Halaman

25 April 2012

Kerajaan lulus 14,595 lot tanah dalam tempoh empat tahun

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri meluluskan 14, 595 lot tanah kepada 14,595 rakyat di negeri ini dalam tempoh 2008 hingga 15 April 2012.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata daripada jumlah berkenaan 5,166 lot merupakan tanah pertanian membabitkan 5,166 pemohon manakala tanah tapak rumah (9,429 lot) kepada 9,429 pemohon di seluruh negeri.

“Tidak pernah berlaku sebelum ini, kerajaan berjaya meluluskan sebegitu banyak permohonan tanah dalam tempoh yang amat singkat iaitu empat tahun,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Dato’ Haji Harun Taib (Pas-Manir) di Sidang Dewan Undangan Negeri pada hari ketiga hari ini.

Katanya, berdasarkan pengalaman 13 tahun dalam kerajaan negeri termasuk sembilan tahun sebagai Exco kerajaan negeri banyak tanah berjaya diberikan kepada rakyat.

Bagi mengulas lebih lanjut soalan wakil Pas- Manir, Menteri Besar memperincikan jumlah kelulusan mengikut daerah iaitu Besut sebanyak 2,319 lot membabitkan 2319 pemohon (tanah pertanian 1,186 lot dan tapak rumah 1,133 lot).

Daerah Dungun sebanyak 3065 lot untuk 3065 orang pemohon yang berjaya iaitu lot pertanian (131) dan tapak rumah (2934), Hulu Terengganu 3141 lot kepada 3141 pemohon iaitu lot pertanian (2,229) tapak rumah (915) dan Kemaman sebanyak 2, 517 lot iaitu tanah pertanian (640 lot) dan tapak rumah (1,877 lot).

Daerah Kuala Terengganu sebanyak 1411 lot iaitu tanah pertanian (78 lot) dan tapak rumah (1333 lot), Marang sebanyak 421 lot iaitu tanah pertanian (56 lot) dan tapak rumah (365 lot) serta Setiu sebanyak 1643 lot iaitu tanah pertanian (771 lot) dan tapak rumah (872 lot).

“Dengan kelulusan itu beerti seramai 14,595 rakyat di negeri ini berjaya memiliki tapak pertanian dan tapak rumah dalam tempoh empat tahun dan ini membuktikan kejayaan kesungguhan kerajaan untuk memberi yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Menteri Besar menegaskan, semua lapisan rakyat layak memohon tanah termasuk warga emas dan baru-baru ini seorang warga emas berusia 89 tahun turut menerima geran tanah dalam satu majlis di Hulu Terengganu.