Halaman

06 July 2011

Permata Seni Koir terpilih ke Vienna, Austria

Oleh: Aida Abd Rahman/ Sh Mardhiah Tuan Azam

Program Permata Seni Negara mendapat pengiktirafan dunia apabila dipilih untuk menyertai `World Peace Choral Festival’ yang bakal diadakan di Vienna, Austria, bermula dari 25 hingga 28 Julai ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, berkata penyertaan di festival itu merupakan julung kali buat anak-anak kecil itu untuk mengadakan persembahan di luar negara.

“Saya bagi pihak rakyat Malaysia mengucapkan tahniah dan berbangga dengan pencapaian anak Permata Seni Koir yang berjaya menyertai World Peace Choral Festival di Vienna yang merupakan satu acara yang cukup berprestij,” katanya ketika sidang media di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, petang ini.
Turut hadir, isteri Menteri Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datin Seri Utama Maznah Rais dan isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata, walaupan baru berusia setahun lima bulan, program Permata Seni Negara ini ternyata amat berkesan apabila bakat anak-anak yang diasuh di bawah program ini mula diiktiraf, bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara.

“Penyertaan ini satu pengiktirafan besar dan amat bermakna kepada keberkesanan program Permata Seni Koir. Seperti semua sedia maklum, Austria amat dikenali dengan kumpulan-kumpulan koirnya yang menjadi tanda aras bagi kumpulan koir seluruh dunia.

“Bukan mudah untuk dipilih menyertai festival koir yang diadakan dinegara berkenaan, namun menjadi sesuatu yang amat dibanggakan apabila Permata Seni Koir terpilih dari hamper 40 koir ternama dari seluruh dunia untuk menyertai World Peace Choral Festival 2011,” katanya.

Ahli Permata Seni Koir yang akan menyertai Festival terdiri daripada 37 anak-anak yang berumur antara lapan hingga 11 tahun melalui pimpinan penyanyi Syafinaz Selamat selaku konduktor kumpulan.

Malah, beliau berkata, festival tahunan anjuran The Artistic Committee Of World Peace Festival, Austria yang bertujuan untuk promosi keamanan sejagat melalui nyanyian koir oleh kanak-kanak berbakat itu juga menjadi landasan untuk memperkenalkan lagu rakyat Malaysia ke persada antarabangsa.

“Sepuluh lagu yang akan dipersembahkan merangkumi Anak Rusa Nani, Tepuk Amai-Amai, Buih Sabun dan Sepuluh Budak Hitam. Lagu-lagu Inggeris pula ialah Hush A Bye Mountain, One Song, When The Saint Go Marching In, Syncopated Clock, Firefly dan Furaha,” katanya.

Menurutnya, Permata Seni akan membuat lima persembahan utama dan beberapa persembahan sampingan pada program yang bakal dirasmikan di City Hall Vienna pada 25 Julai ini.

Katanya, persembahan akan diadakan di lokasi terkemuka seperti di City Hall Vienna, Kursalon, Augarte Palace, Schoenbrunn Palace, Grand Festival Hall Of The University Of Vienna, United Nations dan Golden Hall Of Musikverein.

Selain itu, lima ahli Permata Seni Koir yang terpilih juga akan digandingkan dengan lima peserta dari setiap negara yang mengambil bahagian dalam persembahan gabungan. Antara negara terlibat termasuk China, Hong Kong, Taiwan, Chekoslovakia, beberapa negara Eropah lain dan Malaysia.