, tetap tidak faham juga dan hal itu juga perlu diambil kira,” katanya ketika Program Bicara Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam.

YB Ghazali berkata, program bagi memupuk pembudayaan BI dalam kehidupan seharian akan dilaksanakan selepas sesi kelas biasa tamat yang dikendalikan oleh guru-guru berpengalaman sekali gus bertindak sebagai fasilitator kepada peserta terlibat.

Katanya, program itu juga memberi peluang kepada anak-anak negeri yang berkelulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) menjadi tenaga pengajar dan menerima elaun khas menerusi peruntukan sedia ada itu.

Tambah beliau, program itu menumpukan kepada pelajar Tingkatan Dua, Tiga dan Empat, memandangkan kumpulan pelajar berkenaan akan berdepan dengan peperiksaan awam pada tahun seterusnya.

Menurutnya, peperiksaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun depan menjadi penilaian kepada keberkesanan program itu selepas setahun dilaksanakan nanti. 

“Kita mahu melihat perubahan dalam penguasaan BI di kalangan pelajar yang terlibat dan hasilnya mungkin pada peperiksaan awam 2016. Di sini kita mahu mereka menggunakan ruang dan peluang mempraktikkan BI dalam suasana yang santai dengan pemantauan guru berpengalaman selepas waktu persekolahan biasa.

“Program itu akan memberi penekanan terhadap aspek komunikasi yang dikesan menjadi kelemahan besar pelajar negeri ini,”katanya.

Selain itu, katanya program perintis itu akan menumpukan kepada pelajar di kawasan luar bandar di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), berikutan pencapaian BI mereka agak terkebelakang berbanding sekolah bandar.





'BAKPO HASAD DAN DENGKI' - YB ISKANDAR

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Pembangkang lebih lebih menunjukkan sifat hasad dengki dan tidak senang dengan pencapaian yang telah di perolehi sepanjang pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membuatkan mereka membuat tuduhan dan kritikan melulu kepada Menteri Besar Terengganu itu, kata Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia,YB Mohd Iskandar Jaafar.

“Saya menyokong penuh lawatan kerja Menteri Besar Terengganu ke Antartika bersama rombongan negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan,” katanya.

Katanya, Dato’ Seri Haji Ahmad adalah antara yang berpeluang ke sana dan ia adalah pengiktirafan kepada rakyat Terengganu oleh Kerajaan Malaysia.

Sudah pasti lah misi ke Antartika akan memberikan banyak maklumat dan pengalaman berguna yang bakal di perolehi melalui kajian kajian yang dilaksanakan, ujarnya. 

Beliau mengulas kenyataan beberapa pemimpin pembangkang berkaitan lawatan kerja dan eksplorasi ke kutub Selatan, yang diketuai Menteri Besar Terengganu itu.

Menurutnya, isu berkaitan kecaknaan terhadap alam sekitar ini sudah lama menjadi perhatian Menteri Besar itu dan tidak mustahil idea dan ilmu yang di perolehi dari sana akn dpt pula membantu Ketua Kerajaan Negeri Terengganu itu dalam meletakkan halatuju pengurusan alam sekitar negeri secara lebih saintifik.

“ Tohmahan dan cakap-cakap sinis terutama dari pemimpin pembangkang lebih merupakan satu usaha jahat yang menafikan keperluan kepada pengembangan ilmu saintifik pada masa hadapan,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Jabi.


21 January 2014

Pelajar SM Intergrasi Batu Rakit bersih kawasan masjid.

KENANGAN...sebahagian 70 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah (SM) Intergrasi Batu Rakit dan guru bergambar kenangan bersama Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman (tengah) bersama JKKK Masjid Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit selepas mengadakan gotong royong membersihkan kawasan masjid itu, baru-baru ini.

Pengerusi JKKK kampung itu, Awang Koding Che Tom, berkata pembabitan sekolah itu dalam gotong royong yang bermula kira-kira jam 9 pagi dan berakhir jam 11 pagi itu adalah bersempena Minggu Orientasi sekolah itu.

"Gotong royong ini adalah hasil kerjasama antara guru SM Intergrasi dengan JKKK masjid yang berpakat mengadakan gotong royong itu. Terima Kasih kepada semua pihak yang menjayakan gotong royong ini terutamanya pihak sekolah itu yang sudi menjadikan masjid ini antara program orientasinya," katanya.

Sementara itu, Bazlan berkata, kerjasama ini dapat diteruskan kerana ia banyak memberi maafaat kepada semua selain dianggap satu pekerjaan yang mulia dan juga boleh mengeratkan silaturrahim antara kedua-dua pihak.-oleh: Aminudin Ismail.



Program Trenglish di luar sekolah

Jabatan Pendidikan kini di peringkat akhir penyediaan kertas konsep bagi menjayakan Program Trenglish bagi meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris di rakyat negeri ini khususnya para pelajar mulai tahun ini.

Timbalan Pengarahnya, Hashim Mohd Zain berkata, pihaknya masih dalam proses memperhalusi draf sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan kelulusan dan peruntukan agar dapat dimulakan tidak lama lagi.

Beliau menjelaskan, program yang akan diperkenalkan atas inisiatif kerajaan negeri merupakan satu program khusus yang akan diadakan di luar waktu sekolah yang turut melibatkan ibu bapa selain guru dan pelajar.

''Ia akan dilaksanakan mengikut kesesuaian pelajar setempat kerana terdapat perbezaan antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar,".

 ''Ini untuk memastikan program bagi membantu pelajar mahir menguasai bahasa Inggeris dan dapat diikuti dengan mudah,"katanya Beliau berkata, sebanyak 32 sekolah menengah yang terdiri daripada setiap sekolah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dipilih menjayakan projek perintis itu.

 Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib mengumumkan langkah memperkenalkan program Trenglish dengan menyediakan peruntukan sebagai RMN3.3 juta.

 Menurut Ghazali, program itu kelak akan diperluaskan, meliputi sekolah rendah dan pra sekolah jika berhasil dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya di Terengganu menjelang 2020 selaras hasrat kerajaan negeri melahirkan mahasiswa kelahiran negeri ini fasih berbahasa Inggeris.

 Ia sebagai salah satu langkah jangka panjang yang akan turut melibatkan peranan guru-guru berpengalaman sebagai fasilitator selain memberi pekerjaan kepada anak-anak negeri yang berkelulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).