Halaman

22 April 2012

13,119 KIR `terkeluar' dari kemiskinan

Oleh: Aida Abd Rahman

 Seramai 13,119 Ketua Isi Rumah (KIR) seluruh Terengganu `terkeluar’ atau berjaya keluar daripada paras kemiskinan daripada keseluruhan 43,344 KIR dalam senarai Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih) di seluruh Terengganu sehingga 3 April lalu.

 Daripada jumlah itu, KIR yang dikategorikan miskin seramai 8,689 orang, miskin tegar 1,099 orang dan mudah miskin 20,437 orang.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Encik Ahmad Sharom Yasin berkata, pihaknya menjalankan proses pemutihan dan kemaskini untuk menentukan pergerakan isi rumah yang melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) per kapita yang bergerak kepada kategori lebih baik atau terkeluar.

 “Data bagi mereka yang melepasi PGK per kapita kepada kategori terkeluar masih disimpan dalam e-Kasih.

“Usaha pemutihan ini juga dapat memastikan bantuan dan projek yang disediakan kerajaan hanya disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Kuala Terengganu mencatat senarai tertinggi dalam e-Kasih iaitu 15,273 orang yang melibatkan 3,776 miskin, 455 orang miskin tegar, 6,959 orang mudah miskin dan selebihnya 4,083 orang (terkeluar).

 Manakala, Besut mencatat KIR kedua tertinggi dengan jumlah 8,015 orang, masing-masing 1,543 orang (miskin), 295 orang (miskin tegar), 3,727 orang (mudah miskin) dan 2,450 orang terkeluar.

 Katanya, Marang adalah daerah ketiga, iaitu daripada keseluruhan 5,647 orang dalam senarai e-Kasih, 897 orang (miskin), 99 orang (miskin tegar), 1,830 orang (mudah miskin) dan 1,604 orang (terkeluar).

Encik Ahmad Sharom berkata, daerah lain adalah Setiu (4,151 orang), Hulu Terengganu (3,512 orang), Kemaman (3,421 orang) dan 3,325 orang di Dungun.

 “Data yang diaplikasikan bermula 2008 ini menjadi sistem pengkalan data sebagai rujukan setiap agensi kerajaan terutamanya agensi persekutuan bagi tujuan penyaluran bantuan kemiskinan yang melibatkan dana persekutuan, selain membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan .

“Bermula tahun lalu semua penyaluran bantuan kemiskinan yang melibatkan dana persekutuan menggunakan senarai daftar KIR e-Kasih ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata jika terdapat nama cadangan yang didapati layak namun masih belum tersenarai, `Jawatankuasa Focus Group Kemiskinan ‘ peringkat daerah dan negeri boleh mencadangkan KIR itu selepas pertimbangan jawatankuasa.

 Manakala Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK 2009) setiap bulan yang sebagaimana ketetapan yang dibuat `Jawatankuasa Delivery Task Force (DTF)’ berdasarkan `Low Income Household’ (LIH) pada 10 Januari lalu, bagi kategori miskin bagi KIR yang berpendapatan bulanan isi rumah RM760 (semenanjung Malaysia), RM770 (bandar) dan RM740 (luar bandar).

Manakala pendapatan per kapita RM190 (semenanjung Malaysia), RM200 (bandar) dan RM170 untuk luar bandar.

 “Bagi miskin tegar setiap KIR berpendapatan bulanan RM460 (semenanjung) dan RM450 bandar serta RM490 untuk luar bandar, berbanding pendapatan per kapita RM110 (Semenanjung Malaysia), RM120 (bandar) dan luar bandar RM110,” katanya.