Halaman

05 July 2011

Program pengimarahan masjid seluruh negeri

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membelanjakan hampir RM190,000 untuk program pengimarahan masjid seluruh negeri dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan Majid JHEAT, Haji Mohd Nor Mohamad berkata, dalam tempoh berkenaan empat siri kursus untuk imam dan bilal berjaya diadakan melalui Pejabat Agama Daerah (PAD) masing-masing.

“Seramai 2,342 imam dan bilal mewakili 490 buah masjid terbabit mengikuti kursus berkenaan yang diadakan serentak di tujuh daerah ,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, setiap bulan PAD Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman menyusun jadual kursus masing-masing dalam usaha memberi kesedaran kepada kumpulan sasar mempertahankan kesucian agama Islam di negeri ini.

“Setakat ini sudah 70 peratus imam dan bilal selesai mengikuti kursus manakala selebihnya akan di mulakan selepas Ramadan depan,” katanya.

Katanya, JHEAT sentiasa berusaha untuk meningkatkan fungsi institusi masjid itu supaya ia menjadi tempat penyebaran ilmu di samping kesucian rumah Allah itu sentiasa dijaga rapi.

“Jawatankuasa masjid juga hendaklah sentiasa berusaha ke arah pengimarahan masjid dengan mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan yang boleh menarik masyarakat menyertainya,” katanya.